Friday, October 05, 2012

CINTA SEJATI : BAB 5

BAB 5
Cuaca panas mencengkam suasana tengah hari itu. Angin yang bertiup perlahan menimbulkan rasa bahang pada tubuh Laila yang sedang mengayuh basikal. Pakaian seragam sekolah yang tersarung di tubuhnya terasa lekit.
Berhati-hati gadis bertubuh kecil itu mengayuh basikal, bimbang terjatuh dalam lopak-lopak air yang bertakungan di jalan kampung. Sudah beberapa kali jalan kampung itu diturap tar namun kenderaan-kenderaan berat yang berulang alik di kawasan itu menyebabkan jalan-jalan di situ menjadi pecah dan berlubang.
Laila memperlahankan kayuhannya apabila matanya terpandang sesuatu di tengah jalan. Dia segera menghentikan kayuhannya apabila tiba-tiba saja laluannya dihalang.
Sambil membetulkan kedudukan kainnya yang sedikit terselak, dia memandang geram ke arah Anas, Safuan dan Radhi yang berdiri tegak di tengah-tengah jalan kampung. Ketiga-tiga anak muda itu mencekak pinggang masing-masing sambil tersengih memandangnya.
Laila menarik muka masam. Meluat melihat gelagat anak-anak muda itu.
Muka dia orang ni lagi, rungut hatinya. Bosan diganggu setiap kali pulang dari sekolah.
“Apasal ni, tiba-tiba aje nak ganggu orang? Kau orang nak apa?” Kasar pertanyaan Laila. Wajahnya dipaling ke arah lain. Benci.
“Hei Nas, awek kau ni tanya, kita nak apa? Kau jawablah,” ujar Safuan menyiku Anas yang berdiri di sebelahnya. Matanya di lirik ke arah wajah Laila yang mencuka.
“Woi, apalah kau ni. Dia bukannya tanya pada kita, dia tanya Anas seorang ajelah. Ya tak Laila,” sindir Radhi pula.
Gelak tawa ketiga anak muda itu memecah keheningan suasana jalan yang sepi itu.
Laila mengetap bibir. Marah pada Radhi yang bersuara tadi. Matanya dijeling tajam ke arah pemuda yang berpakaian sedikit kotor dan koyak rabak itu.
“Kau tengok tu Nas, dia menjeling,” ujar Radhi lagi sambil menghalakan jari telunjuknya ke arah Laila.
“Itu yang mahal. Bukan semua orang boleh dapat. Dalam kampung kita ni, cuma kita bertiga je yang boleh dapat jelingan tu tau,” celah Safuan pula.
Kata-kata Safuan itu meledakkan lagi tawa mereka.
“Hei, kejap, kejap, bukan kita bertigalah, Anas seorang je yang bertuah,”
Radhi menepuk-nepuk bahu Anas yang semakin galak ketawanya.
“Hei hantu kampung, kau orang nak apa sebenarnya hah? Tak malu ke ganggu orang?” Laila mula meninggikan suara. Hilang sabarnya melihat mereka bertiga yang sedari tadi tidak henti-henti bergelak ketawa di depannya.
“Mak oii, garangnya. Ni yang buat aku tambah sayang,” Anas membuka mulut sebaik tawanya terhenti. Dia melebarkan senyuman. Dicekak pinggang dengan kedua-dua belah tangannya. Mengatur langkah menghampiri Laila yang memandangnya marah.
Safuan dan Radhi yang mengikut langkahnya dari belakang hanya tersengih-sengih. Menampakkan gigi masing-masing.
Anas tersenyum panjang. Matanya memandang rakus wajah manis gadis itu.
“Kau ni Laila, macam tak faham pula. Macam biasa, aku nak kaulah!” ujar Anas.
Ketiga-tiganya kembali tertawa. Lebih kuat dari tadi.
“Hei, kau tak reti bahasa ke? Kan aku dah kata tak nak, maksudnya tak naklah. Tak faham ke?” Tengking Laila kuat.
Hilang rasa hormat Laila pada Anas walaupun dia tahu pemuda itu lebih tua beberapa tahun darinya.
 Anas menghentikan tawanya. Wajahnya kelihatan serius. Bulat matanya memandang wajah masam milik gadis itu.
“Hei Laila, cuba kau beritahu, apa kurangnya aku? Nak kata tak handsome, Tom Cruise kat Hollywood tu pun kalah dengan aku tau. Nak kata bodoh, aku pun lulusan unversiti juga macam orang lain. Hah cakap, apa yang kurang?” Nada suara Anas kedengaran tinggi.
Radhi dan Safuan hanya mengangguk. Mengiyakan kata-kata pemuda itu.
Laila menjuih bibir.
”Ala, setakat muka kau ni, dengan perangai mengalahkan beruk kat dalam hutan tu, tak ada gunanya ada ijazah kalau balik kampung pun sekadar menjadi penganggur,” sinis Laila.
Dijeling sedikit ke muka Anas yang kelihatan merah padam mendengar katanya.
Anas mengetap kuat bibir bawahnya. Dia tidak dapat menelan kata-kata yang terkeluar dari mulut Laila. Wajah bersih gadis bertudung putih itu dipandang tajam.
“Hei Laila, kau jaga sikit mulut kau tu. Jangan nak celupar sangat,”
Nada suara Anas kedengaran mengeletar, menahan rasa marah yang mula menyerang hati.
Laila yang memandang tingkah anak muda itu melemparkan senyuman sinisnya.
“Kenapa, salah ke dengan apa yang aku cakap? Memang betulkan. Memang sepadanlah kau dengan kawan-kawan kau yang tak bersekolah tu. Sesuai benarlah kau orang bertiga jadi kawan baik pun,”
Serentak itu, pantas tangan kanan Laila menolak kuat tubuh Anas berdiri di sebelah basikalnya.
Anas yang terkejut dengan tindakan Laila yang tiba-tiba itu terdorong ke belakang. Hampir tubuhnya terhumban ke tanah namun sempat disambar kedua kawannya.
Kesempatan itu diambil Laila untuk meninggalkan tempat itu. Segera dikayuh laju basikalnya. Meninggalkan ketiga-tiganya dalam keadaan kelam-kabut.
Anas segera menegakkan tubuh. Tangannya cuba mencapai belakang basikal Laila namun tidak berjaya. Gadis itu begitu laju mengayuh basikalnya.
Geram kerana tidak dapat menghentikan tindakan gadis itu, dia menjerit sekuat hati.
“Ila, jaga kau. Tahulah aku macam mana nak ajar kau nanti!’
Laungannya hilang di bawa angin.
Anas mengenggam buku limanya. Hatinya bengkak mengingat sindiran Laila di depan kawan-kawannya tadi. Dalam diam, dia berazam untuk membalas perbuatan Laila yang dirasakan memalukan dirinya tadi. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012