Tuesday, August 28, 2012

Kisah Juha: Mana dia surat itu?

Pada suatu hari, orang yang paling kaya di dalam kampung Juha telah membuat jamuan makan yang sangat besar, dihidangi dengan makanan yang sedap-sedap dan lazat. Akan tetapi dia hanya menjemput orang-orang yang berpangkat besar dan kaya-kaya sahaja sama ada dari kampung yang sama atau dari kampung yang bersebelahan.
Walau bagaimanapun, Juha berazam untuk hadir ke majlis jamuan itu biar dengan apa cara sekalipun. Tuan rumah yakni orang kaya tersebut telah mengarahkan khadamnya yang menjaga pintu memastikan setiap para jemputan yang hadir mestilah menunjukkan kad jemputan. Siapa yang tidak membawa kad jemputan yang telah diedarkan tidak akan diizinkan masuk.
Maka Juha pun mendapat satu jalan. Dia mengambil sehelai kertas putih dan dilipat kemas seakan-akan lipatan surat. Juha pun pergi ke rumah orang kaya tadi.
Sampi di pintu rumah, seberapa cepat yang boleh Juha berjalan dan berkata kepada khadam yang menjaga pintu,
“Buka… buka laluan! Aku membawa sekeping surat yang penting untuk tuan rumah!”
Juha pun terus masuk ke dalam rumah dan mendapati dihadapannya terhidang juadah yang amat sedap lagi lazat. Tanpa berlengah Juha terus menerkam dan makan semampu yang boleh dan kemudian sambil makan, Juha menyerahkan kertas yang dikatakannya surat tadi kepada tuan rumah. Tuan rumah pun mengambilnya dan setelah melihat dia terus berkata pada Juha dengan nada pelik,
“Mana dia surat itu? Ini kertas kosong, langsung tak ada apa-apa tulisan!”
Juha menjawab dengan dengan mulutnya yang penuh dengan makanan,
“Oh… minta maaflah wahai tuan. Sebenarnya aku datang ke sini tadi dalam keadaan yang tergesa-gesa sehingga aku tidak sempat menulis surat ini terlebih dulu. Jadi minta maaflah!” 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012