Tuesday, August 28, 2012

Kisah Abu Nawas: Melarang rukuk dan sujud ketika solat

Suatu ketika, Khalifah Harun Ar-Rasyid hampir-hampir saja menjatuhkan hukuman mati kepada Abu Nawas yang dianggap sebagai salah seorang pngikut setia baginda gara-gara baginda mendengar khabar Abu Nawas telah banyak menyebarkan fatwa yang salah berkenaan dengan larangan rukuk dan sujud ketika solat. Keadaan itu telah mengemparkan kerajaan di bawah pimpinan baginda buat seketika.  Mengikut kepada undang-undang, kesalahan tersebut boleh membuatkan Abu Nawas dipenggal kepala kerana melakukan fitnah berkaitan dengan ajaran Islam. Lalu Khalifah Harun Ar-Rasyid memanggil Abu Nawas bagi mengesahkan tindakannya itu.
“Wahai Abu Nawas, apakah benar engkau mengatakan bahawa kita tidak perlu rukuk dan sujud ketika dalam solat?” soal baginda sebaik saja Abu Nawas berdiri di depannya.
“Benar tuanku,” jawab Abu Nawas penuh tenang.
“Benarkah juga engkau berkata kepada masyarakat yang Raja Harun Ar-Rasyid suka pada fitnah?” tanya baginda lagi.
“Benar tuanku,” jawab Abu Nawas tetap tenang.
Lalu tersentak baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid mendengar jawapannya itu.
“Jadi memang sepatutnyalah engkau dihukum mati kerana melanggar syariat Islam dan menyebarkan fitnah tentang Raja Harun Ar-Rasyid,” tegas baginda penuh murka.
“Tunggu dulu tuanku. Memang benar patik membenarkan kedua-dua pertanyaan tuanku tadi tapi rasanya khabar yang sampai ke pengetahuan tuanku tidak lengkap dan seolah-olah patik telah berkata salah. Dalam erti kata lain, patik seakan telah difitnah,” Abu Nawas cuba membela diri.
Khalifah Harun Ar-Rasyid terus bertanya,
“Wahai Abu Nawas, apa maksudmu? Kenapa engkau berkata begitu?”
Lalu bersuaralah Abu Nawas dengan penuh yakin.
“Wahai tuanku, memang benar aku melarang rakyat melakukan rukuk dan sujud ketika solat tetapi tahukah tuanku solat apa yang aku maksudkan itu? solat yang tidak memerlukan perbuatan rukuk dan sujud adalah solat jenazah dan itulah yang aku terangkan kepada semua,” jelas Abu Nawas.
Khalifah Harun Ar-Rasyid terdiam sebelum mengangguk tanda setuju dengan penjelasan itu.
“Bagaimana pula dengan fitnah yang mengatakan Raja Harun Ar-Rasyid suka pada fitnah? Bukankah itu satu fitnah yang berat yang telah engkau benarkan wahai Abu Nawas?” soal baginda semula.
“Oh, tentang itu patik terbaca erti Surah Al- Anfal ayat 28 yang berbunyi,

واعلموا أنما أموالكم وأولادكم فتنة وأن الله عنده أجر عظيم

Ertinya:
“Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah lah pahala yang besar,”

“Maksud engkau?” soal Khalifah Harun Ar-Rasyid tak sabar.
“Nah, sebagai seorang ayah kepada anak-anak yakni rakyat jelata, tuanku sepatutnya tidak membiarkan fitnah menguasai kerajaan hingga menimbulkan rasa suka pada mereka yang menebarkan fitnah. Kerana itulah patik mengatakan bahawa tuanku suka pada fitnah,” jelas Abu Nawas sekaligus mengkritik cara pimpinan baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid.
Lalu baginda tertunduk malu. Kesal kerana terburu-buru membenarkan fitnah yang dilakukan oleh para pembesar baginda yang lain kerana cemburu kepada Abu Nawas yang menjadi kesayangan baginda. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012