Tuesday, September 11, 2012

SETIAKU DI SINI : PROLOG


PROLOG

Keriuhan mengepung suasana di segenap sudut Resort Seri Bayu kebelakangan ini. Kemeriahannya boleh dirasai hingga ke kawasan berhampiran dengan resort yang terletak tidak jauh dari lautan China Selatan itu.
Setiap kakitangannya kelihatan sibuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan ke bahu masing–masing. Semuanya perlu dipastikan sempurna agar majlis yang bakal dijalankan tidak lama lagi berjalan seperti mana yang telah dirancang.
Farhan melepas pandangan ke luar jendela. Membiar tubuhnya dijamah angin petang yang menghembus agak kencang. Helaian rambut bertebaran disebak sang bayu dibiar terus-menerus menyapu wajah. Bagai tidak menghalang permandangan matanya jatuh di hamparan lautan berdepan dengannya. Memusat pada bot–bot nelayan yang kelihatan berbalam di kejauhan.
Cahaya matahari semakin menghilang dibalik hamparan lautan yang semakin dimamah kegelapan. Menandakan malam bakal mengalih alih suasana siang.
Sudah hampir sejam dia berdiri di situ. Tidak peduli pada hiruk–pikuk yang menguasai suasana sekelilingnya. Ruang telinganya bagaikan terkunci rapat. Tidak dapat ditembusi sebarang bunyi. Farhan bagaikan tenggelam dalam dunianya sendiri. Dunia yang tiada sempadan.
Tanpa sedar satu keluhan panjang terluah dari celah bibir keringnya. Tidak menyedari anaknya, Saifullah yang sedari tadi memerhati gelagatnya dari balik pintu bilik turut melepaskan keluhan kecil. Saifullah sedar, ada sesuatu yang sedang bermain di minda lelaki itu. Sesuatu yang pastinya tidak sama dengan apa yang difikirkannya sekarang. Sesuatu yang jauh berbeza. Jauh dari jangkaannya sendiri.
Tidak terjangkau fikirannya untuk menyelami apa yang sedang melingkari benak Farhan saat ini. Namun dia dapat merasakan kegusaran yang bersemadi di dalam diri lelaki itu. Semua itu dapat dinilai dari gerak tingkah yang terpamer tanpa kesedaran Farhan sendiri.
Saifullah menghela nafas panjang. Perlahan-lahan diatur langkahnya. Menghampiri Farhan yang masih seperti tadi. Membuang pandangan ke luar.
“Ayah…”
Sapaan lembutnya menerbangkan segala khayalan lelaki yang dipanggilnya ayah itu sekaligus menyentaknya dari terus berada di alam khayalan.
Segera Farhan berpaling. Memandang Saifullah yang terlebih dulu memahat senyuman. Dia membalas perlahan.
“Saiful,” Hanya itu yang terluah dari bibir lelaki berusia lewat lima puluhan itu.
Dia memandang sejenak wajah anak muda itu sebelum kembali dipaling wajah. Mengadap lautan yang kini hampir tenggelam sepenuhnya di balik kegelapan. Mengusap perlahan seluruh tubuh yang kini baru terasa kedinginannya.
“Hari dah petang ayah, dah nak masuk Maghrib pun. Jomlah kita bersolat jemaah,” suara Saifullah yang penuh sopan dan lembut kembali menyapu ruang pendengaran lelaki itu.
Farhan kembali berpaling sebelum terangguk-angguk kecil.
“Yalah, ajak mak kamu sekali,” sahutnya perlahan. Memerhati langkah Saifullah yang terlebih dulu menyusun tapak. Menuju ke pintu bilik sebelum dia sendiri turut berbuat demikian.

Mata Farhan melekat pada pemandangan malam. Walaupun hanya kegelapan yang menyalut suasana namun corong telinganya masih dapat menangkap bunyi desiran ombak menghempas pantai, tidak jauh dari resort yang didudukinya kini. Iramanya tetap sama. Tenang dan mendamaikan. Irama alam yang menjadi muzik kehidupannya sedari dulu. Tidak pernah berubah walau zaman demi zaman telah berlalu. Tidak menyedari keadaan malam yang semakin menghambat waktu.
Usapan lembut dibahunya membuatkan dia tersentak. Hancur berkecai lamunannya yang entah apa-apa. Mengalih pandangan pada Saifullah yang entah bila berdiri di sisinya.
“Ayah tengok apa tu?” Saifullah menegur lembut.
Dia turut membuang pandangan ke luar namun hanya seketika. Tiada apa yang menarik perhatiannya untuk terus membiarkan matanya berlarian di situ. Bibirnya mengukir senyuman. Memandang sekilas Farhan yang turut menguntum senyum. Hambar. Di atur langkahnya ke sofa bilik. Merebahkan tubuh di situ. Matanya melekat pada tubuh Farhan yang kini turut mengatur melangkah mendapatkannya.
