Tuesday, September 18, 2012

Jemputan haji kembali semula...

Musim haji tiba lagi… teringat saya waktu arwah tok wan masih ada… setiap kali ada siaran berkenaan haji di tv1, arwah pasti tidak akan lepaskan peluang untuk menonton… tak kisahlah di waktu pagi atau malam, arwah adalah penonton setia program-program begitu… saya dan adik beradik yang merupakan antara cucu kesayangan turut terkena tempias… bukan dipaksa menonton tapi terpaksa mendengar sekaligus menonton memandangkan arwah tok wan tidak suka televisyennya dialih siaran setiap kali arwah menonton… mahu tak mahu kami semua terpaksa duduk mengadap peti televisyen kayunya yang kini hanya tersimpan dalam stor di rumah mak su…
Kata tok wan, seronok sangat bila berada di kota Mekah… banyak perkara aneh dan ajaib yang berlaku di sana tapi semuanya memberi pengajaran yang cukup berguna buat semua… saya yang waktu itu masih lagi berada di bangku sekolah pasti akan bertanya, “betul ka benda macam tu pun boleh jadi kat sana wan?” arwah akan menjawab, “Dalam dunia ni, tak ada apa yang mustahil jika Allah izinkan,” satu jawapan yang pada mulanya langsung saya tak fahami apatah lagi yakin…
Kini sudah hampir 12 tahun arwah tok wan pergi… setiap kali musim haji tiba, saya dan adik beradik terutamanya kakak sulung pasti teringatkan arwah… sungguh dulu saya tak terfikir kata-kata dan cerita tok wan tentang kejadian-kejadian aneh yang berlaku di Mekah adalah benar dan betul-betul wujud hinggalah hati saya terbuka untuk mendalami agama Islam sepenuhnya…
Benar kata tok wan… tiada perkara yang mustahil di dunia ini jika Allah izinkannya berlaku… banyak pengajaran yang kita akan dapat jika kita benar-benar menghayati ajaran Islam…terutamanya apabila musim haji tiba… jangan difikir hanya orang-orang yang dijemput Allah ke rumahnya saja yang akan diberi peluang untuk merasai segala keajaibanNya… malah sepatutnya kita yang masih belum mendapat seru ke sanalah yang harus meneladani segala yang pernah dilihat dan dirasai oleh orang-orang yang telah menjejakkan kaki ke sana… apa pengajarannya? Banyak sekali terutama tentang ibadah yang saban hari kita lakukan… bukan itu saja, setiap gerak tubuh kita tak kiralah di luar mahupun dalam, semuanya dikira sebagai batu aras kepada ibadah-ibadah yang telah, sedang dan bakal kita lakukan… jangan kita fikir solat, puasa, zakat dan lain-lain ibadah sunat lain telah sempurna kita lakukan maka kita tidak akan lagi menghadapi pengajaran ketika berada di rumah Allah… kerana setiap gerak tubuh kita itulah yang menentukan sama ada segala ibadah yang kita lakukan itu akan diterima Allah atau sebaliknya… mustahil? Tapi itulah hakikatnya…
Sewaktu kecil dulu, saya benar-benar tidak mengerti mengapa orang Islam seringkali berlumba-lumba ingin ke Tanah Suci… melihatnya dari kaca televisyen, cuacanya saja sudah membuatkan saya berfikir beribu-ribu kali mahu menjejakkan kaki ke sana… panas, sesak, cara pakaian orang-orangnya… semua itu bagai satu kesukaran bagi saya untuk menempuhnya satu masa akan datang…
Tapi semakin dewasa, semakin dalam pula hati saya ingin tahu tentang ibadah haji sepenuhnya… hinggalah saya mengerti, di situlah Islam bermula… di situ jugalah terletaknya sejarah Islam yang sebenar dan yang paling terbayang hati, di situlah terletaknya makam nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW…
Sungguh, saya rindu untuk mendapat panggilan ke sana… usia muda bukan penghalang… hanya bimbang ilmu di dada belum cukup untuk menghadapi segala ibadah di sana… sayang rasanya jika dapat ke sana namun masih terkial-kial untuk melakukan ibadah haji dengan sempurna… mungkin kerana itu jugalah saya masih belum mendapat seruan untuk ke rumah Allah… namun harapan saya, moga-moga dapatlah saya menjejakkan kaki ke sana walau sekali sebelum saya tinggalkan dunia ini bila tiba masanya…
Bimbang jika diberi pengajaran di sana? Rasanya tidak juga kerana itulah yang saya harapkan berlaku pada saya nanti… atas sebab apa? mudah saja… kerana berlakunya perkara-perkara aneh sebegitulah yang akan menyedarkan kita atas segala kesalahan dan dosa yang kita lakukan tanpa sedar… melalui kejadian begitulah akan menginsafkan kita sepenuhnya sekaligus mengubah tingkah kita… hasilnya? Ibadah kita akan semakin sempurna dan pastinya iman kita juga semakin bertambah di dada… jadi usah takut jika berlakunya sesuatu perkara aneh sepanjang berada di rumah Allah… itu tandanya Dia sayang pada kita… kerana itu Dia memberi petunjukNya seawal kita masih bernyawa di dunia ini lagi… jangan kita fikir orang yang sampai ke rumah Allah dan pulang tanpa sebarang pengajaran itu telah diterima ibadahnya… semua itu bergantung kepada tahap ketakwaan kita terhadapNya… jadi berusahalah bukan saja untuk pertingkatkan amalan ibadah kita tetapi juga pertingkatkanlah iman kita terhadapNya… mudah sebenarnya untuk melakukan ibadah tapi untuk melakukannya dengan hati yang khusyuk dan ikhlas, amatlah sukar… tak percaya? Jangan tanya hati tapi selidiklah sama ada ibadah yang kita lakukan saban hari itu memenuhi kehendak Islam sepenuhnya atau tidak… maka dari situ barulah kita tahu ibadah kita sempurna atau tidak… biar sedikit asal berkualiti… selamat menunaikan ibadah haji bagi mereka yang bakal berangkat ke tanah suci… moga-moga haji anda diterima Allah sepenuhnya… amin…

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012