Tuesday, September 18, 2012

BERSATU DALAM CINTA : BAB 2

BAB 2

WAFI menyusun atur satu per satu lukisan kesayangannya dengan penuh cermat dan berhati-hati. Selepas itu dia menyandar semuanya ke dinding bilik. Bimbang andai ada yang terhentak atau terjatuh. Sekali gus mencacatkan lukisan berbingkai kayu berdada kaca itu.
Sedang Wafi sibuk membelek, pintu biliknya diketuk seseorang. Dia menoleh segera. Menatap wajah seseorang yang telah tersembul di balik pintu yang terbuka suku itu.
“Ada apa mak?” soal Wafi lembut.
Puan Ainun tersenyum panjang.
“Wafi sibuk ke sekarang?” sambil bertanya wanita itu terus menapak masuk.
Matanya sudah merayau ke sekeliling bilik tidur itu. Berbakul-bakul pujian terus terlepas keluar di celah hatinya. Memuji kerajinan anak gadisnya mengemas dan membersih bilik berkeluasan sederhana itu. Hingga tampak begitu kemas dan indah. Menyenangkan mata tuanya. Wafi tersenyum kecil.
“Taklah sangat mak. Cuma tinggal nak kemas pakaian dan barang-barang lukisan ni aje.”
Wafi mengunjuk jari ke arah peralatan lukisannya di satu sudut bilik. Semua barang masih berada dalam kotak. Timbunan pakaiannya pula masih berlipat kemas dalam setiap bagasi miliknya.
Puan Ainun tersenyum lagi sambil mengangguk.
“Cepat betul Wafi buat kerja ya? Baru dua hari kita pindah masuk sini, semuanya dah siap Wafi selesaikan.”
Si anak tidak menyahut. Telah lali telinganya mendengar pujian ikhlas wanita itu sejak dulu.
“Oh ya Wafi. Lupa pulak mak nak bagitahu kamu. Ayah suruh kamu jadikan bilik kecil di tepi dapur rumah kita sebagai bilik lukisan kamu. Dia minta kamu letakkan semua peralatan lukisan kamu ni dalam bilik tu.
Sekurang-kurangnya adalah juga ruang lebih dalam bilik tidur kamu ni. Bolehlah kamu jadikan lebihan ruang tu sebagai ruang rehat atau ruang bacaan kamu sendiri nanti,” ujar Puan Ainun sambil melabuhkan punggungnya di katil.
“Terima kasihlah mak atas pelawaan ayah tu tapi Wafi rasa lebih baiklah kalau Wafi letak saja semua barang lukisan Wafi kat dalam bilik ni. Tak perlulah Wafi berulang alik dari tingkat atas ke tingkat bawah berulang kali.
Lagipun ruang bilik ni lebih luas dari ruang bilik yang dulu tu. Ada pula balkoninya. Bolehlah Wafi melukis di balkoni tu nanti,” tolaknya lembut.
Puan Ainun melepas nafas perlahan.
“Kalau itu kata putus Wafi, ikut suka Wafilah nak buat macam mana pun. Asal Wafi gembira dengan apa yang Wafi buat, mak dan ayah tak ada apa-apa halangan.”
Wanita itu kembali bangun dari duduknya.
“Wafi, kalau dah siap mengemas nanti kamu turun ke bawah ya. Bolehlah kita sarapan sama-sama. Mak dah buatkan roti gulung oat kegemaran kamu tu,” arah wanita itu lembut sebelum meminta diri ke turun bawah.
Wafi mengangguk kecil. Dia kembali menyambung kerjanya.
“Hah, macam mana dengan Wafi? Suka tak dia dengan keadaan biliknya tu?” tanya Encik Musaid bertanya sebaik melihat kelibat isterinya menapak turun ke bawah.
Sejak tadi Encik Musaid berada di meja makan. Menanti isteri dan anak turut serta bersarapan pagi itu.
