Wednesday, August 29, 2012

Kisah Abu Nawas: Memindahkan istana

Baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid baru saja selesai membaca sebuah kitab berkenaan dengan kehebatan Nabi Sulaiman yang mampu memerintahkan para jin untuk memindahkan singgahsana Ratu Balqis ke dalam istananya. Lalu tiba-tiba baginda terfikir sesuatu. Hatinya mula tertarik untuk melakukan perkara yang sama. Baginda terasa mahu memindahkan istananya ke atas gunung agar baginda dapat melihat dengan lebih selesa pemandangan di sekitar kerajaannya.
Puas berfikir, akhirnya baginda memutuskan untuk menitahkan Abu Nawas melakukan perkara mustahil itu. Baginda yakin Abu Nawas yang terkenal dengan kecerdikannya itu mampu melaksanakan titahnya itu.
Tanpa membuang masa, Abu Nawas dipanggil ke istana lalu terus mengadap baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid.
“Wahai Abu Nawas, sanggupkah engkau memindahkan istana Raja Harun Ar-Rasyid ke atas gunung agar Raja Harun Ar-Rasyid dapat melihat dengan lebih dekat keadaan yang berlaku dalam kerajaannya?” soal baginda.
Abu Nawas terdiam. Dia tidak menyangka baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid akan memintanya berbuat demikian. dalam hati dia yakin dia tidak mungkin akan menolak permintaan mustahil baginda itu melainkan jika dia mahu menghadapi hukuman.
Lalu dalam nada perlahan lagi kurang yakin, dia pun menjawab,
“Baiklah tuanku. Patik sanggup melakukannya,” lalu baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid pun tersenyum gembira dan memberi tempoh sebulan kepada Abu Nawas untuk menyelesaikan titahnya itu.
Abu Nawas pun meminta diri pulang dengan hati yang galau. Saban malam dia asyik memikirkan cara untuk melaksanakan perintah baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid itu. Hinggalah hari kesembilan dia tidak lagi merasa gundah dan bimbang kerana telah mendapat ilham.
Keesokkan harinya, Abu Nawas pun pergilah ke istana untuk mengadap baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid dan dengan senang hati baginda Raja menerima kedatangannya.
“Ampun Tuanku, patik datang ke sini adalah untuk mengemukakan cadangan bagi melancarkan titah tuanku berkenaan dengan pemindahan istana tuanku ini,” kata Abu Nawas.
“Apakah cadanganmu itu wahai Abu Nawas?” soal baginda ingin tahu.
“Patik bercadang untuk memindahkan istana tuanku dalam masa dua puluh hari dari sekarang,”
“Kalau begitu Raja Harun Ar-Rasyid perkenankan,” jawab baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid.
“Satu lagi, patik mohon tuanku menyembelih sepuluh ekor lembu yang gemuk untuk dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin,” pinta Abu Nawas lagi.
“Boleh saja wahai Abu Nawas,” jawab baginda terus saja bersetuju dengan permintaan itu.
Abu Nawas pun pulang dengan hati yang riang gembira. Tiada apa lagi yang dirisaukannya. Bila tiba masanya pasti mudah baginya memindahkan istana baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid ke atas gunung. Bahkan ke dasar lautan pun tidak sukar bagi Abu Nawas lakukan.
Khabar Abu Nawas ingin memindahkan istana baginda Khalifah tersebar ke seluruh pelosok kerajaan. Hampir kesemua rakyat jelata berasa cemas dan bimbang memikirkan sama ada Abu Nawas mampu atau tidak menjalankan titah itu namun sebahagian besar rakyat yakin Abu Nawas mampu melakukannya kerana selama ini Abu Nawas belum pernah gagal melaksanakan tugas-tugas aneh yang diberikan Khalifah Harun Ar-Rasyid kepadanya. Tak kurang ada juga yang ragu dengan kemampuan Abu Nawas kali ini.
Saat yang dinati-nantikan akhirnya tiba juga. pada hari yang telah ditetapkan, berbondong-bondonglah rakyat jelata ke kawasan lapang istana. Setelah sepuluh ekor lembu sumbangan baginda Khalifah disembelih lalu dimasak dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin, maka tibalah pula masanya untuk Abu Nawas menjalankan titah baginda.
Lalu Abu Nawas pun berjalanlah menuju ke depan istana diikuti dengan rakyat jelata yang lain. Sesampainya di depan istana, Abu Nawas pun bertanya kepada baginda.
“Ampun tuanku, ada sesiapakah yang masih tertinggal di dalam istana ini?”
“Tidak ada,” jawab Khalifah Harun Ar-Rasyid sudah tidak sabar mahu melihat istananya berada di puncak gunung.
“Baiklah kalau begitu,” sambut Abu Nawas lalu berjalan beberapa langkah mendekati istana. Dia brdiri mematung tubuh buat beberapa lama, seolah-olah menunggu sesuatu.
Setelah lama menunggu, akhirnya baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid sudah tidak dapat menahan sabar lagi melihat tingkah Abu Nawas yang masih juga mematungkan tubuh di tempatnya. Baginda terus mendapatkan Abu Nawas lantas bertanya,
“Wahai Abu Nawas, mengapa engkau belum juga mengangkat istana Raja Harun Ar-Rasyid?” soalnya sedikit geram.
“Patik sudah siap sejak tadi tuanku,” jawab Abu Nawas.
“Apa maksud engkau dengan sudah siap sejak tadi? kalau engkau sudah siap, mengapa tidak engkau angkat saja istana ini sekarang? apa lagi yang engkau tunggu?” tanya baginda hairan.
“Patik menunggu istana tuanku diangkat oleh seluruh rakyat yang hadir untuk diletakkan di atas kepala patik. Setelah itu bolehlah patik memindahkan istana tuanku ini ke atas gunung seperti mana yang tuanku inginkan,” mendengar penjelasan itu, Khalifah Harun Ar-Rasyid pun tersenyum. Sedarlah baginda pada alasan Abu Nawas yang masuk akal itu. Mustahil seorang manusia biasa sepertinya mampu menyamai kejayaan Nabi Sulaiman dalam memberi perintah kepada makhluk jajahannya. 

Tuesday, August 28, 2012

Pentingnya Sunnah Rasulullah SAW

Dari Anas bin Malik ra. katanya, Rasulullah SAW telah berkata kepadaku,
“Hai anakku! Jika engkau mampu tidak menyimpan dendam kepada orang lain sejak pagi sampai ke petangmu, hendaklah engkau kekalkan kelakuan itu!” kemudian beliau menyambung pula,
“Hai anakku! Itulah perjalananku (sunnahku) dan barangsiapa yang menyukai sunnahku, maka dia telah menyukaiku dan barangsiapa yang menyukaiku, dia akan berada denganku di dalam syurga!” (Riwayat Tarmidzi)

Dari Ibnu Abbas ra. bahawa Nabi SAW berkata,
“Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika kerosakan merata pada umatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid,” (Riwayat Baihaqi)

Dalam riwayat Thabarani dari Abu Hurairah ra. ada sedikit perbezaan iaitu katanya,
“baginya pahala orang yang mati syahid,”

Thabarani dan Abu Nu’aim telah mengeluarkan sebuah hadis marfuk yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. bahawa Nabi SAW telah bersabda,
“Orang yang berpegang kepada sunnahku dalam zaman kerosakan umatku maka akan mendapat pahala orang yang mati syahid,”

Hakim pula meriwayatkan dari Abu Hurairah ra. juga bahawa Nabi SAW telah berkata,
“Orang yang berpegang kpada sunnahku dalam masa perselisihan di antara umatku adalah seperti orang yang mengenggam bara api,” (Kanzal Ummal 1:47)

Dan Muslim pula meriwayatkan dari Anas ra. dari Rasulullah SAW katanya,
“Orang yang tidak suka kepada sunnahku bukanlah dia dari golonganku!”

Demikian pula yang dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dari Ibnu Umar ra. Cuma ada tambahan di permulaannya yang berbunyi,
“Barangsiapa yang berpegang kepada sunnahku, maka dia dari golonganku,”

Kemudian Daraquthni pula mengeluarkan sebuah hadis dari Siti Aisyah ra. dari Nabi SAW katanya,
“Sesiapa yang berpegang kepada sunnahku akan memasuki syurga!”

Dan dikeluarkan oleh As-Sajzi dari Anas ra. dari Nabi SAW katanya,
“Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku maka dia telah mengasihiku dan siapa yang mengasihiku akan memasuki syurga bersama-samaku!” 

