Tuesday, September 11, 2012

BERSATU DALAM CINTA : BAB 1

BAB 1

Matahari telah lama memancarkan cahaya. Segala isi alam juga telah lama menjalankan aktiviti masing-masing.
Sedangkan Faris masih lagi berada di tilam empuknya. Sejak tadi Faris menggolek tubuh ke kiri dan ke kanan. Berusaha melelapkan mata biarpun sedar. Itu bukan waktu yang sesuai. Namun matanya masih tetap tidak dapat ditutup rapat meskipun rasa mengantuknya masih wujud. Lantas laju saja tangannya mencapai bantal di sisi tubuh. Ditekup ke telinganya rapat-rapat.
Namun keadaan itu masih tidak mampu menutup lubang deria itu dari mendengar segala keriuhan. Lalu Faris kembali membuka mata. Sempat dia mendengus halus. Resah dengan keadaan yang dialami. Faris mengerling jam loceng di sisi meja. Pukul 7.30 pagi, desis hatinya.
“Aduh... nak tidur pun tak boleh. Waktu-waktu beginilah dia orang nak buat bising. Saja tak bagi aku tidur,” rungut Faris pula.
Faris menghela nafas sebelum lambat-lambat bangun dari pembaringan. Sambil menenyeh kelopak mata dia bangkit dari katil.
Tubuhnya yang masih berbalut sepasang pijama diheret ke pintu bilik. Daun pintu dibuka luas-luas. Dibiar ternganga begitu saja tanpa ditutup semula. Sedangkan kaki sudah mengatur tapak ke tingkat bawah rumah. Langsung ke ruang makan.
“Pagi mak...” Lemah Faris membuang ucapan pendek itu.
Punggungnya dihempas lembut ke kerusi. Memandang sekilas Puan Fatimah yang baru melangkah keluar dari dapur. Wanita itu tersenyum panjang.
“Pagi. Awal kamu bangun. Kata nak sambung tidur lepas Solat Subuh. Ni tak sampai sejam kamu tidur, dah bangun balik.” Lembut Puan Fatimah membuka bicara. Faris pula sudah merengus halus.
“Macam mana nak tidur mak dalam suasana bising macam ni? Dahlah bising dengan bunyi orang mengangkut barang, mulut orang yang mengangkutnya tu pulak tak tahu diam. Bercakap aje tak henti-henti. Pot-pet, pot-pet dua puluh empat jam. Kuat pulak tu. Berdengung kepala Ris dibuatnya,” rungut Faris sedikit berjela.
Betul-betul tak senang dengan suasana itu. Terus Faris mencapai tepung talam dari dalam pinggan, lalu dikunyah lahap. Puan Fatimah hanya menggeleng-geleng melihat gelagat anaknya itu.
“Hei kamu ni Ris. Kalau iya pun nak makan, basuhlah muka tu dulu. Ini tak, main sumbat masuk aje kuih tu ke dalam mulut kamu yang tak bergosok tu,” tegur Encik Rais menjeling sekilas anak terunanya.
Dia yang baru turun dari tingkat atas segera menarik kerusi di kepala meja. Lalu dia melabuh punggung di situ.
Faris hanya tersengih panjang. Malas menyahut kata-kata ayahnya.
“Kamu tak kerja ke hari ni Faris?” tanya Encik Rais.
Wajah si anak yang terus rakus melahap tepung talam dipandang semula.
“Apa pulak tak kerjanya ayah? Ris kerja macam biasalah. Cuma hari ni Ris masuk lewat sikit sebab malam tadi Ris balik lambat. Banyak kerja yang perlu Ris buat kat syarikat percetakan Ris tu.”
Encik Rais mengangguk kecil.
“Kenapa bising sangat halaman rumah jiran sebelah kita ni mak? Selama ni tak pernah pun Ris dengar bunyi bising macam tu punya kuat?” Mata bulat Faris sudah teralih ke wajah tenang Puan Fatimah.
Sememangnya dia tidak tahu-menahu apa yang sedang berlaku di kawasan kejiranannya. Kesibukan menguruskan syarikat percetakan miliknya menjadikan dia jarang peduli dengan keadaan yang berlaku di sekeliling kediaman mereka.
