BAB
4
Angin kencang dari
selat Arab menyerbu masuk ke bilik hotel setinggi 25 tingkat itu. Sengaja Yashmaan
mmbuka tingkap seluas-luasnya. Membiarkan angin dari selat Arab membelai-belai
tubuhnya.
Yahmaan menarik
nafas panjang. Disebak rambutnya yang berselerakan di tiup angin. Tubuhnya
dihenyak pada kerusi yang tersedia di balkoni itu. Pandangannya dibuang jauh ke
tengah lautan yang membiru.
Dia mengeluh
perlahan. Fikirannya mula menerawang jauh. Meneroka peristiwa yang pernah berlaku
beberapa tahun lalu.
Imran memandang
langit yang kelihatan hitam pekat. Tiada walau sebutir bintang pun menghiasi
langit malam itu. Matanya memandang sekeliling laman rumah yang sunyi
sepi. Di alih pandangan ke arah rumah
banglo mewah dua tingkat yang tersergam indah di depannya. Dia memanjangkan
leher memandang bilik Tengku Zainal yang terletak di tingkat atas rumah. Bilik tidur
utama di banglo itu kelihatan gelap.
Mungkin ayah dah
tidur, getus hatinya.
Tak lama,
pandangannya dihala semula ke arah Yashmaan yang duduk bersandar di depannya. Wajah
anak muda itu membayangkan rasa resah yang bergulungan menghempas pantai hatinya
sejak beberapa hari yang lalu.
“Kamu dah habis
fikir ke Yash?”
Dalam kesamaran
cahaya lampu yang terpasang di setiap sudut laman, Imran membuka mulut. Bulat
matanya memandang wajah lesu anak muda bertubuh sasa itu.
“Kalau kamu pergi,
siapa yang nak bantu Along uruskan firma guaman ayah tu?” nada suaranya masih
seperti tadi. Lembut namun tegas.
Yashmaan mendengus
perlahan. Tubuhnya ditegakkan semula. Kepalanya ditundukkan sedikit. Tidak
menyahut kata-kata Imran yang masih menanti jawapan darinya.
Imran mendengus
kasar. Geram hatinya melihat perlakuan Yashmaan yang seolah-olah tidak mempedulikan
kata-katanya. Sejak dari tadi, anak muda itu hanya mendiamkan diri tanpa
sepatah kata.
“Yash, I’m talking to you,”
Nada Imran mula
kedengaran sedikit tinggi. Sekadar untuk menyedarkan anak muda itu dari
khayalannya sendiri. Mengharapkan anak muda itu membalas kata.
“I’m listening Along,” agak lama baru
Yashmaan membalas.
Imran mengeluh
perlahan. Dia mengusap rambutnya beberapa kali. Matanya masih terpaku ke arah
Yashmaan yang masih menundukkan wajah. Tubuhnya dipeluk kemas.
“Yash, kamu tahu
kan, ayah dah serah firma guamannya tu pada kita berdua. Dia nak kita sama-sama
majukan firma tu.” suara Imran kembali kendur.
“Ayah benar-benar
berharap pada kita berdua Yash,”ujarnya lagi.
Yashmaan mendengus
kecil. Diangkat sedikit wajahnya.
“Itu saya tahu Along
tapi saya tak berminat dengan firma tu. Lagipun bidang guaman ni bukan bidang
saya. Lainlah Along, undang-undang tu memang kerjaya Along dari dulu lagi,”
balas Yashmaan setelah sekian lama mendiamkan diri. Sesekali dia mengerling ke
arah Imran yang duduk mengadapnya.
“Tapi itu tak
bermakna kamu tak boleh bekerja dengan Along bukan? Tak semestinya untuk
bekerja di situ kamu perlu arif segalanya tentang kerjaya guaman. Masih banyak
lagi kerja lain yang boleh kamu lakukan di firma tu,” Suara Imran kedengaran
seperti memujuk.
Yashmaan melepaskan
keluhannya. Kedengaran agak berat.
“Along, saya dah
buat keputusan dan saya takkan tarik semula keputusan yang telah saya buat.
