Saturday, August 04, 2012

Tuduhan Yahudi Terhadap perkahwinan Nabi SAW

Umar, maula Ghufra berkata, "Ketika orang-orang Yahudi melihat Rasulullah SAW banyak menikahi wanita, maka mereka berkata, " Lihatlah orang itu (Rasulullah SAW). yang tidak terpuaskan dengan makanan. dan Demi Allah, dia hanya tertarik kepada wanita!"
Mereka benci Nabi SAW kerana jumlah isterinya yang banyak dan mereka mencela beliau atas hal itu dengan mengatakan, "Jika dia memang benar Nabi, dia tidak akan mempunyai keinginan terhadap wanita,"
Di antara mereka, yang paling hebat mencela Nabi SAW adalah Huyay bin Akhtab.

Allah membuktikan kedustaan mereka dan memberitahu kepada mereka tentang kurniaan Allah kepada Rasulnya dan kedudukannya di sisi Allah Taala. Allah berfirman,

"Atau mereka dengki kepada manusia kerana kurnia yang telah Allah berikan kepada manusia itu?" (QS 4:54)

Siapa yang mengamati kehidupan Rasulullah SAW tentu dapat mengetahui dengan jelas bahawa perkahwinan beliau dengan ramai wanita ini terutama pada masa-masa akhir hidup baginda, setelah melewati 30 tahun hidup bersama wanita yang lebih tua iaitu Khadijah tentu membuat kesimpulan bahawa perkahwinan baginda ini tidak sekadar didorong dengan nafsu syahwat tetapi ada berbagai tujuan yang hendak diraih dengan perkahwinan tersebut. 
Tujuan yang dapat diketahui, dari menikahi Aisyah dan Hafshah, puteri sahabat baik Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar ra, mengapa baginda menikahkan puteri beliau, Fatimah dengan Ali bin Abu Thalib, menikahkan Ruqayyah dan kemudiannya disusuli pula Kultsum dengan Uthman bin Affan, mengisyaratkan bahawa baginda ingin menjalin hubungan yang sangat erat dengan keempat-empat orang tersebut, yang dikenali sebagai sahabat-sahabat yang paling banyak berkorban untuk agama. 
Di antara tradisi bangsa Arab ialah menghormati hubungan besan. Menurut anggapan mereka, mencela dan memusuhi besan adalah satu perkara yang aib dan memalukan. Maka dengan menikahi beberapa wanita yang menjadi Ummahatul Mukminin, Rasulullah SAW ingin menghilangkan permusuhan dan memadamkan api kemarahan beberapa kabilah terhadap Islam. Setelah Ummu Salamah dari Bani Makhzum yang sekampung dengan Abu Jahal dan Khalid bin Walid dinikahi Rasulullah SAW, mengubah sikap Khalid bin Walid hingga sikapnya tidak seganas ketika di Uhud. Bahkan akhirnya dia juga memeluk agama Islam. Begitu pula Abu Sufyan yang tidak berani bermusuhan dengan Rasulullah SAW setelah Rasulullah SAW menikahi puterinya, Ummu Habibah. Begitu juga apabila baginda menikahi Juwairiyah dan Shafiyah, maka Bani Musthaliq dan Bani Nadhir tidak lagi melancarkan permusuhannya. Bahkan Juwairiyah merupakan wanita yang paling banyak mendatangkan barakah pada kaumnya. Setelah dia dinikahi Rasulullah SAW, para sahabat telah membebaskan seratus keluarga dari kaumnya. Manakala pernikahan Rasulullah SAW dengan Zainab pula adalah untuk mengubah tradisi Arab Jahiliyyah yang tak membenarkan perkahwinan antara bapa dengan isteri kepada anak angkatnya. 
Wallahu a'alam.


No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012