“Alhamdulillah bang. Nampak gayanya dia suka dengan keadaan biliknya tu. Dia pun nampaknya macam gembira saja dengan suasana bilik barunya tu.”
Puan Ainun terus melabuhkan punggung di kerusi. Menghadap suaminya.
Encik Musaid mengangguk kecil.
“Baguslah kalau macam tu. Itulah yang abang harapkan pun. Abang nak Wafi sentiasa gembira dan senang dengan keadaan rumah baru kita ni. Sekurang-kurangnya taklah dia bermurung aje sepanjang masa macam dulu.” Kata-kata Encik Musaid tergantung di situ bila kedengaran telefon berbunyi nyaring dari ruang tamu rumah. Bergegas Puan Ainun mendapatkannya.
“Waalaikumussalam. Oh, kamu rupanya Adi. Mak ingatkan siapa tadi,” sahut Puan Ainun gembira dengan panggilan itu.
“Mak macam mana? Sihat ke?” Suara Mawardi kedengaran sayup-sayup.
“Alhamdulillah, mak sihat. Ayah kamu pun sihat macam biasa,” sambut Puan Ainun,
“Kamu sekeluarga pulak macam mana? Sihat tak isteri dan anak-anak kamu?”
“Kami sekeluarga macam biasa saja. Cuma tulah anak-anak demam sikit sehari dua ni. Yalah, selalunya mak dan ayah ada bermain dengan dia orang. Wafi pun rajin melayan kerenah dia orang tu. Tiba-tiba pulak semuanya tak ada. Mahu tak demam rindu dia orang dibuatnya.”
“Mak pun rindu jugak pada cucu-cucu mak tu. Macam kata kamulah, selalunya dia orang ada depan mata mak. Bila dah berjauhan begini rindulah jadinya. Entah bila lagi mak dapat tengok cucu-cucu mak tu pun tak tahulah.”
Keluhan Puan Ainun sudah bercampur hiba. Sekilas dia teringat cucu-cucu kesayangannya. Semua kini berada jauh dari pandangan mata.
“Jangan cakap macam tu mak. Insya-ALLAH, kalau ada rezeki esok-esok Adi bawa balik dia orang semua ke sana. Sekarang ni tak bolehlah memandangkan sekolah dah dibuka semula. Tengoklah macam mana nanti,” sambut Mawardi lembut. Mengerti dengan rasa hati orang tuanya ketika ini. Sama seperti rasa hatinya.
“Jadi macam mana? Mak dan ayah suka tak dengan rumah yang Adi pilih tu?” soal Mawardi sopan, terus mengubah arah bicara mereka. Tidak mahu hati orang tuanya mahupun hati sendiri terus-terusan disalut hiba.
“Apa pulak tak sukanya Adi, suka benar kami dengan rumah ni. Sudahlah luas, cantik pulak reka bentuknya. Bilik-biliknya pun besar. Sekali ganda lebih besar dari rumah lama kita kat sana dulu. Terima kasihlah Adi kerana bantu mak dan ayah beli rumah ni. Puas hati kami dengan rumah yang kamu pilihkan ni,” jelas ada kegembiraan dalam nada Puan Ainun.
Mawardi tertawa kecil.
“Alah, tak payahlah mak nak berterima kasih pada Adi. Dah jadi tanggungjawab Adi sebagai anak membuat yang terbaik untuk mak dan ayah kesayangan Adi,” sambut Mawardi hormat. Bersalut bangga hatinya dek pujian emak kesayangan.
“Wafi pulak macam mana mak? Dia suka tak dengan rumah baru kita tu?” soal Mawardi baru kini teringat tentang gadis itu.
“Alhamdulillah, nampak gaya dia suka rumah pilihan kamu ni Adi. Sejak sampai semalam hinggalah ke hari ni, tak habis-habis dia mengemas bilik tidurnya tu. Mukanya tu pun nampak gembira aje. Taklah sedih macam selalu. Mungkin lama-lama berubahlah perangainya tu bila dah serasi dengan suasana baru ni nanti,” luah Puan Ainun benar-benar bersyukur dengan perubahan sikap anak daranya itu.
