Sesetengah pendapat pula mengatakan Al-Maarij itu ialah api yang bercampur warnanya dan sama maknanya dengan " As-Samuun " iaitu api yang tidak berasap tetapi sangat tinggi suhu panasnya. Angin samuun yang telah sebati dengan Al-Maarij itulah Allah SWT jadikan Jaan.
Menurut suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud RA pula menyatakan bahawa angin Samuun yang dijadikan Jaan itu hanyalah satu bahagian daripada 70 bahagian angin Samuun yang sangat panas itu.
Dari api yang amat panas inilah Allah SWT telah menciptakan Jin, iaitu dari sel atau atom atau daripada nukleas-nukleas api. Kemudian Allah SWT masukkan roh atau nyawa padanya, maka jadilah ia hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Jin juga di beri izin oleh Allah SWT menzahirkan berbagai-bagai bentuk dan rupa yang disukai dan dikehendakinya kecuali rupa Rasulullah SAW mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Jin juga diperintahkan oleh Allah SWT menerima syariat Islam sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Rupa bentuk Jin yang asal selepas di cipta dan ditiupkan roh itu, hanya Allah SWT dan Rasulnya sahaja yang mengetahuinya. Menurut sesetengah ulama rupa, tabiat, kelakuan dan perangai Jin adalah 90 % mirip kepada manusia.
Asal kejadian manusia ialah campuran daripada Jisim Kathif iaitu tanah dan air, Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani, iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang dinamakan "Latifatur-Rabbaniah " sesuai dengan manusia sebagai sebaik-baik kejadian yang diciptakan Allah SWT dan sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini. Manakala kejadian Jin pula ialah campuran Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang sesuai dan sepadan dengan kejadian Jin. Manakala makhluk-makluk lain pula Allah SWT jadikan daripada salah satu unsur tersebut, contohnya, binatang yang dijadikan daripada campuran Jisim Ksayif dan Jisim Syafaf sahaja. Batu dan tumbuh-tumbuhan pula dijadikan daripada Jisim Kasyif semata-mata. Manakala Malaikat pula dijadikan daripada Nurani semata-mata.
Manusia memerlukan masa mengandung selama 9 bulan untuk melahirkan zuriat dan anak manusia juga memerlukan masa yang lama untuk matang dan menjadi baligh. Berbeza dengan Jin di mana, apabila di sentuh alat kelamin lelaki dengan alat kelamin perempuan, maka Jin perempuan akan terus mengandung dan beranak dan anak Jin yang baru lahir itu terus mukallaf. Begitulah keadaanya sehingga ke hari kiamat. Iblis laknatullah pula apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan mengeluarkan 33 biji telor. Dalam setiap biji telor itu ada 33 pasang benihnya. Tiap-tiap pasang benih itu apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan keluar seperti yang terdahulu. Begitulah proses pembiakan Jin dan Iblis sehinggalah ke hari kiamat.
Sesetengah ulama berpendapat bahawa Azazil itu bukanlah moyang Jin, sebenarnya beliau merupakan satu Jin yang paling abid dan alim di kalangan Jin yang di angkat menjadi ketua ahli-ahli ibadat kepada Jin dan Malaikat. Dia menjadi angkuh dan takbur di atas keilmuan, ketakwaan dan banyak beribadat serta asal usul kejadiannya berbanding dengan manusia ( Adam AS). Maka dengan sifat beliau yang sombong itu Allah SWT telah melaknatnya menjadi kafir dengan nama Iblis.
