Thursday, September 13, 2012

Kisah Juha : cerita pendek Juha (3)

Bawalah dia bersama kamu!

Pada suatu hari Juha telah berkata kepada anak perempuannya,
“Wahai anakku! Sesungguhnya baru tadi telah datang seorang lelaki untuk meminang kamu menjadi isterinya. Maka aku pun tanpa banyak berfikir terus bersetuju dengan pinangannya itu!”
Lantas anak perempuannya pun terus berkata,
“Akan tetapi ayah, aku tidak mahu berpisah dengan ibuku!”
Mendengar kata-kata anaknya Juha pun menjawab pantas,
“Oh! Kalau begitu tidak mengapa. Itu bukanlah satu masalah yang besar hingga dapat menghalang perkahwinan kamu. Kamu kahwin saja dan kemudian kamu bawalah ibumu itu tinggal bersama kamu!”

Kiamat

Pada suatu hari, seorang lelaki telah bertanya kepada Juha,
“Wahai Juha, bilakah masanya akan berlaku kiamat?”
Tanya Juha,”Kiamat mana pula yang kamu maksudkan?”
Lelaki tersebut terkejut mendengar pertanyaan Juha lalu berkata,
“Eh, adakah kiamat itu bermacam-macam jenis wahai Juha?”
Dengan tenang Juha pun menjawab,
“Ya! sebenarnya kiamat itu ada bermacam jenis iaitu apabila isteriku meninggal dunia bermakna itu adalah kiamat yang kecil dan apabila aku yang meninggal dunia, maka bermakna itu adalah kiamat yang besar!”

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012