Saturday, August 04, 2012

Perkahwinan Rasullullah dan Zainab

KISAH fitnah tuduhan zina terhadap isteri Rasulullah SAW, Sayidatina Siti Aishah Abu Bakar diharapkan memberikan pengajaran kepada kita semua. Terutamannya jangan begiru mudah untuk menuduh orang lain apa tah lagi melibatkan soal maruah dan harga diri.
Begitupun perbuatan fitnah atau mengada-adakan cerita bagi memburuk-burukkan orang lain seolah-olah menjadi asam garam atau permainan mereka yang bergelar pemimpin, hatta terhadap pemimpin seagung Rasulullah.
Baginda juga tidak terkecuali ditimpa musibah fitnah apatah lagi kepada manusia biasa yang lain.
Namun semoga apa yang menimpa Rasulullah itu menjadi pengajaran dan contoh teladan kepada kita semua dan kita tahu berapa buruknya kesan dari perbuatan fitnah tersebut maka sewajibnya kita menjauhkan diri dari melakukan fitnah, menjadi mangsa fitnah, membuka ruang untuk difitnah dan kecuali satu, iaitu membantu mereka yang difitnah.
Begitupun kisah selanjutnya tidak kurang memberikan kita pelbagai pengajaran bagaimana tiada kesudahannya Rasulullah menjadi mangsa fitnah. Namun segala-galanya adalah pembohongan semata-mata.
Kisah perkahwinan baginda dengan sepupunya iaitu seorang wanita yang jelita lagi rupawan, Zainab binti Jahsy turut menimbulkan fitnah. Perkahwinan itu bukan sesuatu yang biasa tetapi di sebaliknya terkandung suatu perintah Allah yang mesti disempurnakan oleh baginda bagi menyempurnakan satu peraturan dan hukum.
Nama asal Zainab sebenarnya ialah Barrah binti Burrah, iaitu anak hasil perkahwinan Burrah dan ibunya Umaimah.
Rasulullah kemudiannya menggantikan nama Burrah itu kepada Zainab dan nama bapa Zainab kepada Jahsy selepas mereka memeluk Islam. Ibu Zainab, Umaimah adalah anak perempuan kepada Abdul Mutalib (datuk kepada Rasulullah). Jadi, Umaimah adalah ibu saudara kepada baginda dan Zainab mempunyai hubungan sepupu kepada baginda.
Sebagaimana yang kita ketahui sebelum ini bahawa baginda mempunyai seorang anak angkat yang masih bujang ketika itu, iaitu Zaid bin Harithah.
Mengenai sejarah hidup Zaid pula, beliau pada asalnya seorang anak dari keturunan yang baik-baik dan mulia. Tetapi sehinggalah dalam satu perjalanan, beliau dan ibunya telah dirompak dan ditawan. Zaid sendiri telah dijual dan dibeli oleh Hakim bin Hizam yang kemudiannya dijual kepada seorang wanita yang merupakan seorang saudagar dan ahli perniagaan yang sangat disegani di Mekah, iaitu Siti Khadijah binti Khuwailid.
Apabila Siti Khadijah berkahwin dengan Rasulullah sebagai hadiah perkahwinan mereka, Zaid yang menjadi budak suruhan itu kemudiannya dimerdeka atau dibebaskan. Namun Zaid enggan ke mana-mana kecuali untuk terus setia bersama Rasulullah.
Lalu baginda pun mengambil anak muda itu sebagai anak angkat yang kemudiannya dikenali sebagai Zaid bin Muhammad.
Setelah Siti Khadijah meninggal dunia, Zaid terus setia bersama Rasulullah dan setelah usianya menjangkau dewasa, sudah tiba masanya untuk Zaid mendirikan rumahtangga bersama seorang wanita yang dicintainya.
Apabila ditanya oleh Rasulullah wanita mana yang beliau ingin kahwini, tanpa segan silu lagi Zaid pun memberitahu bahawa dia ingin menyunting sepupu Rasulullah, iaitu Zainab binti Jahsy untuk menjadi suri dalam hidupnya.
Sebagai bapa angkat, Rasulullah tidak ada masalah dengan pilihan Zaid itu. Malah baginda meminta bantuan Ali bin Abi Talib untuk menemui keluarga Zainab dan meminang anak perempuan mereka untuk Zaid.
Namun tanpa disangka peminangan tersebut ditolak mentah-mentah oleh ibu Zainab, Umaimah dan abang Zainab, Abdullah bin Jahsy. Alasan mereka walaupun Zaid merupakan anak angkat kepada seorang pemimpin yang sangat dihormati dan disegani, tetapi dia dahulunya adalah budak suruhan atau hamba.
Zaid bukan keturunan bangsawan. Beliau hanya bekas hamba yang tidak layaknya untuk berkahwin dan hidup bersama dengan Zainab yang merupakan seorang gadis rupawan dan berasal dari keturunan bangsawan.
Sudah pasti semua itu semata-mata kerana adat atau fahaman Jahiliah yang masih mempunyai saki baki dalam kehidupan mereka. Sama sekali bukan yang menjadi ajaran Islam yang sama sekali melarang umatnya memandang rendah pada orang lain.
Justeru, turunlah wahyu dari Allah berhubung dengan masalah ini. Firman Allah dengan maksudnya: “Dan, tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhaka terhadap Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia sudah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (al Ahzab – ayat 36).
Lalu ayat tersebut dibaca oleh baginda di hadapan seluruh umat Islam sehinggalah didengar sendiri oleh keluarga Zainab. Mereka sedar maksud di sebalik ayat tersebut lalu mereka menemui Rasulullah dan menyatakan persetujuan supaya Zaid dan Zainab dapat disatukan sebagai suami isteri.
Perkahwinan itu berjaya membuang satu kebiasaan buruk dari adat-adat Jahiliah iaitu tidaj ada masalah untuk Zaid mengahwini mana-mana perempuan yang disukainya.
Namun sayangnya, Zainab tidak menunjukkan ciri-ciri mulia terhadap suaminya. Zainab bagaikan seekor merak yang mempamerkan kesombongan dan memandang rendah terhadap Zaid kerana soal kedudukan dan keturunannya sebagai seorang bangsawan itu.
Zaid sentiasa dihina sebagai seorang bekas hamba berbanding Zainab yang rupawan dan berketurunan mulia.
Ia menyebabkan mereka sering bertengkar mengenai soal perbezaan darjat itu. Sebagai suami, tentulah Zaid rasa sangat terhina dengan kata-kata yang kurang enak keluar dari mulut isterinya yang membuatkan beliau tidak lagi mampu bertahan lagi.
Lalu Zaid pun mengadu akan masalah rumah tangganya itu kepada bapa angkatnya dan mendengarkan keluhan anak angkatnya itu, baginda meminta supaya Zaid bersabar dengan kerenah isterinya itu dan hanya bimbang akan kemurkaan Allah.
Jawapan itulah yang selalu diterima oleh Zaid setiap kali beliau pergi mengadu masalah rumahtangganya kepada Rasulullah.
Namun lama kelamaan apabila baginda melihat Zaid semakin hari semakin tertekan, murung dan sedih kerana tidak tahan hidup bersama dengan Zainab dan jalan penyelesaian menjadi begitu sulit, lalu akhirnya baginda mengizinkan Zaid menceraikan isterinya.
Maka bercerailah Zaid dan Zainab setelah hanya beberapa bulan mendirikan rumah tangga.

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012