Pada zaman Bani Israil, ada seorang ahli ibadat dan seorang penderhaka. Tiba-tiba ahli ibadat itu meninggal dunia, maka Nabi Musa a.s mendapat tahu bahawa ahli ibadat itu termasuk di dalam senarai ahli neraka. Sesudah itu mati pula si penderhaka, maka Nabi Musa a.s mendapat tahu bahawa penderhaka tersebut termasuk di kalangan ahli syurga.
Apabila Nabi Musa a.s mendapat tahu hal ini maka baginda pun pergi ke rumah ahli ibadat itu lalu bertanya kepada isterinya, “Apakah amal yang sentiasa dibuat oleh suamimu?” Maka isteri ahli ibadat itu menjawab, “Suamiku itu sangat rajin melakukan amal ibadat dan kamu juga mengetahuinya.” Nabi Musa bertanya lagi, “Kemudian apa lagi yang dibuat oleh suamimu?” Lalu isteri ahli ibadat itu berkata, “Setiap malam apabila suamiku hendak tidur, dia akan berkata ‘Alangkah beruntungnya kami kalau apa yang diajar oleh Nabi Musa itu benar’.”
Setelah Nabi Musa a.s mendengar penjelasan dari isteri ahli ibadat itu, maka baginda pun pergi ke rumah penderhaka itu, setelah sampai di rumah orang itu maka Nabi Musa a.s bertanya kepada isteri penderhaka, “Apakah amal yang dilakukan oleh suamimu?” Isteri penderhaka pun menjawab, “Engkau pun tahu suamiku itu adalah seorang penderhaka, dia sangat suka berbuat kejahatan semata-mata.” Kemudian Nabi Musa a.s bertanya lagi, “Katakan padaku, apakah amal yang pernah dia lakukan selain itu.” Maka isteri penderhaka berkata, “Setiap malam sebelum tidur suamiku selalu membaca لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله atas apa yang diajarkan oleh Nabi Musa a.s.”
Dalam kisah ini kita dapat simpulkan bahawa ahli ibadat itu tidak yakin sepenuhnya dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Musa a.s maka Allah memasukkannya ke dalam neraka manakala si penderhaka yang berbuat dosa dan meyakini setiap apa yang diajarkan oleh Nabi Musa a.s di samping mengamalkan kalimah syahadah dimasukkan ke dalam syurga. Oleh itu hendaklah kita melakukan amal ibadat dengan penuh kusyuk dan yakin dengan meletakkan harapan bahawa kita pasti akan bertemu dengan Allah dan jangan ragu-ragu dengan itu.
Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesiapa yang mengucapkan لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله, yakin dengan iman yang teguh, maka sesungguhnya akan keluar dari mulutnya seekor burung berwarna hijau dengan dua sayap putih bertaburan mutiara yaqud, dan ia terbang ke langit sehingga terdengar dengungannya di bawah Arasy, bagaikan dengung lebah sehinggalah disuruh, ‘Tenanglah, diamlah’. Maka burung itu berkata, ‘Tidak, sebelum Engkau (Allah) mengampuni orang yang membacanya’.”
Maka Allah s.w.t pun mengampunkan orang yang mengucapkan kalimah tersebut lalu burung itu diberikan 70 lidah untuk membaca istighfar bagi orang yang membaca لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله itu sehingga hari Kiamat. Dan apabila tiba hari Kiamat, maka ia akan menyambut orang yang membaca kalimah tersebut dan menontonya masuk ke syurga.
Dikisahkan pula ketika Allah s.w.t menenggelamkan Firaun dan tenteranya dan menyelamatkan Nabi Musa a.s, maka pada waktu itu Nabi Musa a.s telah berdoa, “Ya Allah ya tuhanku, tunjukkanlah kepadaku amal perbuatan untuk mensyukuri nikmatMu ini”. Kemudian Allah berfirman, “Wahai Musa, bacalah لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله.” Nabi Musa bertanya lagi, “Ya Allah ya tuhanku, tambahkanlah lagi untukku.” Maka Allah berfirman, “Wahai Musa, sekiranya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi diletakkan di sebelah kiri neraca timbangan (mizan) dan diletakkan kalimah لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله di sebelah kanannya, nescaya akan lebih berat bahagian لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله itu.”
No comments:
Post a Comment