BAB
2
Azfar menghambur helaian kertas di tangannya.
Bertaburan memenuhi ruang pejabat yang luas. Ditumbuk mejanya sekali.
Menghasilkan irama yang tidak senang didengari mana–mana peluput telinga. Tidak
terasa kesakitan yang menjalar di tangan. Rasa marah yang membengkak di dalam
hati dirasakan lebih melukakan dari segalanya.
Disebak kasar rambutnya beberapa kali. Sakit yang
terasa di segumpal hati miliknya bagaikan sembilu yang begitu menyengat. Begitu
menyakitkan. Menusuk seluruh jiwa yang sememangnya sedari awal telah membengkak
marah. Malah jika diukur dengan ketinggian mana–mana gunung di dunia pun
rasanya masih tidak mampu melawan ketinggian rasa marah yang menimbun di
hatinya kala ini.
Sudah hampir dua minggu dia berkeadaan begitu.
Pantang ditegur, ada sahaja penangan yang diberi. Tak mengira masa mahu pun
tempat, amukannya kembali menyerang walau hanya untuk perkara remeh.
Bunyi interkom di meja mematikan sejenak
tingkahnya. Hanya rengusan kesat tersembur keluar dari celah bibirnya. Kasar
jari telunjuknya menekan butang mesin suara itu.
“Selamat tengah hari Cik Harith Azfar,” suara Kamelia,
setiausahanya kedengaran lembut melantun ke seluruh ruang bilik pejabatnya.
“Hah, ada apa? Kan saya dah pesan, saya tak nak
diganggu oleh sesiapa pun hari ni. Awak tak reti bahasa ke Lia?” tengking Azfar
kuat.
Tegak bulu roma para pekerja yang terdengar. Cukup
mengerunkan semua. Masing–masing saling membalas pandangan sebelum mengangkat
bahu. Tidak mengerti dengan situasi yang dialami ketua mereka kala ini.
“Saya faham Cik Azfar tapi Dato’ Raid on the line now. Dia nak cakap dengan
encik,” balas Kamelia sedikit mengeletar. Ketakutan dengan amarah yang
membungkus diri ketua yang selama ini bertingkah sebaliknya.
“Huh!!” Azfar merengus kasar.
“Dia nak apa?” tanyanya sedikit menengking.
Rasa marah yang memacu sekeping hati miliknya
menyebabkan dia tidak mahu berbual jauh sekali bertemu dengan sesiapa ketika
ini.
“Saya tak tahu Cik Azfar. Mungkin ada hal penting
yang ingin dicakapkan pada Cik,” sahut wanita itu lagi.
Penuh tertib dan adab. Menadah telinga mendengar
rengusan kasar lelaki itu.
“Pass it to
me!” sahut Azfar tinggi. Dia merengus lagi.
“Assalamualaikum,”
Suara seseorang memberi salam membantutkan
pergerakan Puan Marini yang sibuk mengemas ruang tamu rumahnya. Laju sahaja
mulutnya menyahut salam kesejahteraan itu. Dijengul kepalanya di celah daun
pintu rumah yang tidak tertutup rapat.
“Oh, Mahfuzah rupanya, makcik ingatkan siapa
tadi,” suaranya ceria sebaik terpandang gerangan empunya suara.
Puan Marini membuka pintu rumah seluasnya seraya
berdiri di muka pintu. Dia tersenyum lebar.
“Jemputlah masuk Fuzah,” pelawanya ramah.
Matanya melekat sejenak pada wajah gadis yang
dipanggil Mahfuzah itu.
Gadis itu tersenyum manis.
“Tak apalah makcik. Fuzah datang ni pun sebab nak
hantar rendang ayam ni aje. Umi buat lebih tadi. Dia bagi sikit pada makcik dan
pakcik,” suara gadis itu menghulur semangkuk hidangan yang ada di tangannya.
Puan Marini menyambut gembira.
