Sunday, August 05, 2012

Kenanganku kembali lagi...


Hari ini hari minggu. Semua orang tahu tentang itu kan? Hmm… sunyi saja saya rasakan sepanjang hari ini. mungkin sebab saya tidak ke mana-mana. Teman-teman serumah pula awal-awal pagi sudah keluar mencari rezeki. Sebelum tengah malam nanti barulah pulang. Yang lain? Ada yang pulang ke kampung. Ada juga yang melawat sanak saudara. Tinggallah saya menjadi penunggu rumah percuma. Ingin keluar, memang malas rasanya. Ingin menerima pelawaan kakak untuk mengikut dia dan keluarganya mencari baju raya, lagilah malas. Sudahlah bersesakan di jalanraya, di pasaraya pun pasti suasana sama akan berlaku. Dalam surau usah dikata. Di bulan Ramadan begini semestinya akan penuh dengan manusia pelbagai lapisan masyarakat. Masing-masing pasti tidak akan melepaskan peluang untuk membuat ibadat sebanyak mungkin. Siapa yang tidak mahu mendapatkan ganjaran yang mustahil dapat di bulan-bulan lain? lalu dengan hati yang sedikit sebal, saya mengadap juga komputer seorang diri.
Membuang masa seorang diri di rumah mengingatkan saya pada kenangan yang pernah saya lalui di bulan puasa ketika di kampung. Selalunya di kawasan perumahan kami, selepas saja solat Subuh, suasananya menjadi sunyi sepi. Ramai mengambil peluang untuk melelapkan mata hingga hampir tengah hari. Saya yang sememangnya tidak suka tidur di siang hari akan mengambil kesempatan itu untuk mengemas rumah. bukannya apa, di waktu petang pasti sibuk dengan aktiviti-aktiviti lain. lagi pula, bolehlah saya larikan diri dari berbual-bual kosong dengan jiran tetangga. Kalau di hari-hari biasa, jika saya mengemas rumah, pasti ada saja jiran tetangga akan datang menjenguk. Jika tidak di halaman rumah, di balik dinding penghadang rumah pun boleh saja mereka menegur. Itu di depan rumah. jika ke ruang dapur, jiran di belakang rumah pula menyua muka. Mahu atau tidak, masa untuk mengemas pasti tertunggak dek melayan jiran-jiran yang memang sangat-sangat ramah. Jadi di bulan puasa begini, senang rasanya hati bila semuanya mengambil kesempatan di waktu pagi itu untuk tidur.
Selesai mengemas, barulah saya melakukan rutin-rutin yang lain. tapi selalunya saya akan mengikut bapa ke pasar. Membeli apa-apa bahan dapur yang dirasakan perlu. Jarang-jarang mak akan mengikut sebab bila saya di kampung, secara automatiknya saya diangkat menjadi tukang masak rumah kami. Bukan saja saya bahkan semua adik-beradik perempuan akan dipertanggungjawabkan begitu. dan bila berkumpul ramai-ramai, kakak saya yang paling sulunglah yang menjadi ketua tulang masak. Segala masakan yang akan dibuat semuanya dirujuk pada dia terlebih dulu. hmm… ini untungnya kalau ada ramai adik beradik perempuan (6 orang). Semuanya boleh saja menjadi pembantu dapur secara percuma. Itu belum dikira masuk dengan anak-anak saudara perempuan. Untung sungguhkan?
Balik dari pasar, saya akan sediakan bahan untuk membuat masakan di petang nanti. memang terlalu awal bagi orang lain tapi percayalah, pada saya, jika bahan tidak disediakan di awal tengah hari, memang alamatnya saya akan tidur di dapurlah malam nanti…
Usai solat Zohor, saya selalunya akan terus masuk dapur. Perkara pertama yang saya akan saya lakukan tentulah merancang kuih yang bakal saya sedia untuk diberikan pada jiran tetangga bagi membalas segala hidangan pemberian mereka. Percaya atau tidak, sudah menjadi tradisi di kawasan perumahan ini untuk saling bertukar hidangan bukan saja di bulan puasa tetapi juga di bulan-bulan lain. bulan puasa tak usah dikata. Adakalanya enam atau tujuh hidangan akanj dihantar serentak ke rumah kami yang hanya dihuni empat kerat manusia ini. jadi bayangkan saja berapa banyak pula kuih yang perlu saya sediakan untuk membalas semua hidangan tu. walau mereka tidak minta dibalas tapi orang sudah berbudi, mustahillah kita tidak berbahasa pula kan?
