Sunday, August 05, 2012

Perbincangan tentang solat terawih


Alhamdulillah, bulan Ramadhan kembali menemui kita. Banyak ilmu yang perlu kita ulangkaji berkenaan amalan-amalan di dalam bulan Ramadhan, agar kita dapat memperoleh manfaat dan ganjaran yang sepenuhnya pada bulan yang mulia ini.
Justeru pada peluang ini, saya ingin mengajak para pembaca sekalian untuk mengulangkaji ilmu berkenaan Solat Terawih. Berkenaan keutamaan solat ini, Abu Hurairah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. menganjurkan pada malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda:
 “Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.” [Shahih Muslim, no: 759]
Hukum Solat Terawih.
 Solat Terawih hukumnya sunat mu’akad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Rasulullah s.a.w. telah menganjurkannya dengan arahan yang tidak tegas, bererti hukumnya adalah sunat dan tidak wajib. Oleh kerana ia adalah amalan sunat, maka apabila bertembung antara Solat Terawih dengan sesuatu amalan lain yang wajib hukumnya, maka hendaklah diutamakan amalan yang wajib hukumnya. Sebagai contoh, jika anda memiliki kuliah fakulti pada waktu malam Ramadhan, maka menghadiri kuliah hendaklah diutamakan kerana menuntut ilmu hukumnya wajib berbanding Solat Terawih yang hukumnya sunat.

Waktu Perlaksanaan Solat Terawih.
Rasulullah s.a.w. bersabda, sebagaimana hadis di atas: “Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan…”. Berdasarkan hadis ini, tempoh perlaksanaan Solat Terawih ialahsesudah masuk waktu solat Isyak sehingga sebelum masuk waktu solat Subuh. Berdasarkan tempoh perlaksanaan yang luas ini, sesiapa yang tidak dapat melaksanakannya pada awal malam boleh melaksanakannya pada pertengahan atau akhir malam.
Kembali kepada contoh pelajar yang perlu menghadiri kuliah pada waktu malam, dia masih boleh melaksanakan Solat Terawihnya sesudah kuliah. Jika keletihan, dia boleh tidur sebentar kemudian bangun untuk melaksanakan Solat Terawih. Waktu perlaksanaan Solat terawih tidak terbatas kepada selepas solat Isyak sahaja.
Cara Perlaksanaan Solat Terawih.
Solat Terawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian. Berjamaah adalah lebih afdal merujuk kepada anjuran Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Terawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 1604]

Namun jika menghadapi kesempitan untuk melaksanakannya secara berjamaah, maka dibolehkan melaksanakannya secara bersendirian. Rasulullah s.a.w. sendiri pada zaman baginda adakala melaksanakannya secara berjamaah dan adakala secara bersendirian. Ini bagi memberi kelapangan bagi umat, seandainya mereka menghadapi kesempitan masa atau tenaga.

Maka jika anda keletihan pulang dari kerja misalnya sehingga tak terdaya melaksanakannya secara berjamaah di masjid, maka boleh melaksanakannya secara bersendirian di rumah setelah berehat secukupnya.

Bilangan Rakaat Solat Terawih.

Solat Terawih boleh dilaksanakan dalam jumlah lapan atau dua puluh rakaat, diiikuti dengan Solat Sunat Witir. Kadangkala timbul persoalan berkenaan jumlah rakaat Solat Terawih yang sepatutnya dilaksanakan, lapan atau dua puluh rakaat? Sebenarnya lapan atau dua puluh, setiapnya memiliki dalil dan hujah di sebaliknya sehingga boleh diamalkan kedua-dua jumlah rakaat mengikut kecenderungan dan pilihan masing-masing.
Antara Kualiti dan Kuantiti.
Saya yakin para pembaca sekalian mengetahui bahawa kualiti adalah lebih penting daripada kuantiti. Maka terhadap Solat Terawih, pastikan ia dilaksanakan secara baik (kualiti) dan tidak sekadar mengejar rakaat yang banyak (kuantiti). Antara aspek kualiti yang sering ditinggalkan ialah:
1.      Meninggalkan bacaan al-Qur’an secara tartil, iaitu sebutan kalimah-kalimah al-Qur’an secara jelas berdasarkan disiplin tajwid yang betul. Allah s.w.t. memerintah kita: “Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil.” [Surah al-Muzammil, ayat 4]
2.      Meninggalkan bacaan doa iftitah sebelum al-Fatihah dan bacaan surah-surah selepas al-Fatihah. Ini satu kerugian kerana bacaan-bacaan itu memberi ganjaran pahala yang amat besar.
3.      Mengabaikan thama’ninah, iaitu kekal di dalam sesuatu posisi solat seperti rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Tempoh kekal di dalam sesuatu posisi ialah sehingga bacaan dalam posisi itu dapat dilengkapkan dengan betul dan sempurna jumlahnya. Pernah ada seorang lelaki yang bersolat tanpa thama’ninahpada zaman Rasulullah s.a.w.. Melihat cara solat lelaki itu, Rasulullah s.a.w. memerintahkan beliau untuk mengulanginya [Shahih al-Bukhari, no: 757]. Tindakan baginda menyuruh lelaki itu mengulangi solat menunjukkan thama’ninah ialah syarat sah solat. Sesiapa yang meninggalkannya bererti solatnya, sama ada Solat Terawih atau selainnya, adalah tidak sah.
4.      Meringkaskan bacaan selawat. Ada pendapat yang membahagikan bacaan selawat ketika duduk tasyahud sebagai wajib dan sunat. Bahagian awal selawat: “Allahumma sholli ‘ala Muhammad” dikatakan wajib manakala seterusnya dikatakan sunat. Maka atas tujuan meringkaskan Solat Terawih, hanya bahagian awal selawat yang dibaca. Ini adalah satu kesalahan kerana pembahagian selawat ketika duduk tasyahudkepada wajib dan sunat tidak berasal daripada petunjuk al-Qur’an dan hadis. Selawat wajib dibaca keseluruhannya, selengkapnya.
Berdasarkan poin-poin di atas, ayuh kita jadikan Solat Terawih pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang dilaksanakan berdasarkan kualiti dan bukannya kuantiti.

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012