“Mana tak bisingnya Ris oii. Ada orang baru pindah masuk ke rumah sebelah kita ni. Minggu lepas dia orang datang tengok-tengok aje. Hari ni pindah masuk teruslah agaknya sebab ada dua lori besar datang. Itulah yang bising sikit tu,” ujar Puan Fatimah turut sama melabuh punggung di situ.
Kening lebat Faris sudah terjongket.
“Ada orang pindah masuk ke rumah sebelah? Eh, bukankah rumah arwah Pak Cik Sulaiman tu dah lama kosong? Apa anak-anaknya yang duduk kat Singapura tu dah pindah balik sini ke?” Faris membuat andaian sendiri berdasarkan apa yang diketahuinya. Terus berkerut dahi dia bila mendengar jawapan Puan Fatimah.
“Bukan anak-anaknya yang balik duduk sini tapi orang lain. Setahu mak, anak-anaknya dah sepakat menjual rumah arwah Pak Cik Sulaiman tu pada orang luar. Jadi senang cakap kita dapat jiran barulah lepas ni.”
Hanya itu yang diketahui Puan Fatimah. Itupun setelah dia bertanya-tanya pada kelindan lori yang ditemuinya di laman rumah sebelah, minggu lalu.
“Orang baru? Maknanya lepas ni rumah sebelah kita ni tak kosong lagilah ya?”
Makin rancak Faris menyumbat masuk tepung talam ke dalam mulutnya. Sedap pula rasa kuih mak pagi ni, sempat lagi hatinya memuji hasil tangan Puan Fatimah iaitu, kuih
kegemarannya itu.
“Alah, apa salahnya kalau ada orang pindah masuk pun ke rumah tu. Kita jugak yang beruntung sebab ada jiran tetangga di sekeliling kita. Tak adalah sunyi sangat kawasan rumah kita ni nanti. Mak pun bolehlah dapat kawan untuk diajak bersembang bila ada masa lapang. Taklah mak sunyi sepi lagi.” Tidak semena-mena keluhan kecil wanita itu terhempas keluar seusai dia bersuara.
“Apalah yang mak boleh kata lagi Ris. Nak harapkan kamu bawa balik menantu ke rumah ni, rasanya nak kiamat esok baru mak nampak bayangnya. Jadi daripada tak ada menantu nak temankan mak kat rumah ni, elok jugaklah kalau ada jiran pun. Itu pun dah cukup buat mak hilangkan rasa sunyi mak walau sekadar menumpang orang yang tak sepatutnya. Iya tak Ris?”
Dalam lembut sempat pula Puan Fatimah menyindir anak sulungnya. Dia hanya mengoles senyuman tatkala melihat raut wajah Faris sudah bertukar riak masam.
“Mak ni, mulalah tu. Tak ada perkara lain yang nak dicakapkan. Saja nak buka bab-bab yang Ris tak suka pagi-pagi begini,” rungut Faris dalam rengusan.
Kemudian dia memandang Encik Rais bila lelaki itu mula bangun dari duduknya.
Sedari tadi lelaki itu begitu tekun menghabiskan sarapannya tanpa menyampuk perbualan kedua-dua beranak itu. Itulah sikap Encik Rais sejak dulu. Tidak gemar bercakap ketika makan melainkan perlu.
“Ayah dah nak pergi kerja ke?” Faris bertanya.
Dia terus menghulur tangan pada lelaki itu lalu tangan si ayah dikucup lembut. Encik Rais mengangguk kecil.
“Iyalah, takkan nak bertapa dalam rumah ni pulak.”
Dia menyambut pula huluran tangan Puan Fatimah. Wanita itu turut bangun dari duduknya. Namun dia masih tidak berganjak dari tempatnya.
“Hati-hati bila bawa kereta tu ya bang,” pesan Puan Fatimah sebagaimana biasa sebelum turut menapak ke pintu rumah bersama suaminya.
Sehingga kereta Encik Rais hilang dari pandangan barulah Puan Fatimah kembali ke meja makan. Dia kaget tatkala terpandang renungan nakal Faris terhadapnya. Anak itu masih melekatkan mata di wajah si emak tanpa berubah arah sejak tadi. Bibirnya pula masih tersenyum panjang. Penuh makna.
“Kamu ni kenapa Ris? Senyum macam tu pulak kat mak? Apa yang tak kenanya?” soal Puan Fatimah pelik melihat perlakuan anaknya ketika ini.
