Tuesday, August 28, 2012

Kisah Juha : cerita pendek Juha (2)

Unta Minta Upah?

Suatu ketika Juha pergi keluar untuk membeli gandum. Setelah gandum dibeli, Juha meletakkannya di belakang untanya untuk dibawa balik.
Tiba-tiba unta yang ditungganginya lari dengan membawa gandum yang baru dibeli itu.
Setelah beberapa hari kemudian. Juha menjumpai untanya. Akan tetapi Juha mengelakkan diri dari dilihat olh untanya. Lalu menimbulkan rasa hairan pada sesiapa yang melihat tingkahnya.
“Mengapa engkau menyembunyikan diri dari untamu?” tanya seseorang kepada Juha.
“Aku khuatir unta itu akan meminta wang upah kepadaku. Sebab itulah aku bersembunyi darinya,” jawab Juha.

Kambing ajaib

Semasa remajanya, Juha pernah disuruh ke pasar oleh ayahnya untuk membeli kepala kambing bakar. Dia pun pergi dan membeli sekepala kambing bakar yang baik lalu dibawanya pulang.
Di pertengahan jalan, Juha berhenti dan membuka kain yang menutup kepala kambing itu. Kerana tergoda dengan keenakan kepala kambing itu, dia memakan kedua-dua matanya, kedua-dua telinganya, lidahnya dan juga otaknya. Kemudian sisanya iaitu tengkorak kepala kambing dibawanya pulang. Diserahkan kepada ayahnya selepas itu.
Sudah tentu ayahnya sangat terkejut kerana kepala kambing tersebut sudah kosong dan bahagian-bahagian lainnya juga hilang.
“Celaka kamu, apa ini?” tanya ayahnya.
“Itulah kepala kambing yang ayah minta,” jawab Juha.
“Mana kedua-dua matanya?” tanya ayahnya lagi.
“Ia adalah kambing buta,” jawab Juha.
“Mana kedua-dua telinganya?”
“Kambingnya tuli,”
“Lidahnya juga tiada, ke mana?”
“Kambing itu kelu agaknya,”
“Otaknya juga tiada, mana perginya?”
“Kambingnya botak,” jawab Juha.
Ayahnya tidak dapat menerima kepala kambing yang tidak sempurna itu kerana merasa rugi.
“Celaka kau Juha. Kembalikan kepala kambing ini kepada penjualnya dan tukar dengan yang lain,” suruh ayahnya.
“Pemiliknya telah menjual kepala kambing tu tanpa sebarang cacat,” jawab Juha.

Membeli bangkai

Suatu hari Juha melihat sekumpulan kanak-kanak bermain-main dengan seekor burung yang sudah mati. Dihampiri kumpulan itu lalu dia bertanya.
“Boleh kalian menjual burung itu kepadaku?” tanya Juha.
“Burung ini sudah mati jadi buat apa engkau nak beli?” tanya kanak-kanak itu.
“Aku memang ingin memilikinya,” jawab Juha.
“Kalau begitu, belilah,” kata-kata mereka.
Lalu Juha membayar satu dirham dan dibawanya pulang burung yang sudah mati itu. Sesampainya di rumah, ibunya yang kehairanan dan marah terus bertanya,
“Hai Juha! Buat apa engkau mmbawa pulang burung yang sudah menjadi bangkai itu?”
“Diamlah ibu. Jika burung ini hidup, aku tidak sanggup mengeluarkan seratus dirham untuk membeli makanannya,” jawab Juha. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012