Mawardi melepas nafas perlahan. Penuh lega.
“Alhamdulillah. Senang Adi dengar semua ni mak. Lega rasanya hati ni. Taklah Adi risau lagi pasal keadaan mak, ayah dan Wafi kat sana tu. Yalah selalunya semua ada kat depan mata Adi aje. Tup-tup kita kena duduk berjauhan begini. Mahu tak risau Adi dibuatnya. Tapi bila dah mak cakap macam ni, tak adalah Adi nak risau apa-apa lagi. Hmm...tak apalah mak. Lain kali pulak Adi telefon ya. Hari dah petang ni. Nanti lambat pula Adi sampai ke rumah. Tolong sampaikan salam Adi pada ayah dan Wafi ya,” ujar Mawardi meminta diri.
“Yalah. Hati-hati bawa kereta tu Adi. Kirim salam mak pada Miza ya.”
“Insya-ALLAH mak. Assalamualaikum,” ucap Mawardi sebelum memutuskan talian.
Puan Ainun menjawab perlahan lalu meletak gagang. Dia kembali mendapatkan Encik Musaid. Lelaki itu masih berada di meja makan.
“Siapa tu Nun?” soal Encik Musaid sebelum sempat Puan Ainun melabuhkan punggung.
“Adi telefon bang. Dia tanya khabar kita dan keadaan rumah ni. Risau jugak dia kalau-kalau kita tak suka dengan rumah yang dia carikan ni. Adi kirim salam pada abang dan Wafi,” beritahu Puan Ainun.
Encik Musaid menyahut salam seadanya.
“Agaknya dia baru nak balik dari pejabat tu.”
“Rasanya iyalah kot bang,” sambut Puan Ainun terus mengalih mata pada Wafi.
Gadis itu baru menapak turun dari tingkat atas lalu mendapatkan suami isteri itu.
“Hah Wafi, marilah kita bersarapan sekali,” ajak Encik Musaid sebelum sempat Puan Ainun bersuara.
Wafi mengangguk kecil. Dilabuhkan punggungnya ke kerusi. Menghadap kedua ibu bapanya.
“Kejap tadi Abang Adi kamu telefon. Dia kirim salam pada kamu,” beritahu Puan Ainun sambil menghulurkan pinggan kosong pada gadis itu.
Wafi menyambut perlahan huluran itu seraya menjawab salam, perlahan.
“Abang Adi sekeluarga sihat mak?” soal Wafi lembut, mula menjamah roti gulung oat kegemarannya.
“Alhamdulillah, sihat katanya. Cuma tulah anak-anak dia rindukan kita bertiga. Sampai demam-demam jadinya budak-budak tu. Abang Adi kata kalau ada masa nanti dia sekeluarga nak balik ke sini.” Ceria saja wajah Puan Ainon bercerita.
“Eloklah kalau macam tu. Abang pun rasa lain bila dia orang tak ada. Mana tidaknya. Sejak Adi kahwin sampailah beranak-pinak, mana pernah dia sekeluarga berpisah jauh dari kita. Ini kali pertama kita semua berjauhan. Tapi itulah, takkanlah selamanya kita nak tinggal di sana walhal kita masih ada tanah air sendiri,” sampuk Encik Musaid meluah rasa hati.
Puan Ainun hanya mengangguk. Setuju dengan kata-kata suaminya. Manakala Wafi sekadar memasang telinga. Sesekali dia menyampuk kata dalam perbualan yang mula berlangsung dalam suasana damai pagi itu.

KETUKAN di muka pintu menyentak Alia yang sejak tadi menunduk. Segera dia mengangkat wajah. Menatap seseorang yang kini telah melangkah masuk ke bilik pejabatnya.
