Di belakangmu
Pada suatu hari, Abu Bakar Al-Kalbi pergi ke Kufah untuk menemui seorang hakim. Sebaik saja dia sampai di sana, dia bertemu dengan seorang lelaki yang sedang duduk berjemur di bawah panas matahari. Lalu dia menegur.
“Wahai tuan, di manakah letaknya rumah tuan hakim?” tanya Abu Bakar Al-Kalbi kepadanya.
“Di belakangmu,” jawab lelaki itu.
Lalu Abu Bakar terus berpatah balik untuk mencari rumah yang dimaksudkan. Tiba-tiba lelaki itu menegur.
“Subhanallah… mengapa engkau berpatah balik ke belakang?” soalnya.
“Bukankah tuan kata di belakangmu, jadi saya berpatah balik ke belakanglah,” jawab Abu Bakar penuh jujur.
“Dengarlah kataku ini wahai saudara. Ikramah meriwayatkan kepadaku dari Ibnu Abbas mengenai firman Allah iaitu dari surah Al-Kahfi ayat 79 yang bererti, ‘Kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mengambil setiap perahu dengan paksa’ Ikramah berkata di belakang mereka maksudnya di hadapan mereka,” jelas lelaki itu. Barulah Abu Bakar Al-Kalbi mengerti bahawa rumah tuan hakim yang dicari berada di depannya.
“Subhanallah,” kata Abu Bakar kerana kagum.
“Tuan ini siapa?” soalnya.
“Abul Ghusn,” jawab lelaki itu.
“Nama yang sebenar?” soal Abu Bakar lagi.
“Juha,” jawabnya.
Jubah jatuh
Abu Hasan menceritakan kisah seorang lelaki yang mendengar suara orang berteriak dan mengadu kesakitan di rumah Juha.
“Aku dengar suara pekikan di rumah tuan. Apa yang telah berlaku?” tanya lelaki itu kepada Juha.
“Jubahku jatuh dari atas rumah,” jawab Juha.
“Eh, jubah jatuh pun boleh sampai terpekik-pekik?” soal lelaki itu kehairanan.
“Engkau ni bodoh. Jika engkau sedang memakai jubah dan jubah yang dipakai engkau itu jatuh, bukankah engkau pun ikut jatuh bersama?” marah Juha.
Juha dan kubur
Pada suatu hari, seorang jiran Juha meninggal dunia dan dia bertanggungjawab ke atas majlis pengkebumian. Lalu dia menemui seorang penggali kubur bagi menyuruhnya menggali sebuah kubur.
Tetapi terjadi pertengkaran antara Juha dan penggali kubur berkaitan dengan upah menggali. Penggali kubur meminta upah sekurang-kurangnya lima dirham dan jika tidak dia tidak mahu menggali.
Juha tidak setuju dengan bayaran sebanyak itu. Lalu dia ke pasar dan membeli beberapa keeping papan dengan harga dua dirham. Kemudian dibawanya ke kawasan perkuburan.
Orang ramai yang melihat tingkahnya terus bertanya,” Wahai Juha, apa yang ingin tuan buat dengan papan-papan itu?”
Juha menjawab,”Penggali kubur tidak mahu menggali jika dibayar sekurang-kurangnya lima dirham. Aku membeli papan ini dengan harga dua dirham saja. Aku akan tutup saja mayat jiranku dengan papan ini. Kemudian aku akan meletakkannya dia di atas tanah perkuburan. Aku masih untung tiga dirham,” lalu dia menyambung.
“Di samping itu, mayat ini tidak akan terkena himpitan kubur dan terhindar dari pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur,”
No comments:
Post a Comment