Seorang pedagang kaya berbaring di
tempat tidurnya dan kerana tahu saat kematiannya hampir tiba, maka dia pun
memanggil ketiga-tiga puteranya. Sepanjang usianya, dia rajin berpuasa, solat
dan bertakwa kepada Allah. Ketiga-tiga puteranya itu diberi nama Muhammad.
Tiga Muhammad pun datang mencium
tangan ayah mereka dan pedagang itu memberikan wasiat. Katanya,
“Muhammad akan menjadi waris dan
Muhammad akan menjadi waris. Tetapi Muhammad tidak akan menjadi waris,” sebelum
sempat dia menjelaskan kata-katanya, pedagang itu pun meninggal dunia.
Selama tujuh hari anak-anak pedagang
itu berkabung tanpa bercakap sepatah kata pun. namun selepas tujuh hari, mereka
mula bertekak dan tertanya-tanya Muhammad mana yang tidak akan menjadi waris.
Akhirnya mereka bertiga mengambil keputusan untuk bertemu qadi bagi mengetahui
siapa Muhammad itu.
Tiga bersudara itu pun berjalan
mencari rumah qadi. Di dalam perjalanan, mereka berhenti berehat di sebuah
tempat berumput.
“Seekor unta yang tidak punya sekor
pernah berehat di sini,” kata anak tertua sambil melihat sekelilingnya.
“Unta itu bermata satu,” kata anak
kedua.
“Ia membawa lemak di satu sisi dan
manisan di satu sisi lain,” kata yang ketiga pula.
Mereka meneruskan perjalanan dan tidak
lama kemudian mereka melihat seorang lelaki yang memegang sebatang tongkat unta
datang.
“Apakah engkau kehilangan unta?” tanya
tiga Muhammad.
“Ya, hampir satu jam ianya hilang!”
balas lelaki itu.
“Adakah ianya tidak berekor?” tanya
Muhammad sulung.
“Ya,” kata lelaki itu.
“Dan matanya buta sebelah?” tanya
Muhammad kedua.
“Ya, itulah untaku!” jawab lelaki itu.
“Adakah ia membawa lemak dan manisan?”
tanya Muhammad yang ketiga.
“Benar! Ia membawa muatan mentega
masak dan sirap kurma! Katakan padaku di mana ia berada dan semoga Allah
memberi balasan pada kamu bertiga!”
“Semoga Allah mengembalikannya
padamu,” kata anak tertua.
“Kami belum pernah melihat untamu,”
“Wahai orang-orang yang tidak tahu
malu, kamu telah mencuri untaku. Bagaimana pula kamu boleh menyangkalnya?”
teriak lelaki itu.
“Aku akan membawa perkara ini pada
qadi!”
“Kami pun dalam perjalanan ke sana
sekarang,” kata tiga bersaudara itu.
“Ikutlah kami pergi dan mari kita
selesaikan masalah ini di depannya,” maka lelaki pemilik unta itu pun setuju.
Sebaik saja tiba, qadi pun bertanya
masalah mereka.
“Ketiga-tiga anak muda ini telah
mencuri untaku!” kata pemilik unta lalu menceritakan segala yang terjadi.
Qadi pun berkata,
“Dalam keadilan dan kebenaran, kamu
bertiga harus mengembalikan unta itu pada pemiliknya,”
“Dengan Allah sebagai saksi, kami
tidak mencuri atau menyembunyinya,” jawab tiga saudara Muhammad itu.
“Jadi bagaimana kamu dapat
menggambarkan untaku tepat seperti mana rupa sebenarnya?” tanya pemilik unta.
“Ya,” kata qadi. “Bagaimana kamu tahu
unta itu tidak punya ekor jika kamu tidak pernah melihatnya?”
Maka jawab Muhammad pertama,
“Dalam perjalanan ke sini, kami
berehat di satu tempat berumput tinggi. Melihat cara rumput rebah sebelah, aku
tahu bahawa seekor unta pernah berehat di situ. tapi daun-daun dan
rumput-rumput di sekelilingnya tidak tersentuh sama sekali. Jadi aku menduga
unta itu tidak punya ekor kerana setiap ekor unta pastinya akan bergoyang ke
kanan dan kiri,” jelasnya.
“Bagaimana pula kamu tahu unta itu
buta matanya sebelah?” tanya qadi.
“Itu kerana aku lihat hanya sebelah
hamparan rumput saja diragut olehnya sedangkan yang sebelah lagi masih kekal
sebagaimana biasa. Jadi aku duga unta itu pasti buta sebelah matanya kerana
tidak dapat melihat sebelah lagi hamparan rumput,” jawab Muhammad kedua.
Qadi puas hati dengan jawapan itu
namun dia tetap bertanya,
“Bagaimana kamu tahu tentang muatannya
pula?”
“Itu kerana di satu sisi ada ratusan
semut di situ. mereka menyukai manisan. Manakala di satu sisi lagi terdapat banyak
lalat yang berterbangan. Itu kerana mereka menyukai makanan yang berlemak. Maka
aku duga unta itu telah menumpahkan sesuatu yang manis di satu sisi dan sesuatu
yang berlemak di satu sisi lain ketika bangkit berdiri,” terang Muhammad yang
ketiga.