Lagi pun Along sendiri pun tahu kan sikap saya? Saya takkan lakukan perkara
yang saya tak suka,” ujarnya sedikit tegas.
“Kalau begitu, Along
akan bantu kamu carikan kerja yang bersesuaian dengan kelulusan kamu nanti.
Along akan cari syarikat yang terbaik untuk kamu mulakan karier kamu,” Imran masih
berusaha memujuk. Mengharapkan anak muda itu dapat mengubah keputusannya.
Kedengaran satu lagi
keluhan dari celahan bibir merah Yashmaan. Lebih berat dari tadi.
“Along, kan saya dah
kata, saya tak mahu lagi bergantung pada Along. Cukuplah dengan segala
pertolongan yang Along berikan pada saya selama ini,”
Yashmaan
mengendurkan suara. Hatinya sedikit terusik dengan sikap abangnya yang begitu
mengambil berat tentang dirinya. Mungkin kerana mereka hanya dua beradik
menjadikan Imran bersikap begitu.
Imran menghela nafas
perlahan. Wajah adik kesayangannya itu dipandangnya lama. Dia faham dengan
sikap Yashmaan yang keras kepala itu. Setiap keputusan yang dibuatnya tidak
akan ditarik balik.
”Yash, adakah hanya
kerana disebabkan perkara itu, kamu sanggup untuk meninggalkan segalanya?” Lembut
Imran menyoal.
“Kamu tak kasihankan
ayah ke? Kita cuma dua beradik saja Yash. Ayah hanya ada kita berdua. Takkan
kamu sanggup buat begini pada ayah?”
Yashmaan terdiam
seketika. Kata-kata Imran yang
kedengaran begitu lembut itu benar-benar meruntun tangkai hatinya. Sedikit
sebanyak kata-kata abangnya itu menusuk tajam ke dasar hatinya. Ditunduk
sedikit wajahnya sebelum perlahan dia bersuara.
“Saya dah tak
sanggup nak tinggal lagi di sini Along. Setiap kali saya teringat padanya, hati
saya rasa menyesal yang teramat sangat. Saya rasakan yang diri saya ni begitu
hina,” Suara Yashmaan kedengaran sayu. Dia masih menundukkan muka. Berusaha
untuk menyembunyikan rasa sebak yang mula mencengkam hati.
Giliran Imran pula
yang terdiam. Hatinya turut diserang rasa sebak melihat keadaan Yashmaan. Dia
sedar, hati anak muda itu akan terusik setiap kali perkara itu dibangkitkan.
“Yash, kamu dah
fikir masak-masak tentang perkara ni?” soal Imran tenang. Wajah anak muda itu
dipandang lagi.
Yashmaan mengangguk.
“Saya dah buat
keputusan muktamad Along. Kalau saya masih di sini, saya takkan dapat lupakan
dia sampai bila-bila pun,”
“Habis tu, kalau
kamu ke luar negara pun, boleh ke kamu lupakannya nanti?” Pertanyaan Imran
kembali mengunci bibir anak muda itu dari bersuara.
Yashmaan menundukkan
wajah semula. Dibiar saja pertanyaan itu berlalu pergi tanpa sebarang sahutan.
Dirasakan fikirannya begitu bercelaru pada masa ini.
Imran menghela
nafasnya lagi. Merenung lembut wajah sayu itu. Dia sedar, Yashmaan tertekan
dengan pertanyaannya sebentar tadi. Dia tidak bermaksud untuk melukakan hati
anak muda itu namun rasa sayang yang begitu melimpah terhadap Yashmaan
menyebabkan dia bertindak sedemikian. Hatinya tidak sanggup melihat adik
kesayangannya itu terus terumbang-ambing dalam meredah lautan kehidupan yang
maha luas tanpa sebarang pautan yang kukuh.
”Yash, semua ini
bergantung pada diri kamu sendiri. Biar di mana pun kamu berada, kalau kamu tak
berusaha untuk melupakannya, kamu akan tetap mengingatinya sampai bila-bila,” dengan
nada lembut Imran kembali menyuara kata. Wajah lesu itu direnung lagi.
