Tuesday, September 18, 2012

KEJORAKU BERSATU : BAB 2

BAB 2


“Selamat pulang ke Malaysia Anuar,” Tengku Azhar bersuara sebaik sahaja Tengku Anuar menyambut huluran tangannya. Lelaki itu mengenggam kemas tangannya sebelum dikucup perlahan. Mereka berdua berdakapan seketika. Jannah yang berdiri disebelah Tengku Azhar sekadar tersenyum memandang gelagat kedua beradik itu.
“Kak Long apa khabar?” Tengku Anuar memaling wajah ke arah wanita bertudung biru laut itu sebelum dihulur tangannya. Menyalami kakak iparnya itu.
“Alhamdulillah, sihat. Kamu apa khabar Nuar?” balas Jannah ramah.
“Sihat kak. Pak Seman apa khabar?” soalnya mengalih pandang ke arah pemandu yang telah lama berkhidmat kepada Tengku Adnan. Kemudian dia menyentuh tangan lelaki yang berusia hampir sebaya ayahnya itu sebelum di kucup lembut.
“Alhamdulillah sihat Cik Anuar. Dah lama benar Pak Seman tak jumpa Cik Anuar. Dah besar panjang pun. Semakin tampan sekarang,” usik Pak Seman tersenyum mesra.
“Mana ada Pak Seman, biasa-biasa saja saya ni,” balas Tengku Anuar merendah diri. Matanya melilau memandang sejenak sekeliling lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Mak ayah apa khabar? Dia orang tak datang sekali ke?”
“Mak ayah sihat. Dia orang tak dapat datang. Ayah ada mesyuarat tengah hari ni,” balas Tengku Azhar tersenyum panjang sambil menepuk mesra bahu lelaki itu.
“Dah lama rasanya saya tak balik Malaysia. Banyak benar perubahannya sekarang,”  ujar Tengku Anuar kembali bersuara.
“Mestilah Nuar, bukan sekejap kamu tinggalkan bumi Malaysia ni. Dah bertahun-tahun pun,” sahut Tengku Azhar.
“Betul tu Bang Long, dah lama benar saya tak balik ke Malaysia. Gembira benar rasanya dapat kembali semula ke tanah air kita ni,” ucap Tengku Anuar.
“Dahlah tu kamu berdua. Jom kita balik sekarang. Nanti bolehlah kita berbual panjang kat rumah,” kata-kata Jannah dibalas dengan anggukan kecil keduanya.
“Iyalah kak Long. Saya pun dah tak sabar nak balik rumah,” balas Tengku Anuar.
“Jom,” ujar Tengku Azhar.
“Pak Seman angkat beg biru itu saja. Yang ini biar saya angkat,” Pantas Tengku Anuar menegah tatkala lelaki tua yang dianggap seperti ayah sendiri itu ingin mengangkat bagasinya. Tengku Anuar kemudian mengunjuk ke arah beg yang lebih kecil untuk diangkat Pak Seman. Dia sendiri mengheret perlahan bagasinya menuju ke pintu keluar. Mereka yang lain turut mengikut langkahnya dari belakang.

So Nuar, macam mana rasanya pulang ke Malaysia ni? Seronok?” Tengku Afzan melabuh punggung di sisi Marlia.
Tengku Afzan sekeluarga baru sahaja tiba di rumah banglo milik Datuk Adnan petang tadi. Kesemua mereka berkumpul di ruang tamu rumah selepas selesai makan malam bersama.
Of courselah seronok Bang Ngah. Dah lama benar dia tak balik  ke sini. Rindu betul di buatnya. Ya tak Nuar?” Belum sempat Tengku Anuar bersuara, Tengku Adilla terus menyampuk.
Dia yang duduk bersebelahan Tengku Haikal menguntum senyuman manis. Dipandang wajah adik bongsunya. Tengku Anuar turut mengukir senyum.
“Betul kata Kak Chik tu bang. Rindu betul saya dengan Malaysia ni,” sahutnya.
