Tuesday, August 28, 2012

Kisah Juha: Juha dengan perompak


Suatu ketika, Juha adalah seorang saudagar yang terkenal lagi kaya raya dan dia juga dikenali sebagai saudagar yang pemurah, baik hati, amanah serta suka membuat kebajikan. Dia hidup berdua saja iaitu dengan isterinya di dalam sebuah rumah yang sungguh besar. Mereka ditakdirkan Allah tidak mempunyai cahaya mata walaupun seorang.
Menjadi kebiasaan Juha untuk menyimpan semua hartanya sama ada yang diperolehi dari hasil perniagaan atau sumber lain di dalam sbuah peti besi yang besar di salah sebuah bilik khas di dalam rumahnya. Malah kesemua harta miliknya turut disimpan di dalam peti besi tersebut.
Dalam masa sama, Juha tidak pernah mengupah pengawal walau seorang pun untuk menjaga rumahnya sedangkan rumahnya itu sentiasa menjadi intipan perompak-perompak yang berkeliaran di dalam bandar tersebut. Juha hanya bertawakal kepada Allah SWT atas segalanya.
Suatu malam, Juha tiba-tiba terjaga dari tidur kerana terdengar suara dan tapak kaki orang berjalan-jalan di atas bumbung rumahnya. Dia yakin ada orang ingin menceroboh masuk ke dalam rumahnya dan pastinya orang itu adalah perompak.
Serta-merta dia mengeletar ketakutan bila dia terdengar perbualan para perompak di atas bumbung rumahnya,
“Malam ini kita mesti rompak seluruh harta yang dimiliki Juha, kita jangan tinggal walau satu pun. kalau dia melawan, maka kita bunuh saja dia dan isterinya,” bertambah menggeletarlah Juha kerana terlalu takut tapi dia cuba mengawal diri dan perasaannya.
Lalu dia duduk di atas katil, termenung sambil mulutnya berkumat-kamit tidak habis-habis mengucapkan kalimah syahadah. Dalam kepala dia berfikir-fikir cara untuk menyelesaikan masalah itu disamping menyelamatkan dirinya, isterinya dan juga hartanya.
Tanpa berlengah dia terus mengejutkan isterinya dengan perlahan dan tenang lalu memberitahu isterinya tentang apa yang sedang berlaku.
Setelah agak lama, akhirnya Juha mendapat satu jalan. Maka dia pun meminta isterinya supaya berpura-pura berselisih faham dengannya serta marah-marah padanya dengan suara yang tinggi agar para perompak yang berada di atas bumbung rumah dapat mendengar perbualan mereka.
Sambil berbisik-bisik perlahan Juha memberitahu isterinya supaya bertanya pada Juha tentang dari mana Juha mendapat harta yang dimilikinya sekarang ini dengan suara yang kuat.
Lantas isterinya pun memgikut arahannya lalu bertanya dengan suara yang kuat,
“Wahai Juha! Aku ini isteri kamu. Jadi mengapa pula kamu tidak percaya denganku? Mengapa kamu mesti rahsiakan dariku perkara sebenar tentang bagaimana caranya kamu boleh peroleh harta kekayaan yang kami miliki sekarang ini. kita sudah lama berkahwin dan aku masih ingat lagi bahawa semasa kita kahwin dulu kamu tidaklah sekaya ini. bahkan kamu hidup dalam keadaan miskin dan papa kedana. Aku juga rasa orang tua kamu tidak ada mewariskan apa-apa harta kekayaan buat kamu. Jadi tolonglah ceritakan kepadaku apakah rahsianya? Janganlah kamu menyembunyikannya dariku wahai Juha!”
