Tuesday, August 28, 2012

Kisah Juha: Juha membalas dendam

Suatu hari Juha telah bersetuju dengan beberapa orang sahabatnya untuk mengadakan satu pertandingan. Jika dia dapat mengalahkan mereka, maka mereka kena menjamu Juha dengan hidangan makanan yang seda-sedap dan bermacam-macam jenis. Manakala jika Juha kalah maka dialah yang kena menjamu mereka hidangan.
Dalam pertandingan itu, Juha dikehendaki duduk di satu kawasan lapang di waktu malam musim sejuk seorang diri. Sahabat-sahabatnya tidak akan mengawasi dia dan itu bermakna Juha mesti amanah dan tidak boleh menipu. Dan syarat utama pertandingan itu, mestilah tidak ada tanda-tanda Juha menyalakan api untuk memanaskan badannya dari kesejukan. Juha pun bersetuju kerana yakin dia akan mampu menyahut cabaran tersebut dan berjanji akan benar-benar menepati syarat-syarat sebagaimana yang telah ditentukan. Maka malam itu Juha pun berbuat seperti mana yang telah diminta oleh sahabat-sahabatnya.
Keesokkan paginya, mereka pun beramai-ramai datang menemui Juha dan meminta Juha menceritakan apa yang telah berlaku pada malam tadi dengan amanah dan jujur. Juha pun menceritakan kepada mereka,
“Sesungguhnya malam tadi aku tidak dengar apa-apa melainkan desiran dedaunan pokok yang ditiup angin. Selain itu aku juga mendengar tiupan angin yang agak kencang hingga aku merasakan kedinginan yang amat sangat dan aku juga terlihat dari kejauhan iaitu lebih kurang sebatu di depanku kelihatan api yang aku rasakan itu mungkin longgokan api,”
Tiba-tiba salah seorang sahabat Juha bangun dan berkata,
“Bukankah kita dah berjanji jangan langsung kamu menyalakan api atau pun ada apa-apa unsur yang boleh mendatangkan kepanasan kepadamu? Bermakna api itu dapat memanaskan badan kamu dan dan kamu telah menyalahi syarat perjanjian kita!”
Lalu seorang lagi sahabat Juha bangun dan juga berkata perkara yang sama sekaligus menguatkan lagi kata-kata kawannya itu dan akhirnya semua mereka memberi keputusan bahawa Juhalah yang kena menyediakan hidangan kepada mereka. Juha pun bersetujulah tanpa banyak bercakap.
Maka tiba hari yang telah ditetapkan, datanglah beramai-ramai sahabar Juha ke rumahnya untuk menjamu selera. Juha pun segera mempersilakan mereka masuk.
Setelah agak lama mereka menunggu, perut mereka pula mula berkeroncong dan apabila tidak tahan lagi, mereka terus bertanya pada Juha,
“Wahai Juha, mana dia hidangan kamu? Kami dah lama menunggu ni,”
Oleh kerana mereka bertanya, Juha pun mengajak mereka ke kebun yang berada di belakang rumahnya. Sesampai di situ semua mereka terkejut bila melihat sebuah periuk yang besar sedang tergantung di dahan salah sebuah pokok yang ada di kebun Juha. Mereka terus bertanya,
“Wahai Juha, apa ni?”
Juha pun menjawab sambil ingin mengenakan sahabat-sahabatnya,
“Takkanlah kamu semua sudah lupa yang dulu kamu katakan pada aku bahawa aku akan dapat memanaskan badanku yang kesejukan di musim dingin dengan longgokan api yang jauhnya sebatu. Jadi sekarang ini di depan mata kamu semua, kamu menyaksikan sebuah periuk yang berisi makanan berada sehasta sahaja dari kepanasan api pelita yang ada di bawahnya. Takkanlah makanan ini tidak dapat dimasak dalam jarak yang lebih dekat bukan? Jadi tunggulah sampai ia masak dulu!”

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012