“Puan Alia, ini dia fail yang Puan Alia minta tadi,” ujar Rina mengunjuk sebuah fail kuning padanya.
Alia menyambut pantas.
“Oh ya puan, Encik Ghazali minta puan ke biliknya sekarang.” Kata-kata wanita itu berjaya mengangkat kepala Alia buat kali kedua. Tepat ke wajah tenang setiausahanya.
“Encik Ghazali suruh saya ke bilik dia? Ada apa?” Dahi Alia sudah berkerut seribu.
Rina mengangkat bahu.
“Entahlah Puan, dia tak beritahu sebabnya. Cuma dia minta saya sampaikan pesanan ni saja pada puan.” Rina menyahut penuh hormat.
Alia berfikir seketika sebelum mengangguk kecil.
“Hmm... tak apalah kalau macam tu. Saya pergi jumpa dia sekarang.”
Alia terus menutup fail di depannya seraya menolak kerusi. Dia bangkit dari duduknya. Melangkah ke luar bilik. Mengikut Rina yang terlebih dulu berbuat demikian.
Laju kakinya menapak ke lif lalu melangkah masuk ke dalam.
Tidak lama kemudian, dia telah sampai ke tingkat tiga. Dia hanya tersenyum mengangguk tatkala setiausaha Encik Ghazali menyapa mesra. Diketuk pintu bilik lelaki itu sebelum menolak daun pintu penuh sopan.
“Ayah panggil Alia?” Soalan itu dilontar sebaik sahaja kaki melangkah masuk.
Encik Ghazali pula sudah tersenyum panjang tatkala terpandang wajah anaknya di situ.
“Hah Lia, mari duduk sini,” arahnya terus mengunjuk ibu jarinya ke sofa tempat dia berada waktu itu.
Alia segera mendapatkannya. Menyua tangan pada Encik Azmi yang turut berada di situ. Punggungnya dilabuh. Tepat-tepat berdepan kedua-dua lelaki itu.
“Dah lama ayah sampai?” soal Alia ramah.
Encik Azmi mengangguk laju.
“Baru saja Lia. Punggung ayah ni pun belum sempat panas kat sofa pejabat ayah kamu ni,” seloroh lelaki itu.
Alia hanya menurap senyum. Dikalih wajahnya pada Encik Ghazali semula.
“Ada apa ayah panggil Lia ke mari?” soal Alia lembut.
“Lia, sebenarnya ada sesuatu yang ingin ayah dan ayah Mi cakapkan pada kamu.” Serius saja suara Encik Ghazali waktu itu.
Dibetul kedudukannya sebelum mahu menyambung kata. Sempat dia mengerling Encik Azmi yang kini turut bertukar riak wajah. Tenang bersalut serius.
“Begini Lia. Ayah dan ayah mentua kamu bercadang nak mengadakan projek kerjasama antara syarikat kami berdua. Kami nak jalankan satu projek perumahan yang dirasakan sesuai untuk kami lakukan bersama. Tapi, atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, ayah dan ayah mentua kamu tak dapat lakukannya dalam masa terdekat ni.
Jadi kami berdua terfikir. Daripada kami hentikan niat kami untuk membatalkan projek yang sudah dirangka kertas kerjanya tu, kami berpendapat eloklah kalau kami berikan projek tu pada Ainul dan kamu untuk dikendalikan,” terang Encik Ghazali satu per satu.
Sengaja dia tidak meletakkan perkataan ‘bekas’ pada perkataan ayah mentua dalam setiap ayatnya. Tenang saja dia membalas pandangan terbeliak anak perempuannya ketika ini.
What? Ayah nak Lia kendalikan projek kerjasama dengan Ainul?” Dia benar-benar tidak percaya. Langsung tak berkelip matanya memandang wajah kedua-dua lelaki seusia itu. Bertukar ganti. Berulang kali. Minta kepastian sebenarnya.
Encik Ghazali mengangguk kecil.
