Sunday, August 05, 2012

Perang Badar di bulan Puasa

IBADAT puasa pada bulan Ramadan diwajibkan bermula pada tahun 2 Hijrah, bersama dengan kewajipan membayar zakat.
Pada 2 Hijrah juga berlaku satu peristiwa yang amat signifikan dalam sejarah Islam. Perang Badar yang berlangsung pada 17 Ramadan adalah perang pertama di antara umat Islam dengan puak kafir musyrikin dari Mekah.
Ia berlaku di satu kawasan lembah bernama Badar yang menjadi persimpangan perjalanan kabilah-kabilah perdagangan antara Madinah, Mekah dan Syria.
Pertempuran itu melibatkan dua pihak yang saling mengenali kerana hubungan kekeluargaan dan persahabatan sebelum kedatangan Islam. Misalnya di pihak kafir musyrikin terdapat bapa saudara Rasulullah SAW, Al Abbas bin Abdul Mutallib dan anak Saidina Abu Bakar yang bernama Abdul Rahman.
Sudah tentulah faktor ini merupakan satu ujian keimanan yang amat hebat kepada orang-orang Islam yang dipimpin Rasulullah dan disertai oleh para sahabat yang ternama termasuk Abu Bakar. Bukan sahaja soal kekeluargaan dan persahabatan yang menguji keimanan, malah kekuatan dari segi bilangan perajurit dan kelengkapan yang amat kurang berbanding pasukan musyrikin juga amat mencabar keyakinan pasukan Islam.
Menurut catatan sejarah, bilangan perajurit Islam adalah antara 300 hingga 316, berbanding kira-kira 1,000 anggota pasukan musyrikin. Mereka menunggang dua ekor kuda dan 70 ekor unta secara bergilir dariMadinah. Bukan sahaja kurang dari segi keanggotaan dan kelengkapan, malah perajurit-perajurit Islam juga sedang menjalani ibadat berpuasa Ramadan yang pertama dalam hidup mereka. Namun di sebalik pelbagai kekurangan itu, mereka mempunyai satu kelebihan.
Kelebihan mereka ialah iman atau keyakinan bahawa Allah SWT akan memberikan pertolongan dan kemenangan. Sungguhpun begitu, ada juga yang asyik bertanya kepada Rasulullah: “Bila Allah akan memberikan kita kemenangan?”
Lantaran pertanyaan-pertanyaan mereka, Rasulullah berasa terdesak dan tidak henti-henti memanjatkan doa kepada Allah agar diberikan kemenangan dalam peperangan yang pertama ini. Di antara kata-kata baginda dalam doanya sebelum berperang ialah “Ya Allah, andainya orang-orang Muslim tewas pada hari ini, mereka tidak akan lagi menyembah-Mu.”
Memendekkan cerita, dengan pertolongan Allah yang memerintahkan para malaikat membantu tentera Islam, mereka mencapai kemenangan. Kemenangan mereka disambut dengan takbir yang bergema lantang, syahdu dan bertali arus di Madinah apabila tibanya Aidilfitri pertama pada 1 Syawal berikutnya
Sesungguhnya semangat tentera Islam yang berperang pada bulan Ramadan dengan kekurangan serba-serbi wajar menjadi inspirasi perjuangan kepada kita umat Islam pada hari ini. Apalah sangat perjuangan kita sekadar melawan nafsu makan dan nafsu syahwat berbanding mereka yang terpaksa berjalan kaki beratus-ratus kilometer ke medan perang sambil berpuasa dan hanya mampu bergilir-gilir menunggang kuda dan unta, yang pasti amat mencabar keupayaan fizikal mereka.
Sebaliknya ramai di antara kita pada hari ini begitu mudah berasa lesu apabila tiba waktu tengah hari pada bulan Ramadan. Ada yang terus tertidur di surau atau masjid selepas menunaikan solat zohor. Malah ada yang bangun hanya apabila kedengaran azan solat Asar.
Jika ditanya, mereka ini akan memberikan pelbagai alasan. Ada yang berbangga menyatakan mereka bertadarus selepas solat terawih 20 rakaat. Ada pula yang bangun tengah malam untuk bersolat tahajud. Pendek kata, segala solat sunat mahu dilakukan sepanjang malam Ramadan kerana mahu mengejar pahala. Akibatnya apabila sampai waktu tengah hari, ramai yang tidak produktif lagi dalam urusan kerja mereka.
Ada yang tidak boleh memberikan tumpuan apabila bermesyuarat. Ada yang melakukan banyak kesilapan dalam mencatat dokumen. Malah ada yang ponteng kerja kerana tertidur di surau dari selepas solat Zohor hingga terlajak ke waktu Asar. Bukankah mereka ini sudah melanggar amanah dengan majikan mereka. Orangberiman pastinya beramanah?
Tidakkah mereka ini pernah terbaca atau mendengar hadis popular yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosa mereka.”