Selalunya saya akan membuat kuih karipap, bubur kacang, roti oat atau apa saja hidangan pencuci mulut yang dirasakan senang dan cepat disiapkan. Walau kedengarannya senang tapi masa yang diambil untuk membuatnya tidak sependek yang dijangka. Selalunya untuk 100 biji karipap, saya mengambil masa selama tiga jam untuk menyiapkannya. Itu tidak termasuk untuk mengoreng dan membuat inti. Itu tentang karipap. Belum dikira tentang membuat puding jagung pula. satu periuk besar puding jagung memerlukan dua hingga tiga jam untuk mengacaunya di atas dapur. Itu hanya untuk diberi pada jiran tetangga. Makanan untuk berbuka puasa belum siap lagi. jadi, bayangkan saja berapa banyak masa saya akan habiskan di dapur sepanjang petang puasa setiap hari…
Selesai menyediakan hidangan, saya jugalah yang akan menjadi tukang menghantarnya. Dari satu rumah ke satu rumah saya akan jengah. Selalunya saya tidak akan balik dengan tangan kosong. jika terlalu banyak yang membalas, anak-anak jiran dengan baik hatinya akan menawarkan diri untuk membantu saya membawa pulang hidangan yang diberi. Sebagai balasan, malam nanti saya akan adakan ‘kenduri’ di rumah selepas bersolat terawih dan merekalah yang tukang menghabiskan semua hidangan tersebut. Tetapi selalunya tidak akan habis memandangkan dia orang punya agenda lain untuk dibuat pada malam hari. Apa agendanya? Hah… tiada benda lain melainkan bermain bunga api dan mercun…
Inilah salah satu perkara yang perlu saya terima jika berpuasa di kampung. Usai berbuka puasa, bersolat Maghrib dan isyak serta terawih, agenda utama yang dilakukan anak-anak jiran adalah bermain bunga api dan mercun. Pusat utama permainan sudah tentulah di depan rumah saya. sebab pertama, mak dan bapa saya suka dengan kunjungan kanak-kanak. Meriah kata mereka. Kedua, rumah saya tiada bayi atau kanak-kanak kecil. Jadi tiada siapa yang menjerit marah memberitahu anaknya tidak dapat tidur. Ketiganya, mak saya dengan senang hati akan menyediakan ruang untuk jiran tetangga datang berbual-bual sambil memerhati anak-anak mereka bermain. Senang kata, rumah mak bapa saya adalah ‘port’ terbaik untuk bermain meski lorong rumah kami agak sempit dan gelap. Memang membingitkan tetapi itulah antara kenangan di bulan puasa yang tak dapat saya lupakan. Bahkan sampai ke hari ini, keadaan ini tetap berlaku di kampung. Rindu? Sangat-sangat walau hanya beberapa tahun saya dan keluarga menetap di situ. jauh berbeza dari di bandar tempat saya dan adik-beradik dibesarkan. Di sini, jiran tetangga juga sukar untuk bertegur sapa. Pintu rumah perlu dikunci dua puluh empat jam apatah lagi jika tinggal di rumah flat dan apartment seperti saya dan adik beradik menginap. Ingin juga sebenarnya punya rumah teres sebagaimana orang lain tetapi apa daya. Selain harganya begitu melambung, suasananya juga tetap sama seperti di rumah-rumah ‘burung’ ini. tidak semua kawasan perumahan begitu tapi hampir kesemuanya begitu bukan? Tak percaya? Cubalah tengok keadaan sekeliling kita kini. Sedihnya… 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012