Monday, September 03, 2012

Yakinlah setiap manusia telah ada Rezekinya

Setiap manusia menghabiskan sebahagian besar dari waktu dan umurnya untuk mencari rezeki. Berusaha mencari rezeki apabila ikhlas niat dan dilaksanakan mengikut jalan-jalan yang halal adalah ibadah kepada Allah. Dalam mencari rezeki juga dapat menguatkan akidah seorang Muslim. Allah SWT adalah pemberi rezeki. Banyak perkara di dunia ini yang dipermudahkan olh Allah SWT untuk manusia agar digunakan dalam usaha mencari rezeki. Oleh itu jangan sampai kita lupa kepada Allah SWT apabila kita telah mendapat nikmat dariNya.
Pernah satu ketika Nabi Allah Sulaiman a.s yang boleh memahami bahasa haiwan bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab ia hanya memrlukan makanan sebesar sebutir gandum untuk tempoh itu.
Lalu Nabi Allah Sulaiman a.s memasukkan semut tersebut ke dalam sebuah botol dengan diletakkannya bersama gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup setelah dibuat sedikit lubang bagi membolehkan udara masuk ke dalam botol tersebut.
Setelah cukup tempoh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi Allah Sulaiman a.s. Baginda dapati hanya separuh saja dari gula sebesar sebutir gandum itu yang dimakan oleh semut tersebut. Pelik dengan keadaan itu lalu Nabi Allah Sulaiman bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebutir gandum untuk setahun?
Maka semut menjelaskan bahawa jika ia berada di luar botol pasti rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah SWT dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Oleh sebab itu ia pasti takkan risau dengan hakikat itu.
Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Allah Sulaiman a.s) maka dia perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Manalah tahu jika manusia itu terlupa lalu mengurungnya lebih dari tempoh satu tahun, maka apa yang akan terjadi padanya?
Terdapat pengajaran yang boleh kita perolehi dari kisah ini. ternyata semut lebih yakin jaminan rezekinya dari Allah yakni ia bertawakal kepada Allah ketika di luar botol berbanding ‘jaminan’ manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah ia mengambil langkah berjimat cermat supaya apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan dia masih mampu bertahan (ia masih punya makanan untuk bekalan depan hari).
Kerana itu kenapa kita yang berada di dunia ini yang mengaku beriman kepada Allah SWT tetapi masih ragu-ragu tentang jaminan rezeki dari Allah SWT? Oleh itu yakinlah dengan sepenuh hati bahawa setiap anak yang lahir ke dunia ini Allah SWT telah menjamin rezeki untuknya sama ada ibu bapanya merancang atau tidak merancang untuk anak tersebut.
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah SWT telah ditetapkan rezeki untuknya sejak di dalam kandungan ibunya lagi. Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menjamin rezeki untuk semua makhlukNya, dari kecil-kecil makhluk (kuman) hinggalah sebesar-besarnya (ikan paus) dan tidak dikurangkan sedikit pun daripadanya.
Manusia diminta untuk berusaha, berdoa dan bertawakal maka pasti akan mendapat dan memiliki rezeki yang telah disediakan oleh Allah SWT di muka bumi ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya,” (Surah At-Talaq ayat 2-3)
Takwa adalah kriteria atau ukuran seseorang yang paling hampir dengan Allah SWT. Sesiapa saja dikalangan hamba-hamba Allah yang paling tinggi takwanya maka dialah adalah orang yang paling mulia di sisi Allah SWT. Orang yang bertakwa adalah orang mukmin yang cukup berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Dia amat takut kalau-kalau dia terjerumus di dalam kehidupan yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Dia bukan saja telah meninggalkan yang haram dan melaksanakan yang wajib tetapi dia juga telah meninggalkan perkara-perkara syubhah dan makruh. Dalam amalan ibadahnya diperbanyakkan amalan-amalan sunat dalam rangka merapatkan lagi hubungan dengan Allah SWT. Malah semua perkara yang harus pula diniatkan kerana Allah supaya ianya menjadi ibadah.