“Tak ada apa-apalah mak. Ris cuma pelik dengan perangai mak tu. Dah lebih 30 tahun pun ayah berulang-alik ke tempat kerja yang sama. Hari-hari jugak mak pesan perkara yang sama kat ayah sampaikan kami adik-beradik pun boleh hafal semua dialog klise mak tu.”
Puan Fatimah mengorak senyuman.
“Apa nak kata Ris. Dah menjadi kebiasaan mak buat begitu pada ayah kamu sejak dulu. Nak buat macam mana lagi.” Dengan bersahaja wanita itu bersuara sebelum kembali menyambung suapannya.
Faris berfikir seketika lalu mengangguk kecil.
“Hmm... betul kata cikgu sekolah Ris dulu. Kalau sesuatu perangai itu tidak diubah dari awal maka perangai itu akan menjadi satu kebiasaan dan lama-lama ianya akan bertukar menjadi satu tabiat yang mana mustahil dapat dibuang sampai bila-bila.” Selamba saja Faris mengutarakan kata-kata itu. Kemudian dia tersengih panjang bila si emak terus merengus halus.
“Ada-ada ajelah kamu ni. Nak kenakan maklah tu,” marah Puan Fatimah dalam senyuman.
“Dah, pergi mandi sekarang. Kejap lagi kamu nak pergi kerja pulak,” sambung Puan Fatimah terus memberi arahan.
Sedikit tegas.
Faris mengangguk seraya menghabiskan minumannya. Dia bangun dari duduknya selepas itu. Namun langkahnya tak jadi diatur bila Puan Fatimah kembali bersuara.
“Kamu ni Ris, kenapa kamu selalu sangat lupa nak makan badam hah? Bukankah mak dah pesan, makan badam tu tiap-tiap hari walau sikit. Biar cergas selalu otak kamu tu,” tegur Puan Fatimah sedikit membebel. Faris tersengih semula.
“Apa nak buat mak, anggaplah perangai Ris ni dah jadi satu kebiasaan. Alah, macam mak jugaklah. Dah biasa pesan kat ayah supaya hati-hati bawa kereta ke pejabat. Ris pun macam tu jugaklah. Dah biasa lupa makan badam,” sambutnya meniru nada suara Puan Fatimah sebentar tadi.
Dia terus berlari ke tingkat atas bila Puan Fatimah pantas mengangkat tangan. Ingin menampar tubuhnya. Sekadar menggertak anak lelakinya yang sudah membuang tawa besar. Hingga tawa si anak sudah hilang dari pendengarannya Puan Fatimah masih mengulum senyuman.
“Ris, Ris, ada-ada saja kamu ni.” Suara Puan Fatimah dalam bahagia dek usikan itu.

“AINUL, bangunlah nak oii. Dah pukul berapa dah ni. Tahulah kamu tu cuti hari ni tapi takkanlah nak tidur sampai matahari dah terpacak kat atas kepala baru nak bangkit. Sudah-sudahlah tidur tu,” bebel Puan Hayati sebaik saja dia melangkah masuk ke bilik tidur anak lelakinya.
Mata Puan Hayati sempat merayap ke sekeliling bilik. Keadaannya kemas dan bersih sekali gus menyejukkan pandangan mata Puan Hayati. Seketika cuma, sebelum mata tuanya terlekap tepat pada batang tubuh seseorang di atas katil. Nyenyak anak itu tidur hingga tidak sedar si emak sudahpun melabuhkan punggung di sisinya.
“Ainul, bangun nak. Dah nak dekat pukul 11.00 ni. Takbaik tidur lama-lama. Nanti kamu jugak yang  merungut sakit kepalalah, sakit badanlah. Dah, dah, bangun cepat,” ujar Puan Hayati membebel lagi.
Sambil itu dia menggoncang-goncang beberapa kali tubuh berbungkus selimut tebal itu. Sempat tangannya mencapai alat kawalan pendingin hawa lalu salah satu butangnya ditekan. Sekali gus mematikannya dari terus memberikan perkhidmatan buat empunya bilik yang masih berlingkar enak di pembaringannya.
Ainul menggeliat tubuh tegapnya sedikit.