Lalu Juha pun brkata dengan nada perlahan bercampur sedih,
“Setelah begini lama kamu hidup denganku barulah kamu mahu bertanya dari mana dan bagaimana aku memperolehi seluruh harta kekayaan yang aku miliki sekarang ini. Wahai isteriku! Bukankah kamu tahu bahawa aku ini adalah seorang saudagar yang mahsyur. Dulunya aku terpaksa bekerja keras, bertungkus lumus menempuh berbagai kesusahan dan rintangan maka wajarlah aku memperolehi segala apa yang aku miliki sekarang ini. Dan semua hartaku ini datangnya dari hasil usahaku yang halal hingga aku dapat membuat pelbagai kebajikan. Aku rasa semua orang tahu akan cerita ini jadi bagaimana kamu isteriku tidak tahu tentang ini, teman sehidup sematiku. Sepatutnya kamulah yang lebih tahu dan paling faham tentangku. Semoga Allah mengampunkan kamu wahai isteriku!”
Isteri Juha tidak puas hati lalu terus berkata dengan suara yang makin kuat,
“Wahai Juha suamiku! Janganlah kamu berpura-pura! Kamu banyak bersedekah dan berbuat kebajikan semua itu supaya orang mengatakan kamu adalah seorang yang baik hati. Aku sama sekali tidak percaya dengan apa yang kamu sebutkan tadi. semua itu adalah tipu dan bohong belaka. Aku yakin dan percaya di sebalik semua ini pasti tersembunyi satu rahsia yang besar dan penting sekali. Mustahil kamu dapat semua harta kekayaan ini dalam masa yang singkat!”
Dalam masa yang sama segala pertelingkahan mereka didengar oleh perompak-perompak yang berada di atas bumbung. Mereka mendengar dengan penuh teliti dan tidak sabar untuk mengetahui rahsia sebenar Juha. Perkara ini menimbulkan tanda tanya dalam fikiran mereka dan mulalah mereka menyangka yang bukan-bukan tentang bagaimana Juha memperolehi segala harta kekayaannya. Dan kebetulan mereka pun tidak pernah mendengar bagaimana kisah Juha menjadi kaya dan kisah perniagaan Juha. Yang mereka tahu Juha tiba-tiba mempunyai rumah besar dan harta yang banyak. Itu saja. Lalu sambil memasang telinga, para perompak cuba-cuba juga untuk mengintai-gintai ke bawah untuk melihat apa yang sedang dilakukan oleh Juha dan isterinya ketika itu. Adapun kedua suami isteri itu hanya duduk bertentangan di atas katil sambil berpandangan sesama sendiri.
Selang beberapa ketika, kedengaran suara isteri Juha memaksa Juha menceritakan rahsia sebenarnya. Dia berharap Juha tidak lagi menyimpan rahsia tersebut darinya kerana sesungguhnya dia telah berbakti dengan penuh ikhlas sebagai isteri. Jadi janganlah pula Juha tidak mempercayainya. Bersungguh-sungguh isteri Juha memujuknya hingga akhirnya kerana tidak tahan, isteri Juha terus menangis lalu berkata,
“Wahai Juha! Aku mengingatkan kamu buat kali terakhir, jika kamu tetap juga tidak mahu menceriatkan rahsia tersbut, maka sekarang ini juga aku akan keluar rumah meninggalkan kamu seorang diri dan aku tidak akan pulang ke sini lagi sampai bila-bila!”
Juha terperanjat melihat gelagat isterinya yang kelihatan bersungguh-sungguh meluah kata-katanya sekaligus menjadikan Juha semakin bersemangat untuk meneruskan lakonan mereka lagi. Maka dia pun menenangkan isterinya. Sambil memujuk dia berjanji akan menceritakan rahsia tersebut tetapi dengan syarat isterinya hendaklah menyimpan rahsia tersebut dengan penuh amanah, tidak diceritakan pada sesiapapun dan jangan sampai rahsianya bocor. Serta-merta isterinya berhenti menangis seraya berjanji sebagaimana yang diminta Juha.
Kemudian Juha pun mulalah bercerita,
“Sebenarnya aku dulu adalah seorang perompak yang terkenal, sangat pintar lagi sungguh hebat. Aku mempunyai pengikut yang ramai. Semuanya berani, ganas lagi jahat. Aku boleh menjadi ketua kerana aku mempunyai satu ilmu yang tidak ada pada perompak lain. Aku telah mempelajari satu ilmu sihir dari sorang ahli sihir hindu yang mana ilmu itu sangat berbahaya tetapi sungguh berkesan!”
