Monday, September 03, 2012

Wajib qada solat fardu yang ditinggalkan…

SOLAT fardu yang tertinggal wajib diqada. Ulama membahagikan qada solat kepada dua jenis. Yang pertama qada solat bagi mereka yang tertinggal solat dengan keuzuran. Yang kedua qada solat bagi mereka yang tertinggal tanpa keuzuran.
Para ulama fikah dalam mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah, al-Hanafiyyah dan al-Hanabilah sepakat mewajibkan bersegera dalam mengqada solat wajib yang tertinggal tanpa keuzuran. Ini kerana meninggalkan solat tanpa keuzuran syarak adalah berdosa. Maka bertaubat daripada dosa dituntut segera.
Dosa yang bertangguh tanpa bertaubat akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Selagi tidak qada selagi itulah dosanya dikira. Syarat taubat daripada dosa ini ialah mengqadakan solat yang tertinggal.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan satu peristiwa yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika pulang menunggang unta dari peperangan khaibar telah merasakan mengantuk sangat, sehingga baginda bersabda:
“Wahai Bilal kita telah ditimpa malam”, maka bilal menunaikan solat beberapa rakaat yang terdaya oleh beliau, manakala Rasulu llah s.a.w dan para sahabat terus tidur.
Apabila hampir fajar Bilal menyandarkan badan pada tunggangannya sehingga Bilal tewas dalam mengantuk. Tiada seorang pun dari kalangan sahabat yang terjaga sehinggalah mereka terasa kepanasan matahari. Rasulullah s.a.w adalah yang terawal bangun lalu baginda terkejut. Lantaran Bilal berkata: “Demi ayahku dan ibuku apa yang berlaku pada diriku jualah yang menimpa dirimu wahai Rasulullah”. Kemudian kesemua sahabat bersiap untuk solat. Rasulullah s.a.w berwuduk dan menyuruh Bilal iqamat lalu baginda menunaikan solat fajar dengan mengimami para sahabat.
Apabila selesai menunaikan solat baginda bersabda: 
“Barang siapa yang melupai solat maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: “ Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.” (Tahaa:14 ), (riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm: 227).
Persoalannya bolehkah qada solat subuh? Sedangkan selepas subuh adalah waktu haram mendirikan solat. Mungkin ini menjadi asas kepada pandangan segelintir masyarakat yang menyangka tidak boleh melakukan sebarang solat selepas waktu subuh walaupun qada solat.
Dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w daripada ‘Uqbah bin ‘Amir memberitahu yang bermaksud: 
Baginda Rasulullah telah menegah kami dari menunaikan solat dan mengkebumikan jenazah pada tiga waktu berikut: ketika terbit matahari sehingga naik tinggi, ketika matahari berada pada ufuk dan ketika terbenamnya matahari. (riwayat Muslim, jld:1, hlm:568, Abu Daud, jld:2, hlm:185,).
Namun, solat yang diharamkan selepas solat fajar ialah solat sunat, adapun solat fardu tidak ditegah dari melakukannya, ini kerana selagi mana matahari tidak terbit selagi itu waktu itu waktu solat subuh. (Nuh ‘Ali Salman, Qadha al-Ibadat, hlm: 260-261).
Para Fuqaha dari kalangan mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah dan al-Hanabilah mengharuskan qada solat pada waktu-waktu yang ditegah dalam hadis di atas dan waktu-waktu lain.
Dr. Wahbah al-Zuhailiy menukilkan pandangan para fuqaha dengan menyimpulkan dengan pandangan: “Harus mengqada solat fardu yang tertinggal pada bila-bila masa, sama ada waktu itu ditegah daripada melakukan ibadat ataupun pada waktu biasa, maksudnya qada solat boleh dilakukan bila-bila sahaja.” (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, al-Fiqh al-Islamiy, jld:2, hlm: 144).
Justeru, dengan nas-nas daripada al-Quran serta hadis dan pandangan ulama yang muktabar jelas kepada kita bahawa qada ini boleh dilakukan pada bila-bila sahaja walaupun selepas subuh dan selepas asar.
Ini kerana wajib itu kekal wajib. Wajib dalam waktunya apabila tidak ditunaikan pada waktunya wajib itu tidak berubah tuntutannya ia tetap kekal wajib. Malahan orang yang tertinggal solat dengan alasan tertidur, terlupa wajib bersegera mengqadanya. Selagi mana tidak diqada selagi itulah hutang solatnya tertanggung atas bahunya.
Solat tidak boleh selesai dengan taubat sahaja. Taubat atas perbuatan alpa atau buat-buat alpa dan terlupa. Taubat dalam erti kata menyesal atas sikap acuh tak acuh, dan berjanji dengan Allah dan diri bahawa tidak akan mengulangi tabiat suka leka dan tidak bersungguh-sungguh dalam memelihara solat.

Lafaz qada solata adalah dengan menukarkan adaan  kepada  qadhoan (أداء/ قضاء ) 

Lafaznya: Misalnya lafaz solat Fardhu Zhohor tadi 

أصلى فرض الظهر اربع ركعات أداء/ قضاء لله تعالى

Usolli fardhoz-zuhri arba'a roka'aatin adaa-an/qadhoan  Lillahita'ala

Niatnya : Sahaja aku solat fardhu Zhohor , 4 Rakaat tunai /qadho kerana Allah Taala
atau Sahaja aku qadho solat fardhu Zhohor , 4 rakaat kerana Allah Taala .

Waktunya: Diharuskan qada pada bila-bila waktu 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012