Seorang raja pernah menitahkan agar barang siapa berdusta harus membayar denda lima dinar. Maka pesuruh istana berkeliling kota mengumumkan perintah itu dan orang-orang mulai menghindar antara satu sama lain kerana bimbang mereka akan mengucapkan sesuatu yang tidak benar. Sementara itu, raja bersama menterinya menyamar dan berkeliaran di kawasan pasar untuk melihat pengaruh dari perintah yang telah dikeluarkan.
Mereka berhenti di depan sebuah kedai milik seorang pedagang kaya. Pedagang itu mengundang mereka masuk dan memberikan mereka secawan kopi setiap seorang sambil berbual-bual dengan penuh mesra.
“Berapa umurmu?” tanya raja yang menyamar.
“Dua puluh,” jawab pedagang.
“Berapa jumlah kekayaanmu?”
“Tujuh puluh ribu,”
“Berapa banyak anak lelaki yang kamu miliki?”
“Satu, demi kemuliaan Allah,”
Lalu raja dan menterinya kembali ke istana dan memeriksa catatan berkenaan pedagang tersebut. Tak lama kemudian, pedagang itu diperintahkan ke istana.
“Berapa umurmu?” raja bertanya.
“Dua puluh,” jawab pedagang tenang.
“Kamu didenda lima dinar. Berapa jumlah kekayaanmu?”
“Tujuh puluh ribu,”
“Kamu didenda lima dinar lagi. berapa banyak anak lelaki yang kamu miliki?”
“Satu demi Allah,”
“Bayar lima dinar lagi,”
“Ampun tuanku, patik mohon tuanku buktikan tuduhan tuanku terhadap patik terlebih dulu sebelum patik membayar,” pinta pedagang.
Lalu raja bertitah,
“Kamu menipu tentang umur sendiri. menurut buku catatan, kamu berumur enam puluh lima tahun di waktu ini tetapi kamu mengaku umurmu baru saja dua puluh tahun,”
“Itu kerana tahun-tahun yang patik nikmati sebenar-benarnya hanyalah dua puluh tahun. Selebihnya patik tidak tahu apa-apa,” jelas pedagang tenang.
“Bagaimana pula dengan kekayaanmu yang melimpah ruah? Tidak terhitung semuanya sedangkan kamu mengaku kekayaanmu hanya berjumlah tujuh puluh ribu?”
“Itu kerana dengan tujuh puluh ribu itulah aku membangunkan sebuah masjid dan itulah kekayaanku yang aku serahkan kepada Allah dan sesama manusia,”
“Sekarang, adakah kamu akan menyangkal yang kamu mempunyai enam anak lelaki dan bukannya satu seperti mana yang kamu katakan?” soal raja sambil menyebut nama-nama anak lelaki pedagang itu.
“Sudah tentu patik menyangkal kerana lima orang itu adalah penzina dan pemabuk. Hanya seorang yang soleh pada Allah dan baik terhadapku,” jawab pedagang tegas.
Lalu raja tersenyum lebar.
“Tepat sekali apa yang kamu katakan itu wahai orang yang jujur,” akui raja.
“Tidak ada waktu yang patut diingat kecuali yang kita lalui dalam kebahagiaan, tidak ada kekayaan yang berharga kecuali yang dibelanjakan di jalan Allah dan sesama manusia dan tidak ada anak yang layak disebut namanya kecuali jika dia soleh dan baik,”
No comments:
Post a Comment