Seorang suami beristerikan seorang
perempuan yang suka membantah kata-katanya. Suatu hari dia memutuskan untuk
membajak tanah di sekitar pohon-pohon ara yang tumbuh di atas lereng berbatu di
luar kampung. Isterinya belum memanggang roti pagi itu, maka dia berkata
padanya,
“Aku akan pergi ke kebun. Bawakan aku
sarapan secepat mungkin,” lalu dia pun pergi membajak.
Dari awal pagi hinggalah hampir ke
senja, barulah isterinya datang membawa makanan.
“Bawakan makanan itu ke sini,”
suruhnya kerana sudah terlalu letih bekerja.
“Tidak! kamulah yang datang kesini,”
balas isterinya. Jadi mahu tak mahu terpaksalah dia menurut kehendak isterinya.
“Adakah kamu membawa kendi air?” tanya
dia setelah selesai makan.
“Tidak, aku tidak punya masa untuk
mengisinya,” balas isterinya. Maka terpaksalah suaminya itu menahan rasa
dahaganya. Kemudian dia bangun, mahu pulang. Dia berkata pada isterinya,
“Bolehlah kamu tolong ambilkan kainku
yang tergantung di pohon ara itu?” soalnya.
“Kamu pergilah ambil sendiri, aku
tidak mahu mengambilnya,” balas isterinya.
Marah pada sikap isterinya, lalu
lelaki itu mengambil keputusan untuk bertemu kaum kerabatnya selepas itu.
setelah semuanya berkumpul, dia pun berkata,
“Wahai saudara-saudaraku, semoga Allah
mengampuni isteriku, dia melakukan begini, begini dan begini kepadaku. Kerana
itu sekarang aku memerlukan wang bagi mengambil isteri baru kerana aku sudah
tidak tahan dengan sikapnya itu,”
Maka saudara-saudaranya pun memberikan
wang yang diperlukannya. Lelaki itu pun mengumpul wang-wang yang diberikan dan
pergilah ke rumah pedagang minyak yang diketahui punya seorang anak gadis yang
sudah cukup umur untuk menikah. Pedagang itu bersetuju menyerahkan puterinya
dan malam itu di rumah pedagang itu mereka dinikahkan.
Keesokan harinya, dengan menggunakan
gaun sutera bersulam, lengan dan kaki berhias serta kepingan-kepingan emas pada
hiasan kepalanya gemercing mengiringi setiap langkahnya, isteri baru itu
mengikut suaminya pulang. Dengan membawa lembu di depan dan isteri baru di
belakang, lelaki itu pergi ke kebun untuk membajak. Dia menyuruh isterinya
bekerja di kebun dan isteri barunya itu pun melakukan suruhannya. Tak lama,
isteri pertama lelaki itu datang.
Tanpa mengetahui apa yang berlaku pada
malam tadi, dia pun bertanya kepada gadis muda itu,
“Apa yang sedang kamu lakukan di kebun
suamiku? Apakah kamu mahu mengambil alihnya?”
“Aku tidak melakukan sesuatu yang
salah kak,” jawab gadis itu.
“Dia suamiku juga. semalam dia tidur
di tempat tidurku,”
Mendengar jawapan yang mengejutkan
itu, isteri tua itu berasa takut. Dia bimbang jika suaminya akan
menceraikannya.
Di waktu itu, lelaki itu pun datang
menemui isteri mudanya lalu berkata,
“Ambil kainku yang tergantung di pohon
ara itu,”
Maka pergilah isteri muda itu, berlari
lincah mendapatkan kain suaminya. namun isteri tua juga tidak mahu mengalah.
Dia turut serta berlari mendapatkan kain itu. maka berebutlah kedua-duanya
kerana masing-masing ingin mengambilnya.
Lalu lelaki itu pun mendapatkan
keduanya. Dikeluarkannya pisau lalu dia memotong kain itu ditengah-tengahnya
sambil berkata,
“Sampai disini sajalah riwayatmu wahai
kain dan inilah permulaan kesulitan untukku!”
No comments:
Post a Comment