“Kalau boleh Lia, ayah nak projek tu dijalankan secepat mungkin. Kamu sendiri pun tahukan, masih ada banyak lagi projek kita yang belum dilaksanakan. Jadi ayah harap sangat kamu dan Ainul dapat lakukannya dalam masa yang terdekat ini. Tapi ingat, biar cepat asalkan berkualiti.”
Sempat lelaki itu menyelit nasihat berupa amaran dalam kata-katanya. Langsung tak bertanya sama ada wanita itu mahu atau tidak menerima tanggungjawab itu. Alia mengeluh kecil.
“Tapi ayah, kenapa tak bagi aje projek tu pada Kak Anis? Tak pun apa kata kalau ayah bagi aje projek tu pada Abang Ammar? Lia rasa dia orang takkan tolak sebab itukan projek ayah berdua. Lia tak boleh terima projek tu sebab Lia sendiri masih ada beberapa projek di bawah Lia yang belum siap.”
Seperti yang diduga kedua-dua lelaki itu, Alia pasti menolak. Mendengar nama Ainul pun telah menimbulkan rasa marah padanya. Inikan pula nak bekerjasama dengan dia.
Macamlah dalam dunia ni dah tak ada lelaki lain yang ayah boleh ajak buat kerja dengan aku, rengus hatinya. Jelas rasa marah itu di riak wajah biarpun tidak kedengaran dalam nada suaranya. Encik Ghazali melepas nafas perlahan.
“Ayah bukan tak nak bagi projek terbaru syarikat kita ni pada kakak kamu tapi dia sendiri masih ada projek-projek lain yang perlu disiapkannya. Abang Ammar kamu pun macam tu jugak. Malah dia lebih sibuk dari Kak Anis kamu. Ayah berdua pun tak kurang sibuknya. Mana nak hadiri pelbagai mesyuarat, nak melawat tapak projek, selesaikan projek kerjasama dengan syarikat lain lagi.
Lainlah kamu tu. Hanya dua projek di bawah kamu sekarang ni. Itupun tak sebesar mana. Ainul pun serupa. Jadi apa salahnya kalau kamu berdua yang handle projek keluarga kita ni.” Lembut Encik Ghazali memujuk. Wajah masam kelat anaknya direnung lama.
“Alah, walau projek-projek yang ayah bagi tu kecil aje tapi penat jugak Lia nak handle kedua-duanya pun.” Dalam mencebik dia merungut lembut. Sedikit manja.
Sikap yang tak mampu diubahnya biarpun usianya telah mencecah awal 30-an kini. Sikap yang hanya terpamer saat bersama si ayah lantaran dia merupakan anak kesayangan Encik Ghazali.
“Tak pun, apa kata kalau ayah tangguh dulu rancangan ayah untuk jalankan projek tu buat masa sekarang? Kita tunggu sampai Kak Anis atau ayah ada masa terluang. Baru kita jalankan projek tu sama-sama. Boleh begitu ayah?” cadang Alia tiba-tiba. Terus saja dia mengulum senyuman gembira. Suka hati dengan cadangan sendiri.
Sedangkan Encik Ghazali dan Encik Azmi sudah saling berpandangan lalu melepas nafas hampir serentak. Langsung tidak suka dengan cadangan itu.
“Alia Amani, kamu fikir projek syarikat ni projek untuk main-main ke hah? Senang-senang aje nak tangguh begitu? Projek ni bukan seringgit dua kosnya sayang oii tapi menelan ratusan ribu ringgit. Apa kamu suka kedua-dua syarikat ayah kamu ni gulung tikar semata-mata kerana kamu tak mahu jalankan projek besar begini?” Dengan tegas Encik Ghazali menyoal anak perempuan bongsunya.
Sedikit geram dengan kata-kata dan tingkah gadis itu. Mudah benar membuat keputusan tanpa memikirkan dulu bahana yang bakal dihadapi.