“Kelebihan yang aku dapat dari ilmu ini adalah aku mudah untuk merompak rumah-rumah orang kaya. Caranya aku akan masuk ke rumah orang kaya tersebut tanpa diketahuinya dan aku akan ambil seluruh hartanya dan setelah itu aku akan keluar semula dengan selamat. Lamalah juga aku melakukannya hingga aku benar-benar kaya sekarang ini. setelah agak lama barulah aku berpindah ke bandar ini. aku bawa seluruh harta kepunyaanku dan orang bandar ini tidak tahu langsung tentang asal usulku apalagi pekerjaan yang aku lakukan sebelum ini. Tetapi semua itu bukan boleh dilakukan begitu saja. Ada bacaan tertentunya!”
Mendengar cerita Juha itu menjadikan para perompak yang memasang telinga semakin tidak sabar-sabar untuk mengetahui apakah bacaan tersebut. Bertambahlah gembira mereka bila mendengar isteri Juha memujuk Juha agar memberitahunya tentang bacaan tersebut.
Juha bersetuju tetapi dengan syarat jangan dibocorkan rahsianya itu kerana dia tidak mahu orang lain menggunakannya untuk melakukan kejahatan lagi kerana dia telah bertaubat. Isterinya bersetuju lalu Juha menyambung ceritanya,
“Cara aku merompak dulu, aku akan panjat ke atas bumbung rumah orang tersbut dan tempat yang aku mula-mula aku cari ialah tempat ruang di mana cahaya bulan boleh masuk ke dalam rumah tersebut. Sudah mestilah cahaya bulan kena terang jadi aku akan pastikan bahawa cahaya bulan dapat masuk melalui ruang tersebut hingga sampai ke dalam rumah. Setelah itu akan aku akan berdiri betul-betul di atas ruang tersebut sambil mengenakan badanku pada cahaya bulan lantas aku menyebut, “Syaulam!... syaulam!” sebanyak 7 kali.
Maka dengan sendirinya cahaya bulan itu akan membawa aku turun masuk ke dalam rumah melalui ruang tersebut, seakan-akan aku turun dari tangga. Jadi bila dah sampai ke dalam rumah, apa lagi. aku ambillah segala harta benda dan kemudian aku berdiri semula pada cahaya bulan tadi lantas aku menyebutkan bacaan yang sama sebanyak 7 kali.
Serta-merta cahaya bulan itu akan membawa aku dan semua harta yang aku curi naik semula ke atas bumbung rumah. semua itu aku lakukan tanpa disedari langsung oleh tuan rumah. sedar-sedar keesokan paginya seluruh harta bendanya telah habis aku curi. Begitu hebat sekali ilmu yang aku amalkan!”
Kemudian tidak semena-mena Juha pun melaungkan suara pada isterinya,
“Hah! Sekarang baru kamu puas hati! Kamu dah tenang dah! Kamu dah tahu siapa aku sebenarnya, yang penting kamu mesti simpan rahsia ni betul-betul jangan sampai bocor! Baiklah sekarang kita tidurlah sebab besok banyak kerja yang hendak aku selesaikan! Tidurlah!”
Mereka berdua pun kembalilah berbaring di tempat tidur tetapi sebenarnya mereka berpura-pura tidur. Juha yakin bahawa sedikit sebanyak cerita yang direka-rekanya itu tadi dapat menipu daya para perompak yang masih berada di bumbung rumahnya dan dia yakin pasti mereka akan melalukan sesuatu hasil dari cerita rekaannya itu tadi.