Kisah Abu Nawas: Melarang rukuk dan sujud ketika solat

Suatu ketika, Khalifah Harun Ar-Rasyid hampir-hampir saja menjatuhkan hukuman mati kepada Abu Nawas yang dianggap sebagai salah seorang pngikut setia baginda gara-gara baginda mendengar khabar Abu Nawas telah banyak menyebarkan fatwa yang salah berkenaan dengan larangan rukuk dan sujud ketika solat. Keadaan itu telah mengemparkan kerajaan di bawah pimpinan baginda buat seketika.  Mengikut kepada undang-undang, kesalahan tersebut boleh membuatkan Abu Nawas dipenggal kepala kerana melakukan fitnah berkaitan dengan ajaran Islam. Lalu Khalifah Harun Ar-Rasyid memanggil Abu Nawas bagi mengesahkan tindakannya itu.
“Wahai Abu Nawas, apakah benar engkau mengatakan bahawa kita tidak perlu rukuk dan sujud ketika dalam solat?” soal baginda sebaik saja Abu Nawas berdiri di depannya.
“Benar tuanku,” jawab Abu Nawas penuh tenang.
“Benarkah juga engkau berkata kepada masyarakat yang Raja Harun Ar-Rasyid suka pada fitnah?” tanya baginda lagi.
“Benar tuanku,” jawab Abu Nawas tetap tenang.
Lalu tersentak baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid mendengar jawapannya itu.
“Jadi memang sepatutnyalah engkau dihukum mati kerana melanggar syariat Islam dan menyebarkan fitnah tentang Raja Harun Ar-Rasyid,” tegas baginda penuh murka.
“Tunggu dulu tuanku. Memang benar patik membenarkan kedua-dua pertanyaan tuanku tadi tapi rasanya khabar yang sampai ke pengetahuan tuanku tidak lengkap dan seolah-olah patik telah berkata salah. Dalam erti kata lain, patik seakan telah difitnah,” Abu Nawas cuba membela diri.
Khalifah Harun Ar-Rasyid terus bertanya,
“Wahai Abu Nawas, apa maksudmu? Kenapa engkau berkata begitu?”
Lalu bersuaralah Abu Nawas dengan penuh yakin.
“Wahai tuanku, memang benar aku melarang rakyat melakukan rukuk dan sujud ketika solat tetapi tahukah tuanku solat apa yang aku maksudkan itu? solat yang tidak memerlukan perbuatan rukuk dan sujud adalah solat jenazah dan itulah yang aku terangkan kepada semua,” jelas Abu Nawas.
Khalifah Harun Ar-Rasyid terdiam sebelum mengangguk tanda setuju dengan penjelasan itu.
“Bagaimana pula dengan fitnah yang mengatakan Raja Harun Ar-Rasyid suka pada fitnah? Bukankah itu satu fitnah yang berat yang telah engkau benarkan wahai Abu Nawas?” soal baginda semula.
“Oh, tentang itu patik terbaca erti Surah Al- Anfal ayat 28 yang berbunyi,

واعلموا أنما أموالكم وأولادكم فتنة وأن الله عنده أجر عظيم

Ertinya:
“Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah lah pahala yang besar,”

“Maksud engkau?” soal Khalifah Harun Ar-Rasyid tak sabar.
“Nah, sebagai seorang ayah kepada anak-anak yakni rakyat jelata, tuanku sepatutnya tidak membiarkan fitnah menguasai kerajaan hingga menimbulkan rasa suka pada mereka yang menebarkan fitnah. Kerana itulah patik mengatakan bahawa tuanku suka pada fitnah,” jelas Abu Nawas sekaligus mengkritik cara pimpinan baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid.
Lalu baginda tertunduk malu. Kesal kerana terburu-buru membenarkan fitnah yang dilakukan oleh para pembesar baginda yang lain kerana cemburu kepada Abu Nawas yang menjadi kesayangan baginda. 

Berhutang – Roh tergantung antara langit dan bumi…

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:

“Roh seorang mukmin yang berhutang jika hutangnya tidak dijelaskan semasa hayatnya maka tergantung-gantunglah dia di antara langit dan bumi yakni terseksalah roh itu hingga diselesaikan hutangnya itu”.

Oleh itu, walaupun banyak amal ibadat kita, banyak sedekah yang kita lakukan, jika ada hutang yang masih tidak selesai walau pun hanya satu sen pasti roh kita akan terseksa setelah kita mati.
Oleh itu, jika brhutang hendaklah ditulis dan diberitahu kepada waris kita sebelum kita menemui ajal supaya waris kita dapat menyelesaikannya.

Seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud:

“Wahai orang mukmin, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan cara berhutang (yang bertempoh) hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulisnya (kadarnya dan tempohnya) dan hendaklah ada jurutulis yang menulisnya dengan adil dan benar dan janganlah seorang penulis itu enggan menulis/mencatit sebagaimana yang telah Allah perintahkan. Oleh itu hendaklah penulis itu mengikut yang merencanakan olh pihak yang terlibat dengan penuh rasa taqwa kpada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari jumlah atau kadar dan tempoh masa berhutang itu dimulakan hingga selesai dibayarkan balik dengan sempurna,”

(dipetik dari nursyirah.wordpress.com)