“Mak ni, biarlah orang tidur lama mana pun. Orang penatlah mak. Mengantuk pulak tu. Dahlah malam tadi orang tidur lewat,” rungutnya dengan mata masih terpejam rapat. Tangannya makin erat memeluk bantal di sisi.
Puan Hayati menggeleng perlahan. Dia melepas nafas.
“Itulah kamu. Bekerja sampai tak ingat dunia. Siang malam bertungkus-lumus buang tenaga kat syarikat tu sampai langsung tak fikir diri sendiri. Makan pakai pun tak tentu hala jadinya. Memang patutlah isteri kamu tinggalkan kamu.” Kata-kata akhirnya berjaya mengundang rengusan kasar lelaki tu.
“Mak ni, boleh tak kalau nak bebel tu jangan babitkan sekali pasal rumah tangga orang hah? Bosanlah mak. Asyik-asyik nama dia jugak yang mak sebut,” luah Ainul terus menekup muka dengan bantal. Sedikit berang dengan kata-kata Puan Hayati.
Puan Hayati terus mencekak pinggang. Matanya juga telah membulat.
“Hei, mana ada mak sebut nama isteri kamu tu pun? Mak cuma cakap ajelah. Yang kamu nak marah-marah kat mak ni kenapa pulak?” Tinggi sedikit nada suara Puan Hayati. Tak senang dengan tuduhan si anak. Menajam mata pada Ainul yang kembali bersuara dari balik bantal.
“Orang bukan marah kat mak tapi orang tak sukalah mak babitkan perempuan tu. Orang dengan dia dah lama tak ada apa-apa hubungan. Yang mak nak ungkit lagi kisah lapuk tu nak buat apa? Kalau iya pun nak mengata orang janganlah sampai dia jugak yang mak sebut-sebut.” Ainul kembali merendahkan nada suara.
Tahu silapnya meninggi suara pada Puan Hayati sedangkan bukan itu niatnya. Sekadar meluah rasa tidak puas hati pada sikap emak kesayangan yang sering kali mengungkit perkara yang telah lama tersisih jauh dari jalan kehidupannya.
“Mak bukan ungkit, tapi mak cuma ingatkan kamu aje. Kalau kamu tak ubah perangai gila bekerja kamu tu, jangan kata isteri, girlfriend baru pun belum tentu kamu nak dapat walau sekerat manusia.
Perempuan mana yang boleh tahan dengan perangai kamu yang tak serupa orang tu? Esok-esok bila sampai hari tua orang lain sibuk bermain dengan anak cucu, yang kamu pulak baru terhegeh-hegeh nak cari isteri,” ujar Puan Hayati membebel lagi.
Lebih panjang dari tadi hingga menggeleng-geleng mengikut rentak percakapannya. Membingitkan telinga Ainul yang kembali merengus lembut. Rimas dengan hujah-hujah penuh benar wanita itu. Dipusing tubuhnya. Menghadap si emak namun masih tidak berganjak dari pembaringannya.
“Dahlah mak, janganlah nak membebel lagi. Bagilah orang tidur sekejap. Nanti sebelum masuk Solat Zuhur orang bangunlah,” ujar Ainul bersuara lembut kali ini.
Lebih kepada merayu sebelum menarik selimutnya semula. Menutup seluruh tubuhnya hingga ke kepala. Melolot saja mata Puan Hayati mendengar kata-kata si anak.
“Sebelum Solat Zuhur baru kamu nak bangun dari tidur?” soal Puan Hayati menepuk-nepuk dahinya.
“Habis tu kamu tak nak makan sarapan dulu ke?”
“Tak naklah mak. Orang belum lapar. Lagipun lebih baik orang jaga mata dari jaga perut. Kalau lapar boleh tahan tapi kalau mengantuk memang tak boleh buat apa lagi dah melainkan tidur aje ubatnya.” Suara Ainul tenggelam dalam bungkusan selimutnya. Membuatkan kepala Puan Hayati menggeleng lagi.
“Hai, apalah malang nasib aku. Dapat anak begini punya perangai.” Dia merungut sendiri lalu mengeluh kecil.
“Habis tu kamu tak kerja ke hari ni?” Wanita itu menyoal semula selepas itu.
“Nak kerja apanya mak? Bukankah mak dah tahu orang ambil cuti hari ni. Lagi mahu tanya,” rungut Ainul malas melayan pertanyaan Puan Hayati.