Farhan meletak punggung di sisi Saifullah yang masih melebarkan senyuman. Menyandar tubuh ke dada sofa. Ada senyuman kecil yang tercoret di wajah yang telah lama terbentuk jalinan kedutan itu.
“Belum tidur lagi Saiful?” suaranya menyusur lembut ke ruang telinga sang anak.
Saiful menggeleng.
“Belum mengantuk ayah,” jawab Saifullah perlahan.
“Penatnya rasanya badan Saiful ni ayah,” sambungnya. Membuka bicara antara mereka.
Sepanjang hari memeras tenaga menguruskan pelbagai tugas membuatkan dirinya benar–benar keletihan. Di picit lembut pangkal lehernya yang terasa lenguh.
“Nasib baiklah majlis ni cuma dibuat sekali saja dalam seumur hidup. Kalau tak, mahu pengsan juga Saiful nak urus semuanya selalu,” seloroh Saifullah.
Saifullah melirik pada Farhan yang hanya mengukir senyuman mendengar celotehnya. Disandar tubuh tegapnya pada Farhan yang mengelus lembut rambutnya.
“Penat atau tidak, kamu mesti lakukannya Saiful. Inikan majlis kamu. Kamu juga nak yang terbaikkan. Jadi mana boleh kamu merungut macam tu,” tenang suaranya mengalun nasihat. Memandang lama sang anak yang kini meletak kepala di pangkuannya.
Sedari kecil, anak muda itu begitu manja dengannya. Mungkin kerana Saiful satu–satunya permata hati miliknya dan isteri membuatkan anak muda berusia dua puluh lima tahun itu bersikap begitu terhadap mereka suami isteri.
“Kamu tu dah nak kahwin Saiful, masih lagi nak bermanja dengan mak ayah,” sampuk Mahfuzah yang tiba-tiba melenggang masuk ke ruang bilik tidur resort itu.
Dia menyusun langkah ke sudut bilik. Tangannya mencapai kain renda putih yang ada di atas meja. Ingin membawanya keluar. Sementara matanya melirik lembut pada Saifullah yang tersipu malu mendengar teguran itu.
“Alah mak ni, kahwin tu bukannya maksud Saiful tak boleh bermanja dengan mak ayah tapi kena kurang bermanja dengan mak ayah. Betul tak ayah?” balas Saifullah.
Perkataan ‘kurang’ ditekannya sedikit. Dikenyit matanya pada Farhan yang hanya mengulum senyum.
“Yalah tu Saiful,” Mahfuzah melebarkan senyuman.
“Esok–esok dah beranak pinak pun takkan nak bermanja dengan mak ayah lagi. Tak malu ke kalau di tengok anak–anak kamu nanti,” sambung  Mahfuzah.
“Mak ni, Saiful belum pun kahwin, dah bercerita pasal anak–anak pula,” Saifullah tersipu malu.
“Eh, apa salahnya kalau mak cakap macam tu pun. Esok–esok lepas kahwin pun kamu tetap ada anak juga kan?” ujar Mahfuzah lagi.                
“Ayah, boleh Saiful tanya sesuatu?” soal Saifullah beralih padanya.
Perlahan Farhan mengalih pandangan pada anak tunggalnya itu.
“Ada apa Saiful?”
Saifullah tersenyum kecil. Direnggang sedikit tubuhnya dari tubuh lelaki itu.
“Boleh Saiful tanya ayah sesuatu?” lembut dia mengulang kembali pertanyaan tadi.
Farhan tersenyum semula sebelum perlahan–lahan mengangguk.
“Saiful nak tanya apa?” soalnya lembut. Dia memandang lama wajah Saifullah yang sedari tadi menghadiahkan senyuman manis buatnya.
Dalam diam Farhan bersyukur kerana dikurniakan anak sebaik Saifullah. Anak muda itu tidak pernah membelakangkannya dalam apa jua perkara. Mendengar kata dan tidak pernah membantah. Begitu menyayangi dirinya dan Mahfuzah.
Saifullah tersenyum lagi. Matanya memandang seketika wajah berkedut Farhan.
“Sejak kita datang ke Resort Seri Bayu ni seminggu yang lalu, Saiful tengok ayah selalu termenung. Kenapa ayah? Apa yang ayah fikirkan?” tanya Saifullah.
Jari–jemarinya liar mencari jari–jemari Farhan. Diusap perlahan. Salah satu tabiat Saifullah yang sering dilakukannya setiap kali berbicara dengan lelaki itu. Matanya masih meratah wajah sang ayah kesayangan. Mencari jawapan yang sekian lama dinantikan.
Farhan menarik nafas panjang. Melirik sekilas wajah tenang Saifullah. Ada perasaan ingin tahu yang menyalut wajah hampir seiras wajahnya itu. Mewarisi rias ketampanan yang pernah dimilikinya suatu masa dulu.