“Kalau dah tahu rindu, kenapa tak balik sini selalu,” suara Puan Fazlina kedengaran mencelah.
Dia yang datang dari arah dapur menatang perlahan dulang yang berada di tangannya. Jannah yang membantu mengikut langkah Puan Fazlina dari belakang.
“Ini tidak, dah bertahun-tahun duduk di sana baru teringat nak balik Malaysia,” ujarnya lagi.
“Nak balik macam mana ma, saya banyak kerja kat sana,” balas Tengku Anuar lembut.
“Kalau nak diikutkan kerja kamu tu, sampai kiamat pun takkan habis,” tingkah Puan Fazlina.
Diletak dulang di atas meja di depan mereka semua sebelum di benam punggung di sebelah Tengku Afzan.
“Siang malam kamu kerja sampai tak ingat nak balik ke sini. Huh, ni pun kamu balik sebab ayah kamu yang suruh. Kalau tak, jangan haraplah,” nada suara Puan Fazlina kedengaran seakan merajuk.
Dijeling sekilas wajah si anak seraya mendengus kecil.
Mereka yang lain tertawa melihat gelagatnya.
“Alah, apa yang awak nak bisingkan lagi Lina. Anak kesayangan awak tu dah balik pun. Nak bebel apanya lagi,” sampuk Tengku Adnan lembut yang sedari tadi hanya memasang telinga mendengar perbualan mereka anak beranak.
Surat khabar yang dipegang diletak semula di tepi sofa. Dicapai huluran air dari Tengku Adilla yang duduk tidak jauh darinya.
“Saya bukan bebel bang tapi geram. Dah bertahun tinggal kat sana baru sekarang nak balik ke Malaysia,” tingkah Puan Fazlina lembut.
“Hah nasib baik dia nak balik juga. Dibuatnya si Anuar ni tak balik terus mahu awak meraung nanti,” Kata-kata Tengku Adnan disambut dengan tawa mereka yang lain.  
Puan Fazlina tidak menjawab. Sekadar menjeling marah pada si suami yang bersuara.
“Mesti seronok tinggal kat Miami tu kan Nuar?” celah Marlia memandang wajah tenang adik iparnya sekaligus membuatkan semua matayang ada kembali terarah ke wajah lelaki itu.
“Nak kata seronok tu, seronoklah juga Kak Ngah. Banyak pengalaman yang saya dapat sepanjang saya di sana,” ucapnya sopan.
“Pengalaman saja ke yang kamu dapat kat sana Nuar? Girlfriend tak dapat ke?” usik Tengku Adilla tersenyum nakal. Diangkat kening kanannya beberapa kali.
“Isy, Kak Chik ni. Saya tinggal sana sebab bekerja. Tak terfikir pun nak cari girlfriend,” Tengku Anuar menepis lembut usikan kakaknya.
“Alah, kalau ada pun apa salahnya. Bertambahlah ahli keluarga kita ni nanti,” sampuk Jannah tersengih kecil. Dikenyit matanya ke arah Marlia yang turut menguntum senyum nakal. Serentak keduanya tertawa kecil.
“Bolehlah kami semua dapat adik ipar orang putih nanti,” Marlia turut tidak melepaskan peluang mengusik anak bongsu kepada Tengku Adnan dan Puan Fazlina itu.
“Huh, tak mahulah mama bermenantukan orang putih. Bukannya tak ada orang Melayu yang boleh kamu buat isteri sampaikan orang putih yang kamu nak pilih,” pantas Puan Fazlina menyampuk kata.
Dia sebenarnya kurang senang mendengar usikan kedua-dua menantunya. Bimbang kiranya perkara itu benar-benar menjadi kenyataan.
“Ala mama, apa salahnya. Dah dua orang menantu perempuan mama Melayu. Sesekali dapat menantu orang putih seronoklah juga. Nanti cucu mama pun berkulit putih. Comel tu. Bermata biru lagi. Tak nak ke mama?” giliran Tengku Adilla pula mengusik Puan Fazlina.