Memang lumrah manusia mengantuk apabila kurang tidur, tetapi siapakah yang menyuruh kita berjaga sepanjang malam pada bulan Ramadan? Sebab itulah Rasulullah hanya menunaikan solat tarawih lapan rakaat secara berjemaah di masjid dan yang lebih sehingga 20 rakaat dilakukan bersendirian di rumah. Sebabnya baginda tidak mahu umatnya melakukan perkara yang mereka tidak berupaya melakukan dengan ikhlas.
Pernah baginda berpuasa tanpa berbuka sehingga keesokan harinya dan cuba diikuti oleh para sahabat. Tetapi baginda melarang dengan penjelasan bahawa beliau sentiasa “diberi makan dan minum oleh Allah.” Ertinya baginda tidak sama dengan umatnya dari banyak segi.
Mengimarah
Pada hari ini, kebanyakan masjid dan surau di bandar-bandar besar berlumba-lumba mempamerkan siapakah yang lebih hebat mengimarahkan Ramadan. Lalu dipanggil hafiz untuk menjadi imam supaya dapat khatam Quran melalui bacaan solat Tarawih. Ada juga yang dengan bangganya mengumumkan bahawa solat tarawih mereka akan dipimpin oleh imam dari Mekah. Yang tidak memperoleh hafiz akan menggunakan sebesar-besarQuran dengan kanta yang diletakkan di depan imam. Kusyukkah si imam apabila membaca dengan menatap Quran? Dan adakah kita bersolat kerana Allah atau mahu mendengar bacaan sedap imam Mekah.
Sama ada betul atau tidak, apa yang kita lakukan dalam konteks beribadat pada bulan Ramadan, boleh dicerminkan dengan memperhalusi maksud hadis nabi di atas. Kunci kepada hadis itu ialah ‘berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan.’ Tidak pula disebut beserta solat Tarawih 20 rakaat atau bermakmumkan imam khatam Quran? Apakah dengan membaca surah-surah lazim yang pendek semasa solat Tarawih tidak melayakkan seseorang mendapat keampunan Allah?
Wajar difahami maksud ‘keimanan dan keikhlasan’ yang Rasulullah tegaskan dalam hadis itu. Seseorang yang melakukan ibadat dengan ikhlas tidak mengharapkan balasan daripada Allah. Kita bukan pekerja tetapi hamba kepada-Nya. Pekerja meminta upah bagi setiap yang dikerjakan, tetapi hamba melakukan segala suruhan atas dasar ketaatan atau ketakwaan, iaitu sifat-sifat orang beriman.
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orangsebelum kamu agar kamu bertakwa.” – Al Baqarah 2: 183
Jauh sekali daripada hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain yang kita ini kuat beribadat pada bulan Ramadan. Menunjuk-nunjuk atau berlumba-lumba mempamerkan kelebihan adalah sifat riak yang Allah benci.
Maka lakukanlah puasa dan iringi dengan ibadat-ibadat sunat dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Janganlah menghitung pahala kerana itu sifat pekerja, bukannya sifat hamba. Allah menilai segala ibadat kita bukan sekadar daripada apa yang kita zahirkan, tetapi lebih kepada apa yang tersemat di hati kita. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Bersolat Tarawihlah mengikut kemampuan dan keikhlasan, sama ada 8, 10, 12…hatta 20 rakaat. Jika tidak sempat berjemaah di masjid, lakukan di rumah bersama isteri adalah memadai. Bacalah Quran dan dalami maksudnya, bukan sekadar bertadarus tanpa memahami apa yang dibaca. Lebih baik membaca sekadar 10ayat dan menjiwai kandungannya, daripada membaca 100 ayat tanpa memahami maksudnya.
Bersedekahlah dengan ikhlas sekalipun sedikit. Sedekah RM10 bagi orang yang berpendapatan RM1,000 sebulan adalah lebih besar pahalanya daripada sumbangan RM100 seorang jutawan kerana nilai sedekahterletak pada rasa sayang dan berharganya sesuatu barang itu kepada orang yang bersedekah. Bersedekahlah dengan ikhlas sekalipun hanya RM1.
Yang paling pokok, tingkatkan kualiti rohaniah kita. Ujian sebenar ialah bagaimana kita dapat mengawal nafsu, emosi dan melawan sifat-sifat buruk mazmumah ketika diri dalam keadaan lapar, dahaga, letih dan lesu. Perbanyakkan doa memohon keampunan-Nya, minta kemaafan ibu bapa, kaum keluarga dan orang- orang di sekeliling kita. Mudah-mudahan kita akan tampil sebagai orang yang lebih beriman dan bertakwa setiap kali berakhirnya Ramadan.

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012