Monday, September 10, 2012

KEJORAKU BERSATU : BAB 1


BAB 1

Nina meletak semula gagang telefon yang berada di tangan. Jari-jemarinya mengutip kertas yang bertaburan di meja. Segala fail yang berada di atas meja disusun di rak almari kayu di sudut bilik.
Selesai mengemas, dia melangkah ke luar pejabat. Mengayun kaki ke bengkel yang terletak bersebelahan dengan pejabatnya. Dari jauh, bunyi bising dari bengkel kedengaran berdesing di cuping telinga.
Sampai di muka pintu, Nina mencekak pinggang. Matanya liar memandang sekeliling. Suasana bengkel yang penuh dengan pelbagai kenderaan yang belum dan sedang dibaiki menyukarkan pandangannya. Dia memanjangkan leher, mencari kelibat seseorang. Bola matanya jatuh pada sesusuk tubuh yang begitu sibuk membaiki sebuah motorsikal berkuasa tinggi.
“Jimmy, nampak Rafiq tak?” Nina melaung kuat, cuba melawan bunyi bising yang bergema kuat dari dalam bengkel.  
“Jimmy, nampak Rafiq tak?” Nina melaung lagi apabila tiada sahutan.
Hisy budak ni! Pkak juga telinganya, rungut Nina dalam hati.
Jimmy, anak muda berbangsa Portugis itu tersentak. Dia yang begitu leka dengan tugasnya segera memaling wajah. Serentak itu tangannya menutup suis generator yang menjerit kuat di sisinya.  Untuk seketika suasana sepi menguasai keadaan.
“Ada apa Cik Nina?” soalnya sedikit kuat seraya berdiri tegak. Jari-jemarinya menguis tapak tangannya yang kotor dengan kain buruk yang tersangkut di bahunya.
“Awak nampak Rafiq tak?” Nina mengulangi semula pertanyaannya tadi. Nada suaranya tidak setinggi tadi.
“Oh, Rafiq. Entah Cik Nina,” Anak muda itu mengangkat bahu. Panjang tangannya mencuit Indra yang begitu sibuk membaiki sebuah kereta model Honda Accord tidak jauh dari tempatnya berdiri.
“Ind, kau nampak Fiq tak?” Tanya Jimmy pula.
Anak muda berketurunan India itu tersentak. Earphone walkman di tarik dari sepasang telinganya.
“Kau nak apa Jim?” sedikit kasar Indra bersuara. Kurang senang diganggu ketika sedang melakukan kerja.
“Aku tanya, kau nampak Rafiq tak?”
“Kau nak buat apa dengan budak tu?”
“Bukan aku cari dia tapi Cik Ninalah,” balasnya menuding jari telunjuk ke satu arah.
Indra menoleh ke arah yang di tunjuk Jeremy. Dia tersengih memandang Nina yang melangkah pantas ke arahnya.
“Ind, awak nampak si Fiq tak?” soal Nina sedikit tegas. Bulat matanya memandang anak muda berkulit hitam manis itu. 
“Dia ada kat dalam toilet tu Cik Nina. Dari tadi dia kat dalam tu. Hah… itu pun dia dah keluar,” unjuk Indra sebaik ternampak Rafiq yang baru melangkah keluar dari tandas di tepi bengkel.
Serentak Nina dan Jimmy menoleh.
“Awak ni kenapa Rafiq, semacam aje saya tengok,” tegur Nina sebaik saja Rafiq menghampiri mereka. Wajah anak muda itu kelihatan sedikit pucat.
“Entahlah Cik Nina. Dari tengah hari tadi perut saya ni asyik meragam aje. Salah makan kot,” ujarnya lemah. Digosok perlahan perut yang terselindung di balik t-shirt kotornya.
“Kau makan apa tengah hari tadi Fiq, sampai begini jadinya?” soal Jimmy.
Kasihan melihat anak muda itu sedikit termengah. Sedari tadi anak muda itu berulang alik ke tandas. 
“Aku makan nasi macam biasalah,” balas Rafiq perlahan. 
“Kau makan kat mana tadi?” soal Indra pula.
“Kat warung Mak Minah di tepi jalan tulah. Tempat yang selalu aku makan tu,” laju Rafiq membalas seraya mengeluh panjang.
“Ei, kau ni. Bukannya kau tak tahu. Warung tu bukannya bersih sangat. Itulah yang membuatkan kau kena cirit birit tu,”
“Selalunya aku makan kat situ okey je,” tingkah Rafiq.
“Iyalah, selalunya anak dara Mak Minah, si Milah tu yang masak. Hari ni mak dia pula yang masak. Mestilah sakit. Ya tak Jimmy,” Indra mengenyit matanya ke arah Jimmy.
Jimmy membalas nakal. Serentak kedua-duanya tertawa.
“Isy kau orang ni, aku debuk kang,” balas Rafiq sedikit marah. Menjeling sekilas wajah kedua anak muda yang galak tertawa itu.
“Hei, hei, dah tu. Ada ada aje kau orang ni,” pantas Nina menyampuk sekaligus menghentikan usikan mereka.
“Rafiq, awak pergi ke Jalan Kuching sekarang. Ada kereta rosak kat sana,” arah Nina.
