Saturday, August 11, 2012

Teringatku pada...

Dah lama sudah aku ingin menulis tentang ini di sini… namun masa yang tersepit di celah lambakan aktiviti lain menjadikan niat aku nan satu ini selalu sahaja terbantut… mujur saja malam ni aku punya peluang, mampu juga aku mencoretnya di sini…
Solat terawih… pasti ramai yang pernah melakukannya bukan? Aku juga tidak ketinggalan… walau bukan selalu, namun dalam setiap bulan Ramadan, bagaikan satu acara wajib untuk dilakukan bersama-sama orang lain… tak dapat banyak, lapan rakaat pun sudah memadai… bak kata orang-orang dulu, biar sedikit asalkan berkualiti dan paling penting, dilakukan dengan hati yang ikhlas dan penuh keredhaan…
Hmm… tapi bukan itu yang aku nak coretkan tapi tentang kenangan yang pernah aku lalui ketika berpuasa di kampus suatu masa dulu… dengan siapa lagi kalau bukan kawan-kawan yang sehingga kini Alhamdulillah, masih juga tetap berhubung walau tidak sekerap sewaktu bersama-sama menuntut dulu… nama pun menuntut, banyak saja kenangan yang kami lalui bersama… salah satunya tentu saja ketika bersolat terawih…
Aku masih ingat, aku dan kawan-kawan adalah antara pelajar-pelajar kampus yang rajin mengunjungi surau yang terletak tidak jauh dari kawasan asrama kampus… seboleh mungkin kami berusaha untuk ke sana setiap malam kecuali jika terpaksa menghadiri kelas malam… sepuluh orang berjalan dengan telekung sudah membungkus badan, tentu saja mengundang rasa terkejut pada sesetengah orang tapi tidak pada penduduk sekeliling yang sudah terbiasa dngan keadaan begitu saban malam… tambah-tambah di bulan Ramadan yang penuh berkat ini…
Sringkali kami berlumba-lumba untuk tiba terlebih dulu di surau… bukan sebab kerana hidangan yang disajikan tetapi masing-masing berharap akan mendapat kedudukan yang selesa dalam surau yang tidak sebesar mana itu… bukan tiada masjid tapi untuk berjalan kaki sejauh dua kilometer setlah seharian tenaga dihabiskan di kampus, tak berbaloi rasanya untuk pergi ke sana… sekurang-kurangnya kami tetap melakukan ibadah sunat walau hanya di surau perumahan…
Dalam sepuluh orang kami, Ana (kawan yang muda setahun dariku) seringkali mnjadi orang pertama yang tiba di surau… tempat kegemarannya tidak lain dari di tengah-tengah ruang solat buat kaum perempuan… entah kenapa dia suka duduk di situ, aku sendiri pun tak tahu… aku pula sudah tentu lebih selesa berada di hujung ruang saf kerana senang untuk menyandar tubuh setiap kali berehat dari melakukan solat…  kawan-kawan yang lain selalunya lebih suka mengambil tempat di saf-saf belakang… mudah untuk kluar ketika balik kata mereka…
Suatu malam, aku sedikit terlewat sampai ke surau… mahu tak mahu, terpaksalah aku mencari tempat duduk lain memandangkan tempat selesa aku tu telah ada yang mengambil alih… aku terus saja duduk di sisi Ana yang sejak aku sampai sudah melambai-lambai tangan ke arah aku… dan kerana aku dan dia agar rapat, makanya dngan senang hati aku duduk di sisi dia walau aku sebetulnya kurang selesa berada di bawah kipas yang berpusing ligat…
Dan mungkin inilah hikmahnya aku duduk di sisi Ana malam itu… dari situ baru aku mendapat tahu mengapa Ana berusaha seboleh mungkin untuk tidak mengubah tempat duduknya saban malam di surau… malah sanggup juga dia bertekak ( secara lembutlah sebab Ana ni seorang gadis yang tidak pernah bermasam muka orangnya) dengan orang lain semata-mata nak mendapatkan tempat ‘kesayangan’nya itu…
