Friday, September 21, 2012

Kisah Abu Nawas : Sultan hampir terbunuh

Pada suatu hari, Abu Nawas berjalan-jalan hingga ke kampung Badwi yang terletak di kawasan gurun yang juga jauh dari bandar tempat tinggalnya. Sesampainya dia di tempat tersebut, dia mendapati beberapa orang penduduknya sedang memasak bubur dan suasananya begitu meriah sekali. Tiba-tiba, Abu Nawas ditangkap oleh penduduk kampung tersebut dan dibawa ke sebuah rumah untuk disembelih.
“Kenapa aku ditangkap?” tanya Abu Nawas.
“Wahai orang asing, setiap orang yang melewati kawasan ini pasti kami akan tangkap. Kami akan sembelih seperti kambing dan masukkannya ke dalam belanga bersama adunan tepung itu. inilah pekerjaan kami dan itulah makanan kami setiap hari,” jawab salah seorang penduduk kampung itu sambil menunjuk ke arah belanga yang mendidih airnya.
Abu Nawas ketakutan tetapi meskipun dia berada dalam keadaan itu, dia masih sempat berfikir dan mencari akal untuk terlepas dari genggaman penduduk kampung itu. lalu dia pun berkata,
“Wahai penduduk kampung, kamu lihatlah diriku ini. badanku kurus kering saja, dagingku tidak banyak. Kalau kamu benarkan, esok aku akan bawakan temanku yang badannya lebih gemuk dariku hingga kamu semua boleh makan untuk lima hari lamanya. Aku berjanji akan bawanya ke sini, tolonglah lepaskan aku,” pinta Abu Nawas.
Kerana janjinya itu, Abu Nawas akhirnya dibebaskan.
Dalam perjalanan pulang, Abu Nawas berfikir cara untuk mencari teman yang gemuk sebagaimana yang dijanjikannya. Tiba-tiba bayang baginda Sultan Harun Ar-Rasyid terbayang di kepalanya.
“Seharusnya baginda tahu tentang perkara yang tidak menyenangkan ini dan alangkah baiknya jika baginda tahu sendiri tentang perkara ini,” fikir Abu Nawas lagi. lalu Abu Nawas pun bergegas ke istana.
Dengan pelbagai pujuk rayu, akhirnya Abu Nawas berjaya juga memujuk baginda Sultan untuk ke kampung badwi tersebut.
Esoknya, mereka berdua pun pergilah ke kampung itu. sesampainya di kampung tersebut, penduduk kampung terus saja menangkap baginda Sultan Harun Ar-Rasyid manakala Abu Nawas segera meninggalkan kampung itu. dalam hati dia berfikir,
“Jika baginda bijak, pasti baginda dapat melepaskan diri dari penduduk kampung itu. jika tidak, matilah baginda hari ini,”
Sementara itu, baginda Sultan Harun Ar-Rasyid langsung tidak menyangka akan disembelih. Dalam takut-takut, baginda berkata,
“Jika kamu membuat bubur, dagingku ini tidaklah banyak kerana banyak lemaknya. Tapi jika kamu semua izinkan, benarkan aku membuat makanan lain yang boleh kamu semua jual dengan harga yang lebih mahal berbanding harga bubur kamu itu,”
Lalu penduduk kampung itu pun bersetuju dan baginda sultan pun bekerja keras membantu penduduk kampung itu membuat pelbagai makanan seperti mana yang dijanjikannya. Akhirnya, baginda dibebaskan kerana berjaya membantu penduduk kampung itu dari terus mengamalkan memakan daging manusia.
Beberapa hari kemudian, baginda Sultan memanggil Abu Nawas untuk dikenakan hukuman kerana nyaris membuatkan baginda kehilangan nyawa. Abu Nawas dianggap telah memalukan rajanya di hadapan rakyatnya sendiri.
“Wahai Abu Nawas, kamu benar-benar telah memalukan baginda sultan. Perbuatanmu itu sungguh tidak wajar dan kamu patut dihukum bunuh,” kata Sultan Harun Ar-Rasyid penuh geram.
“Ampun patik tuanku. Sebelum patik dihukum, perkenankan patik untuk menyampaikan kata-kata patik,” sembah Abu Nawas mahu membela diri.
“Baiklah. Tetapi ingat, jika salah, nescaya kamu akan dibunuh hari ini juga,” ujar baginda sultan.
“Wahai tuanku, alasan patik menyerahkan tuanku kepada pembuat bubur itu adalah ingin menunjukkan keadaan hidup masyarakat yang pelbagai dalam negeri ini. kerana semua kejadian di dalam negeri ini adalah tanggungjawab tuanku kepada Allah SWT kelak. Raja yang adil sebaiknya harus tahu setiap pekerjaan yang dilakukan oleh rakyatnya sendiri,” terang Abu Nawas.
Mendengar penerangan itu, maka hilanglah rasa marah Sultan Harun Ar-Rasyid. Dalam hati dia membenarkan kata-kata Abu Nawas itu.
“Baiklah kalau begitu baginda ampunkan semua perbuatanmu dan jangan melakukannya lagi di masa hadapan,” tegas baginda Sultan. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012