Bila para perompak yakin Juha dan isterinya telah tidur, maka ketua perompak mengambil keputusan untuk melakukan perkara sepertimana yang diceritakan Juha. Dia terus mencari ruang di mana cahaya bulan boleh masuk ke dalam rumah. dan kebetulan pula malam itu bulan mengambang jadi cahaya bulan bulan menjadi agak terang. Setelah puas ketua perompak menjenguk ke dalam ruang tersebut, tahulah dia bahawa ruang tersebut boleh masuk terus ke dalam bilik di mana Juha menyimpan seluruh hartanya. Dia pun terus berdiri bertepatan dengan ruang tersebut. Dikenakan badannya pada cahaya bulan lalu dengan suara yang kuat dia pun menyebut,
“Syaulam!... Syaulam!” sebanyak 7 kali.
Tetapi dia merasa hairan kerana tidak berlaku sepertimana menurut cerita Juha tadi. Dia mula tidak puas hati. Berulang-ulang kali dia menyebut bacaan tersebut tetapi badannya tidak juga mahu bergerak. Akhirnya oleh kerana hilang sabar dia pun terus melompat masuk ke dalam ruang tersebut dngan harapan akan berlaku sepertimana yang dia sangka.
Akan tetapi nasibnya memang tidak baik. Memang benar cahaya bulan tidak berperanan sama sekali. Tanpa diduga dia terus terjatuh ke dalam rumah dari atas bumbung rumah dan bunyinya berdentum. Oleh kerana terlalu sakit dia pun menjerit,
“Aduh!...aduh!”
Juha dan isterinya yang memang sudah menyangka akan berlaku sedemikian, terus bingkas bangun. Dicapainya sebatang tongkat lalu meluru ke arah bilik khas tempat Juha menyimpan peti besi. Tanpa kasihan Juha memukul ketua perompak dengan sekuat hatinya hingga jeritan ketua perompak semakin tinggi kerana bertambah-tambah sakit.
Keadaan ini menyedarkan para perompak lain yang sedang berada di atas bumbung. Tahulah mereka bahawa ketua mereka telah terpedaya dengan cerita Juha dan telah pun ditangkap oleh Juha. Tanpa berlengah mereka pun terus melompat dari atas bumbung dan lari menyelamatkan diri sebelum ditangkap oleh orang ramai.
Dalam masa yang sama Juha dan isterinya sama-sama menjerit meminta tolong dari pnduduk bandar. Apalagi orang ramai pun terjaga lalu beramai-ramai berlari menuju ke rumah Juha. Juha pun meminta isterinya mengambil tali lalu mengikat ketua perompak. Diheretnya keluar dan bersama mereka yang lain, dia membawanya ke rumah tuan hakim untuk dibicarakan. Sambil berjalan orang ramai tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepada Juha kerana berjaya menangkap perompak yang selama ini bermaharajalela di bandar tersebut.
Tuan hakim terus membicarakan ketua prompak dan akhirnya ketua perompak mengaku bersalah seraya memberitahu siapa pengikut-pengikutnya, di mana mereka bersembunyi dan juga tempat mereka menyembunyikan harta-harta penduduk yang telah mereka curi. Lantas tuan hakim mengeluarkan arahan supaya semua barang-barang curi tersebut dipulangkan semula pada pemiliknya manakala semua perompak ditangkap dan dipenjarakan.
Riuh rendah suara orang ramai tidak sudah-sudah mengucapkan terima kasih pada Juha dan tuan hakim sambil beramai-ramai memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.
Dalam riuh rendah itu, tiba-tiba isteri Juha datang menghampiri Juha lalu berkata,
“Nampaknya semua perompak sudah tertangkap. Ini menunjukkan kamu ada peluang untuk mengamalkan semula ilmu kamu tu. kalau kamu merompak pun orang tak akan tahu siapa yang melakukannya. Bukankah ilmu kamu tu hebat dan berkesan!”
Juha terperanjat sebentar bila mendengar kata-kata isterinya. Rupa-rupanya isteri Juha percaya dengan cerita yang direka-rekanya malam tadi. oleh kerana terlalu geli hati Juha pun terus ketawa berdekah-dekah sambil di dalam hatinya berkata,
“Tidak sangka isteriku boleh terfikir seperti yang demikian!” 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012