Kisah Juha: Juha dan seorang penipu

Pada suatu hari Juha duduk termenung di depan pintu rumahnya. Dia merenung seutas rantai emas di tangannya. Rantai emas itu adalah satu-satunya harta peninggalan orang tuanya yang masih ada kerana yang lainnya sudah habis dijual untuk membayar segala hutang-hutangnya. Sebab sebelum ini dia banyak berhutang setelah rugi dalam perniagaannya.
Walau dia sekarang ini terlalu kesempitan harta, dia tidak bercadang untuk menjual rantai emas tersebut. Biarlah rantai tersebut disimpan selama-lamanya kerana itulah satu-satunya harta peninggalan orang tuanya yang masih ada. dalam masa yang sama dia mengambil keputusan untuk bermusafir bagi membina hidup baru.
Tanpa berlengah Juha terus bersiap sedia untuk memulakan perjalanannya kerana kebetulan waktu itu ada satu kabilah yang dipimpin oleh seorang saudagar terkenal akan berangkat pulang ke negaranya dengan barang dagangan serta hasil keuntungan yang banyak. Kabilah tersebut adalah dari negara jiran. Juha telah pergi berjumpa saudagar tersebut lalu meminta untuk bekerja dengannya. Tanpa banyak bicara saudagar tersebut menerima Juha menjadi salah seorang pekerjanya.
Maka pergilah Juha bersama-sama kabilah tersebut. Dia bekerja dengan bersungguh-sungguh dan tekun sekali. Lalu saudagar itu memilih Juha untuk turut serta dengan kabilah yang bakal dihantarnya nanti bagi berniaga di negara lain pula.
Bila Juha mendapat tahu dia terpilih untuk turut serta dengan kabilah tersebut, maka dia terfikir bahawa dia pasti akan pergi berniaga berbulan-bulan lamanya dan perjalanan pula pasti memakan masa yang agak lama. jadi ranati emas satu-satunya peninggalan orang tuanya mesti disimpan baik-baik. Dia tidak boleh membawanya kerana bimbang jika kabilahnya akan dirompak ketika dalam perjalanan nanti.
Puas berfikir akhirnya Juha mengambil kputusan untuk meninggalkan rantai emas itu kepada jiran sebelahnya kerana dia melihat jirannya itu seorang yang boleh dipercayai. Orangnya agak berumur, pemurah, baik hati dan juga seorang peniaga yang terkenal di bandar tersebut.
Keesokan harinya sebelum bertolak, pagi-pagi lagi Juha ke rumah orang tua tersebut. Dia mengetuk pintu rumah dan tak lama keluarlah jirannya itu dengan senyum lebar. Tanpa banyak bicara Juha pun berkata,
“Wahai Tuan, aku adalah jiran kamu dan aku adalah orang asing di sini. baru beberapa bulan saja aku tinggal di sini. jadi aku mahu bermusafir dengan kabilah saudagar untuk berniaga ke negara jiran. Oleh kerana bimbang jadi aku minta agar kamu sudi menerima satu amanah untuk kamu simpan buat seketika. Bila pulang nanti aku akan ambil semula,” Juha pun mengeluarkan rantai emas tersebut dari poket jubahnya.
Bila orang tua tadi terlihat rantai emas tersebut, matanya tidak berkelip-kelip. Tetapi untuk menyembunyikan perasaan tamaknya dia pun berkata demi menenangkan hati Juha,
“Wahai saudaraku! Sesungguhnya amanah itu adalah sesuatu yang besar lagi berat. Aku boleh menerimanya tetapi dengan syarat kalaulah berlaku apa-apa janganlah kamu menyalahkan aku. Sebab aku ni pun dah berumur dan uzur pulak tu….katalah di takdirkan Allah aku mati sedangkan kamu belum pulang-pulang lagi lebih-lebih pulak aku tidak ada waris untuk aku amanahkan rantai ini!”
Balas Juha, “Wahai Tuan ! tidak mengapalah aku yakin bahawa kamu adalah seorang yang amanah. Seandainya berlaku yang sedemikian aku memaafkannya terlebih awal. Walau bagaimanapun kamu cubalah cari sesiapa yang boleh menyimpan amanah ini sementara aku pulang semula nanti. Dan seandainya aku yang mati dulu sebelum kamu, maka aku berharap kamu dapat jualkan rantai emas ini dan duitnya kamu sedekahkah kepada fakir miskin juga sesiapa yang memerlukannya. Rasanya kita tidak memerlukan sesiapa pun untuk menjadi saksi kerana Allah swt sudah cukup untuk menjadi saksi,”
Orang tua tadi pun setuju dengan apa yang di perkatakan oleh Juha. Di terimanya amanah tersebut. Lalu tanpa berlengah Juha pun terus meminta izin untuk pergi kerana kabilahnya sudah hampir mahu berangkat. Tidak lama kemudian berangkatlah Juha bersama-sama kabilah tersebut dengan hati penuh tenang dan dengan penuh keyakinan terhadap orang tua tadi.
Permusafirannya memakan masa agak lama… berbulan-bulan lamanya. Selang beberapa bulan barulah Juha pulang berserta kabilah perniagaannya dengan membawa hasil keuntungan yang banyak. Sebelum pulang Juha sempat membeli satu hadiah untuk dia hadiahkan kepada orang tua yang menyimpan amanahnya tanda terima kasihnya. Sudah pastilah ianya juga adalah suatu hadiah yang juga berharga.
Bila sampai saja, tanpa berlengah terus Juha meminta izin untuk pergi kerumah orang tua tersebut. Oleh kerana terlalu gembira saudagar pun terus mengizinkannya. Juha terus berlari kerumah orang tua tersebut dengan hati penuh gembira. Tidak sabar dia untuk melihat semula rantai emas peninggalan orang tuanya.
Sampai saja kerumah orang tua tersebut terus dia mengetuk pintu sambil memberi salam. “Assalamualaikum!”
Kemudian kedengaran suara menjawab dari dalam sambil lewa sahaja. Seakan mahu tak mahu seakan-akan tidak menghiraukan siapa yang memberi salam lalu menjawab,
“Waalaikumussalam!”
Setelah agak lama menunggu barulah pintu di buka. Tuan rumah membuka pintu untuk melihat siapa yang memberi salam tadi.
Juha terus melemparkan senyuman manis kepada orang tua tersebut. Akan tetapi orang tua tersebut sama sekali tidak membalas senyuman Juha. Seakan-akan dia tidak pernah mengenali Juha. Walau bagaimana pun Juha terus menghulurkan bungkusan hadiah di tangannya kepada orang tua tersebut seraya berkata,
“Aku harap kamu sudi menerima hadiahku ini sebagai tanda terima kasihku terhadap kamu. Kerana kamu sudi menerima amanahku. Terima kasihlah kerana kamu sungguh baik hati,”
Akan tetapi orang tua tadi memberi isyarat seakan-akan dia tidak faham apa maksud kata-kata Juha. Dia memberi isyarat seakan-akan dia sama sekali tidak mengenali Juha dan lantas berkata,
“Eh! Apa yang kamu katakan ini? Apa dia amanah yang kamu katakan itu?  Aku tak pernah pun mengenali kamu,”
Dengan serba salah Juha pun berkata,
“Eh, bukankah aku ada meminta kamu menyimpan rantai emas sebagai satu amanah pada kamu dulu?”
Lalu dengan suara yang tinggi tiba-tiba orang tua tadi berkata sambil menudingkan jari kepada Juha, “Pergilah kamu dari sini! Aku rasa kamu ni gila! Aku tak pernah berkenalan dengan kamu langsung dan aku tidak ada menerima apa-apa amanah dari kamu! Aku harap kamu boleh pergi segera sebelum aku memanggil pihak keselamatan untuk menangkap kamu!”
Seakan-akan mahu tercabut kepala Juha dari badan bila mendengar kata-kata si orang tua tadi. Dia cuba menenangkan orang tua tersebut dan cuba menceritakan cerita sebenar, tetapi orang tua tadi menolak mentah-mentah. Semuanya di nafikan dengan memaki serta menjerit-jerit pada Juha, “Pergi kamu dari sini! Aku tidak mahu tengok muka kamu!”
Tanpa banyak bicara terus Juha meninggalkan rumah orang tua tersebut dengan hati penuh tanda tanya dan penuh kecewa. Dia tidak tahu apa yang hendak di lakukan lagi. Lama dia duduk termenung di depan pintu rumahnya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk bertemu dengan Tuan Hakim lalu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Di ceritakan tentang orang tua yang telah mengkhianatinya. Tetapi sebelum pergi kerumah Tuan Hakim hati kecilnya berkata,
“Apa pula yang akan dapat di lakukan oleh Tuan Hakim selagimana si orang tua itu tetap juga menafikan bahawa dia tidak ada menerimana apa-apa amanah dariku. Lebih-lebih lagi aku tidak mempunyai bukti mahupun saksi. Mana mesti aku dapatkan bukti dan saksi sebab aku tidak ada menulis apa-apa tentang amanah tersebut?”