“Ooo... kira cuti aje kamu nak tidur ajelah sepanjang hari ni pun?”Puan Hayati bertanya lagi.
“Mana ada mak. Orang bukannya kelawar nak tidur lama-lama. Kejap lagi orang bangunlah,” ujar Ainul semakin erat memeluk bantalnya biarpun bahang panas mula menguasai suhu bilik.
“Kamu Solat Subuh tak pagi tadi?” Seakan tak puas hati dengan jawapan si anak, Puan Hayati bertanya lagi.
“Solatlah mak, apa pulak tak solatnya. Solat tu wajib dibuat, mana boleh ditinggalkan begitu aje. Dahlah tu mak, bagilah orang tidur. Petang-petang sikitlah orang bangun ya. Mak pergi masak nasi dan lauk-pauk sekarang. Nanti orang bangun aje orang terus nak makan.” Suara Ainul lagi. Seakan memerintah. Tidak mahu melayan cakap Puan Hayati lagi sebenarnya.
Melihat tingkah anaknya, Puan Hayati menggeleng lagi buat kesekian kali. Dia terus bangun dari duduknya sebelum menapak ke luar bilik. Meninggalkan Ainul yang telah kembali merayap ke alam mimpi tidak lama kemudian. Langsung tak peduli pada tubuhnya yang mula memercik peluh dek bahang suasana bilik.

“ASSALAMUALAIKUM.” Lantang Damia memberi salam.
Dia melangkah masuk ke ruang tamu. Lalu tersenyum panjang tatkala terpandang Puan Khadijah melangkah keluar dari ruang dapur seraya menyahut salamnya.
“Ooo... kamu rupanya Damia. Mak ingat siapalah tadi.”
Laju saja wanita itu menyambut huluran tangan Damia. Senyumannya kembang lagi bila gadis itu terus mengucup tangannya. Penuh hormat.
“Ayah mana mak? Tak balik kerja lagi ke?” tanya Damia terus menghempas tubuh ke sofa. Mata pula sudah melilau ke sekeliling. Sekejap saja.
“Ayah kamu tu dah lama balik. Ada kat atas tu, tengah Solat Asar,” ujar Puan Khadijah turut meletak punggung di sofa. Menghadap anak perempuannya itu.
“Kamu dari mana ni? Dari firma ke?”
Gadis itu mengangguk kecil.
“Dari mana lagi mak kalau bukan dari firma. Saja aje Mia singgah. Dah lama rasanya Mia tak balik ke sini.”
Damia melepas lelah yang masih berbaki di tubuhnya. Sedangkan kakinya sudah dilipat naik ke atas sofa. Duduk bersila. Satu tabiatnya yang sejak kecil payah disingkir dari diri gadis bersikap kasar itu. Begitupun telah banyak sikap negatifnya dibuang mengikut peredaran usia.
Puan Khadijah mencebik bibir.
“Hah, tahu pun kamu dah lama tak balik ke sini. Mak ingatkan kamu tak mahu balik ke rumah ni lagi sampai bila-bila,” sindir Puan Khadijah menjeling Damia.
Gadis itu menyeringai panjang.
“Bukan tak mahu balik mak tapi Mia tak ada masa langsung. Banyak kerja yang perlu Mia lakukan sebulan dua ni.”
“Kerja tu kerja jugaklah Damia oii tapi ingat sama kesihatan diri kamu tu. Tak guna bekerja siang malam mengalahkan robot kalau badan tu sakit-sakit selalu,” ujar Puan Khadijah sudah membuka ‘ceramah’ tak rasminya.
Damia pula hanya menggaru-garu kepala tak gatal. Malas menyahut. Bimbang bebelan wanita itu semakin berpanjangan jadinya.
“Hah Mia, dah lama kamu sampai?”
Pertanyaan itu mengangkat kepala Damia. Sekali gus menyelamatkannya dari terus mendengar ‘ceramah’ Puan Khadijah yang baru bermula. Dia terus tersenyum pada Encik Khalid. Lelaki itu melangkah turun dari tingkat atas seraya mendapatkan isteri dan anaknya.
“Taklah, baru aje sampai ayah,” ucap Damia sambil menghulurkan tangan pada lelaki itu. Penuh hormat.
