Thursday, September 27, 2012

Allah Maha Berkuasa...

Percaya pada sihir? Ilmu hitam? Atau apa-apa saja yang seumpama dan serupa dengannya? Percaya bukan bermakna kita amalkan tetapi percaya atas kewujudan perkara-perkara begini… bagi sesetengah orang, sukar untuk percaya tapi kebanyakan orang mempercayainya…
Kenapa sihir pula yang saya pilih untuk diletak dalam entri ini? kerana saya yakin perkara berkaitan dengan sihir telah lama wujud dalam kehidupan kita… sama ada sedar atau pun tidak, sihir telah menjadi antara amalan hidup manusia tak kiralah apa bangsanya atau agamanya… tetapi dalam Islam, sihir memang dilarang sama sekali dan mempercayai sihir samalah juga seperti mensyirikkan Allah SWT…
Walau tak dibesarkan di kawasan kampung, saya sendiri mempercayai sihir… hanya mempercayai tetapi tidak pernah mengamalkannya ya… kerana saya tahu, sihir itu sentiasa wujud dan akan terus wujud sehinggalah dunia ini kiamat? Atas sebab apa? kerana sihir itu datangnya dari makhluk Allah yang telah lama dilaknatNya iaitu iblis laknatullah… jadi secara sendirinya sesiapa yang mengamalkan sihir menjadi pengikut kepada makhluk pendendam ini…
Seringkali saya tertanya-tanya, mengapa manusia-manusia yang mengamalkan sihir ini tidak mempercayai Allah? Kenapa mereka memerlukan sihir untuk menjalani kehidupan seharian sedangkan semuanya telah Allah sediakan? Angin, air, kesihatan, anggota tubuh yang lengkap, semuanya diberi Allah secara percuma… kita hanya diperintah untuk menjaga dan menggunakannya pada jalan yang benar dan sesuai… itu sahaja tapi kenapa masih ada manusia yang tidak mampu mengikut jalan yang telah ditetapkan oleh Allah ni?
Sememangnya sihir mampu menjadikan impian kita kenyataan dalam sekelip mata tapi tidakkah kita sedar semua itu hanya sementara? Tiada apa yang kekal dalam dunia ini… bila sampai waktunya, kita tetap akan pergi mengadap Dia yang Satu… tidakkah kita berasa malu untuk mengadap Allah nanti jika kita sendiri memilih untuk mengikut makhlukNya yang terang-terang sudah dilaknatNya sejak sebelum dunia ini wujud lagi? sungguh saya tak mengerti tentang perkara ini…
Bukan mengatakan diri sendiri baik jauh sekali mulia tapi sebagai manusia yang diberi akal fikiran dan otak yang tiada bandingan, mengapa kita masih tidak dapat membezakan perkara yang benar dan salah? Kita bukan sekadar diberi akal dan otak tapi kita juga telah diberikan kitab terulung dalam dunia ini, iaitu Al-Quran… tetapi kenapa kita juga tidak mampu mengikutinya? Kenapa kita harus juga mengikut makhluk laknat nan satu itu? Kenapa?
Hmm… patutkah kita salahkan iblis yang tidak pernah-pernah jemu menghasut kita melakukan dosa walau sebesar hama sedangkan kita sendiri tahu, itulah sumpahnya ketika mengadap Allah dulu… sumpah untuk menghancurkan anak cucu Nabi Adam… jadi kenapa kita yang jauh lebih mulia darinya harus mengikut telunjuknya pula dalam mencari kebahagiaan dalam hidup? Sekali lagi kepala saya pening mencari jawapannya…
Pada saya, sesiapa yang mengamalkan sihir dalam mendapatkan sesuatu itu adalah manusia yang tidak mampu mengawal nafsu dan diri sendiri… kenapa tidak? ya… kerana nafsu itulah yang sentiasa mendorong kita melakukan sesuatu mengikut hati hingga kadangkala akal kita sendiri sudah tidak mampu mengawal diri kita… itu puncanya mengapa kita lebih suka mengikut kata hati dari mengikut akal fikiran waras…
Bagaimana untuk mengawal nafsu? Dalam Al-Quran sudah tercatat jawapannya… hanya kita yang malas mencari… hati kita juga perlu dididik agar tidak menyimpan perasaan-perasaan yang hanya mampu memuncakkan lagi nafsu kita ke arah keburukan… kenapa? Sebab hati adalah segalanya dalam diri kita selain akal fikiran yang begitu berharga… seperti sabda Nabi, jika hitam hati kita, maka hitamlah diri kita… sedangkan Nabi Muhammad sendiri meminta kita menjaga hati sendiri, masakan kita manusia biasa yang tak punya apa-apa ini hendak mengingkarinya pula…
Ajarlah hati supaya tidak mudah menyimpan rasa marah… tidak saja marah, dendam, cemburu, dengki, iri hati dan apa juga perasaan yang sealiran dengannya… semua perasaan itu hanya akan mengajar diri kita menjadi manusia yang tidak tahu mensyukuri apa yang diri kita ada… usah cemburu dengan kejayaan orang lain kerana itu adalah pemberian Allah kepadanya… jika dia mendapat kejayaan dari jalan yang salah, maka jangan pula kita bersorak gembira untuknya tapi berdoalah semoga dia mendapat hidayah untuk kembali ke arah yang benar… jika kita gagal untuk mendapatkan sesuatu, berdoa dan yakinlah bahawa Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik… antara cepat dan lambat, itu urusan Allah… sebagai manusia kita berusahalah untuk mendapatkannya… itu saja… memang bukan mudah untuk mendidik hati supaya mendengar kata tapi kita juga harus ingat… diri kita adalah hak kita maka hanya kita yang berhak tentukannya… bukan nafsu, bukan juga hati, bukan juga orang lain… memang sukar untuk mencapai kebahagiaan dari jalan yang ebnar tapi percayalah, kemanisan atas kejayaan itu akan menjadi kenangan terindah dalam hidup kita nanti…
Maka dengan sendirinya kita tidak perlu mengamalkan sihir untuk mendapat apa yang kita nak… percayalah, Allah itu sangat-sangat berkuasa… sihir memang dapat menunaikan apa yang kita hajati tapi sihir itu jugalah yang akan menjahanamkan hidup kita di depan hari… bukan saja di dunia ini tetapi juga di akhirat kelak… berusaha, berdoa, bertawakal, yakin dan redha dengan segala ketentuan Allah dalam apa jua perkara, pasti sepasti-pastinya, kejayaan mahupun segala impian pasti akan menjadi milik kita juga… tak percaya? Cubalah…

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012