Akan tetapi Juha sama sekali tidak berputus asa dan yang penting dia tidak mahu kehilangan satu-satunya harta peninggalan orang tuanya. Terus dia berfikir dan berfikir bagaimana untuk mendapatkan semula hartanya itu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk pergi bertemu terus dengan Tuan Gabenor bandar tersebut untuk mengadu hal. Tanpa berlengah terus dia pergi kerumah Tuan Gabenor. Sampai di depan pintu istana dia meminta izin untuk masuk tetapi pengawal pintu tidak mengizinkannya selagi mana dia tidak menceritakan apa sebab dia mahu bertemu Tuan Gabenor.
Juha pun menceritakan tujuannya dengan nada penuh sedih. Lalu pengawal pun berkata,
“Baiklah! Kamu tunggu di sini sebentar. Aku akan berjumpa Tuan Gabenor untuk meminta izin buat kamu masuk menemuinya !”
Juha pun menunggu di pintu istana dengan penuh pengharapan.
Tidak lama kemudian pengawal pun datang seraya berkata : “Hah! Masuklah Juha ! Tuan Gabenor telah mengizinkan kamu masuk!”
Dengan penuh gembira dan tanpa berlengah terus Juha masuk ke dalam istana untuk bertemu Tuan Gabenor. Sampai di depan Tuan Gabenor terus Juha ceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Oleh kerana tidak tertahan kesedihannya Juha pun menangis semahu-mahunya. Simpati Tuan Gabenor di buatnya lantas beliau bertanya,
“Kenapa kamu tidak pergi terlebih dahulu kepada Tuan Hakim?”
Jawab Juha, “Kerana aku tidak mempunyai apa-apa bukti ataupun saksi. Dan kerana aku katakan padanya bahawa saksi kita ialah Allah swt!”
Mendengar yang demikian beliau pun berkata,
“Kalau begitu, aku pun tidak boleh untuk berbuat apa-apa. Kamu tidak mempunyai apa-apa bukti. Kalaulah di bawa orang tua itu ke sini sudah pasti dia akan menafikannya wahai Juha!”
Mereka semua menjadi buntu, suasana senyap seketika.
Tiba-tiba Juha berkata ,“Wahai Tuan Gabenor! Aku ada satu jalan. Kalau berjaya jalan ini, maka akan jelaslah bahawa orang tua tersebut adalah seorang penipu dan suka mengkhianati amanah orang. Akan tetapi sekiranya perancangan aku ini tidak berjaya, maka janganlah kamu lakukan apa-apa kekerasan terhadap orang tua tersebut!”
Tuan Gabenor pun bersetuju untuk mendengarnya. Juha pun mulalah memberitahu tentang perancangannya satu persatu. Tuan Gabenor mendengarnya dengan teliti sekali. Beliau mendengarnya dengan begitu minat sekali sambil terdetik di dalam kepalanya yang Juha ini seorang yang cerdik juga. Akhirnya beliau pun bersetuju untuk melakukan seperti apa yang telah di sarankan oleh Juha demi memberi pengajaran kepada orang tua yang suka menipu tadi.
Pada keesokan paginya Juha terus membawa sebuah kerusi lalu di letakkan betul-betul di depan kedai kepunyaan orang tua tersebut lalu dia pun duduk di atas kerusi tersebut. Dia duduk dengan penuh ego dan sombong sekali. Lantas dia melemparkan pandangannya ke arah orang tua yang sedang duduk di dalam kedainya dengan pandangan sinis dan tajam seolah-olah sedang bermusuhan.
Melihatkan yang demikian orang tua tadi pun merasa pelik. Lama kelamaan dia mula naik marah. Oleh kerana tidak sabar dia terus bangun menuju ke arah Juha yang sedang duduk di depan kedainya. Juha tetap tenang dan tidak bergerak sama sekali, seakan-akan tidak mempedulikannya.
Bertambah marahlah orang tua tadi. Dengan kemarahan yang membuak dia terus menyentap leher baju Juha seraya berkata,
“Hei, kenapa kamu duduk di sini tanpa keizinan dariku? Ini adalah kawasan kedaiku. Aku beri amaran sekiranya kamu tidak mahu pergi aku akan memanggil pihak keselamatan untuk menangkap kamu!”
Rupa-rupanya secara spontan beberapa orang pengawal istana pun datang. Mereka terus meleraikan pergaduhan tersebut. Orang tua tadi tidak berpuas hati lalu berkata,
“Orang ini duduk di depan kedaiku tanpa keizinanku, sudah begitu dia melihat ke arahku dengan penuh ego dan sombong sekali sedangkan aku tidak pernah mengenalinya!”
Serta-merta pengawal tersebut berkata,
“Tuan! Kawasan ini adalah jalan umum. Orang ramai berhak untuk berbuat apa saja. Sama ada mahu duduk atau berdiri. Jadi Tuan yang mulia ini tak salah. Dia berhak duduk di sini walaupun kamu kata kawasan ini berada dalam hak kamu. Dia berhak walaupun kalau dia mahu duduk di atas kepala kamu sekalipun. Jadi adakah kamu faham wahai orang tua yang tak sedar diri?”
Bentak si pengawal sambil mempersilakan Juha duduk semula ke atas kerusinya,
“Silakan duduk Tuan! Silakan!” lantas si pengawal tadi pun mengambil segelas air lalu di berikan kepada Juha sambil berkata,
“Sila minum Tuan! Tuan kalau ada apa-apa kami semua sedia berkhidmat untuk Tuan!”
Semua itu terus di saksikan oleh orang tua tadi dengan penuh kehairanan tetapi kemarahannya terus membuak. Dalam hati dia berkata,
“Eh! Siapakah sebenarnya lelaki ini hinggakan pengawal istana pun begitu hormat sekali padanya?”
Tidak lama kemudian kedengaran suara melaung,
“Orang ramai! Beri laluan kerana kenderaan Tuan Gabenor mahu lalu!”
Tahulah orang ramai bahawa Tuan Gabenor telah berbesar hati untuk meninjau keadaan di pasar. Semua yang hadir berdiri memberi penghormatan. Kebetulan tempat Juha duduk itu adalah kawasan jalan umum yang bakal di lalui oleh kenderaan Tuan Gabenor. Orang tua tadi terus bergegas berdiri di depan kedainya memberi hormat. Tetapi yang pelik lagi ialah Juha sama sekali tidak bangun bahkan dia terus duduk tenang seakan-akan tidak menghiraukan bahawa kenderaan Tuan Gabenor semakin menghampirinya.
Tidak lama kemudian sampailah kenderaan Tuan Gabenor di hadapan Juha. Tiba-tiba berhenti kenderaan tersebut. Lantas serta merta Tuan Gabenor turun dari kenderaan seraya berkata,
“Wahai saudara ! Mengapalah kamu tidak beritahu aku bahawa kamu datang kesini? Sudahlah begitu, kamu tidak mahu berziarah ke istana pulak tu. Sesungguhnya kami semua terlalu merindui kamu kerana sudah lama tak jumpa!”
Juha pula terus bangun lantas memeluk Tuan Gabenor dengan begitu mesra sekali.
Ini semakin menjadikan orang tua tadi kehairanan. Tahulah dia bahawa Juha bukan sebarang orang. Dia dari kerabat Tuan Gabenor juga. Mulalah dia merasa serba salah.
Sebelum Tuan Gabenor beredar Juha berkata,
“Baiklah! Nanti aku akan pergi ke istana sebab aku ada beberapa urusan yang mesti di selesai hari ini. Kalau tak selesai nanti aku beritahu kamu lah kerana sebenarnya aku tidak mahu menyusah-nyusahkan kamu dan aku yakin bahawa sudah pasti kamu akan dapat membantu aku. Nanti sajalah kita bertemu di istana!”
Melihat yang demikian orang tua tadi hampir-hampir mahu pengsan. Tahulah dia bahawa selama ini dia sengaja menempah bala. Dia telah bermusuhan dengan kerabat istana. Dia tahu sendiri apa balasan yang sedang menunggunya.
Tanpa banyak bicara terus dia berlari masuk ke dalam kedai. Di ambilnya rantai emas dari laci meja lalu berlari semula keluar kedai menemui Juha sambil katanya dalam ketakutan,
“Wahai Tuan! Ambil lah semua rantai emas yang kamu amanahkan kepadaku dulu. Aku minta maaf banyak-banyak! Aku berjanji tidak akan melakukannya lagi!” sambil berkata-kata dia mencium-cium tangan Juha.
Melihatkan yang demikian pengawal istana terus menangkap orang tua tersebut. Jelaslah bahawa selama ini memang orang tua tersebut suka berbuat khianat kepada sesiapa yang ada memberi amanah kepadanya. Orang tua tersebut terus di bawah ke istana untuk di bicarakan. Setelah mengaku bersalah Tuan gabenor pun mengambil keputusan supaya dia di penjara buat seketika untuk memberi pengajaran kepadanya. Sambil beliau berkata,
“Memang benarlah bahawa kamu ini adalah salah seorang yang telah di sabdakan oleh baginda Rasulullah saw dalam hadisnya yang berbunyi ,“Tanda-tanda orang munafiq itu ada tiga: “Bila berkata-kata dia dusta, bila berjanji dia ingkari dan bila di beri amanah dia khianat!” maka balasan untuk orang seperti kamu ini ialah penjara di dunia dan neraka di akhirat!”
Mendengar yang demikian orang tua tadi menjerit-jerit meminta maaf dari Juha dan juga dari Tuan Gabenor moga di ampunkan kesalahannya dan dia benar-benar bertaubat seraya berkata,
“Maafkanlah aku! Maafkanlah aku! Aku bertaubat dan aku berjanji tidak akan berlaku khianat lagi!”

