Monday, September 24, 2012

CINTA SEJATI : BAB 3

BAB 3
Yashmaan melemparkan pandangan ke luar cermin pintu balkoni. Matanya terpaku ke arah jalan raya yang sibuk. Dari tingkat tertinggi hotel itu dia dapat melihat bandaraya Dubai yang bersesakan dengan kenderaan.
Telah menjadi kebiasaan bagi penduduk kota yang sedang pesat membangun itu menjalankan aktiviti seharian mereka di awal pagi. Ditambah dengan pembinaan bangunan-bangunan yang dilakukan hampir di setiap sudut kawasan menjadikan bandaraya itu kelihatan sesak.
Yashmaan masih berdiri di situ. Pandangannya di hala pula ke arah pantai Jumeirah yang terletak tidak jauh dari hotelnya. Dari jauh matanya dapat menangkap pemandangan yang begitu indah menghiasi keadaan sekitar pantai yang terkenal di seluruh dunia itu.
Sesekali matanya melirik ke arah jam yang tergantung di dinding.
Baru pukul 10, getusnya perlahan.
Penat berdiri, dia menarik kerusi di sebelahnya. Dihempas tubuh sasanya ke kerusi kayu itu. Mengadap komputer yang sejak tadi terpasang. Jari jemarinya mula mengerakkan tetikus komputer. Mencari sesuatu. Namun tak lama, gerakannya terhenti. Bosan menguasai dirinya.
Perlahan dia mendengus kecil.
Nak buat apa sekarang ni? Dia mengomel sendiri. Kedua-dua belah tangannya diletak di belakang kepala. Bersandar seketika. Matanya di pejam rapat. Dia berkhayal seketika.
Bunyi ketukan di pintu membuatkan matanya kembali terbuka. Tubuhnya kembali ditegakkan tatkala daun pintu dibuka dari luar.
Roselle, setiausahanya yang berasal dari Belgium melangkah sopan menghampiri mejanya.
“Mr. Yashmaan, you have letter from Scotland,” sambil tersenyum kecil gadis manis itu menutur lembut.
Give it to me,” balas Yashmaan.
Tangannya mencapai huluran kertas gadis bertubuh genit itu. Dibacanya sekali imbas.
Anything else, Rose?
Tanpa mengangkat muka, dia menyoal perlahan.
Roselle mengelengkan.
That’s all, sir,”
Yashmaan mengangguk lagi. Di dongak seketika wajahnya. Matanya di kerling sekilas ke arah pintu sebelum dialih semula pandangan ke arah gadis itu.
Mengerti dengan maksud pandangan itu, Roselle segera meminta diri untuk keluar. Yashmaan mengukir senyum.

So, macam mana dengan meeting semalam?”
Zara melontarkan soalan sebelum sempat dia melabuhkan punggung. Wajah Mahfeez yang duduk bersandar di depannya di pandang tepat. Lelaki itu tersenyum panjang.
“Kalau iya pun, kau duduklah dulu,” ujar Mahfeez.
Kemudian Mahfeez menyorong gelas berisi air limau ke depan Zara.
“Minumlah, aku pesan sebelum kau sampai tadi,” ujarnya lagi.
Zara tersenyum lebar.  Lelaki itu memang mengetahui citarasanya. Mahu tak mahu terpaksa juga Zara melabuhkan punggungnya di situ.
“Okey, aku dah duduk sekarang. So, jawablah soalan aku ni. Macam mana dengan meeting semalam?”
Pertanyaannya diulang semula. Jarinya mencapai penyedut minuman sebelum menyedut perlahan air limau.  “Manis,” detik hatinya.
 “Well, diaorang setuju nak berikan projek tu pada syarikat kita,” beritahu Mahfeez, senyuman di bibirnya melebar.
Are you serious?” soal Zara. 
Matanya memandang tepat bola mata lelaki berkumis nipis itu. Mulutnya sedikit terbuka. Seakan tidak percaya mendengar kenyataan yang baru keluar dari mulut temannya itu.
“Of course I’m serious Zara,” balas Mahfeez tenang.