Allah SWT akan membantu orang-orang yang bertakwa, segala kesusahannya, kemiskinannya dan apa-apa saja permasalahan hidup yang dihadapinya akan terbentang luas jalan keluar diberikan Allah SWT. Bukan setakat itu saja malah Allah SWT akan memberikan rezeki yang tiada disangka-sangka sama ada rezeki itu datang dari langit, bumi, lautan malah yang jauh didekatkan, yang sedikit diperbanyakkan dan susah dipermudahkan.
Kadangkala seseorang pernah bertanya pada diri sendiri,
“Kenapa rezekiku sempit? Berbagai usaha sudah dibuat tetapi masih gagal mencapai matlamatnya. Berniaga merosot, puas berdoa dan meminta pertolongan Allah tetapi masih tidak dimakbulkanNya?”
Perlu diingat bahawa Allah SWT Maha Mengetahui apa yang akan berlaku kpada para hambaNya. Dilambatkan permohonannya adalah untuk kebaikan hamba itu sendiri. kerana takwanya belum mantap, maka diuji lagi supaya semakin banyak dia berusaha, berdoa dan bertawakal maka akan melahirkan hubungan yang erat hatinya dengan Allah SWT. Allah SWT juga ingin memberikan pahala yang besar kepadanya di atas kesabarannya itu. oleh itu kita kena berbaik sangka dengan Allah SWT, berdoa dan terus berdoa tanpa putus asa. Cepat atau lambat dikabulkan doa kita adalah urusan Allah SWT.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang brmaksud,
“Allah SWT berfirman: Aku sesuai dengan prasangka hambaKu kepada diriKu’
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Rasulullah SAW bersabda maksudnya,
“Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah”
(Hadis Riwayat Muslim)
Apakah maksud brbaik sangka dengan Allah? Berbaik sangka di sini adalah rasa takut dan harap yang saling bergandingan atau pun rasa takut mengatasi rasa harap.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Jika sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, pasti Allah akan memberi rezeki kepadamu, seperti Dia memberi rzeki kepada burung-burung yang terbang di pagi hari dengan tembolok kosong dan waktu pulang ke sarangnya pada waktu petang, temboloknya sudah penuh,”
Orang-orang yang bertawakal ialah mereka yang yakin dengan jaminan rezeki daripada Allah SWT dan mereka akan mendapar balasan yang baik di akhirat nanti.
Kunci rezeki dan perbendaharaan Allah SWT hanya berada di tanganNya dan Dia akan membuka pintu rezki ini seluas-luasnya kepada hamba-hambaNya yang banyak beristighfar, bersedekah, sentiasa berwuduk, menghubungkan silaturahim, solat dhuha, solat tahajud, berzikir dan membaca Al-Quran. Amalan-amalan soleh ini jika diamalkan akan membina jambatan hati kita dengan Allah SWT dan apabila Dia kasih dan sayang pada kita maka segala permohonan dan doa kita dimakbulkanNya dan dikurniakan rezeki di jalan yang tidak disangka-sangka.
Kesimpulannya, dalam usaha mencari rezeki di atas dunia ini, janganlah sampai menjauhkan kita dari beribadah dan mengingati Allah. Oleh itu, kita perlu bertawakal kpada Allah dengan hakikat tawakal yang sebenarnya. Kita msti berusaha dan berikhtiar tetapi meletakkan prgantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. Kalau dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Kalau sebaliknya, bersabarlah dan berbaik sangkalah dengan Allah SWT. Yang penting, kita mesti tahu meletakkan kepentingan antara dunia dan akhirat. Jangan gadaikan akhirat dengan habuan dunia yang sementara ini. berusaha dan berikhtiarlah kerana ianya sunnatullah. Tetapi ingatlah, ianya tidak akan dapat mengatasi takdir Allah SWT.

(Diubah suai dari nursyirah.wordpress.com)

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012