Kisah Juha: Juha dengan perompak


Suatu ketika, Juha adalah seorang saudagar yang terkenal lagi kaya raya dan dia juga dikenali sebagai saudagar yang pemurah, baik hati, amanah serta suka membuat kebajikan. Dia hidup berdua saja iaitu dengan isterinya di dalam sebuah rumah yang sungguh besar. Mereka ditakdirkan Allah tidak mempunyai cahaya mata walaupun seorang.
Menjadi kebiasaan Juha untuk menyimpan semua hartanya sama ada yang diperolehi dari hasil perniagaan atau sumber lain di dalam sbuah peti besi yang besar di salah sebuah bilik khas di dalam rumahnya. Malah kesemua harta miliknya turut disimpan di dalam peti besi tersebut.
Dalam masa sama, Juha tidak pernah mengupah pengawal walau seorang pun untuk menjaga rumahnya sedangkan rumahnya itu sentiasa menjadi intipan perompak-perompak yang berkeliaran di dalam bandar tersebut. Juha hanya bertawakal kepada Allah SWT atas segalanya.
Suatu malam, Juha tiba-tiba terjaga dari tidur kerana terdengar suara dan tapak kaki orang berjalan-jalan di atas bumbung rumahnya. Dia yakin ada orang ingin menceroboh masuk ke dalam rumahnya dan pastinya orang itu adalah perompak.
Serta-merta dia mengeletar ketakutan bila dia terdengar perbualan para perompak di atas bumbung rumahnya,
“Malam ini kita mesti rompak seluruh harta yang dimiliki Juha, kita jangan tinggal walau satu pun. kalau dia melawan, maka kita bunuh saja dia dan isterinya,” bertambah menggeletarlah Juha kerana terlalu takut tapi dia cuba mengawal diri dan perasaannya.
Lalu dia duduk di atas katil, termenung sambil mulutnya berkumat-kamit tidak habis-habis mengucapkan kalimah syahadah. Dalam kepala dia berfikir-fikir cara untuk menyelesaikan masalah itu disamping menyelamatkan dirinya, isterinya dan juga hartanya.
Tanpa berlengah dia terus mengejutkan isterinya dengan perlahan dan tenang lalu memberitahu isterinya tentang apa yang sedang berlaku.
Setelah agak lama, akhirnya Juha mendapat satu jalan. Maka dia pun meminta isterinya supaya berpura-pura berselisih faham dengannya serta marah-marah padanya dengan suara yang tinggi agar para perompak yang berada di atas bumbung rumah dapat mendengar perbualan mereka.
Sambil berbisik-bisik perlahan Juha memberitahu isterinya supaya bertanya pada Juha tentang dari mana Juha mendapat harta yang dimilikinya sekarang ini dengan suara yang kuat.
Lantas isterinya pun memgikut arahannya lalu bertanya dengan suara yang kuat,
“Wahai Juha! Aku ini isteri kamu. Jadi mengapa pula kamu tidak percaya denganku? Mengapa kamu mesti rahsiakan dariku perkara sebenar tentang bagaimana caranya kamu boleh peroleh harta kekayaan yang kami miliki sekarang ini. kita sudah lama berkahwin dan aku masih ingat lagi bahawa semasa kita kahwin dulu kamu tidaklah sekaya ini. bahkan kamu hidup dalam keadaan miskin dan papa kedana. Aku juga rasa orang tua kamu tidak ada mewariskan apa-apa harta kekayaan buat kamu. Jadi tolonglah ceritakan kepadaku apakah rahsianya? Janganlah kamu menyembunyikannya dariku wahai Juha!”
Lalu Juha pun brkata dengan nada perlahan bercampur sedih,
“Setelah begini lama kamu hidup denganku barulah kamu mahu bertanya dari mana dan bagaimana aku memperolehi seluruh harta kekayaan yang aku miliki sekarang ini. Wahai isteriku! Bukankah kamu tahu bahawa aku ini adalah seorang saudagar yang mahsyur. Dulunya aku terpaksa bekerja keras, bertungkus lumus menempuh berbagai kesusahan dan rintangan maka wajarlah aku memperolehi segala apa yang aku miliki sekarang ini. Dan semua hartaku ini datangnya dari hasil usahaku yang halal hingga aku dapat membuat pelbagai kebajikan. Aku rasa semua orang tahu akan cerita ini jadi bagaimana kamu isteriku tidak tahu tentang ini, teman sehidup sematiku. Sepatutnya kamulah yang lebih tahu dan paling faham tentangku. Semoga Allah mengampunkan kamu wahai isteriku!”
Isteri Juha tidak puas hati lalu terus berkata dengan suara yang makin kuat,
“Wahai Juha suamiku! Janganlah kamu berpura-pura! Kamu banyak bersedekah dan berbuat kebajikan semua itu supaya orang mengatakan kamu adalah seorang yang baik hati. Aku sama sekali tidak percaya dengan apa yang kamu sebutkan tadi. semua itu adalah tipu dan bohong belaka. Aku yakin dan percaya di sebalik semua ini pasti tersembunyi satu rahsia yang besar dan penting sekali. Mustahil kamu dapat semua harta kekayaan ini dalam masa yang singkat!”
Dalam masa yang sama segala pertelingkahan mereka didengar oleh perompak-perompak yang berada di atas bumbung. Mereka mendengar dengan penuh teliti dan tidak sabar untuk mengetahui rahsia sebenar Juha. Perkara ini menimbulkan tanda tanya dalam fikiran mereka dan mulalah mereka menyangka yang bukan-bukan tentang bagaimana Juha memperolehi segala harta kekayaannya. Dan kebetulan mereka pun tidak pernah mendengar bagaimana kisah Juha menjadi kaya dan kisah perniagaan Juha. Yang mereka tahu Juha tiba-tiba mempunyai rumah besar dan harta yang banyak. Itu saja. Lalu sambil memasang telinga, para perompak cuba-cuba juga untuk mengintai-gintai ke bawah untuk melihat apa yang sedang dilakukan oleh Juha dan isterinya ketika itu. Adapun kedua suami isteri itu hanya duduk bertentangan di atas katil sambil berpandangan sesama sendiri.
Selang beberapa ketika, kedengaran suara isteri Juha memaksa Juha menceritakan rahsia sebenarnya. Dia berharap Juha tidak lagi menyimpan rahsia tersebut darinya kerana sesungguhnya dia telah berbakti dengan penuh ikhlas sebagai isteri. Jadi janganlah pula Juha tidak mempercayainya. Bersungguh-sungguh isteri Juha memujuknya hingga akhirnya kerana tidak tahan, isteri Juha terus menangis lalu berkata,
“Wahai Juha! Aku mengingatkan kamu buat kali terakhir, jika kamu tetap juga tidak mahu menceriatkan rahsia tersbut, maka sekarang ini juga aku akan keluar rumah meninggalkan kamu seorang diri dan aku tidak akan pulang ke sini lagi sampai bila-bila!”
Juha terperanjat melihat gelagat isterinya yang kelihatan bersungguh-sungguh meluah kata-katanya sekaligus menjadikan Juha semakin bersemangat untuk meneruskan lakonan mereka lagi. Maka dia pun menenangkan isterinya. Sambil memujuk dia berjanji akan menceritakan rahsia tersebut tetapi dengan syarat isterinya hendaklah menyimpan rahsia tersebut dengan penuh amanah, tidak diceritakan pada sesiapapun dan jangan sampai rahsianya bocor. Serta-merta isterinya berhenti menangis seraya berjanji sebagaimana yang diminta Juha.
Kemudian Juha pun mulalah bercerita,
“Sebenarnya aku dulu adalah seorang perompak yang terkenal, sangat pintar lagi sungguh hebat. Aku mempunyai pengikut yang ramai. Semuanya berani, ganas lagi jahat. Aku boleh menjadi ketua kerana aku mempunyai satu ilmu yang tidak ada pada perompak lain. Aku telah mempelajari satu ilmu sihir dari sorang ahli sihir hindu yang mana ilmu itu sangat berbahaya tetapi sungguh berkesan!”
“Kelebihan yang aku dapat dari ilmu ini adalah aku mudah untuk merompak rumah-rumah orang kaya. Caranya aku akan masuk ke rumah orang kaya tersebut tanpa diketahuinya dan aku akan ambil seluruh hartanya dan setelah itu aku akan keluar semula dengan selamat. Lamalah juga aku melakukannya hingga aku benar-benar kaya sekarang ini. setelah agak lama barulah aku berpindah ke bandar ini. aku bawa seluruh harta kepunyaanku dan orang bandar ini tidak tahu langsung tentang asal usulku apalagi pekerjaan yang aku lakukan sebelum ini. Tetapi semua itu bukan boleh dilakukan begitu saja. Ada bacaan tertentunya!”
Mendengar cerita Juha itu menjadikan para perompak yang memasang telinga semakin tidak sabar-sabar untuk mengetahui apakah bacaan tersebut. Bertambahlah gembira mereka bila mendengar isteri Juha memujuk Juha agar memberitahunya tentang bacaan tersebut.
Juha bersetuju tetapi dengan syarat jangan dibocorkan rahsianya itu kerana dia tidak mahu orang lain menggunakannya untuk melakukan kejahatan lagi kerana dia telah bertaubat. Isterinya bersetuju lalu Juha menyambung ceritanya,
“Cara aku merompak dulu, aku akan panjat ke atas bumbung rumah orang tersbut dan tempat yang aku mula-mula aku cari ialah tempat ruang di mana cahaya bulan boleh masuk ke dalam rumah tersebut. Sudah mestilah cahaya bulan kena terang jadi aku akan pastikan bahawa cahaya bulan dapat masuk melalui ruang tersebut hingga sampai ke dalam rumah. Setelah itu akan aku akan berdiri betul-betul di atas ruang tersebut sambil mengenakan badanku pada cahaya bulan lantas aku menyebut, “Syaulam!... syaulam!” sebanyak 7 kali.
Maka dengan sendirinya cahaya bulan itu akan membawa aku turun masuk ke dalam rumah melalui ruang tersebut, seakan-akan aku turun dari tangga. Jadi bila dah sampai ke dalam rumah, apa lagi. aku ambillah segala harta benda dan kemudian aku berdiri semula pada cahaya bulan tadi lantas aku menyebutkan bacaan yang sama sebanyak 7 kali.
Serta-merta cahaya bulan itu akan membawa aku dan semua harta yang aku curi naik semula ke atas bumbung rumah. semua itu aku lakukan tanpa disedari langsung oleh tuan rumah. sedar-sedar keesokan paginya seluruh harta bendanya telah habis aku curi. Begitu hebat sekali ilmu yang aku amalkan!”
Kemudian tidak semena-mena Juha pun melaungkan suara pada isterinya,
“Hah! Sekarang baru kamu puas hati! Kamu dah tenang dah! Kamu dah tahu siapa aku sebenarnya, yang penting kamu mesti simpan rahsia ni betul-betul jangan sampai bocor! Baiklah sekarang kita tidurlah sebab besok banyak kerja yang hendak aku selesaikan! Tidurlah!”
Mereka berdua pun kembalilah berbaring di tempat tidur tetapi sebenarnya mereka berpura-pura tidur. Juha yakin bahawa sedikit sebanyak cerita yang direka-rekanya itu tadi dapat menipu daya para perompak yang masih berada di bumbung rumahnya dan dia yakin pasti mereka akan melalukan sesuatu hasil dari cerita rekaannya itu tadi.
Bila para perompak yakin Juha dan isterinya telah tidur, maka ketua perompak mengambil keputusan untuk melakukan perkara sepertimana yang diceritakan Juha. Dia terus mencari ruang di mana cahaya bulan boleh masuk ke dalam rumah. dan kebetulan pula malam itu bulan mengambang jadi cahaya bulan bulan menjadi agak terang. Setelah puas ketua perompak menjenguk ke dalam ruang tersebut, tahulah dia bahawa ruang tersebut boleh masuk terus ke dalam bilik di mana Juha menyimpan seluruh hartanya. Dia pun terus berdiri bertepatan dengan ruang tersebut. Dikenakan badannya pada cahaya bulan lalu dengan suara yang kuat dia pun menyebut,
“Syaulam!... Syaulam!” sebanyak 7 kali.
Tetapi dia merasa hairan kerana tidak berlaku sepertimana menurut cerita Juha tadi. Dia mula tidak puas hati. Berulang-ulang kali dia menyebut bacaan tersebut tetapi badannya tidak juga mahu bergerak. Akhirnya oleh kerana hilang sabar dia pun terus melompat masuk ke dalam ruang tersebut dngan harapan akan berlaku sepertimana yang dia sangka.
Akan tetapi nasibnya memang tidak baik. Memang benar cahaya bulan tidak berperanan sama sekali. Tanpa diduga dia terus terjatuh ke dalam rumah dari atas bumbung rumah dan bunyinya berdentum. Oleh kerana terlalu sakit dia pun menjerit,
“Aduh!...aduh!”
Juha dan isterinya yang memang sudah menyangka akan berlaku sedemikian, terus bingkas bangun. Dicapainya sebatang tongkat lalu meluru ke arah bilik khas tempat Juha menyimpan peti besi. Tanpa kasihan Juha memukul ketua perompak dengan sekuat hatinya hingga jeritan ketua perompak semakin tinggi kerana bertambah-tambah sakit.
Keadaan ini menyedarkan para perompak lain yang sedang berada di atas bumbung. Tahulah mereka bahawa ketua mereka telah terpedaya dengan cerita Juha dan telah pun ditangkap oleh Juha. Tanpa berlengah mereka pun terus melompat dari atas bumbung dan lari menyelamatkan diri sebelum ditangkap oleh orang ramai.
Dalam masa yang sama Juha dan isterinya sama-sama menjerit meminta tolong dari pnduduk bandar. Apalagi orang ramai pun terjaga lalu beramai-ramai berlari menuju ke rumah Juha. Juha pun meminta isterinya mengambil tali lalu mengikat ketua perompak. Diheretnya keluar dan bersama mereka yang lain, dia membawanya ke rumah tuan hakim untuk dibicarakan. Sambil berjalan orang ramai tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepada Juha kerana berjaya menangkap perompak yang selama ini bermaharajalela di bandar tersebut.
Tuan hakim terus membicarakan ketua prompak dan akhirnya ketua perompak mengaku bersalah seraya memberitahu siapa pengikut-pengikutnya, di mana mereka bersembunyi dan juga tempat mereka menyembunyikan harta-harta penduduk yang telah mereka curi. Lantas tuan hakim mengeluarkan arahan supaya semua barang-barang curi tersebut dipulangkan semula pada pemiliknya manakala semua perompak ditangkap dan dipenjarakan.
Riuh rendah suara orang ramai tidak sudah-sudah mengucapkan terima kasih pada Juha dan tuan hakim sambil beramai-ramai memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.
Dalam riuh rendah itu, tiba-tiba isteri Juha datang menghampiri Juha lalu berkata,
“Nampaknya semua perompak sudah tertangkap. Ini menunjukkan kamu ada peluang untuk mengamalkan semula ilmu kamu tu. kalau kamu merompak pun orang tak akan tahu siapa yang melakukannya. Bukankah ilmu kamu tu hebat dan berkesan!”
Juha terperanjat sebentar bila mendengar kata-kata isterinya. Rupa-rupanya isteri Juha percaya dengan cerita yang direka-rekanya malam tadi. oleh kerana terlalu geli hati Juha pun terus ketawa berdekah-dekah sambil di dalam hatinya berkata,
“Tidak sangka isteriku boleh terfikir seperti yang demikian!” 

