Kisah ini adalah tentang kecerdikan
Abu Nawas dalam menyelamatkan rajanya dari dikhianati oleh para pembesar
istana. Kisahnya berlaku apabila kerajaan yang dipimpin oleh Sultan Harun
Ar-Rasyid menjadi huru hara gara-gara berlakunya perculikan dan pembunuhan
misteri di kalangan rakyat jelata baginda.
Raja dan para tentera akhirnya
mengetahui huru hara tersebut bukannya datang dari musuh tetapi dari dalam
istana sendiri yang dirancang oleh para menteri. Namun Sultan Harun Ar-Rasyid
tidak dapat mengetahui siapa di antara menterinya yang telah merancang kejadian
itu kerana dia melihat semua menterinya begitu taat dan setia padanya.
Oleh kerana buntu, baginda pun
memanggil Abu Nawas yang cukup dikenali mempunyai akal fikiran yang cerdas.
“Wahai Abu Nawas, akhir-akhir ini
Sultan Harun Ar-Rasyid sangat gelisah. Bagai ada seseorang yang ingin
mengulingkan kerajaan baginda. Apa adakah apa-apa yang salah dalam kepimpinan
baginda?” soal baginda.
“Ampun tuanku, apa yang boleh patik
lakukan untuk membantu?” tanya Abu Nawas.
“Begini wahai Abu Nawas. Berikanlah
cara kepada Sultan Harun Ar-Rasyid untuk baginda menguji kesetiaan para menteri
baginda,” pinta baginda Sultan Harun Ar-Rasyid sambil berjanji untuk memberi
hadiah kepada Abu Nawas andai Abu Nawas berjaya membantu baginda.
“Kalau begitu, berilah patik waktu
sehari semalam untuk memikirkan cara yang terbaik,” ujar Abu Nawas lalu pulang
ke rumah.
Di rumah, Abu Nawas berfikir keras
untuk mencari cara terbaik bagi menguji kesetiaan para menteri Sultan Harun
Ar-Rasyid. Kerana letih berfikir, Abu Nawas akhirnya tertidur.
Pada keesokan harinya, ketika Abu
Nawas ingin menunaikan solat Subuh, dia telah mendapat akal bagi membantu
baginda Sultan Harun Ar-Rasyid. Lantas dia segera mencari serban yang berbau
busuk kerana sudah lama tidak dicuci oleh isterinya.
Setelah solat Subuh, Abu Nawas segera
bergegas ke istana untuk mengadap Sultan Harun Ar-Rasyid. Abu Nawas meminta
Sultan Harun Ar-Rasyid berpura-pura mempunyai serban sakti. Sultan Harun
Ar-Rasyid bersetuju mengikut rancangan Abu Nawas.
Tak lama kemudian, baginda pun
memerintahkan para menterinya untuk datang mengadap. Di hadapan mereka semua,
Sultan Harun Ar-Rasyid mengatakan bahawa baginda telah mendapat hadiah berupa
serban sakti hasil pemberian sultan dari negara lain. Antara kesaktiannya
serban itu mampu menentukan masa depan kerajaan Sultan Harun Ar-Rasyid di masa
akan datang.
“Wahai para menteri, bantulah baginda
menentukan masa depan negeri ini,” titah Sultan Harun Ar-Rasyid.
“Bagaimana caranya wahai tuanku?”
tanya salah seorang menteri.
“Caranya mudah saja. Hendaklah setiap
seorang dari kamu semua mencium serban hadiah ini secara bergantian. Apabila
berbau wangi, itu tandanya kerajaan baginda akan terus aman tapi jika berbau
busuk, itu tandanya kerajaan baginda akan runtuh tak lama lagi,” jelas baginda.
Lalu seorang demi seorang menteri pun
memasuki bilik yang menempatkan serban sakti yang dikatakan Sultan. Selesai
giliran semuanya, maka mereka pun kembali mengadap baginda Sultan Harun
Ar-Rasyid.
“Bagaimana baunya?” tanya Sultan Harun
Ar-Rasyid.
“Serban itu baunya sangat harum jadi
kerajaan tuanku akan kekal aman,” jawab menteri pertama. Menteri kedua dan
ketiga juga memberi jawapan yang sama. Sebenarnya mereka ingin menyenangkan
hati sultan yang diketahui sedang gundah gulana.
Lalu tibalah menteri keempat dan
kelima memberi jawapan. Mereka mengatakan bahawa serban itu berbau busuk dan
amat menyengat hidung.
Bila mendengar kata-kata kedua-duanya,
maka Sultan Harun Ar-Rasyid pun menjelaskan bahawa serban itu adalah milik Abu
Nawas yang sudah using dan telah lama tidak dicuci.
Lalu bergetarlah tubuh
menteri pertama, kedua dan ketiga. Sedar mereka telah berbohong dan bersikap
tidak jujur kepada Sultan. Maka mereka pun ditangkap dan dimasukkan ke dalam
penjara. Manakala menteri keempat dan kelima diberikan hadiah atas kesetiaan
mereka kepada baginda sultan. Tidak lupa Abu Nawas juga mendapat bahagian
hadiah seperti mana yang dijanjikan oleh Sultan Harun Ar-Rasyid sebelumnya.
No comments:
Post a Comment