“Isy tak naklah mama. Berkulit putih tu pun bukannya cantik. Biar pun hanya sawo matang, cantik lagi kulit orang Melayu ni. Dah, dah, jangan nak mengatal nak suruh adik kamu kahwin dengan orang putih pula. Mama tak izinkan,” ujar Puan Fazlina tegas.
Bulat mata Puan Fazlina memandang satu persatu wajah anak menantu yang tersengih memandangnya.
“Hei, hei, kamu semua ni. Kenapa tiba-tiba melalut sampai bab kahwin ni?” Tengku Adnan bersuara tenang. “Si Nuar ni baru saja balik. Tak sampai sehari pun dia duduk rumah, kamu semua dah sibuk tanya dia pasal kahwin pulak,”
“Eh abang ni, apa salahnya. Mahu tak mahu pun dia tetap kena kahwin juga suatu hari nanti. Takkan nak membujang sampai ke tua,” sanggah Puan Fazlina.
“Memang tak ada salahnya Puan Lina oii tapi nanti-nantilah awak tanya. Takkan awak nak kahwinkan dia malam ni juga kot,”
Gurauan Tengku Adnan mengundang tawa mereka yang mendengarnya.
“Betullah kata saya tu. Nuar bukannya semakin muda. Dah 32 tahun pun. Nak tunggu umur dia berapa baru nak dia kahwin?”
“Kalau iya pun, biarlah budak tu berehat dulu. Tak sabar betul awak ni Lina,”
“Ala bang, jangan mengata kat saya. Abang tu pun apa kurangnya. Bukan abang juga yang cadangkan pada saya supaya kahwinkan si budak Anuar ni cepat-cepat supaya dia tak balik semula ke Miami tu?”
“Itu cuma satu cadangan saja, takkan awak nak buat betul-betul,”
“Apa salahnya bang. Awak juga yang beruntung nanti. Awak dapat menantu baru, saya pun dapat seorang pembantu percuma kat dapur tu,”
Kata-kata Puan Fazlina sekali lagi mengundang tawa.
Tengku Anuar yang mendengar kata-kata ibunya itu hanya tersenyum menggeleng. Geli hati dengan sikap si ibu yang kadang kala mencuit hati.
“Jadi, apa perancangan kamu sekarang Anuar?” soal Tengku Azhar setelah tawa mereka semua reda.
“Saya fikir, dari sekarang saya nak bekerja di syarikat ayah. Nak tolong ayah bangunkan lagi syarikat tu. Kalau boleh, saya dah tak nak bertukar kerja lagi. Biar terus kekal di situ selamanya,” balas Tengku Anuar tenang.
“Hmm, elok benarlah tu. Ayah pun memang harap benar kamu dapat bantu ayah di pejabat kita tu nanti. Banyak perkara yang boleh kamu lakukan untuk syarikat tu,” Tengku Adnan bersuara seraya mengangguk kepalanya beberapa kali.
Sememangnya dari dulu lagi dia begitu mengharapkan kehadiran anak bongsunya itu di syarikatnya. Namun harapannya tenggelam tatkala Tengku Anuar menyatakan hasrat untuk bekerja di luar negara setelah menamatkan pengajiannya beberapa tahun lalu.
“Betul cakap ayah tu Nuar. Bang Long gembira sangat sekiranya kau nak membantu ayah di pejabat. Kalau boleh, Bang Long nak kamu kendalikan beberapa projek pembangunan hartanah yang bakal kita laksanakan tak lama lagi,” tukas Tengku Azhar.
“Insya Allah Bang Long, setakat mana saya mampu, saya akan tolong,” sahutnya lembut.
“Hmm, bagus benar tu. So, macam mana dengan bahagian marketing Zan? Ada apa-apa yang perlu dilaksanakan buat masa sekarang?” Tengku Azhar menoleh sekilas Tengku Afzan yang duduk setentang dengannya.
Well, rasanya setakat ini saya masih boleh handle lagi bahagian tu. Apapun, kalau ada apa-apa nanti, Bang Ngah harap Nuar boleh tolong Bang Ngah apa yang patut,” ujar Tengku Afzan turut memandang wajah adik bongsu mereka.