“Ayah teringat pada kenangan yang pernah ayah lalui di sini Saiful,” agak lama dia berdiam diri sebelum membuka mulut.
“Maksud ayah?” cepat saja Saifullah menyoal.
Perasaan ingin tahu yang membuak di dada membuatkan dia tidak sabar mendengar kata–kata seterusnya yang bakal terluah dari mulut lelaki yang hampir beruban penuh kepalanya itu. 
Farhan melepas nafasnya lagi. Lebih panjang.
“Saiful sendiri pun tahukan, zaman muda ayah banyak dihabiskan di tempat ini. Terlalu banyak kenangan yang telah ayah lalui selama ayah berada di sini,” ujar Farhan memulakan bicara.
“Saiful tahu itu ayah tapi Saiful rasa ada sesuatu yang ayah sembunyikan dari Saiful. Sesuatu yang Saiful tak tahu hujung pangkalnya,”
“Kenapa Saiful cakap begitu?”
Mata Farhan melekat seketika ke wajah Saifullah yang hanya menjongket bahu. Ingin tahu lebih lanjut maksud kata-kata anak muda itu.
Well, ayah selalu termenung setiap kali kita datang ke sini. Ayah lebih banyak diamkan diri dari berbual panjang macam selalu,” balasnya selembut mungkin.
Tidak mahu Farhan tersinggung dengan kata–katanya. Hakikatnya, telah lama dia inginkan kepastian berkenaan perkara itu namun dia bimbang kiranya pertanyaan itu mengusik hati lelaki yang cukup dikenali dengan sikap pendiamnya itu.
Farhan kelu bicara. Dia tidak membalas kata.
“Tentu kenangan itu memberi banyak makna dalam hidup ayah hinggakan setiap kali ayah ke sini ayah tak dapat lupakannya,” teka Saifullah. Matanya masih di wajah tua itu.
Farhan menghela nafas panjang sebelum mengangguk kecil.
“Betul tekaan Saiful tu. Kenangan yang ayah pernah ayah lalui suatu masa lalu sememangnya memberi seribu makna dalam hidup ayah. Kenangan yang tak mungkin ayah dapat lupakannya sampai bila–bila,” sahutnya satu persatu. Begitu perlahan.
“Boleh Saiful tahu tentang kenangan ayah tu?” Saifullah menyoal lagi. Mengharapkan jawapan yang sememangnya ditunggu selama ini. Merenung dalam wajah Farhan yang kini mengukir senyuman panjang.
“Saiful nak tahu tentang kehidupan silam ayah?” tanya Farhan lembut.
Laju anak itu mengangguk. “Apa yang Saiful nak tahu tentang kisah silam ayah?”
Saifullah berfikir seketika. “Kisah cinta ayah dengan mak,” balas Saifullah tersenyum lebar.
Farhan tersenyum lagi. Tidak menyahut kata–kata anaknya.
“Mak cinta pertama ayah bukan?” Saifullah bertanya lembut.
Wajah tenang milik Farhan direnung lagi. Hati mudanya terasa damai setiap kali menatap wajah lelaki itu. Lelaki yang menjadi idolanya dalam segala perkara sedari kecil.
Farhan menarik nafas lagi. Dalam. Perlahan dia menggeleng.
“Mak kamu bukan cinta pertama ayah tapi ayah adalah cinta pertama mak kamu. Walau pun dia bukan yang pertama tapi dia juga bukan yang kedua,” sahutnya tenang.
Saifullah membentuk kerutan di dahi.
“Saiful tak fahamlah ayah. Apa maksud kata–kata ayah?”
Bersimpul urat fikirannya mencari erti kata ayahnya.
Farhan tersenyum lagi.
“Saiful nak tahu tentang kisah cinta yang pernah ayah lalui?”
Saifullah mengangguk pantas. “Kalau boleh Saiful nak tahu dari mula sampai akhir,” ucapnya cukup teruja.
Dia mengubah kedudukannya. Lebih rapat dengan tubuh Farhan yang hanya memandang kelakuannya.
“Saiful tak bosan ke nak dengar kisah cinta ayah? Kisahnya panjang,” Farhan bersuara lagi. Sekadar menduga anak muda itu yang laju menggeleng.
“Alah, tak kisahlah panjang ke tidak, yang penting ayah sudi ceritakan kisah ayah pada Saiful. Mana tahu Saiful boleh jadikannya sebagai panduan dalam kehidupan rumahtangga Saiful di masa depan,” ucapnya bersungguh-sungguh. Masih tidak mengalih mata dari wajah Farhan yang masih mengukir senyum.
So, boleh ayah ceritakan kisah cinta ayah tu pada Saiful?” tanyanya sedikit tak sabar.
Farhan mengangguk kecil seraya menarik nafas panjang. Dia kembali membuka mulut. “Kisah cinta ayah bermula 25 tahun yang lalu,” Farhan memulakan ceritanya. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012