Alia kembali memuncung bibir. Lebih panjang dari tadi. Wajahnya juga sudah semasam mangga muda.
“Bukanlah macam tu ayah tapi kenapa Lia jugak yang kena handle projek tu? Kalau Lia seorang saja yang handle, bolehlah Lia terima lagi. Ini dengan Ainul pulak. Lainlah kalau dengan orang lain, okeylah jugak.” Lambat-lambat dia menyahut. Tertunduk terus kepalanya tatkala terperasan pandangan tajam kedua-dua lelaki itu terhadapnya.
“Lia, apa salahnya kalau Lia bekerjasama dengan Ainul pun? Walaupun kamu dan dia sudah lama berpisah tapi itu tak bermakna kamu berdua tak boleh kerja bersama macam dulu. Lagipun Lia, memang ini harapan kami berdua. Kami berharap sangat kamu dan Ainul yang kendalikan projek keluarga kita ni. Kami tahu kamu berdua sama-sama mempunyai kelebihan untuk merealisasikan impian kami berdua. Sebab tu kami tak terfikir nak minta orang lain handle projek ni. Ayah harap sangat kamu tak tolak permintaan kami,” celah Encik Azmi pula.
Sejak tadi lelaki itu hanya memasang telinga mendengar perbualan itu. Begitu lembut dia menutur kata. Lebih kepada memujuk sebenarnya.
Alia merengus lembut. “Tapi ayah...”
“Lia, ayah tahu. Kamu masih menyimpan rasa marah pada Ainul kerana hal perceraian kamu dengan dia. Begitu jugak dengan dia. Tapi ayah minta sangat-sangat supaya kamu berdua boleh berbaik seketika demi projek kita ni. Kamu sendiri pun tahu bukan, ayah tak boleh terima sebarang tekanan. Jika tidak penyakit darah tinggi ayah akan datang balik. Takkan kamu sanggup tengok ayah terlentang sakit lagi seperti dulu,” ujar Encik Azmi memprovok lagi.
Langsung tidak beri peluang pada wanita itu untuk mempertahankan diri sendiri.
“Sebelum kamu tolak permintaan kami ni, ayah harap sangat kamu fkirlah sedalam-dalam tentang perkara ni. Kalau betullah Lia anggap ayah ni seperti ayah kandung Lia, tolonglah tunaikan permintaan kecil ayah ni. Ayah berjanji, kali ini saja ayah minta kamu lakukannya demi ayah. Hanya buat kali ni nak. Takkan ada lagi di masa depan,” jelas Encik Azmi masih berlembut dalam menyambung kata.
Lama dia menatap Alia yang sudah diserang rasa serba salah mendengar kata-katanya.
Alia menelan liurnya berkali-kali.
Permintaan kecil kata ayah? Apa dia tak tahu ke yang permintaan dia ni sama jugak macam suruh aku jerut leher sendiri? Macam mana nak hidup kalau aku terpaksa berdepan dengan musuh yang hanya menunggu masa untuk bunuh aku aje. Diam-diam hatinya bersuara sendiri. Dan seperti biasa omelan hatinya lebih terdorong untuk bercakap tentang perkara yang bukan-bukan.
Sedangkan Encik Azmi sudah menguntum senyuman dalam hati. Mengerti benar dirinya dengan sikap Alia yang mudah jatuh simpati pada sesiapa andai kena dengan cara pujukannya biarpun dia sukar mengalah di awalnya. Satu sikap yang begitu disenangi semua sejak dulu. Menjadikan Alia berada di persimpangan ketika ini. Tidak pasti ingin menerima atau menolak permintaan itu.
Alia tidak menyahut. Ligat otaknya memikirkan kata-kata lelaki itu. Dia sedar dia tidak akan mampu menolak permintaan itu memandangkan sejak kecil lagi dia begitu menyayangi Encik Azmi. Bukan saja dia, malah seluruh keluarga lelaki itu telah dianggap seperti keluarganya sendiri.