“Amboi, sedapnya bau. Terima kasih ya Fuzah. Buat
susah-susah je,” suaranya. Meletak mangkuk yang telah beralih tangan ke atas meja di ruang tamu.
“Tak ada apa yang susahnya makcik. Fuzah tolong
hantarkan je,” jawab gadis itu.
Fuzah tak kerja ke hari ni?” Puan Marini kembali
memalingkan wajah. Mengadap Mahfuzah yang menggeleng perlahan.
“Tak makcik. Fuzah ambil cuti hari ni. Ada hal
yang perlu Fuzah selesaikan,” sahutnya sopan.
Matanya meligas sejenak ke seluruh ruang tamu yang
kelihatan kemas dan teratur dari biasa. Terlihat kelainannya.
“Amboi makcik, lain je saya tengok ruang tamu
rumah ni. Cantik dan berseri. Macam nak sambut kedatangan tetamu jauh saja,”
usiknya tersenyum lebar.
Dia yang masih berdiri di sisi wanita itu memandang
sejenak wajah Puan Marini yang mengangguk sedikit.
“Haah Fuzah. Anak saudara makcik yang tinggal di
England nak balik ke mari lusa. Itulah yang membuatkan makcik sibuk sikit dua
tiga hari ni. Maklumlah, ini kali pertama dia nak balik ke sini. Dah dua tiga
hari lagi nak balik baru dia beritahu. Mahu tak kelam kabut makcik dibuatnya,”
ramah wanita itu bercerita.
“Oh, patutlah Fuzah tak nampak makcik kat laman
rumah sehari dua ni. Rupanya sibuk buat persiapan nak sambut kedatangan orang
jauh,” ujar Mahfuzah mengulum senyum.
“Itulah Fuzah. Makcik ni bukannya apa, dah lama
sangat tak jumpa dengan anak saudara makcik tu. Bila makcik mendapat tahu dia
nak balik menetap dengan makcik kat sini, seronoknya hati makcik ni hanya Allah
saja yang tahu Fuzah,” sambut Puan Marini penuh gembira. Terpancar rasa itu di
riak wajah tuanya.
“Eh, marilah masuk Fuzah. Dari tadi berdiri kat
pintu ni saja. Marilah ke dalam. Bolehlah kita berbual panjang lagi,” suara
wanita itu lagi tatkala menyedari gadis itu hanya berdiri di muka pintu sedari
tadi. Mempelawa buat kali kedua pada Mahfuzah yang menolak sopan.
“Eh, tak payahlah makcik. Fuzah datang pun sebab
nak hantar rendang tu je. Lain kali sajalah Fuzah masuk. Lagipun masih banyak
lagi kerja yang perlu Fuzah lakukan kat rumah tu. Nanti bila ada masa Fuzah
datang lagi ya. Bolehlah Fuzah berkenalan dengan anak saudara makcik tu nanti,”
suara Mahfuzah meminta diri.
“Kalau begitu terima kasihlah ya Fuzah sebab sudi
beri makcik rendang ayam ni. Tak payahlah makcik masak apa-apa lagi untuk makan
tengah hari nanti,” suara Puan Marini masih mengukir senyuman lebar.
“Alah, tak payahlah makcik nak ucap terima kasih.
Bukannya ada apa pun semua tu. Fuzah balik dulu ya makcik,” ujar Mahfuzah
menghayun langkah.
Menuju ke rumahnya yang terletak bersebelahan
dengan rumah wanita itu.
“Yalah,”
Mata Puan Marini masih melekat pada tubuh
Mahfuzah. Dalam hati dia memuji kehalusan budi bahasa dan tingkah laku gadis
bertudung litup itu.
Sayang dia tidak mempunyai anak, jika tidak sudah
pasti Mahfuzah itu menjadi pilihan untuk dijadikan menantu. Itu kata hatinya
setiap kali terpandangkan gadis itu.
Puan Marini tersenyum sendiri tatkala teringatkan
angan-angannya itu. Dia kembali menyambung tugas yang terhenti seketika
sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment