Saturday, August 04, 2012

Nuzul Al-Quran

Nuzul Al-Quran



  • Peristiwa nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW seterusnya turun berperingkat-peringkat sehingga menjadi lengkap. Ia berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah [1].
  • Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW; maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.“Al-Quran” bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jenayah, muamalat, sains, teknologi dsb.
  • Kalimah Al-Quran sering dicantumkan dengan rangkai kata “Al-Quran mukjizat akhir zaman” atau “Al-Quran yang mempunyai mukjizat”. Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran yang tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan/tertinggal di dalamnya. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam Al-Quran.
  • Firman Allah, “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).”(Al-An’am: 38).
  • Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan kepada manusia. Segala isi kandungannya benar. Al-Quran juga dikenali sebagaiAl-Nur (cahaya yang menerangi), al-Furqan (yang dapat membezakan di antara yang hak & batil) dan al-Zikr (yang memberi peringatan).
  • Ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah 5 ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq:
“(1) Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). (2) Ia menciptakan manusia daripada segumpal darah. (3) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah (4) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan (5) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq: 1-5)
Proses Pengumpulan Al-Quran

Pengumpulan Al-Quran mempunyai dua kaedah iaitu (1) pengumpulan dalam dada, dan (2) dalam dokumen/catatan. Selain itu ia terbahagi kepada dua zaman iaitu pengumpulan pada zaman Nabi SAW dan pada zaman Khulafah ar-Rasyidin.Langkah-langkah seperti ini tidak terjadi pada kitab-kitab samawi lainnya sebagaimana Al-Qur’an, sebagai kitab yang maha agung dan mukjizat Muhammad yang abadi [2].

Pengumpulan Al-Qur’an dalam dada
Al-Quranul Karim turun kepada Nabi yang ummi (tidak boleh membaca & menulis). Baginda menguasai hafalan dengan baik dan menghayatinya. Setelah itu ia dibacakan kepada orang lain secara terang dan jelas agar dapat dihafal dengan mantap. Yang jelas adalah bahwa Nabi seorang yang ummi dan diutus Allah di kalangan orang-orang yang ummi pula, Allah berfirman:
Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dengan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah. (Al-Jumu’ah: 2).
Bangsa Arab papa masa turunnya Al-Quran, mereka berada dalam budaya Arab yang begitu tinggi, ingatan mereka sangat kuat, hafalannya cepat serta daya fikirnya begitu terbuka. Ramai orang Arab yang menghafal beratus-ratus ribu syair dan mengetahui salasilah serta nasab keturunannya. Jarang sekali di antara mereka yang tidak menghafal salasilah dan nasab mereka atau tidak hafal Al-Muallaqatul Asyar yang begitu banyak syairnya malah sulit untuk menghafalnya. Dengan mudah mereka menghafal Al-Quran ayat demi ayat dan surah demi surah.

Pegumpulan dalam bentuk tulisan
Bagi setiap ayat Al-Quran yang turun, baginda akan memerintahkan kepada mereka sahabat untuk menulisnya. Penulis-penulis tersebut adalah sahabat pilihan yang dipilih oleh baginda dari kalangan orang yang terbaik dan indah tulisannya agar mereka dapat mengembangkan tugas yang mulia ini. Antaranya adalah Muaz bin Jabal, Ubai bin Kaab, Zaid bin Thabit, Mu’awiyah bin Abi Sufyan, Khulafah ar-Rasyidin dan sahabat-sahabat lain.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Anas r.a. bahawasanya ia berkata: “Empat orang yang menghimpunkan Al-Quran pada zaman Rasulullah s.a.w semuanya dari golongan Ansar iaitu Muaz bin Jabal, Ubai bin Kaab, Zaid bin Thabit dan Abu ZaidAnas ditanya, ‘Siapa ayah Zaid?’ Ia menjawab, ‘Salah seorang pakcikku’.” [2,3].

Pengumpulan Al-Quran Pada Zaman Uthman
Faktor yang menyebabkan Saidina Uthman mengumpulkan Al-Quran adalah [4]:
1.            Kekuasaan Islam yang semakin luas berbanding pada zaman Saidina Abu Bakar.
2.            Agama Islam telah tersebar di pelbagai daerah dan kota. Bacaan Al-Quran menjadi berbeza mengikut bacaan sahabat yang mengajar. Penduduk Syam membaca Al-Qur’an mengikuti bacaan Ubai bin Kaab, penduduk Kufah mengikuti bacaan Abdullah Ibnu Mas’ud, dan sebahagian yang lain mengikuti bacaan Abu Musa al-Asy’ari. Di antara mereka terdapat perbezaan bunyi huruf dan bentuk bacaan. Masalah ini membawa mereka kepada pintu pertikaian dan perpecahan. Hampir satu sama lainnya saling mengkufurkan kerana berbeza pendapat dalam bacaan.

Diriwayatkan dari Abi Qilabah ia berkata: “Pada zaman pemerintahan Uthman, guru menyampaikan kepada anak didiknya, guru yang lain juga menyampaikan kepada anak didiknya. Dua kelompok murid tersebut bertemu dan bacaannya berbeza, akhirnya masalah tersebut sampai kepada pengajar sehingga satu sama lain saling mengkufurkan. Berita tersebut sampai kepada Uthman. Uthman berpidato dan seraya mengatakan: “Kalian yang ada di hadapanku berbeza pendapat, apalagi orang yang tempat tinggalnya jauh dariku pasti lebih-lebih lagi perbezaannya”.

Beliau kemudiannya mengumpulkan sahabat-sababat yang terkemuka dan cerdik untuk bermusyawarah untuk mengatasi perpecahan dan perselisihan. Mereka semua sependapat agar Amirul Mukminin menyalin dan memperbanyakkan mushaf kemudian mengirimkannya ke segenap daerah dan kota. Beliau mengarahkan agar mushaf lain dibakar tiada lagi pertikaian dan perselisihan dalam hal bacaan Al-Quran.
Empat orang sahabat telah dipilih untuk melaksanakan tugasan tersebut iaitu Zaid bin Thabit, Abdullah bin Zubair, Said Ibnu al-’Asb dan Abdurrahman Ibnu Hisyam. Kesemuanya daripada suku Quraisy (muhajirin) kecuali Zaid Ibnu Thabit (ansar). Pelaksanaan gagasan yang mulia ini adalah pada tahun ke-24 Hijrah.
Uthman mengatakan kepada mereka: “Bila anda sekalian ada perselisihan pendapat tentang bacaan, maka tulislah berdasarkan bahasa Quraisy, kerana Al-Quran diturunkan dengan bahasa Quraisy”. Uthman meminta kepada Hafsah binti Umar agar ia sudi menyerahkan mushaf yang ada padanya (dikumpulkan oleh Abu Bakar), untuk ditulis dan diperbanyakkan. Setelah selesai ia akan dikembalikan semula. Hafsah bersetuju mengabulkannya.

Perbezaan Antara Mushaf Abu Bakar dan Mushaf Uthman

  • Pengumpulan Al-Quran pada zaman Abu Bakar adalah dalam bentuk mushaf yang ayat-ayatnya sudah tersusun, berasal daripada tulisan yang terkumpul pada kepingan batu, pelepah kurma dan kulit-kulit binatang.
  • Ramai juga penghafaz yang telah syahid. Oleh itu Uthman mengarahkan ia disalin kembali untuk dikirimkan ke seluruh negara Islam untuk menyelesaikan masalah perbezaan bacaan Al-Quran.

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012