Hanya selepas dia dan Ainul berpisah menjadikan hubungan mereka sedikit renggang beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun Alia juga sedar. Andai dia menerima bermakna dia terpaksa menahan rasa sakit hatinya. Dia terpaksa berdepan dengan lelaki yang telah dianggap musuhnya selama beberapa tahun ini. Sekali gus mengembalikan dia ke persimpangan dilema buat seketika.
“Hah Lia, apa keputusan kamu?”
Pertanyaan itu mengheret keluar Alia dari lamunan. Dia tergadah seketika. Laju saja matanya mencari wajah Encik Ghazali. Dia mendengus halus.
“Macam nilah ayah. Ayah bagi masa untuk Lia fikir dulu pasal perkara ni ya. Nanti bila Lia dah habis fikir Lia bagilah jawapannya.” Sedikit teragak Alia menyahut seraya membetulkan juntaian kerongsang labuh di tudungnya.
“Baiklah kalau begitu. Tapi ayah harap sangat Lia tak tolak permintaan kami ni.” Suara Encik Azmi kembali kedengaran. Begitu berharap.
Lambat-lambat Alia mengangguk. Hatinya sedikit tenang tatkala terpandang senyuman bahagia di wajah kedua-dua lelaki itu. Sedang kepalanya sudah kembali berpusing ligat. Dia melepas nafas perlahan.
Migrainlah kepala aku lepas ni. Buat kali kedua hatinya bersuara lagi. Penuh sebal.

DIA menyelam lagi buat beberapa kali sebelum timbul semula ke permukaan air tidak lama kemudian. Puas menyelam dia menguak kedua-dua tangan. Melakukan aksi kuak lentang beberapa lama lalu menyelam semula selepas itu. Agak lama dia berkeadaan begitu sebelum berkeputusan membawa diri ke pinggir kolam.
Dijuntai kakinya ke dalam air setelah memanjat naik. Wajah basahnya diraup beberapa kali sambil melepas pandang ke sekeliling buat seketika. Membiarkan matanya meratah persekitaran yang jarang dapat ditonton dek kesibukannya bekerja saban hari.
“Kamu tak kerja hari ni Isma?”
Pertanyaan seseorang mengalih perhatian dia. Sekali gus mencantas lamunan entah apa-apanya. Saat dia berkalih Puan Irdina telah melangkah keluar dari dalam rumah. Dia mengulum senyuman manis. Khas buat tatapan wanita kesayangannya.
“Tak mama. Is ambil cuti hari ni.”
Dia terus bangun. Melangkah mendapatkan Puan Irdina yang telah melabuhkan punggung di bangku batu tidak jauh darinya.
Puan Irdina mengangguk kecil.
“Eloklah kalau kamu ambil cuti sekali-sekala pun Is. Kamu tu pun bukannya tahu nak berehat. Asyik bekerja aje siang malam sampai mama yang tengok cara hidup kamu tu pun naik rimas dibuatnya.”
Puan Irdina menghulur segelas minuman sebaik sahaja lelaki itu meletak punggung depannya. Isma menyambut sambil mengucap terima kasih. Diteguk air sejuk itu beberapa kali.
“Apa yang kamu nak buat sepanjang hari ni?” tanya Puan Irdina.
Wajah tenang si anak ditatap lagi.
“Kenapa mama tanya begitu?” Isma tidak terus memberi jawapan.
Gelas yang telah kosong diletak atas meja batu marmar di depannya. Dia mencapai tuala di sisi. Rambut basahnya dilap perlahan-lahan. Puan Irdina melepas nafas pendek.
“Yalah, nama saja kamu bercuti hari ni tapi mama faham benar dengan perangai kamu tu. Cuti ke tidak, sama aje keadaannya. Kerja-kerja pejabat kamu tu tetap kamu siapkan jugak.” Puan Irdina bersuara sedikit merungut. Wajah anaknya dijeling sekilas.
Isma tersenyum kecil.