Kisah Juha: Mana dia surat itu?

Pada suatu hari, orang yang paling kaya di dalam kampung Juha telah membuat jamuan makan yang sangat besar, dihidangi dengan makanan yang sedap-sedap dan lazat. Akan tetapi dia hanya menjemput orang-orang yang berpangkat besar dan kaya-kaya sahaja sama ada dari kampung yang sama atau dari kampung yang bersebelahan.
Walau bagaimanapun, Juha berazam untuk hadir ke majlis jamuan itu biar dengan apa cara sekalipun. Tuan rumah yakni orang kaya tersebut telah mengarahkan khadamnya yang menjaga pintu memastikan setiap para jemputan yang hadir mestilah menunjukkan kad jemputan. Siapa yang tidak membawa kad jemputan yang telah diedarkan tidak akan diizinkan masuk.
Maka Juha pun mendapat satu jalan. Dia mengambil sehelai kertas putih dan dilipat kemas seakan-akan lipatan surat. Juha pun pergi ke rumah orang kaya tadi.
Sampi di pintu rumah, seberapa cepat yang boleh Juha berjalan dan berkata kepada khadam yang menjaga pintu,
“Buka… buka laluan! Aku membawa sekeping surat yang penting untuk tuan rumah!”
Juha pun terus masuk ke dalam rumah dan mendapati dihadapannya terhidang juadah yang amat sedap lagi lazat. Tanpa berlengah Juha terus menerkam dan makan semampu yang boleh dan kemudian sambil makan, Juha menyerahkan kertas yang dikatakannya surat tadi kepada tuan rumah. Tuan rumah pun mengambilnya dan setelah melihat dia terus berkata pada Juha dengan nada pelik,
“Mana dia surat itu? Ini kertas kosong, langsung tak ada apa-apa tulisan!”
Juha menjawab dengan dengan mulutnya yang penuh dengan makanan,
“Oh… minta maaflah wahai tuan. Sebenarnya aku datang ke sini tadi dalam keadaan yang tergesa-gesa sehingga aku tidak sempat menulis surat ini terlebih dulu. Jadi minta maaflah!” 

Kisah Juha: Juha membalas dendam

Suatu hari Juha telah bersetuju dengan beberapa orang sahabatnya untuk mengadakan satu pertandingan. Jika dia dapat mengalahkan mereka, maka mereka kena menjamu Juha dengan hidangan makanan yang seda-sedap dan bermacam-macam jenis. Manakala jika Juha kalah maka dialah yang kena menjamu mereka hidangan.
Dalam pertandingan itu, Juha dikehendaki duduk di satu kawasan lapang di waktu malam musim sejuk seorang diri. Sahabat-sahabatnya tidak akan mengawasi dia dan itu bermakna Juha mesti amanah dan tidak boleh menipu. Dan syarat utama pertandingan itu, mestilah tidak ada tanda-tanda Juha menyalakan api untuk memanaskan badannya dari kesejukan. Juha pun bersetuju kerana yakin dia akan mampu menyahut cabaran tersebut dan berjanji akan benar-benar menepati syarat-syarat sebagaimana yang telah ditentukan. Maka malam itu Juha pun berbuat seperti mana yang telah diminta oleh sahabat-sahabatnya.
Keesokkan paginya, mereka pun beramai-ramai datang menemui Juha dan meminta Juha menceritakan apa yang telah berlaku pada malam tadi dengan amanah dan jujur. Juha pun menceritakan kepada mereka,
“Sesungguhnya malam tadi aku tidak dengar apa-apa melainkan desiran dedaunan pokok yang ditiup angin. Selain itu aku juga mendengar tiupan angin yang agak kencang hingga aku merasakan kedinginan yang amat sangat dan aku juga terlihat dari kejauhan iaitu lebih kurang sebatu di depanku kelihatan api yang aku rasakan itu mungkin longgokan api,”
Tiba-tiba salah seorang sahabat Juha bangun dan berkata,
“Bukankah kita dah berjanji jangan langsung kamu menyalakan api atau pun ada apa-apa unsur yang boleh mendatangkan kepanasan kepadamu? Bermakna api itu dapat memanaskan badan kamu dan dan kamu telah menyalahi syarat perjanjian kita!”
Lalu seorang lagi sahabat Juha bangun dan juga berkata perkara yang sama sekaligus menguatkan lagi kata-kata kawannya itu dan akhirnya semua mereka memberi keputusan bahawa Juhalah yang kena menyediakan hidangan kepada mereka. Juha pun bersetujulah tanpa banyak bercakap.
Maka tiba hari yang telah ditetapkan, datanglah beramai-ramai sahabar Juha ke rumahnya untuk menjamu selera. Juha pun segera mempersilakan mereka masuk.
Setelah agak lama mereka menunggu, perut mereka pula mula berkeroncong dan apabila tidak tahan lagi, mereka terus bertanya pada Juha,
“Wahai Juha, mana dia hidangan kamu? Kami dah lama menunggu ni,”
Oleh kerana mereka bertanya, Juha pun mengajak mereka ke kebun yang berada di belakang rumahnya. Sesampai di situ semua mereka terkejut bila melihat sebuah periuk yang besar sedang tergantung di dahan salah sebuah pokok yang ada di kebun Juha. Mereka terus bertanya,
“Wahai Juha, apa ni?”
Juha pun menjawab sambil ingin mengenakan sahabat-sahabatnya,
“Takkanlah kamu semua sudah lupa yang dulu kamu katakan pada aku bahawa aku akan dapat memanaskan badanku yang kesejukan di musim dingin dengan longgokan api yang jauhnya sebatu. Jadi sekarang ini di depan mata kamu semua, kamu menyaksikan sebuah periuk yang berisi makanan berada sehasta sahaja dari kepanasan api pelita yang ada di bawahnya. Takkanlah makanan ini tidak dapat dimasak dalam jarak yang lebih dekat bukan? Jadi tunggulah sampai ia masak dulu!”