Dia masih tersenyum lebar. Mata kanannya dikenyitkan sekali ke arah wanita itu.
Are you sure?” Zara inginkan kepastian, nada suaranya ditekan sedikit.
Yes, I’m very sure about this,”
Geli hati Mahfeez melihat wajah Zara begitu. Wajah wanita itu tidak menampakkan keyakinan pada setiap butir katanya sebentar tadi.
Zara menarik nafas panjang.
“Aku rasa macam tak percaya saja,”
Lambat-lambat dia bersuara. Tangannya mencapai semula gelas berisi air limaunya.  Disedutnya sedikit.
Mahfeez tertawa kecil.
“Hei, come onlah Zara. Ini Mahfeezlah.”
Lelaki itu tersenyum lagi. Di angkat sedikit kening kanannya. Menampakkan rasa megah yang menapak di jiwa lelakinya.
Zara yang memandang segera mencebik bibir.
“Huh, bongkaknya,” ujar Zara, dijeling sekilas sebelum dihembus nafas pendek.
“Bukan aku aku tak percaya dengan kau Feez, tapi hairan. Macam mana dia orang setuju untuk bekerja sama dengan syarikat kita walhal bukannya senang nak dapat projek pembinaan hotel bertaraf lima bintang itu,” ujar Zara lagi.
“Ala Za, apa yang nak dihairankan sangat tentang tu. Kalau prestasi sesebuah syarikat tu baik, tak kiralah besar atau kecil, semua tu takkan jadi ukurannya untuk mendapatkan sesuatu projek,” tukas Mahfeez.
 “Lagipun Za, bukankah syarikat tempat kita bekerja tu milik orang Arab? Of courselah peluang untuk syarikat kita nak dapat projek hotel tu besar,” ujarnya lagi.
Zara sekadar mengangguk. Bersetuju dengan pendapat teman baiknya itu.
“Nampaklah tahun ni gaji kau akan bertambah lagilah Feez,”
Zara mengerdip kelopak matanya beberapa kali. Tangan kirinya menopang dagu sambil matanya memandang tepat lelaki bertubuh sederhana itu.
“Inilah yang dikatakan rezeki,” Pantas Mahfeez membalas.
Zara hanya tersenyum.
”Kau tengok muka aku ni, muka rezeki kau tau. Senang-senang je aku dapatkan projek tu,”sambungnya.
“Yelah tu. Ini bukan rezeki, tapi nasib namanya,”
Zara segera menyangkal. Sekadar mengusik lelaki yang dikenalinya sejak tiga tahun yang lalu.
Mahfeez menjeling sedikit. Hilang senyuman yang menghiasi wajahnya. Hatinya kini digigit geram mendengar tutur kata wanita itu. Walau pun dia tahu wanita itu sekadar bergurau namun entah mengapa hatinya bagaikan terasa.
“Ikut suka hati kaulah Za, nak kata apa pun. Yang penting, kita dah dapat projek tu,’ Nada suara Mahfeez kedengaran seakan merajuk, jauh hati dengan sikap Zara yang seolah-olah tidak yakin dengan kebolehannya.
Zara yang memandang tersenyum geli hati. Dia sedar, adakalanya lelaki yang muda tiga tahun darinya itu bersikap kebudak-budakan. Pantang disakat, pasti akan merajuk namun rajuknya itu tidak lama.
So, kau buat apa tadi sebelum ke sini?” Mahfeez mengalih topik perbualan.
Mahfeez tahu, Zara tak akan cuba untuk memujuknya jika dia merajuk walaupun adakalanya dia benar-benar terasa dengan sikap wanita itu.
“Hmm, macam biasa. Hujung minggu begini, aku kemas rumah, memasak, basuh baju, mengadap komputer…,”
“Tunggu e-mel dia,” Pantas Mahfeez mencelah. Mempamerkan senyuman sinisnya.
Wajah Zara yang sedari tadi kelihatan ceria berubah menjadi sedikit keruh. Dia mendengus perlahan. Dijeling sedikit wajah lelaki itu dengan ekor matanya.