“Apa nak kata ma. Dah memang banyak kerja yang Is kena buat kat pejabat tu. Mahu atau tidak Is tetap kena siapkan semuanya. Nak buat macam mana lagi,” jawab Isma lembut.
“Oh ya ma, papa dah pergi kerja ke ma?” soal Isma sengaja menukar arah perbualan. Tidak mahu perihal sikapnya nan satu itu diperkatakan lagi. Namun taktiknya tidak menjadi bila mendengar jawapan Puan Irdina.
“Dah lama dia pergi. Sama ajelah perangai papa kamu tu pun dengan kamu. Macam tu jugalah abang dan adik kamu tu. Semuanya tak sabar-sabar nak ke pejabat. Maklumlah, ruang pejabat tu lebih cantik dari muka mama yang dah tua ni di mata kau orang.
Sebab tulah kau orang lebih suka duduk kat pejabat tu dari duduk kat rumah ni. Agaknya kalaulah mama bagi izin pada kamu semua tidur kat pejabat tu, rasanya dah lama kamu bawa bantal tilam ke sana. Tak payah berulang-alik ke rumah ni lagi.” Kata-kata bernada geram wanita itu berjaya mengundang tawa kecil anaknya.
Isma menggeleng perlahan.
“Mama ni, ada pulak begitu fikirnya. Kita orang memanglah sibuk sebab tulah kita orang jarang dapat luangkan masa dengan mama. Tapi sesibuk mana pun papa, dia tetap luangkan masa temankan mama shopping walau hanya sekali dalam sebulan kan? So, mama tak boleh kata papa abaikan mama atau tak suka tengok muka mama yang masih cun-melecun ni.” Begitu bersahaja Isma membalas.
Seakan menyokong tindakan dia dan papanya yang sibuk dengan dunia kerjaya mereka. Sempat dia mengusik mamanya yang terus-terus merengus halus.
“Itu lainlah sebab itu memang janji papa kamu nak temankan mama shopping sejak sebelum kami kahwin lagi. Tapi kalau iya pun sibuk, cuba-cubalah luangkan masa kat rumah walau sekejap. Ini tidak, sibuk aje memanjang sampai langsung tak ada masa nak berbual dengan mama pun,” bebel Puan Irdina lagi dalam muncung panjangnya.
“Dahlah tu ma, tak payahlah mama tarik muka macam tu lagi. Dah tak cantik mama Is dibuatnya. Daripada mama tarik muka masam macam buah mempelam tak masak tu, apa kata kalau mama hidangkan sarapan untuk Is? Boleh juga kita makan sama-sama. Dari lepas Solat Subuh tadi Is asyik berenang aje sampai lenguh-lenguh badan ni jadinya.”
Isma sudah bangun dari duduknya. Tuala di tangan terus dibalut ke tubuhnya yang hanya bersarung seluar pendek sedari tadi.
Puan Irdina turut mengikut tingkahnya seraya mengangguk ceria.
“Betul cakap kamu tu. Daripada mama membebel aje pada kamu yang tak mahu dengar kata mama ni lebih baik mama hidangkan sarapan kita, kan? At least bolehlah kita sambung berbual sambil makan sarapan nanti.” Sempat wanita itu mengenakan sang anak dengan kata-kata selambanya.
Sambil itu tangannya mencapai gelas kosong anaknya. Dijeling sedikit pada Isma yang hanya tersenyum kelat dengan sindiran lembut Puan Irdina.
“Oh ya Is, kamu tak ke mana-mana kan hari ni?” Puan Irdina kembali mengalih tubuh. Memandang Isma yang menapak di sisinya.
“Sekarang taklah kot ma tapi petang nanti mungkin ya,” ujar Isma berfikir seketika sebelum menyahut.
“Kenapa ma?”
“Tak ada apa-apa. Saja aje mama tanya.”
Puan Irdina kembali menapak ke dalam. Isma mengikut dari belakang. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012