“Bukan tempat yang
akan menentukan sama ada kamu dapat melupakannya atau pun tidak tapi diri kamu
sendiri Yash. Semuanya bergantung pada diri kamu sendiri. Tak guna kamu pergi
hingga ke hujung dunia pun tapi dalam masa yang sama fikiran kamu masih
terbelenggu dengan perkara tu,” ujar Imran lagi.
Yashmaan yang sedari
tadi membatu diri mendongak perlahan wajah sebelum menghembus lembut nafas
panjangnya. Wajah tenang Imran dipandang sekilas.
“Saya dah nekad
Along. Saya nak keluar dari Malaysia ni. Saya nak mulakan hidup baru di negara
orang,” agak tegas dia bersuara. Memandang tepat ke arah Imran yang ternyata kebingungan
dengan sikapnya.
Imran mengeluh panjang.
Harapannya untuk memujuk anak muda itu mengubah fikirannya dirasakan berkecai
perlahan-lahan sebelum hilang ditelan malam. Tiada lagi dayanya untuk menghalang
kemahuan adik tunggalnya itu.
Perlahan Imran
menarik nafas. Pendek. Membalas renungan Yashmaan sebelum secalit senyuman
diukir di ulas bibirnya.
“Yash, Along nak kamu fikir sedalam-dalamnya
tentang perkara ni. Along nak kamu buat keputusan yang terbaik demi masa depan
kamu,”
Dicapai tangan Yashmaan.
Digenggamnya erat jari jemari kasar anak muda itu. Yashmaan hanya memandang
perlakuan Imran.
”Along nak kamu
tahu, walau apa pun keputusan yang kamu lakukan, Along akan sentiasa menyokongnya.
Along takkan paksa kamu mengikut kata Along lagi. Cuma Along benar-benar berharap
kamu akan tetap di berada sini bersama ayah dan Along seperti sekarang. Kita
akan sama-sama merealisasikan impian ayah.”
Yashmaan menutup
semula cermin pintu balkoni. Dihampiri sofa yang terletak di tengah ruang bilik.
Dihempas tubuhnya di situ. Dia berkhayal sendiri.
Sudah hampir tujuh
tahun dia meninggalkan tanah kelahirannya. Tanah tempat dia dibesarkan. Tanah
Malaysia yang tercinta. Dibuang jauh dirinya ke negara asing. Negara yang dia
sendiri tidak pernah bermimpi untuk menjejakkan kakinya ke sana.
Bandaraya Dubai menjadi
pilihannya untuk memulakan kehidupan baru. Dia tertarik dengan keindahan
bandaraya itu setelah melihat gambarnya di dalam sekeping poskad ketika dia menunaikan
umrah tujuh tahun lalu.
Tujuh tahun! Bisik
Yashmaan perlahan.
Selama tujuh tahun
itu dia bekerja keras untuk meraih kejayaan dalam hidupnya. Bermula dengan
kerjaya sebagai seorang pengurus di sebuah hotel di Dubai, dia menanam tekad untuk
memiliki hotel sendiri. Berkat usaha gigihnya, dia berjaya menjadikan impiannya
itu satu kenyataan.
Kini hotel Astana Malaysia
yang dibinanya sejak tiga tahun yang lalu berjaya menjadikan dirinya setaraf
dengan kedudukan anak Melayu lain yang berjaya di bandaraya metropolitan itu.
Yashmaan tersenyum
panjang. Ingatannya melayang pada Imran. Dari kecil, Imran terlalu memanjakannya.
Setiap kehendaknya akan ditunaikan. Walau pun adakalanya kehendaknya itu
melampaui tahap kemampuannya, Imran akan berusaha untuk memenuhinya. Abangnya
itu tidak pernah membenarkan kesedihan membaluti dirinya. Dan kerana sikap
Imran yang sentiasa menurut kemahuannya itulah menjadikan Yashmaan membesar
menjadi seorang anak muda yang degil dan keras hati.