“Macam mana nak pergi Cik Nina? Perut saya ni tak habis-habis ragamnya,” Rafiq mencipta alasan. Tangannya masih lagi meraba perutnya.
“Lagi pun petang macam ni, traffic jammed teruklah kat sana Cik Nina,” ujarnya lagi cuba memancing simpati.
“Saya tahulah tempat tu sesak sekarang. Awak pergi naik motor. Lepas aje baiki kereta orang tu, awak pergi klinik. Periksa perut awak tu,” balas Nina.
“Tapi Cik Nina…,”
“Tak ada tapi-tapi lagi,” Nina menyampuk tegas.
“Dah, pergi sekarang. Nanti jangan lupa bagi resit ubat awak tu pada Sandra,”
“Cepat,” ujar Nina sedikit tinggi apabila Rafiq hanya menyeringai memandangnya.
Sekadar mengertak. Agak kelam kabut anak muda itu mendapatkan motornya yang diparkir di depan bengkel. Seketika kemudian motornya berderum keluar dari kawasan bengkel itu.
“Hah, yang kau orang berdua ni, dah tak ada kerja ke? Tersengih-sengih macam kerang busuk tu kenapa?” tengking Nina bila di lihat Jimmy dan Indra tersenyum-senyum memandang kelakuan Rafiq. Kelam kabut kedua anak muda itu menyambung tugas mereka.
Nina mengeleng kepalanya beberapa kali. Dia tersenyum kecil. Dalam hati, dia bersyukur kerana mempunyai pekerja-pekerja yang begitu rajin dan amanah dalam menjalankan tugas.
Walau pun mereka berbeza umur hanya beberapa tahun, namun keempat-empat orang pekerja yang bekerja di bawahnya amat menghormatinya.
“Cik Nina, ada call untuk you,” Jeritan Sandra yang kedengaran dari arah pejabat mematikan lamunan Nina.
Pantas Nina berpaling. Memandang Sandra yang telah terpacak di muka pintu pejabat.
“Siapa yang call saya Sandra?” soalnya sedikit kuat. Cuba melawan bunyi generator yang kembali dipasang.
Your mother,” balas Sandra kuat.
Nina mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Nak apa pula orang tua tu petang-petang begini, Nina mengomel sendiri sambil kakinya melangkah pantas ke pejabat. Merapati meja Sandra yang segera menghulurkan gagang padanya. “Hello, assalamualaikum ma,” sopan Nina bersuara. Matanya dikerling sekilas ke arah Sandra yang tunduk menulis sesuatu di depannya.
“Waalaikumussalam. Hah Nina, mama nak kamu balik rumah hujung minggu ni. Mama ada hal sikit nak cakap dengan kamu,”
“Hal apa ma?” soalnya malas.
“Adalah. Baliklah dulu. Kamu tu dah lama sangat tak balik rumah. Bising ayah kamu tu nanti,”
“Insya Allah ma,”
“Jangan nak berjanji je tapi tak buat. Hah lagi satu, balik tu nanti pakai pakaian yang senonoh sikit. Jangan pakai pakaian yang macam jantan tu. Tak berkenan langsung mak tengok,”
“Iyalah ma,” balasnya lemah.
“Tak apalah. Itu aje yang mama nak cakapkan pun. Jangan kamu lupa pula apa yang mama cakapkan ni Nina,”
“Iya mama,” Nina kemudian meletak gagang setelah membalas salam. Dia menghela nafas kecil.  
“Kenapa Cik Nina? Kena sembur dengan mama Cik Nina lagi ke?” soal Sandra tertawa kecil tatkala melihat wajah muram Nina.
Sandra yang sedari tadi memasang telinga mendengar perbualan itu mengulum senyum. Cukup mengerti dengan riak kelat yang melekat di wajah gadis itu setiap kali selesai berbicara dengan mamanya.
Nina menjeling sekilas ke arah Sandra. Wajah gadis berbangsa Iban itu dipandang sejenak. Dia tersenyum pahit.
“Macam biasalah Sand. Bukan awak tak kenal dengan sikap mama saya tu,” balasnya lemah.
“Ala Cik Nina, biasalah tu orang tua. Mama Cik Nina marah sebab dia sayangkan Cik Nina. Lagi pun, Cik Nina kan anak perempuan tunggalnya. Mestilah dia ambil berat pasal Cik Nina,”
“Saya tahu dia sayangkan saya tapi manalah telinga saya ni nak tahan kalau setiap kali dia call saya saja yang kena bambu,”
“Dia buat macam tu pun demi kebaikan Cik Nina. Salah Cik Nina juga sebab tak nak dengar nasihat dia,”
“Ewah ewah San, awak mengata saya pula ya. Dah, dah, sambung kerja awak tu. Tak siap nanti saya potong gaji, baru awak tahu,” suara Nina sedikit tinggi sebelum bergerak menuju ke biliknya.
Sandra yang memandang gadis itu berlalu hanya tersenyum kecil. Dia tahu, bosnya itu hanya bergurau. Walau pun Nina bersikap agar kasar namun dia tahu gadis yang tua beberapa tahun darinya itu seorang gadis yang berhati baik.  

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012