Tengku Anuar tidak menyahut, sekadar menganggukkan kepala.
“Kamu bertiga ni, boleh tak kalau hal kerja, cakap kat pejabat aje. Rimas mama yang mendengarnya,” celah Puan Fazlina. Bibirnya dimuncungkan sedikit.
“Biarlah dia orang berbual pun Lina, bukan dia orang cakap hal yang bukan-bukan pun,” tingkah Tengku Adnan lembut.
“Yalah, dah duduk di rumah. Cakap ajelah pasal hal rumah. Tak cukup lagi ke masa kat pejabat tu sampaikan hal pejabat pun nak di bawa bercakap di rumah?”
“Mama, masa kat pejabat tu adalah masa untuk bekerja, bukannya masa untuk berbual. Waktu sekaranglah waktu yang kami ada untuk berbual pun. Lagipun bukannya selalu kami brbual tentang hal pejabat kat rumah. Nanti mama juga yang bising sebab kami tak ada masa untuk mama,” ujar Tengku Afzan sambil tersenyum meleret.
“Iyalah tu. Ada saja alasan kamu nak kenakan mama ya,” balas Puan Fazlina, menjeling.
Mereka yang memandangnya hanya tersenyum kecil. Mengerti dengan tingkah wanita itu yang tidak suka hal berkaitan kerja di bincang di rumah. Baginya, masa di rumah adalah masa untuk berehat selain mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Oh ya Nuar, masa Anuar hantar e-mel pada Bang Chik hari tu, Anuar kata nak beli tanah kat Malaysia. Jadi ke rancangan Anuar tu?” Haikal yang sedari tadi hanya mendengar perbualan mereka mengutarakan soalan.
Seluruh mata tertumpu ke wajah lelaki itu.
Tengku Anuar mengangguk kecil.
“Insya Allah Bang Chik. Kalau boleh saya nak Bang Chik carikan saya kawasan yang berhawa dingin dan dalam masa yang sama mempunyai pemandangan yang menarik,” balas Tengku Anuar lembut.
“Kalau macam tu, abang cadangkan Anuar beli saja tanah di Cameron Higlands. Kebetulan ada seorang kawan abang nak jual tanahnya kat sana. Kalau Anuar berminat, Bang Chik boleh rundingkan harganya,”
“Masih ada ke bang tanah yang nak dijual di Cameron Highlands tu? Rasanya kat tempat tu dah tak ada tanah kosong lagi,” Tengku Adilla memandang sekilas wajah si suami.
“Tanah kosong tu tak adalah tapi tanah yang telah diusahakan tu masih ada lagi. Kepunyaan Sufian,” balas Haikal. Selaku pemilik syarikat pengurusan hartanah, Haikal begitu berpengetahuan dalam perkara yang berkaitan dengan pembelian dan penjualan tanah.
“Kenapa Sufian nak jual tanahnya tu bang?” Tanya Tengku Adilla, hairan.
Sememangnya Tengku Adilla amat mengenali teman rapat suaminya itu. Lelaki yang bernama Sufian itu merupakan rakan sekelasnya ketika mereka melanjutkan pelajaran di salah sebuah univrsiti di luar negara tak lama dulu.
“Dilla dah lupa ke? Bukankah Sufian terpaksa berpindah ke Brunei kerana nak menguruskan perniagaan kayu balak arwah ayahnya? Dia nak jual sebab tak ada masa nak berulang alik ke Malaysia selalu,” Haikal tersenyum memandang Tengku Adilla yang menepuk dahi perlahan.
“Ya tak ya bang, saya lupa pula. Kak Chik rasa elok benar Anuar beli tanah tu. Lagi pun tanah tu bukannya tanah terbiar atau tanah kosong tapi tanah yang telah diusahakan. Kalau tak silap Kak Chik, ada tanaman strawberi di situ,” ujar Tengku Adilla kembali mengadap Tengku Anuar yang sedari tadi hanya mendengar perbualan suami isteri itu.