Qadi betul-betul puas hati lalu dia
berkata pada pemilik unta,
“Pergilah kamu mencari haiwan ternakmu
dan semoga Allah membuka jalan dihadapanmu,” kata qadi.
“Allah telah menganugerahkan pada
pemuda-pemuda ini kecerdikan sebegitu rupa hingga mereka dapat mengenali
sesuatu secara terperinci tanpa pernah melihatnya,” lalu dia menyambung,
“Berehatlah di rumahku sebagai tamu
dan esok kamu boleh sampaikan masalah kamu padaku,” katanya.
Ketiga-tiga Muhammad pun bersetuju.
Maka seekor kambing pun dihidang
setelah dimasak. Tiga bersaudara itu pun duduk menikmati hidangan. Manakala
qadi bersembunyi di belakang pintu yang tertutup sedikit untuk mendengar apa
kata-kata para tetamunya yang pandai itu. tak lama, dia mendengar Muhammad
pertama mengeluh,
“Daging ini adalah daging anjing dan
tidak boleh dimakan!”
Muhammad kedua pula berkata,”Perempuan
yang memasak makanan kita sedang haid!”
Manakala yang ketiga berkata,”Apa yang
kamu harapkan jika tuan rumah kita seorang anak haram,”
“Husy!” bisik yang lain, “Jangan
menghina qadi!”
“Anak haram dan pemegang aib!”
Muhammad ketiga mengulangi kata-katanya.
Dengan tidak bercakap apa-apa, qadi
meninggalkan tempat persembunyiannya. Dia mencari pelayannya dan bertanya,
“Bagaimana kamu boleh malukan tuan
rumah ini dengan memasak daging anjing, najis yang keji di depan tetamu-tetamu
kita?” marahnya namun dalam nada rendah.
“Demi Allah, kami tidak melakukannya,”
jawab pelayan itu.
“Tanyalah gembala yang membunuh
kambing itu,” sambungnya.
Gembala pun dipanggil dan dia berkata,
“Kambing dewasalah yang kami bunuh
malam ini, demi Allah tapi ketika ia dilahirkan ibunya sudah mati dan aku
menyusukannya pada ibu anjing yang sedang menyusui anak-anaknya,”
Qadi terkejut. Dia bergegas ke dapur
dan mencari tukang masak.
“Apakah kamu sedang haid?” soalnya dan
tukang masak itu mengaku benar.
Kini qadi mulai merasa cemas dan
khuatir. Dia memasuki bilik ibunya. Lalu mendapatkan ibunya lalu bertanya
sedikit keras,
“Katakan yang benar tentang ayahku,
wahai ibu!”
Lalu kerana terkejut dengan tingkah
anaknya, ibunya pun memberitahu,
“Ada seorang pedagang datang
menawarkan barang dagangannya ke rumahku dulu. memang sudah tertulis yang aku
akan menyimpang dari jalan yang lurus jadi bagaimana aku dapat menghindari
takdirku? Pedagang itu telah membuatku mengandung dan aku melahirkan kamu ke
dunia. Semoga Allah mengampuni aku,”
Qadi berguling-guling resah sepanjang
malam. Keesokan harinya dia menemui tiga Muhammad itu dan bertanya,
“Ceritakan padaku apa masalah kamu
bertiga?”
Mereka berkata,”Menjelang ajal ayah
kami berwasiat kepada kami: “Muhammad akan menjadi waris, Muhammad akan menjadi
waris tapi Muhammad tidak akan menjadi waris.” Kerana kami bertiga bernama
Muhammad, kami tidak tahu siapa di antara kami yang tidak akan menjadi waris,”
Qadi mengangguk lalu berkata,
“Sementara aku cuba menyelesaikan
masalah kamu, mahukah kamu menjawab soalan-soalanku?” soalnya dan tiga Muhammad
mengangguk.
“Bagaimana kamu dapat simpulkan daging
yang kamu makan itu adalah daging anjing?” soalnya pada Muhammad pertama.
“Itu kerana otot-ototnya lebih besar
dan keras sepertimana otot anjing yang boleh berlari laju dan cepat,” jawabnya.
“Macam mana pula kamu tahu tukang
masakku sedang haid?”
“Tiada perasa dalam makanan kami
kerana gadis yang sedang haid tidak dapat membezakan yang masin dan yang
manis,” jawab Muhammad ketiga.
Qadi terdiam beberapa saat dan
kemudian berkata kepada Muhammad ketiga,
“Muhammad abangmu dan Muhammad abangmu
adalah pewaris dan kamu bukanlah pewaris,”
“Mengapa demikian?” tanya Muhammad
ketiga hairan.
“Ayahmu mewariskan
kekayaannya kepada anak-anak halalnya iaitu anak-anak yang lahir dari rahim
isterinya dan umum sudah mengetahui bahawa hanya anak haram yang dapat
mengenali anak haram,”
No comments:
Post a Comment