 “Iya kan?” Mahfeez kembali bersuara. Nada suaranya kedengaran seakan menyindir.
Zara tidak membalas. Dipaling wajahnya ke arah sungai Greek yang mengalir deras bersebelahan dengan restoran tempat mereka berada pagi itu. Matanya menyusuri arus sungai yang keruh, sekeruh hatinya yang dilanda badai dek tujahan kata Mahfeez.
Mahfeez melebarkan senyuman. Disandar semula tubuhnya ke kerusi. Kedua tangannya memeluk kemas tubuhnya.  Matanya mula menjelajah segenap pelosok wajah putih bersih milik Zara.
“Betulkan kata aku?” Mahfeez bersuara lagi. Pelukan di tubuhnya dikejapkan.
Zara tidak menyahut. Membiarkan saja soalan lelaki itu berlalu tanpa jawapan.
Melihat kelakuan Zara yang hanya mendiamkan diri, perlahan Mahfeez menarik nafas panjang. Dia tahu, wanita bertudung biru di depannya itu terasa dengan kata-katanya. Dia tidak bermaksud untuk menyakiti hati wanita itu.
Dalam diam, dia mengakui wanita bertubuh tinggi lampai itu berjaya menawan hati lelakinya sejak kali pertama mereka bertemu. Sifat kewanitaan yang menonjol dalam diri Zara menyebabkan hatinya begitu menginginkan wanita itu menjadi miliknya. Namun begitu, dia sedar, mana mungkin dia akan dapat memiliki hati wanita impiannya itu. Tak mungkin!
Mahfeez melepaskan keluhan kecil. Matanya masih melekat pada wajah keruh itu.
”Bertuahkan dia Za, dapat isteri secantik kau. Ada segalanya. Sayang, dia tak tahu menghargai pemberian Tuhan padanya,” ujar Mahfeez perlahan.
Zara masih mendiamkan diri. Matanya meratah satu persatu bangunan-bangunan pencakar langit yang terbina kukuh di sepanjang tebing sungai. Tidak dipeduli kata-kata lelaki itu.
“Kalau aku di tempat kau Za, dah lama aku minta cerai. Ramai lagi lelaki yang boleh kau buat suami. Tak payah cari jauh-jauh, yang dekat dengan kau pun ada,”
Mahfeez menjeling sedikit ke arah Zara. Sengaja dia meninggikan sedikit nada suaranya pada ayat terakhirnya tadi. Berharap wanita itu dapat memahami maksud kata-katanya.
Zara kembali memandang ke arah Mahfeez. Raut wajah wanita itu kelihatan serius. Wajah Mahfeez yang sedari tadi merenungnya dipandang seketika.
“Terpulanglah pada kau nak cakap apa pun Feez. Aku tak peduli dengan semua tu. Aku bahagia dengan duniaku sekarang dan aku tahu, selagi aku tak menyusahkan hidup orang lain maka orang lain pun tak perlu susahkan hidup mereka untuk aku,” tegas dia bersuara.
Zara menarik beg tangannya yang diletakkan di atas meja sejak tiba tadi. Disangkut di bahu kirinya sebelum menolak pantas kerusinya.
“Okeylah Feez, aku balik dulu. Banyak lagi kerja yang perlu aku lakukan kat rumah tu. Apapun tahniah, kau dah dapatkan projek besar tu untuk syarikat kita. So, esok make sure kau bagi laporan pada bos tentang meeting tu. Aku minta diri dulu.”
Zara mula mengatur langkah meninggalkan Mahfeez yang terpinga-pinga dengan tindakannya yang tiba-tiba itu.
Mahfeez melepaskan keluhan. Dia terkilan dengan sikap Zara yang seolah-olah tidak mempedulikan perasaannya. Bukan sekali dua dia meluahkan rasa hatinya pada wanita itu. Sudah berkali-kali.
Namun bagi Mahfeez, semua itu bukan penghalang untuknya memiliki wanita itu. Cuma, sikap tegas dan keras hati wanita itu yang menghalangnya dari berbuat demikian. Mahfeez mengeluh lagi. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012