“Iya ke Dilla? Wah, kalau macam tu bolehlah kita makan buah strawberi free nanti. Tak payahlah bersusah payah nak beli lagi,” sampuk Tengku Afzan tersenyum ceria. Bulat matanya memandang wajah adik perempuan tunggalnya itu.
“Hah, elok sangatlah kamu beli tanah tu Nuar. Kamu tu dahlah suka benar makan buah strawbri. Kali ni jangan katakan nak makan, nak mandi dengan buah strawberi tu pun tak ada masalah,” sampuk Tengku Azhar sekaligus mengundang ketawa kecil semua yang mendengar.
Tengku Anuar yang mendengar usikan si abang turut menguntum senyuman.
“Kenapa kamu tak beli saja tanah kat kawasan Selangor atau Kuala Lumpur aje Nuar? Bukannya tak ada tanah yang nak di jual di kawasan ni. Jauh sangat rasanya Cameron Highlands tu,” celah Puan Fazlina sambil mendengus halus. Kurang senang dengan cadangan anak bongsunya itu untuk membeli tanah di kawasan tanah tinggi.
“Bukan saya tak nak beli tanah kat area sini ma, tapi kalau boleh saya nak buat rumah di kawasan yang agak sejuk dan mempunyai pemandangan yang menarik,” sahut Tengku Anuar lembut. Cuba memujuk Puan Fazlina yang kurang bersetuju dengan cadangannya.
“Habis tu kamu fikir kat sini tak ada pemandangan yang menarik ke Nuar?” tingkah Puan Fazlina pantas. “Kat Selangor tu, banyak kawasannya yang ada tempat menarik. Kuala Selangor, Tanjung Karang, semuanya ada. Kat Kuala Lumpur ni lagilah banyak. Cakap je pemandangan yang macam mana kamu nak, semuanya ada,”
“Itu memang betul mama tapi kebanyakan tempat di dua negeri ni dah terlalu sesak dengan pembangunan. Saya nak cari kawasan yang tenang dan tenteram untuk saya berehat selepas penat bekerja. Itu saja ma,” balas Tengku Anuar lembut.
“Lagi pun mama, mama kena ingat. Anak lelaki kesayangan mama ni dah lama benar tinggal kat oversea sana tu. Manalah dia tahan tinggal kat tempat panas macam kawasan kita ni,” celah Tengku Adilla menyeringai kecil.
Mereka yang lain yang mendengar gurauan wanita itu hanya mengulum senyum. Puan Fazlina mencebik bibirnya.
“Ala, itu alasan kamu saja kan. Kamu tu sebenarnya bukannya suka tinggal di Malaysia ni. Maklumlah, dah seronok tinggal kat luar negara tu,” suara Puan Fazlina kedengaran seperti merajuk. Tengku Anuar yang memandang gelagat si ibu menarik nafas panjang. Dia bangun. Menghampiri si ibu yang telah menarik panjang muncungnya. Kemudian melabuhkan punggung di sisi wanita itu.
“Mama, janganlah bersikap macam ni. Saya ikhlas balik ke Malaysia. Kalau ayah tak suruh balik pun memang saya akan balik juga. Takkan saya nak lupakan negara kelahiran saya ma,” pujuknya lembut. Dicapai tangan si ibu sebelum diramas lembut.
“Mama kamu tu bukannya apa, dia nak semua anak dia berada dekat dengan dia. Senang matanya nak memandang selalu. Kalau boleh biar serumah dengan dia,”
Kata-kata Tengku Adnan kembali membuahkan tawa semua.
“Ewah abang tu, kalau tak kenakan saya dalam sehari, tak boleh duduk diam agaknya ya,” Puan Fazlina bersuara sedikit keras.
Kemudian menjeling ke arah si suami yang hanya tertawa kecil sebelum kembali mengadap wajah Tengku Anuar.