Encik Khalid menyambut perlahan. Dia turut melabuhkan punggung di sofa. Berdepan gadis itu. Sempat matanya mengerling pada Puan Khadijah yang terus bangun menuju ke ruang dapur. Membuat minuman buat anak-beranak itu.
“Jadi macam mana Mia? Seronok kamu bekerja kat firma tu?” tanya Encik Khalid, matanya sudah terlekap di wajah anak perempuannya itu.
Walaupun Damia bukan anak kandung dia dan Puan Khadijah, namun kasih sayang mereka suami isteri tetap melimpah buat gadis berkulit cerah itu.
Damia tersenyum panjang. Kemudian mengangguk kecil.
“Seronok tu seronoklah ayah tapi penatlah. Banyak sangat kes perceraian yang perlu Mia selesaikan setiap hari. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja pasangan yang memfailkan perceraian. Sudahlah tu, kebanyakannya pasangan Melayu pulak yang buat macam tu.” Ketika menjawab dia mengeluh. Sedikit terkesan dengan keadaan itu.
“Apa nak kata Mia, dah jadi macam satu trend pulak di zaman sekarang ni orang-orang bangsa kita bercerai lepas beberapa lama berkahwin. Agaknya masing-masing berkahwin pun hanya semata-mata untuk berseronok.
Lepas dah hilang seronoknya, mulalah ada yang tak kena. Tak ada persefahamanlah, tak boleh bertolak ansurlah, kena deralah. Ada aje alasannya nak bercerai-berai. Ada jugak pasangan yang berkahwin tak sampai seminggu dah masuk mahkamah.” Sambil menyelak surat khabar Encik Khalid meluah kata.
Tabiat lelaki itu sejak kecil lagi memang tak mampu diubah sehingga kini. Malah turut diwarisi oleh semua anak-anaknya termasuk Damia sendiri.
“Itulah ayah. Saya sendiri pun rasa pelik. Kenapalah mudah sangat orang bercerai-berai di zaman sekarang ni? Masa nak kahwin buat majlis besar-besaran mengalahkan anak raja tapi bertahannya cuma dua tiga bulan. Buat rugi aje. Rugi masa, rugi tenaga, rugi duit. Pendek kata memang rugi semuanyalah,” rungut Damia sedikit marah. Sempat pula dia menumbuk lembut kusyen kecil di sisinya. Seakan melepas geram di situ.
“Tapikan ayah. Mengikut beberapa kes yang saya kendalikan setakat ni, kebanyakan pasangan bercerai kerana tiada persefahaman dan bukannya sebab masalah-masalah yang lain. Pelik pulak rasanya bila persefahaman yang jadi pokok pangkal penceraian.
Yalah, bukankah dalam Islam kita digalakkan untuk membuat Solat Istikharah sebelum memilih seseorang itu menjadi pasangan hidup kita? Kenapa tak kita pratikkan saja perkara tu sebelum kita ambil keputusan nak berkahwin?” ujar Damia berasa pelik dengan manusia zaman siber ini.
“Biasalah tu Mia. Nama pun manusia. Takkan pernahnya kita dapat lari dari melakukan kesilapan. Begitu jugak dalam hal perkahwinan ni. Masa mula-mula kenal, kita yakin sangat dialah orang yang paling memahami kita. Hingga kita terlupa Islam mempunyai caranya sendiri untuk kita kenal pasti sesuai atau tidak pasangan pilihan kita tu untuk kita kahwini.
Bila dah kahwin, barulah kita sedar yang kita dah salah membuat pilihan. Tapi kalau salah sekalipun, kita masih boleh perbaikinya dengan cara berusaha dan berdoa semoga segalanya akan berubah menjadi sepertimana yang kita inginkan.
Tapi itulah satu sikap manusia biasa seperti kita ni. Bila dah sayang, sayang sangat mengalahkan sayang ALLAH. Bila dah datang rasa benci tu, jangan kata nak bercakap, nak pandang muka pun tak mahu. Kalau dah nak tengok pun tak mahu, macam mana nak selamatkan rumah tangga tu? Cara terbaik, bercerai ajelah jawabnya.” Panjang lebar Encik Khalid menerangkan. Sekadar meluah pengetahuan yang diketahuinya sepanjang bergelar peguam selama berpuluh tahun.