Kisah Juha: Juha memegang janji

Pada suatu hari Juha bertelagah dengan isterinya tentang giliran untuk mengikat dan memberi makan kepada keldai kepunyaan mereka di kandang. Akhirnya suami isteri itu memutuskan siapa di antara mereka yang pertama kali bersuara selepas ini akan pergi ke kandang untuk mengikat dan memberi makan keldai.
Maka Juha dan isterinya terus duduk di dalam rumah dan masing-masing mendiamkan diri tidak mahu bercakap. Setelah lebih kurang sejam lamanya, isteri Juha pun menjadi bosan lalu dia terus keluar dari rumah dan pergi ke salah sebuah rumah jiran mereka. Tinggallah Juha sendirian.
Tidak lama kemudian Juha terdengar suara seakan-akan ada perompak masuk ke dalam rumahnya. Maka Juha pun nak melaungkan suara untuk meminta pertolongan tetapi tidak jadi berbuat demikian bila teringatkan perjanjian yang dibuat dengan isterinya tadi. Lalu dia pun terus duduk dan langsung tidak bergerak-gerak.
Perompak tersebut terus masuk ke dalam biliknya dan mula mengeledah sana sini sebelum dia terpandang Juha dan menyangka Juha diserang penyakit lumpuh kerana langsung tidak bergrak-gerak. Perompak tersbut mengambil apa yang boleh diambilnya dan memasukkan semuanya ke dalam karung yang turut dibawa. Kemudian sebelum perompak itu meninggalkan rumah Juha, dia menghampiri Juha lalu mengambil serban yang ada di kepala Juha lalu terus menghilangkan diri. Juha tetap juga tidak bergerak-gerak ataupun berkata apa-apa sebab berpegang pada janji dia dan isterinya.
Tidak lama selepas itu datang seorang anak jiran rumah Juha bersama semangkuk bubur yang dikirim oleh isteri Juha kerana bimbang Juha mati kelaparan. Juha pun memberi isyarat kepada anak jirannya itu yang serban dan seluruh perkakas rumahnya telah dicuri perompak.
Melihat isyarat Juha, anak jirannya itu terus menuang bubur tersebut ke atas kepala Juha kerana menyangka Juha menyuruh dia menuang bubur itu ke atas kepala Juha. Basah kuyuplah Juha jadinya. Tiba-tiba anak jirannya itu mengerti dengan isyarat yang diberikan Juha lalu tanpa berlengah dia terus berlari serta memanggil-manggil isteri Juha.
Isteri Juha terus datang untuk melihat apa yang telah berlaku. Bila dia terlihat Juha, dia terus bertanya dalam keadaan terperanjat dan marah.
“Apa yang telah berlaku padamu wahai Juha, suamiku?”
Juha pun terus melompat bangun dari tempat duduknya dan berkata pada isterinya,
“Hah! Kamu yang mula bercakap dulu jadi kamulah yang kena pergi ke kandang untuk mengikat dan memberi makan si keldai itu. Cepatlah pergi dan janganlah kamu berdegil lagi!” 

Kisah Juha : cerita pendek Juha (2)

Unta Minta Upah?

Suatu ketika Juha pergi keluar untuk membeli gandum. Setelah gandum dibeli, Juha meletakkannya di belakang untanya untuk dibawa balik.
Tiba-tiba unta yang ditungganginya lari dengan membawa gandum yang baru dibeli itu.
Setelah beberapa hari kemudian. Juha menjumpai untanya. Akan tetapi Juha mengelakkan diri dari dilihat olh untanya. Lalu menimbulkan rasa hairan pada sesiapa yang melihat tingkahnya.
“Mengapa engkau menyembunyikan diri dari untamu?” tanya seseorang kepada Juha.
“Aku khuatir unta itu akan meminta wang upah kepadaku. Sebab itulah aku bersembunyi darinya,” jawab Juha.

Kambing ajaib

Semasa remajanya, Juha pernah disuruh ke pasar oleh ayahnya untuk membeli kepala kambing bakar. Dia pun pergi dan membeli sekepala kambing bakar yang baik lalu dibawanya pulang.
Di pertengahan jalan, Juha berhenti dan membuka kain yang menutup kepala kambing itu. Kerana tergoda dengan keenakan kepala kambing itu, dia memakan kedua-dua matanya, kedua-dua telinganya, lidahnya dan juga otaknya. Kemudian sisanya iaitu tengkorak kepala kambing dibawanya pulang. Diserahkan kepada ayahnya selepas itu.
Sudah tentu ayahnya sangat terkejut kerana kepala kambing tersebut sudah kosong dan bahagian-bahagian lainnya juga hilang.
“Celaka kamu, apa ini?” tanya ayahnya.
“Itulah kepala kambing yang ayah minta,” jawab Juha.
“Mana kedua-dua matanya?” tanya ayahnya lagi.
“Ia adalah kambing buta,” jawab Juha.
“Mana kedua-dua telinganya?”
“Kambingnya tuli,”
“Lidahnya juga tiada, ke mana?”
“Kambing itu kelu agaknya,”
“Otaknya juga tiada, mana perginya?”
“Kambingnya botak,” jawab Juha.
Ayahnya tidak dapat menerima kepala kambing yang tidak sempurna itu kerana merasa rugi.
“Celaka kau Juha. Kembalikan kepala kambing ini kepada penjualnya dan tukar dengan yang lain,” suruh ayahnya.
“Pemiliknya telah menjual kepala kambing tu tanpa sebarang cacat,” jawab Juha.

Membeli bangkai

Suatu hari Juha melihat sekumpulan kanak-kanak bermain-main dengan seekor burung yang sudah mati. Dihampiri kumpulan itu lalu dia bertanya.
“Boleh kalian menjual burung itu kepadaku?” tanya Juha.
“Burung ini sudah mati jadi buat apa engkau nak beli?” tanya kanak-kanak itu.
“Aku memang ingin memilikinya,” jawab Juha.
“Kalau begitu, belilah,” kata-kata mereka.
Lalu Juha membayar satu dirham dan dibawanya pulang burung yang sudah mati itu. Sesampainya di rumah, ibunya yang kehairanan dan marah terus bertanya,
“Hai Juha! Buat apa engkau mmbawa pulang burung yang sudah menjadi bangkai itu?”
“Diamlah ibu. Jika burung ini hidup, aku tidak sanggup mengeluarkan seratus dirham untuk membeli makanannya,” jawab Juha. 

Monday, August 27, 2012

Kisah Juha: cerita pendek Juha (1)

Di belakangmu

Pada suatu hari, Abu Bakar Al-Kalbi pergi ke Kufah untuk menemui seorang hakim. Sebaik saja dia sampai di sana, dia bertemu dengan seorang lelaki yang sedang duduk berjemur di bawah panas matahari. Lalu dia menegur.
“Wahai tuan, di manakah letaknya rumah tuan hakim?” tanya Abu Bakar Al-Kalbi kepadanya.
“Di belakangmu,” jawab lelaki itu.
Lalu Abu Bakar terus berpatah balik untuk mencari rumah yang dimaksudkan. Tiba-tiba lelaki itu menegur.
“Subhanallah… mengapa engkau berpatah balik ke belakang?” soalnya.
“Bukankah tuan kata di belakangmu, jadi saya berpatah balik ke belakanglah,” jawab Abu Bakar penuh jujur.
“Dengarlah kataku ini wahai saudara. Ikramah meriwayatkan kepadaku dari Ibnu Abbas mengenai firman Allah iaitu dari surah Al-Kahfi ayat 79 yang bererti, ‘Kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mengambil setiap perahu dengan paksa’ Ikramah berkata di belakang mereka maksudnya di hadapan mereka,” jelas lelaki itu. Barulah Abu Bakar Al-Kalbi mengerti bahawa rumah tuan hakim yang dicari berada di depannya.
“Subhanallah,” kata Abu Bakar kerana kagum.
“Tuan ini siapa?” soalnya.
“Abul Ghusn,” jawab lelaki itu.
“Nama yang sebenar?” soal Abu Bakar lagi.
“Juha,” jawabnya.

Jubah jatuh

Abu Hasan menceritakan kisah seorang lelaki yang mendengar suara orang berteriak dan mengadu kesakitan di rumah Juha.
“Aku dengar suara pekikan di rumah tuan. Apa yang telah berlaku?” tanya lelaki itu kepada Juha.
“Jubahku jatuh dari atas rumah,” jawab Juha.
“Eh, jubah jatuh pun boleh sampai terpekik-pekik?” soal lelaki itu kehairanan.
“Engkau ni bodoh. Jika engkau sedang memakai jubah dan jubah yang dipakai engkau itu jatuh, bukankah engkau pun ikut jatuh bersama?” marah Juha.