“Mama bukannya apa Nuar, mama tak mahu anak-anak mama duduk jauh dari mama. Kalau jadi apa-apa pada kamu nanti, susah mama nak menjenguk,”
“Mama, Cameron Highlands tu bukannya jauh sangat. Dua jam saja dari sini. Lagi pun, mama juga yang untung nanti, dapat makan buah strawberi free,” Tengku Adilla bersuara bagi pihak adiknya. Dia tersengih nakal.
“Betul tu ma. Lagi pun, Anuar dah kata tadi, dia cuma nak buat rumah rehat, bukannya rumah untuk dia terus menetap,” sampuk Tengku Azhar turut bersuara.
Puan Fazlina tidak menyahut. Sekadar mendengus halus.
“Oh ya Anuar, kalau Anuar jadi beli tanah tu, Bang Chik rasa Anuar tak payah bina rumah lagi sebab dah ada rumah kawan abang kat atas tanah tu. Rumah tu dia jadikan sebagai rumah rehat dia sekeluarga setiap kali dia orang pergi bercuti di sana. Mungkin Anuar boleh menambah atau mengubah suai sedikit rumah yang di bina seperti rumah Inggeris lama tu,” Haikal kembali bersuara setelah suasana sepi memalit suasana seketika.
“Kalau macam tu, kamu beli sajalah Anuar. Conform cantik. Mana tidaknya, Dahlah ada ladang strawberi, siap ada rumah berbentuk rumah Inggeris lagi. Ala-ala kamu duduk Amerika lah juga,” sampuk Tengku Adilla tersenyum lebar.
Mereka yang lain turut mengangguk setuju.  
“Jangan esok-esok kamu cari isteri orang putih sudah,”
Kata-kata selamba Puan Fazlina meledakkan tawa mereka sekeluarga. Ternyata Puan Fazlina masih tidak melupakan topik itu.

“Hah, jumpa juga kamu jalan nak balik rumah ni ya,” sindir Datin Salbiah sebaik terpandang kelibat anak perempuannya malam itu.
Nina yang baru melangkah masuk ke ruang tamu rumah tersenyum tawar. Tanpa membalas kata ibunya, dia menghulurkan tangan. Bersalam seketika. Dialih ke arah ayahnya, Datuk Nasir yang turut berada di situ.
“Kamu dari mana ni Nina?” Soal Datuk Nasir lembut.
Wajah lesu anak daranya dipandang sekilas. Di lipat kertas surat khabar yang berada di ribaan sebelum di letak ke atas meja di tepinya.
“Saya dari rumah ayah,” balas Nina perlahan.
Kemudian dihempas tubuhnya ke sofa. Berdepan dengan si ayah.
“Mama dan ayah apa khabar? Sihat tak?”
“Alhamdulillah sihat Nina. Kamu tu macam mana pula? Sihat?” soal Datuk Nasir lembut.
“Sihat ayah. Ayah dah lama tunggu ke?”
“Huh, dah nak reput pun orang dalam rumah ni tunggu kamu balik. Kalau tak suruh balik, agaknya sampai kiamat pun tak nampak muka kamu kat rumah ni,” Datin Salbiah bersuara sebelum sempat Datuk Nasir membalas kata. 
“Saya banyak kerjalah ma. Bukan sengaja tak nak balik,”
“Huh, ada saja alasan kamu tu. Kalau setakat buka bengkel kereta tu, apa sangatlah sibuknya. Lainlah syarikat ayah kamu tu. Banyak kerja yang nak kena buat,” tingkah Datin Salbiah lagi.
“Dahlah tu Biah. Anak tu balik penat-penat, awak membebel pula,” Datuk Nasir menegur lembut isterinya. Mengerti benar dengan sikap isterinya yang  kuat berleter tu. Datin Salbiah mendengus keras.
“Itulah abang, pantang saya tegur aje anak kesayangan awak ni. Semuanya salah. Ada saja yang saya kata tu tak kena,”
Datuk Nasir tersenyum kecil.
“Bukan macam tu maksud abang Biah. Nina tu baru aje sampai. Nak tegur pun biarlah nanti-nanti aje,”
“Itulah abang, manjakan sangat budak ni. Sampai buat kerja macam budak jantan pun abang tak kisah. Ikut aje apa yang dia nak pun,” bebelnya lagi.
