Dalam kesibukan menjalani ibadah puasa, sempat juga akhirnya saya berbuka bersama-sama adik beradik pada tahun ini... walau sekadar kakak sulung sekeluarga dan adik bongsu beserta teman istimewanya, namun meninggalkan kesan di hati kami yang jarang-jarang dapat bersua lantaran kesibukan masing-masing...
suasana meriah jadinya dengan telatah dua orang anak saudara yang tak henti-henti bertekak... bising di telinga kakak dan abang ipar tapi menjadi hiburan buat saya dan adik yang sudah lama tidak bertemu mereka... sungguh... saya rindu untuk merasa suasana meriah begini...
sewaktu mak dan bapa masih menetap di Petaling Jaya, tiada hari di bulan puasa yang kami lalui tanpa suasana meriah dan riuh-rendah... dengan jumlah adik beradik seramai 9 orang dan ditambah dengan kedatangan sanak saudara yang tinggal sekitar Kuala Lumpur, memang terasa teramat suasana berbuka puasa...
seawal jam dua petang mak sudah masuk dapur... menyedia segala hidangan buat kami dan para tetamu yang kadangkala muncul tanpa diduga kedatangannya... pada mak yang sememangnya suka menyediakan hidangan dalam jumlah yang banyak, kedatangan tetamu-tetamu ini memang tidak menjadi masalah buatnya.... apalagi jika yang datang itu sudah berkeluarga... pasti ada saja hidangan yang akan turut dibawa serta... bagi yang bujang, lagilah mudah... sebut saja apa yang ingin dimakan... bazar ramadan menyediakan segalanya...
sejam sebelum berbuka, saya dan adik2 akan mula sibuk membentang tikar dari ruang tamu hingga ke ruang dapur rumah... manakala kakak2 pula tugas mereka menghidangkan segala macam makanan yang sudah mak sediakan dari awal hari lagi... waktu itu memang kecur air liur jadinya... segalanya ada... dari makanan berkuah hinggalah kuih-muih... bagai kenduri saja keadaannya...
Selesai berbuka ramai-ramai, masing-masing bergilir-gilir untuk bersolat… maklumlah, ruang rumah hanya sekangkang kera… yang perempuan selalunya lebih selesa ke dalam bilik saja… usai solat, acara bermain bunga api akan bermula… itu selalunya hadiah dari abang-abang aku yang ketika itu masih bergelar anak teruna buat anak-anak buah yang datang… dan aku serta adik-adik yang masih bergelar pelajar sekolah ketika itu turut mendapat habuan serupa… tumpang sama bermain…
Indah sungguh suasana berbuka di waktu itu… masing-masing masih bersua muka walau sibuk dengan kehidupan sendiri…tak dapat setiap hari, selang dua tiga hari pasti ada juga yang akan kembali apatah lagi mak dan bapa sememangnya sangat suka melayan para tetamu...
Tapi itu kisah dulu… sewaktu mak dan bapa masih menetap di sini… bila mereka kembali ke kampung, suasana meriah begitu tidak lagi kami adik beradik rasai walau seboleh mungkin kami cuba untuk mengembalikan suasana dulu...
Jadi sebenarnya pada saya, bukan saja anak-anak muda dan kanak-kanak, tetapi orang tua juga memainkan peranan penting dalam sesebuah keluarga… seperti dalam keluarga kami, walau adat kunjung-mengunjung tetap kami lakukan antara sanak saudara namun meriahnya tetap tidak sama seperti mana orang tua kami ada bersama-sama… bak kata sesetengah orang, bila orang tua tiada, maka seri hidup juga kurang… sungguh... walau saya bahagia dengan kehidupan sendiri sekarang namun rindu untuk berbuka puasa bersama orang tua tetap juga wujud... bukan rindu pada masakan mak kerana selalunya bila berkumpul, kami anak-anak perempuan yang perlu masak tapi rindu untuk mlihat wajah dan gelagat mereka yang banyak memberi teladan pada anak-anak khususnya orang muda di zaman sekarang…
Buat mereka yang masih punya orang tua, hargailah mereka… rugi yang teramat-amatlah jika anda tidak brebut peluang untuk menyayangi mereka di waktu-waktu begini… suatu masa ketika nanti, kita juga akan berada di tempat mereka dan waktu itu, kita juga akan merasa apa yang mereka rasa ketika ini… tak percaya? Itulah takdir hidup yang kita takkan mampu ubah sampai bila-bila…
No comments:
Post a Comment