Tuesday, September 18, 2012

Empat lelaki dan satu mukjizat


Terdapat empat orang lelaki yang berkelana bersama. Mereka ialah tukang kayu, tukang jahit, tukang jauhari dan seorang pelajar yang mempelajari Al-Quran. Mereka memutuskan untuk bermalam di pinggir hutan yang penuh dengan pohon tamarisk memandangkan hari sudah begitu kelam. Tetapi kerana mengetahui terdapat seekor singa yang berkeliaran di sekitar kawasan itu, maka mereka membahagi masa sesama mereka untuk berjaga di sepanjang malam. Setiap orang perlu berjaga selama tiga jam secara bergilir-gilir.
Giliran pertama jatuh kepada tukang kayu. Untuk mengisi waktu, dia memungut sepotong kayu dan mula mengukir. Saat tiba giliran tukang jahit untuk berjaga, tukang kayu telah siap mengukir sebuah patung berbentuk seorang gadis.
Tukang jahit mengagumi patung tukang kayu dan memutuskan patung itu memerlukan pakaian. Lalu dengan mengambil lumpur dari tanah, dia membuat pakaian kepada gadis yang diperbuat dari kayu itu.
Bila tiba giliran tukang jauhari, dia menghiasi pula gadis kayu itu dengan anting-anting dan kalung yang diperbuat dari batu-batan kecil.
Akhirnya, giliran pelajar yang mempelajari Al-Quran berjaga sehingga fajar menyingsing tiba. Dia memandang patung kayu dengan pakaian dari lumpur dan perhiasan dari batu itu lalu berkata pada diri sendiri,
“Aku tidak punya apa-apa kelebihan seperti kawan-kawanku ini,”
Pada saat itu telah tiba waktu Subuh. Pelajar itu pun berwuduk dan selepas bersolat, dia berdoa,
“Ya Allah, aku tidak dapat mengukir kayu atau menjahit atau membuat perhiasan tapi aku mohon padaMu untuk mengubah patung kayu ini menjadi gadis yang hidup,”
Permintaannya dikabulkan Allah lalu patung itu pun mula berbicara dan menjadi gadis yang benar-benar hidup.
Ketika hari terang, mereka yang lain pun terbangun dan melihat patung kayu itu telah berubah menjadi seorang gadis yang hidup. Pakaiannya yang diperbuat dari lumpur telah menjadi gaun baldu hijau manakala anting-anting sera kalung batunya berubah menjadi emas.
Mereka berempat mula bertengkar merebutkan gadis itu. masing-masing mengaku gadis itu adalah miliknya. Tidak puas hati dengan keadaan itu, mereka memutuskan untuk membawa perkara itu ke muka pengadilan untuk diselesaikan.
Setelah mereka menjelaskan apa yang terjadi, syeikh yang menguasai hukum Al-Quran itu pun berkata,
“Meski pun kamu wahai tukang kayu, mengukirnya dari cabang pohon dan kamu wahai penjahit, membuatkannya pakaian dari lumpur dan kamu pula tukang jauhari, menciptakan perhiasan dari batu untuknya, gadis ini tidak akan hidup jika dia, pelajar ini tidak berdoa kepada Maha Pencipta untuk meniupkan nyawa ke dalam tubuhnya. Gadis itu adalah miliknya dan kamu tidak berhak mendapat bahagian darinya,”
Maka gadis itu pun menjadi milik kepada pelajar yang mempelajari Al-Quran itu. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012