“Mama, apa salahnya saya buka bengkel tu? Dah minat saya kat situ. Nak buat macam mana lagi. Lagipun bukannya saya buat kerja tak baik. Buka bengkel baiki kereta, bukannya buat kerja haram,” Nina menyampuk lembut. Cuba menenangkan hati si ibu yang telah lama terbakar.
“Ini bukan masalah haram atau halal Nina. Masalahnya kamu tu. Dah makin teruk mama tengok. Ni, tengok pakaian kamu,” tegur Datin Salbiah menarik keras seluar jeans yang tersarung di tubuh Nina.
“Dah macam jantan mama tengok. Cuba kamu tengok anak dara lain. Berkebaya, berbaju kurung. Itu baru namanya perempuan,”
“Mama, bukan pakaian yang lambangkan diri kita tapi sikap yang tentukan diri kita. Kalau bersikap baik, tak kisahlah macam mana pun pakaian kita, orang akan tetap kata kita baik,” ucap Nina sedikit kuat, mula bosan dengan leteran mamanya.
Setiap kali pulang, itulah saja perkara yang sering dibahas Datin Salbiah. Hinggakan dia tidak betah untuk tinggal di situ. Sebab itulah sebaik saja dia berjaya membuka perniagaan sendiri dia membeli sebuah kondominium yang terletak tidak jauh dari bengkelnya. Hanya sekali sekala di pulang ke rumah banglo itu. Itu pun jika ada urusan tertentu.
“Hah, betul sangatlah cakap kamu tu,” sanggah Datin Salbiah cepat. “Hei Nina, orang zaman sekarang ni bukan memandang pada sikap atau tingkah laku saja tau, orang pandang pada cara kita berpakaian juga. Kalau dah pakaian tu dah tak serupa macam perempuan, siapa yang teringin nak beristerikan kamu tu nanti,”
“Tak siapa nak berlaki,” ujar Nina perlahan, meniru dialog pelakon seniwati Zaiton dalam filem Bujang Lapok, sekadar kedengaran di telinganya saja.
“Apa kamu kata?” Mencerlung mata Datin Salbiah memandang wajah si anak yang hanya menundukkan muka.
“Sudahlah tu Salbiah. Bingit telinga saya dibuatnya,” Datuk Nasir mula meninggikan suara.
“Biarlah si Nina tu nak pakai pakaian apa pun. Selagi tak melanggar batas-batas agama dan budaya kita, biarkan saja,”
“Apa abang fikir pakaian anak abang tu tak langgar adab dan budaya kita? Hei bang, tak pernah ada dalam adab dan budaya orang Melayu membenarkan anak perempuan pakai pakaian macam anak perempuan abang pakai tu tau,” sindir Datin Salbiah marah. Dihembus kasar nafasnya. “Apalah malang nasib saya ni, ada anak perempuan cuma seorang saja, itu pun perangainya tak macam perempuan,” Datin Salbiah merungut sendiri. Dijeling sekilas wajah si anak sebelum bergegas bangun menuju ke dapur.
Nina hanya memandang tingkah ibunya itu tanpa sepatah kata. Sebal hatinya melihat kelakuan si ibu. Sememangnya sedari kecil hubungannya dengan Datin Salbiah tidak pernah semesra hubungannya dengan Datuk Nasir. Ada saja yang dilakukannya tidak menyenangi mata Datin Salbiah.
Namun Nina sedar, semua itu tidak bermakna Datin Salbiah tidak menyayanginya. Segala teguran dan nasihat wanita itu menunjukkan ibunya itu benar-benar mengambil berat perihal dirinya. Hanya dirinya yang tidak gemar mendengar leteran si ibu yang dirasakan seperti satu irama yang begitu membosankan.
