Pada suatu hari Juha bertelagah dengan isterinya tentang giliran untuk mengikat dan memberi makan kepada keldai kepunyaan mereka di kandang. Akhirnya suami isteri itu memutuskan siapa di antara mereka yang pertama kali bersuara selepas ini akan pergi ke kandang untuk mengikat dan memberi makan keldai.
Maka Juha dan isterinya terus duduk di dalam rumah dan masing-masing mendiamkan diri tidak mahu bercakap. Setelah lebih kurang sejam lamanya, isteri Juha pun menjadi bosan lalu dia terus keluar dari rumah dan pergi ke salah sebuah rumah jiran mereka. Tinggallah Juha sendirian.
Tidak lama kemudian Juha terdengar suara seakan-akan ada perompak masuk ke dalam rumahnya. Maka Juha pun nak melaungkan suara untuk meminta pertolongan tetapi tidak jadi berbuat demikian bila teringatkan perjanjian yang dibuat dengan isterinya tadi. Lalu dia pun terus duduk dan langsung tidak bergerak-gerak.
Perompak tersebut terus masuk ke dalam biliknya dan mula mengeledah sana sini sebelum dia terpandang Juha dan menyangka Juha diserang penyakit lumpuh kerana langsung tidak bergrak-gerak. Perompak tersbut mengambil apa yang boleh diambilnya dan memasukkan semuanya ke dalam karung yang turut dibawa. Kemudian sebelum perompak itu meninggalkan rumah Juha, dia menghampiri Juha lalu mengambil serban yang ada di kepala Juha lalu terus menghilangkan diri. Juha tetap juga tidak bergerak-gerak ataupun berkata apa-apa sebab berpegang pada janji dia dan isterinya.
Tidak lama selepas itu datang seorang anak jiran rumah Juha bersama semangkuk bubur yang dikirim oleh isteri Juha kerana bimbang Juha mati kelaparan. Juha pun memberi isyarat kepada anak jirannya itu yang serban dan seluruh perkakas rumahnya telah dicuri perompak.
Melihat isyarat Juha, anak jirannya itu terus menuang bubur tersebut ke atas kepala Juha kerana menyangka Juha menyuruh dia menuang bubur itu ke atas kepala Juha. Basah kuyuplah Juha jadinya. Tiba-tiba anak jirannya itu mengerti dengan isyarat yang diberikan Juha lalu tanpa berlengah dia terus berlari serta memanggil-manggil isteri Juha.
Isteri Juha terus datang untuk melihat apa yang telah berlaku. Bila dia terlihat Juha, dia terus bertanya dalam keadaan terperanjat dan marah.
“Apa yang telah berlaku padamu wahai Juha, suamiku?”
Juha pun terus melompat bangun dari tempat duduknya dan berkata pada isterinya,
“Hah! Kamu yang mula bercakap dulu jadi kamulah yang kena pergi ke kandang untuk mengikat dan memberi makan si keldai itu. Cepatlah pergi dan janganlah kamu berdegil lagi!”
No comments:
Post a Comment