“Hei kamu dua beranak ni. Boleh tak kalau sesekali berjumpa tu kamu berdua bercakap pasal hal lain pulak? Balik-balik hal kat firma tu jugak yang dicakapkan. Rimas mak mendengarnya,” sampuk Puan Khadijah.
Dia kembali bersama sedulang minuman. Lalu mematikan tingkah Damia yang baru ingin membalas kata. Wajah kedua-duanya dipandang dengan riak masam.
“Alah mak, apa salahnya kalau kami cakap pasal ni pun? Bukannya selalu Mia dapat berbual dengan ayah hal-hal berkaitan kerja ni. Walaupun Mia dan ayah bekerja di firma yang sama, tapi kami jarang dapat bersua. Masing-masing sibuk dengan kerja sendiri,” jelas Damia terus meneguk minumannya beberapa kali setelah selesai menyahut.
“Betul cakap Mia tu Jah. Kami jarang dapat berbual bersama walaupun berada dalam satu firma. Mia dengan kerja dia, abang pulak dengan kerja abang. Manalah kami ada masa nak berbual kosong macam sekarang ni,”
Encik Khalid menyokong kata-kata anak daranya. Dia turut meneguk minumannya. Tidak peduli pada si isteri yang kembali melabuhkan punggung di sisinya.
“Apapun Mia, mak berterima kasih sangat pada kamu kerana kamu sudi balik menetap di sini semata-mata untuk membantu ayah kamu mengendalikan firma guamannya tu. Kalau tak, entah pada siapalah ayah kamu boleh harapkan. Nak harapkan pada Abang Zairi kamu, dia bukannya tahu apa-apa pun pasal hal guaman ni. Pasal kayu-kayu balak dia tahulah,” kata Puan Khadijah bersuara semula. Penuh terharu.
“Hisy mak ni, tak payahlah nak berterima kasih pada Mia. Walaupun mak dan ayah bukan ibu bapa kandung Mia tapi Mia tetap sayangkan mak dan ayah. Lagipun Mia dah banyak terhutang budi pada mak dan ayah. Kalau tak kerana belas ihsan dan kasih sayang mak dan ayah pada Mia, rasanya Mia takkan berjaya menjadi peguam sepertimana hari ni.” Ternyata Damia turut terharu dengan kata-kata wanita itu.
Sayu saja dia meluah suara. Namun keadaan itu tidak menyenangkan hati Encik Khalid. Tegas saja lelaki itu mencelah.
“Damia Karmila, dah berapa kali ayah katakan pada kamu. Ayah tak suka kamu mengungkit tentang perkara ni. Dah menjadi tanggungjawab kami menjaga dan mendidik kamu sebaik-baiknya. Taraf kamu sama saja dengan taraf Abang Zairi dan arwah Kamilia di sisi kami.
Kamu jangan lupa, walaupun kamu tu hanya anak saudara kami tapi kamu jugak adalah anak kandung kami sebab kamu menyusu dengan mak kamu ni.” Tajam saja mata Encik Khalid membalas pandangan gadis itu. Lalu menimbulkan rasa bersalah Damia.
“Mia mintak maaf ayah kerana mengungkit hal ni tapi apa yang Mia katakan tu benar. Selepas pemergian mak dan ayah kandung Mia masa Mia kecil dulu mak dan ayahlah tempat Mia bergantung hidup selain dari nenek. Segala keperluan hidup Mia, mak dan ayah yang sediakan dari dulu sampailah sekarang.Mustahil Mia dapat menebus semula segala kebaikan mak dan ayah itu,” sahutnya masih sayu.
“Kamu tak perlu tebus semua tu Mia. Cukuplah kalau kamu sayang dan terima kami sebagai ibu bapa kamu. Itu pun dah membuatkan kami bahagia selama ni.”
Puan Khadijah sudah menitiskan air mata. Sememangnya dia begitu sayang pada gadis itu. Biarpun Damia tidak dilahirkan dari rahimnya. Namun dia tidak pernah membezakan Damia dengan anak-anaknya yang lain lantaran Damia lahir dari rahim arwah adik kembarnya, iaitu satu-satunya saudara kandung yang dia ada.
