Sunday, August 05, 2012

Secebis kisah di bulan Ramadan


Sedar tak sedar, sudah sampai ke pertengahan Ramadan. Cepat benar masa berlalu kan? Saya sendiri tidak punya masa panjang untuk dihabiskan di blog ini. Bukan sahaja malas menaip tetapi juga malas untuk menatap blog yang sememangnya tidak mendapat tempat di hati saya untuk mencurah segala rasa. Namun entah mengapa, sejak di awal Ramadan saya banyak menghabiskan masa dengan melayari internet. Sebenarnya hanya untuk mencari ‘sesuatu’ yang dirasakan hilang dari jiwa. Akhirnya, lain di cari lain yang saya temui. Tetapi hasilnya memang amat memuaskan. Apa hasilnya? Kisah-kisah tentang Islam yang telah lama saya tidak tatap.
Di zaman sekolah, kebanyakan kisah-kisah teladan berkaitan agama Islam menjadi salah satu minat saya untuk dikaji. Bukan guru atau ustazah yang menjadi mangsa sola siasat tapi selalunya maklah orangnya tempat saya bertanya. Mak bukan ustazah, tidak juga guru agama tapi pengetahuannya agak meluas tentang agama Islam. Maklumlah, makkan bersekolah di sekolah pondok walau hanya untuk beberapa tahun.
Di situ, timbulnya minat saya untuk membaca segala kisah berkaitan agama Islam. Paling saya suka, berkaitan dengan riwayat hidup para Nabi. Saya masih ingat, entah banyak mana airmata saya jatuh setiap kali membaca kisah hidup Nabi Muhammad SAW. Dari baginda dilahirkan hinggalah wafat, saya hanya menangis, menangis dan menangis. Terlalu sedih sebenarnya untuk dihayati. Saya hanya akan ketawa apabila membaca tentang kemenangan baginda dalam setiap peperangan walau kisah perang merupakan satu-satunya kisah dalam Islam yang saya cuba elakkan.
Paling saya suka, bila membaca kisah Nabi Muhammad berkahwin dengan para isterinya. Terlintas di hati, alangkah indah jika hidup di zaman Nabi Muhammad. Tanpa malu pasti saya akan menawarkan diri untuk menjadi antara isteri-isteri baginda. Bukan gelaran Ummul Mukminin yang dikejar namun saya pasti, tiada wanita yang akan menolak untuk bersuamikan lelaki semulia baginda bukan? Namun bila terkenang iman dalam diri hanya senipis kulit bawang, malu pula rasanya membayangkan semua itu. apapun semua itu sekadar angan-angan ketika bergelar kanak-kanak yang belum kenal erti sepenuhnya…
Masa berlalu dan sekarang Allah kembali membawa hati saya untuk menelaah kisah-kisah agama Islam yang telah agak lama saya tinggalkan. Selama ini, walau buku-buku agama tetap diselak namun kisah-kisah berkaitan Nabi sudah sangat jarang saya tatapi. Mungkin pada sesetengah orang, bahan bacaan begini hanya sesuai untuk kanak-kanak tapi tidak pada saya. Untuk menghayati ajaran Nabi dalam hidup maka kita perlu kenal sepenuhnya Nabi junjungan kita terlebih dulu. Dengan itu pastinya iman kita terhadap agama Islam tidak akan mudah goyah meski kita tidak pernah menatap wajah baginda yang mulia, Nabi Muhammad SAW… 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012