Wednesday, August 29, 2012

Kisah Abu Nawas: Memindahkan istana

Baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid baru saja selesai membaca sebuah kitab berkenaan dengan kehebatan Nabi Sulaiman yang mampu memerintahkan para jin untuk memindahkan singgahsana Ratu Balqis ke dalam istananya. Lalu tiba-tiba baginda terfikir sesuatu. Hatinya mula tertarik untuk melakukan perkara yang sama. Baginda terasa mahu memindahkan istananya ke atas gunung agar baginda dapat melihat dengan lebih selesa pemandangan di sekitar kerajaannya.
Puas berfikir, akhirnya baginda memutuskan untuk menitahkan Abu Nawas melakukan perkara mustahil itu. Baginda yakin Abu Nawas yang terkenal dengan kecerdikannya itu mampu melaksanakan titahnya itu.
Tanpa membuang masa, Abu Nawas dipanggil ke istana lalu terus mengadap baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid.
“Wahai Abu Nawas, sanggupkah engkau memindahkan istana Raja Harun Ar-Rasyid ke atas gunung agar Raja Harun Ar-Rasyid dapat melihat dengan lebih dekat keadaan yang berlaku dalam kerajaannya?” soal baginda.
Abu Nawas terdiam. Dia tidak menyangka baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid akan memintanya berbuat demikian. dalam hati dia yakin dia tidak mungkin akan menolak permintaan mustahil baginda itu melainkan jika dia mahu menghadapi hukuman.
Lalu dalam nada perlahan lagi kurang yakin, dia pun menjawab,
“Baiklah tuanku. Patik sanggup melakukannya,” lalu baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid pun tersenyum gembira dan memberi tempoh sebulan kepada Abu Nawas untuk menyelesaikan titahnya itu.
Abu Nawas pun meminta diri pulang dengan hati yang galau. Saban malam dia asyik memikirkan cara untuk melaksanakan perintah baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid itu. Hinggalah hari kesembilan dia tidak lagi merasa gundah dan bimbang kerana telah mendapat ilham.
Keesokkan harinya, Abu Nawas pun pergilah ke istana untuk mengadap baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid dan dengan senang hati baginda Raja menerima kedatangannya.
“Ampun Tuanku, patik datang ke sini adalah untuk mengemukakan cadangan bagi melancarkan titah tuanku berkenaan dengan pemindahan istana tuanku ini,” kata Abu Nawas.
“Apakah cadanganmu itu wahai Abu Nawas?” soal baginda ingin tahu.
“Patik bercadang untuk memindahkan istana tuanku dalam masa dua puluh hari dari sekarang,”
“Kalau begitu Raja Harun Ar-Rasyid perkenankan,” jawab baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid.
“Satu lagi, patik mohon tuanku menyembelih sepuluh ekor lembu yang gemuk untuk dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin,” pinta Abu Nawas lagi.
“Boleh saja wahai Abu Nawas,” jawab baginda terus saja bersetuju dengan permintaan itu.
Abu Nawas pun pulang dengan hati yang riang gembira. Tiada apa lagi yang dirisaukannya. Bila tiba masanya pasti mudah baginya memindahkan istana baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid ke atas gunung. Bahkan ke dasar lautan pun tidak sukar bagi Abu Nawas lakukan.
Khabar Abu Nawas ingin memindahkan istana baginda Khalifah tersebar ke seluruh pelosok kerajaan. Hampir kesemua rakyat jelata berasa cemas dan bimbang memikirkan sama ada Abu Nawas mampu atau tidak menjalankan titah itu namun sebahagian besar rakyat yakin Abu Nawas mampu melakukannya kerana selama ini Abu Nawas belum pernah gagal melaksanakan tugas-tugas aneh yang diberikan Khalifah Harun Ar-Rasyid kepadanya. Tak kurang ada juga yang ragu dengan kemampuan Abu Nawas kali ini.
Saat yang dinati-nantikan akhirnya tiba juga. pada hari yang telah ditetapkan, berbondong-bondonglah rakyat jelata ke kawasan lapang istana. Setelah sepuluh ekor lembu sumbangan baginda Khalifah disembelih lalu dimasak dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin, maka tibalah pula masanya untuk Abu Nawas menjalankan titah baginda.
Lalu Abu Nawas pun berjalanlah menuju ke depan istana diikuti dengan rakyat jelata yang lain. Sesampainya di depan istana, Abu Nawas pun bertanya kepada baginda.
“Ampun tuanku, ada sesiapakah yang masih tertinggal di dalam istana ini?”
“Tidak ada,” jawab Khalifah Harun Ar-Rasyid sudah tidak sabar mahu melihat istananya berada di puncak gunung.
“Baiklah kalau begitu,” sambut Abu Nawas lalu berjalan beberapa langkah mendekati istana. Dia brdiri mematung tubuh buat beberapa lama, seolah-olah menunggu sesuatu.
Setelah lama menunggu, akhirnya baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid sudah tidak dapat menahan sabar lagi melihat tingkah Abu Nawas yang masih juga mematungkan tubuh di tempatnya. Baginda terus mendapatkan Abu Nawas lantas bertanya,
“Wahai Abu Nawas, mengapa engkau belum juga mengangkat istana Raja Harun Ar-Rasyid?” soalnya sedikit geram.
“Patik sudah siap sejak tadi tuanku,” jawab Abu Nawas.
“Apa maksud engkau dengan sudah siap sejak tadi? kalau engkau sudah siap, mengapa tidak engkau angkat saja istana ini sekarang? apa lagi yang engkau tunggu?” tanya baginda hairan.
“Patik menunggu istana tuanku diangkat oleh seluruh rakyat yang hadir untuk diletakkan di atas kepala patik. Setelah itu bolehlah patik memindahkan istana tuanku ini ke atas gunung seperti mana yang tuanku inginkan,” mendengar penjelasan itu, Khalifah Harun Ar-Rasyid pun tersenyum. Sedarlah baginda pada alasan Abu Nawas yang masuk akal itu. Mustahil seorang manusia biasa sepertinya mampu menyamai kejayaan Nabi Sulaiman dalam memberi perintah kepada makhluk jajahannya. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012