Jin, Ifrit, Syaitan laknatullah dan Iblis laknatullah adalah merupakan sebahagian daripada golongan Jin, cuma tugas dan fungsi mereka sahaja yang berbeza. Jin sebagaimana yang telah diterangkan di atas ialah sejenis mahkluk Allah yang tersembunyi dan tidak kelihatan oleh manusia. Pengetahuan mereka lebih luas dan sangat panjang usianya. Manakala Ifrit pula adalah daripada golongan Jin yang sangat kuat dan bijak menipu serta sangat busuk hati terhadap manusia. Golongan ini tersangat sombong lagi amat durhaka kepada Allah SWT. Iblis laknatullah dan Syaitan laknatullah juga terdiri daripada golongan Jin dan mereka merupakan golongan Jin yang sangat sombong lagi durhaka, pengacau dan menjadi musuh utama manusia dan mendapat kutukan Allah SWT sehingga ke hari kiamat.
Lafaz "syaitan" sebenarnya berlaku untuk golongan jin dan manusia yang melampaui batas dan membangkang terhadap hukum-hakam Allah. Orang Arab kadangkala menamakan "ular" sebagai syaitan kerana ia membangkang, cepat bergerak dan amat membahayakan. Allah SWT menyebutkan bahawa pohon "Zaqqum" bagaikan kepala syaitan. Pohon Zaqqum adalah pohon yang tumbuh di dasar neraka sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Muncungnya bagaikan kepala syaitan." (Ash-Shaffat: 65)
Syaitan laknatullah sentiasa melihat kita sedangkan kita tidak dapat melihatnya. Dia mendengar apa yang kita katakan sedangkan kita tidak merasa apa bisikannya. Iblis laknatullah menggoda manusia dengan cara yang halus dan tidak dirasakan. Rasulullah SAW ada bersabda: "Sesungguhnya syaitan berjalan dalam tubuh manusia seperti berjalan atau mengalirnya darah."
Dari Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Syaitan mengikat tengkuk salah seorang kamu (setiap orang) ketika tidur pada waktu malam dengan tiga ikatan. Apabila orang yang tidur itu bangun dari tidurnya kemudian dia mengingati Allah SWT (membaca doa bangun tidur) maka terbukalah satu ikatan. Jika dia berwuduk, terbukalah satu ikatan lagi dan jika dia mengerjakan solat (fardu Subuh) terbukalah yang ketiga, sehingga dia menjadi sihat dan cergas. Kalau tidak melakukan yang tiga itu, dia merasakan rimas atau malas."
Permusuhan iblis laknatullah serta syaitan laknatullah dengan bani Adam sampai kemuncaknya pada waktu munculnya Al Masih Ad-Dajjal. Pada waktu itu, syaitan laknatullah akan menggandakan usahanya untuk menjerumuskan bani Adam sama-sama menemaninya ke neraka Jahannam. Moga Allah SWT memberi kita perlindungan dari tipudaya syaitan laknatullah ini.
Umar al-Khattab RA berkata, terdapat 9 jenis anak syaitan:
- Zalituun laknatullah - Duduk di pasar atau kedai supaya manusia hilang sifat jimat cermat. Menggoda supaya manusia berbelanja lebih dan membeli barang-barang yang tidak perlu.
- Wathiin laknatullah - Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah SWT.
- A'awanlaknatullah - Menghasut sultan, raja, pemerintah supaya tidak mendekati rakyat. Seronok dengan kedudukan atau kekayaan hingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama.
- Haffaf laknatullah - Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri orang yang berada di tempat-tempat maksiat.
- Murrah laknatullah - Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yg sukakan muzik sehingga lupa kepada Allah SWT. Mereka ini tenggelam dalam keseronokan dan glamour.
- Masuud laknatullah - Duduk di bibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah, gosip, umpatan dan apa sahaja penyakit yang mula dari kata-kata mulut.
- Daasim laknatullah - Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam ketika masuk ke rumah, Daasim laknatullah akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumahtangga (suami isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri, isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak didera dan pelbagai bentuk kemusnahan rumah tangga lagi).
- Walahaan laknatullah - Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika berwuduk dan solat dan menjejaskan ibadat-ibadat kita yg lain.
- Lakhuus laknatullah - Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api/matahari.
No comments:
Post a Comment