Namun Yashmaan
sedar, apa yang dilakukan oleh abangnya itu hanyalah semata-mata kerana tidak
mahu dirinya terasa kehilangan kasih sayang ibu mereka yang telah meninggal
dunia ketika melahirkannya dulu. Dan baginya, Imran telah berjaya melenyapkan
kekurangan itu. Kekurangan kasih sayang dari seorang ibu yang tidak pernah
dilihatnya sejak dia dilahirkan.
Jauh di dasar hati,
dia begitu berterima kasih kepada Imran atas segala yang telah dilakukan lelaki
itu padanya. Yashmaan sedar, dia takkan berjaya seperti sekarang tanpa adanya
Imran di sampingnya.
Walau pun Imran
berada nun jauh dari matanya namun dorongan dan semangat yang dihulurkan setiap
kali mereka berbalas e-mel menyebabkan Yashmaan tidak pernah terasa
berseorangan di bumi asing itu. Malah sehingga kini Imran masih bersikap begitu
walau pun sudah bertahun-tahun mereka tidak bersua muka.
Yashmaan memeluk kemas
tubuh tegapnya. Setiap kali dia mengingati Imran, hati lelakinya pasti dipagut
rasa sayu. Imran begitu menyayanginya. Seingatnya, Imran sentiasa beralah
dengannya dalam apa jua perkara. Imran sanggup megenepikan kepentingannya
sendiri demi dirinya. Hinggakan pernah Imran menolak cadangan ayah mereka yang
memintanya berkahwin sebaik dia menamatkan pengajiannya di Australia. Alasan
Imran, dia tidak mahu Yashmaan terasa kehilangan kasih sayangnya.
Abangnya itu hanya
mendirikan rumahtangga selepas Yashmaan dapat menyambung pengajian ke Amerika
Syarikat beberapa tahun kemudian. Itu pun hanya kerana Yashmaan sendiri yang
memintanya berbuat demikian.
“Imran.”
Tanpa sedar Yashmaan
menutur lembut nama itu.
Rasanya sudah
beratus kali Imran menuntut dirinya menunaikan janji mereka. Janji yang pernah
di ikrarnya pada lelaki itu suatu masa dulu. Janji yang baginya begitu sukar
untuk dilaksanakannya. Walau pun Imran tidak pernah memaksanya menunaikan janji
itu namun Imran juga tidak pernah lupa mengutarakan perihal janji itu setiap
kali mereka saling bertanya khabar. Sikap Imran yang tidak gemar memaksa menyebabkan
dia diruntun rasa bersalah setiap kali mengingatinya.
Ah Along, kalaulah Along
tahu rasa hati adik mu ini, bisik Yashmaan perlahan.
Seketika Yashmaan
mengeluh. Dia teringat pada zaman remaja yang pernah dilaluinya. Zaman
remajanya berlalu dengan pelbagai kisah yang penuh dengan kemanisan dan
kepahitan. Kemanisan yang menyebabkannya leka dengan kesenangan dan kebebasan
yang dimilikinya. Kesenangan yang membuatnya lupa pada batas yang tidak
sepatutnya dilangkauinya. Kebebasan yang akhirnya menjerumusnya ke kancah
kekesalan yang tiada penghujungnya.
Dihela nafasnya.
Panjang. Membaringkan tubuh sasanya ke sofa. Diraup wajahnya beberapa kali.
Dalam diam, Yashmaan
mengakui kebenaran kata-kata Imran. Walau di mana pun dia berada, kenangan lalu
pasti akan menghambatnya selagi dia tidak berusaha melupakan semuanya.
Dia sedar, sehingga
kini dia masih tidak dapat melupakan peristiwa itu. Peristiwa yang meninggalkan
palitan hitam seumur hidupnya. Peristiwa yang sehingga kini meninggalkan seribu
penyesalan dalam dirinya. Peristiwa yang menyebabkannya tidak betah untuk
menunaikan janjinya pada Imran. Janji untuk memijak bumi Malaysia setelah dia
berjaya menempa nama di negara orang.
Dan pagi itu, seperti
mana pagi-pagi sebelumnya, Yashmaan terleka sendirian dengan kenangan lalu
menguasai fikirannya.
No comments:
Post a Comment