Wednesday, September 12, 2012

Alasan si Bakhil

Da’bal bin Ali Al-Khuzai adalah seorang penyair dan pelawak yang wafat pada tahun 246 Hijrah. Pada suatu hari dia hadir ke rumah Sahl bin Harun Al-Katib yang terkenal sangat bakhil. Apabila sampai waktu makan tengah hari, Sahl memanggil pelayannya agar menyiapkan makanan. Lalu dihidangkan kepada mereka sekor ayam tua (ayam pencen) yang sangat keras sehingga tidak dapat dipotong dengan pisau yang tersedia melainkan dikerat kuat-kuat dan tidak ada gigi sesiapa pun yang sanggup mengigitnya dalam suasana bertamu seperti itu. Ayam tersebut dihidangkan tanpa kepala.
“Celaka engkau! Apa yang telah engkau buat? Ke mana kepala ayam ini?” tanya Sahl kepada tukang masaknya.
“Aku ingat tuan tidak mahu memakannya, jadi aku membiarkannya saja.”
“Masya Allah, sekiranya tidak ada kedua-dua kakinya saja sudah pasti cacat, tapi bagaimana pula kalau tidak ada kepalanya? Sedangkan pada kepala itulah letaknya pancaindera yang empat, dari kepalanya pula terdengar suara, kedua-dua matanya juga terdapat pada kepalanya, dapat mengenal sesuatu juga pada kepalanya. Ia adalah bahagian yang berkat dan tulang kepalanya pula yang paling lembut. Jika engkau tidak suka memakannya, bawalah ia ke sini,”
“Tapi kepalanya sudah tidak ada,” kata tukang masak.
“Ke mana?” tanya Sahl.
“Aku sendiri tidak tahu ke mana,” jawab tukang masak.
“Aku tahu,” kata Da’bal penyair.
“Ada di mana?” tanya tukang masak.
“Ada di dalam perut. Betulkan?”
Tukang masak hanya diam saja. Kemudian Da’bal mendendangkan serangkap sajak menyindir kebakhilan Sahl bin Harun Al-Khatib.

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012