Nak saja aku ketawa bila Ana memberitahu aku rahsia besar yang disimpannya sejak di malam pertama kami menjejak kaki ke surau… rupa-rupanya Ana mempunyai ‘misi’ tertentu untuk dilakukan di situ…
Tanpa pengetahuan aku, rupanya dari situ, Ana dapat melihat dengan jelas kedudukan imam yang berada di depan para jemaah… walau sekadar belakang tubuh, namun setiap kali imam berkalih muka, kami dapat melihat wajahnya dengan jelas bila mana kain tabir yang menjadi ‘benteng’  antara jemaah lelaki dan perempuan terselak sekali sekala…
Oh ya, lupa aku nak memberitahu…  berkenaan dengan imam muda kami, beliau sebenarnya baru saja pulang dari luar negara ketika itu… tidak pula aku pasti dari Jordan atau Jeddah tapi beliau merupakan pelajar lulusan ijazah dalam bidang aliran agama dari luar negara… rupanya? Boleh tahan bagi seorang anak muda yang lebih muda setahun dariku… orangnya sempoi saja… banyak bercakap dan mesra dengan orang tua tapi kurang ramah dengan anak muda terutama perempuan… biasalah…  jarang-jarang aku dapat lihat ustaz muda yang ramah dengan perempuan-perempuan muda… senang kata, gayanya tu ala-ala Ustaz Don zaman sekarang…
Dan itulah misi Ana… untuk melihat dan memerhati tingkah imam muda yang sebaya dengannya itu… oh, lupa juga aku nak memberitahu… Ana kawan aku ni pun sebenarnya lebih kurang seperti ustazah juga orangnya… walau menuntut dalam bidang perniagaan tapi sikap dan gaya penampilannya memang tak ubah seperti seorang wanita muslimah… maklumlah, anak seorang imam di kampungnya… makanya aku memang tak hairan jika Ana juga mencari teman hidup ala-ala ayahnya…
Itu satu kisah tentang seorang kawanku… ada lagi kisah yang lain… banyak sebenarnya… Cuma aku dah tak mampu nak menaip… makin di taip makin banyak pula kenangan kami yang singgah ke fikiran… lucu, gembira, terharu, rindu… semuanya sudah menyumbat ruang hati… jadi sebelum airmata jatuh, lebih baik kiranya aku berhenti di sini saja… bukan apa… sedar, masa lalu mana mungkin dapat diputar semula… tanyalah pada sesiapa pun… jika dapat kembali ke zaman silam, pasti mahu bukan? Aku juga begitu tapi apa daya kita sebagai manusia… hidup di dunia hanya sekali… jadi hargailah apa yang pernah, sedang dan bakal kita lalui ini…
Untuk kawan-kawan, terima kasih atas kehadiran kalian dalam hidupku… walau ada yang singgah sebentar, namun kehadiran itu amat bermakna buatku… dan buat kawan-kawan yang masih setia di sisi sampai ke saat ini, maafkan aku kerana jarang-jarang membuang masa bersama kalian… apa yang boleh aku katakan, kehidupan di hari ini jauh berlainan dari masa kita bersama… dengan komitmen dan tanggungjawab terhadap kehidupan, aku sangat-sangat terbatas untuk sentiasa bersama kalian… namun ikhlasnya, kalian tak pernah terkeluar dari hati ini… terima kasih juga atas sokongan dan semangat kalian padaku… tanpa aku pinta, kalian tetap juga memberinya walau hanya dari jauh… sangat-sangatku hargai semua itu…
Dan buat Ana yang telah lama tak kuhubungi, tahniah atas kejayaan misimu… kakak tumpang gembira atas kebahagiaanmu dan si dia yang akhirnya menjadi hakmu jua… semoga kekal bersama sampai ke akhir hayat… maafkan kakak juga kerana sudah lama menyepi… tiada niat membenci apalagi nak melupakan namun keadaan hidup kadangkala berjaya memisahkan kita walau kita tidak pernah tidak ingat antara satu sama lain… begitu juga kawan-kawan yang lain… salam kenangan buat semua…

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012