“Dahlah tu, jangan nak diungkit lagi pasal perkara ni. Banyak lagi perkara yang boleh kita bualkan pun selain dari perkara ni,” cantas Encik Khalid, kembali meletak pandangan ke wajah Damia.
“Oh ya Damia, lupa ayah nak bagitahu. Nenek kamu ada telefon ayah semalam. Dia marah pada kamu sebab kamu tak balik jumpa dia. Dah sebulan lebih kamu balik ke Malaysia tapi belum sekali pun kamu menjenguk dia kat kampung. Jadi dia minta sangatlah kamu pergi menjenguk dia. Itupun kalau kamu masih sayang kat dia katanya,” ujar lelaki itu menyampai pesanan Nenek Tijah padanya.
Damia menggaru-garu kepala tak gatal seraya mengeluh perlahan.
“Mia bukan tak sayang kat nenek tu ayah tapi ada banyak kerja lagi yang perlu Mia lakukan sekarang sebelum balik ke kampung tu. Mak dan ayah faham-faham sajalah. Mia kan baru aje masuk kerja kat firma ayah tu. Ada seribu macam perkara yang perlu Mia lakukan waktu ni. Semuanya berkaitan dengan keadaan firma dan pekerjaan yang Mia lakukan sekarang. Jadi manalah Mia ada masa nak fikir pasal hal lain.”
“Kami ni memanglah faham sangat-sangat Mia oii tapi nenek kamu tu bukannya faham bab-bab kerja ni. Kamu jangan Mia, jadi macam ayah dan Abang Zairi kamu tu. Siang malam bekerja sampai tak ingat apa lagi dah. Sibuk aje memanjang. Langsung tak ingat dunia ni nak terbalik ke, langit nak runtuh ke, tak adanya dia orang nak ambil tahu.” Puan Khadijah kembali membebel.
Mengambil peluang meluah rasa hati yang telah sering terhambur keluar dari mulutnya. Tapi sehingga kini masih tidak mendapat perhatian khusus dari suami dan anak lelakinya. Sempat juga dia menjeling tajam wajah selamba suaminya. Seakan kata-kata wanita itu tidak mengutik hati tenang si suami.
“Oh ya mak, sebut tentang Abang Zairi, mana dia pergi? Mia tak nampak pun dari tadi. Kak Mimi pun tak nampak bayangnya?” tanya Damia baru perasan tentang ketiadaan lelaki itu dan isterinya di situ. Sekali gus mematikan niat Puan Khadijah untuk terus memanjangkan bebelannya.
“Abang Zairi dan Kak Mimi kamu tak ada sekarang. Dia orang balik ke rumah mak ayah Kak Mimi kamu sehari dua ni. Ayah Kak Mimi kamu tu dah seminggu demam. Itulah yang dia orang pergi menjenguk tu.”
Puan Khadijah sudah bangun dari duduk. Baru teringat pada kerja-kerjanya di dapur yang masih belum siap sepenuhnya.
“Kamu tidur sini ya malam ni Mia,” ujar Puan Khadijah bersuara lagi seraya memandang Damia.
Si anak hanya mengangguk. Malas menyahut.
“Kalau macam tu, kamu tunggu sebentar ya. Mak siapkan makan malam kita. Sementara tu kamu pergilah mandi dulu. Dah petang ni. Kejap lagi dah nak masuk Maghrib. Bolehlah kita solat sama-sama sebelum makan nanti,” suruh Puan Khadijah lembut.
“Mak, tak nak Mia tolong mak masak ke?” tanya Damia turut bangun dari duduknya.
Sempat matanya mengerling Encik Khalid yang kembali menghadap Surat Khabar Sinar Harian. Lelaki itu telah tenggelam dalam dunia bacaannya.
Puan Khadijah menggeleng pantas.
“Tak payahlah. Bukannya ada apa sangat yang nak dibuat kat dapur tu. Sejenis dua aje pun masakan yang mak nak masak tu. Lagipun kamu kan baru balik kerja. Penat pun masih tak hilang. Dah, pergi mandi. Nanti lepas Solat Maghrib kita boleh makan sama-sama,” suruh Puan Khadijah. Dia terus menghilang dari situ.
Damia hanya mengangguk sebelum bergegas ke bilik tidurnya di tingkat atas rumah. Ingin menunaikan segala perintah si emak yang berupa kewajipannya juga. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012