Juha dan kubur

Pada suatu hari, seorang jiran Juha meninggal dunia dan dia bertanggungjawab ke atas majlis pengkebumian. Lalu dia menemui seorang penggali kubur bagi menyuruhnya menggali sebuah kubur.
Tetapi terjadi pertengkaran antara Juha dan penggali kubur berkaitan dengan upah menggali. Penggali kubur meminta upah sekurang-kurangnya lima dirham dan jika tidak dia tidak mahu menggali.
Juha tidak setuju dengan bayaran sebanyak itu. Lalu dia ke pasar dan membeli beberapa keeping papan dengan harga dua dirham. Kemudian dibawanya ke kawasan perkuburan.
Orang ramai yang melihat tingkahnya terus bertanya,” Wahai Juha, apa yang ingin tuan buat dengan papan-papan itu?”
Juha menjawab,”Penggali kubur tidak mahu menggali jika dibayar sekurang-kurangnya lima dirham. Aku membeli papan ini dengan harga dua dirham saja. Aku akan tutup saja mayat jiranku dengan papan ini. Kemudian aku akan meletakkannya dia di atas tanah perkuburan. Aku masih untung tiga dirham,” lalu dia menyambung.
“Di samping itu, mayat ini tidak akan terkena himpitan kubur dan terhindar dari pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur,” 

Dia dikahwinkan dengan bidadari...

Suatu hari, datang Sa’ad bin Assulami kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah, apakah akan terhalang seseorang itu masuk syurga disebabkan mukanya yang hitam dan hodoh?” Lalu Rasulullah bersabda: “Tidak, demi Allah yang jiwa aku di tangannya selama kamu yakin kepada Tuhan kamu dan ajaran Rasul-Nya.”
Maka Sa’ad berkata: “Ya Rasulullah, demi Allah yang memuliakan kamu dengan kenabian. Saya mengucapkan kalimah syahadat kira-kira lapan bulan lalu dan saya datang ke sini untuk meminang orang yang ada di sini, tetapi semua mereka menolak kerana mengatakan saya ini hitam dan hodoh”. Sa’ad berkata lagi: “Ya Rasulullah, sebenarnya saya adalah daripada keturunan yang baik iaitu suku Bani Sulaim, hodohnya saya adalah daripada keturunan ibu saya.”
Kemudian Rasulullah bertanya kepada yang hadir: “Adakah Amru bin Wahab yang baru masuk Islam daripada suku Tsaqief berada di sini?” Maka yang hadir berkata: “Tidak ya Rasulullah.” Lalu Rasulullah bertanya kepada Sa’ad: “Adakah kamu mengetahui di mana rumahnya?” Sa’ad berkata: “Ya, saya tahu di mana rumahnya, ya Rasulullah.” Rasulullah berkata: “Pergilah kamu ketuk rumahnya perlahan-lahan kemudian kamu beri salam kepadanya. Apabila dia mengizinkan kamu masuk, maka katakan kepadanya bahawa Rasulullah mengahwinkan aku dengan puterinya.”
Amru mempunyai seorang puteri yang cantik dan cerdik iaitu Atiqah. Selepas Sa’ad tiba di rumah Amru, dia disambut dengan baik walaupun Amru tidak berapa senang dengan kedatangannya disebabkan mukanya yang hitam dan hodoh. Amru semakin tidak senang apabila Sa’ad menyampaikan kata-kata Rasulullah. Dia menolaknya dengan cara kasar hingga menyebabkan Sa’ad keluar dan terus bertemu Rasulullah.
Selepas Sa’ad pergi, maka puterinya berkata: “Wahai ayah, carilah selamat sebelum turunnya wahyu membuka perbuatan kamu. Jika benar Rasulullah mengahwinkan aku dengan orang itu, maka aku terima dengan hati terbuka dan rela atas apa yang diredakan oleh Allah dan Rasul-Nya untukku.”
Maka pergilah Amru ke majlis Rasulullah dan dia ditegur oleh orang yang berada di situ: “Jadi kamulah orang yang menolak pinangan Rasulullah?” Amru berkata: “Ya benar, tetapi aku minta ampun kepada Allah kerana aku sangka dia berdusta. Apabila aku dapati dia benar maka aku terima dia dan sedia mengahwinkan dia dengan puteriku. Kami berlindung jangan sampai Allah dan RasulNya menjadi murka.”
Selepas itu, Sa’ad pun dikahwinkan dengan mahar sebanyak 400 dirham. Rasulullah memberitahu khabar itu kepadanya dan menyuruhnya pergi kepada isterinya. Lalu Sa’ad berkata: “Ya Rasulullah, demi Allah yang mengutuskan kamu sebagai nabi, saya sesungguhnya tidak ada wang dan saya terpaksa minta daripada saudara saya.”
Rasulullah berkata: “Mahar untuk isteri kamu ditanggung oleh tiga orang daripada kaum mukminin. Pergilah kamu kepada Usman bin Affan dan kamu akan terima sebanyak 200 dirham. Kemudian kamu pergi kepada Abdurrahman bin Auf, kamu akan mendapat 200 dirham dan kamu pergi kepada Ali bin Abi Talib, juga sebanyak 200 dirham.”
Maka Sa’ad pun pergi ke rumah Usman dan menerima lebih daripada yang disebut Rasulullah, kemudian kepada Abdurrahman, dia menerima lebih daripada 200 dirham dan akhir sekali ke rumah Ali, juga menerima lebih 200 dirham. Sebaik saja Sa’ad mendapat wang itu, dia pergi ke pasar untuk membeli buah tangan untuk isterinya, tetapi tiba-tiba dia mendengar suara yang mengatakan: “Hai kuda Allah, bergeraklah kamu!
Kemudian Sa’ad mendengar suara Rasulullah berkata: “Keluarlah kamu untuk berjihad! keluarlah untuk berjihad!” Maka Sa’ad memandang ke langit sambil berdoa: “Ya Allah, Tuhan Pencipta langit dan bumi, Tuhan kepada Muhammad maka akan aku gunakan wang ini untuk membeli sesuatu yang lebih disukai Allah dan Rasul.”
Sa’ad menggunakan wang itu untuk membeli kuda, pedang, tombak dan perisai lalu dia menguatkan ikatan serban serta pinggangnya. Dia memakai topi yang cuma kelihatan dua biji mata saja lalu dia berdiri tegak di barisan depan Muhajirin hingga semua orang bertanya kepada Ali. Maka Ali berkata: “Biarkan, mungkin dia dari Bahrain atau dari Syam dan mungkin dia datang untuk menanyakan agama sebab itu dia ingin mengorbankan diri untuk keselamatan kamu.”
Kemudian Sa’ad maju ke depan dengan menggunakan tombak dan pedangnya untuk memukul serta memenggal kepala orang kafir. Sa’ad berjuang hingga kudanya sendiri tidak kuat lagi, maka dia pun turun daripada kudanya, dia menyinsing lengannya maka dilihat oleh Rasulullah lengannya yang hitam, lalu Rasulullah berkata: “Adakah kamu Sa’ad?” Maka Sa’ad mengaku dan terus menghadapi musuh. Akhirnya beliau gugur sebagai syahid.
Sebaik saja Sa’ad gugur, Rasulullah segera mendapatkannya lalu mengangkat kepalanya dan diletakkan di atas pangkuan Baginda sambil mengusap tanah yang melekat di mukanya. Baginda bersabda: “Alangkah harum bau kamu, alangkah kasihnya Allah dan Rasul kepada kamu.” Rasulullah menangis dan kemudian tertawa, lalu Baginda memalingkan mukanya serta bersabda: “Kini dia sudah sampai di Haudh, demi Tuhan yang mempunyai Kaabah.”
Selepas Rasulullah berkata demikian maka Abu Lubabah bertanya: “Ya Rasulullah, apakah Haudh itu?” Maka Rasulullah pun menerangkan: “Haudh itu ialah telaga yang diberikan Allah kepadaku dan lebarnya ialah di antara Shan’aa Yaman hingga Busra, di tepi telaga dihiasi permata dan mutiara, airnya lebih putih daripada susu dan rasanya lebih manis daripada madu, barang siapa yang minum sekali, maka dia tidak akan haus untuk selama-lamanya.”
Kemudian Rasulullah ditanya lagi: “Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis dan kemudian ketawa dan terus berpaling muka daripadanya?” Lalu Rasulullah bersabda: “Aku menangis kerana rindu kepada Sa’ad dan aku tertawa kerana gembira melihat kemuliaan yang diberikan Allah kepadanya. Aku berpaling daripadanya sebab aku melihat bakal isterinya yang terdiri daripada bidadari berebut-rebut untuk mendekatinya hingga terbuka betis mereka, maka aku pun memalingkan segera mukaku kerana malu.”
Kemudian Rasulullah pun menyuruh orang mengumpulkan pedang, tombak dan kuda Sa’ad untuk diserahkan kepada bakal isterinya yang sudah diakad nikah. Selepas itu, Rasulullah memberitahu Amru (mentua Sa’ad), “Sesungguhnya Allah mengahwinkan Sa’ad dengan bidadari yang lebih cantik daripada puteri kamu.”
 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012