“Betul kata mama kamu tu Nina. Bila lagi kamu nak berubah cara hidup kamu tu? Takkan kamu nak bekerja di bengkel kereta tu seumur hidup. Sekurang-kurangnya luangkanlah masa hidup kamu tu sedikit untuk bekerja di syarikat ayah,” Datuk Nasir kembali bersuara sebaik kelibat Datin Salbiah hilang di balik pintu dapur.
“Saya bukannya apa ayah, saya tak berminat nak kerja kat syarikat ayah tu,” keluh Nina perlahan. Kepalanya ditunduk sedikit.
“Ayah tahu kamu tak berminat untuk bekerja di syarikat ayah tu tapi kamu boleh cuba menanam minat tu. Kamu tahu Nina, ayah sebenarnya lebih gembira sekiranya kamu bekerja dengan ayah dan Along kamu di syarikat tu daripada melihat kamu bekerja di bengkel tu,” giliran Datuk Nasir pula memberi ceramah pada anaknya.
“Betul kata ayah tu. Daripada kamu kerja kat bengkel kereta tu, lebih baiklah kamu kerja dengan Along dan ayah kat pejabat tu,” sampuk Shahrul yang tiba-tiba muncul di ruang tamu rumah.
Shahrul dan Mariya yang baru pulang dari menemui seorang rakannya mengatur langkah menuju ke ruang tamu rumah. Nina bingkas bangun menyalami Shahrul dan seketika dihulur tangannya pada Mariya yang tersenyum mesra.
“Dah lama sampai Nina?” kakak iparnya bertanya.
“Lama juga kak Long,” sahut Nina sopan.
“Duduk dulu ya Nina. Akak ke dapur dulu,” Mariya meminta diri untuk berlalu.
“Nina, dengar kata Along, lebih baik sekiranya perempuan seperti kamu ni kerja kat syarikat ayah dari bekerja kat bengkel tu,” Shahrul bersuara lagi.
Dihempas punggungnya di sisi Datuk Nasir. Matanya merenung wajah si adik yang membalas tenang.
“Nak buat macam mana Along, dah itu minat saya,” Nina kembali meletak punggung ke sofa.
“Kerja macam tu elok untuk lelaki aje. Perempuan macam kamu tu tak sesuai kerja kat tempat kotor macam tu. Lagi pun tak ada keturunan kita yang kerja kat tempat macam tu. Buat malu keluarga aje,” balas Shahrul sedikit keras.
Geram dengan sikap Nina yang dirasakan begitu keras kepala. Sudah puas dia memujuk gadis itu supaya bekerja di syarikat ayah mereka namun jawapan yang diberi tetap sama. Tidak berminat!
“Saya buat kerja yang baik Along, bukannya kerja haram,” tingkah Nina.
“Along tak kata kerja kat bengkel tu kerja haram tapi bukankah lebih baik kalau kamu kerja di syarikat ayah saja? Bukannya kamu tak ada kelulusan nak buat kerja macam tu. Jauh-jauh ayah hantar kamu belajar sampai ke Ireland, balik Malaysia buka bengkel kereta buruk macam tu,”
“Along jangan nak menghina kerja saya tau. Buruk-buruk pun bengkel saya, saya tak ganggu hidup orang lain,” Nina bersuara sedikit marah. Geram kerana Shahrul seolah-olah memperlekeh pekerjaannya.
“Sudahlah tu kamu berdua. Mulalah nak bertekak tu,” pantas Datuk Nasir menyampuk kata. Sedikit tegas.
“Pantang jumpa, ada saja yang nak kamu tekakkan. Tak malu ke kalau dengar dek jiran tetangga kita?” ujar Datuk Nasir lagi.
Wajah kedua anak yang tunduk terdiam itu dipandang silih berganti. Hatinya sedikit sebal dengan kelakuan mereka. Setiap kali bersua muka pasti pertengkaran akan timbul di celah keduanya.
Shahrul terkunci mulut. Dalam hati dia menyesal terlepas kata. Tak terlintas di hatinya untuk menghina kerjaya adiknya. Cuma sikap Nina yang keras kepala dan jarang mendengar kata itu menjadikan dia tidak dapat mengawal rasa marahnya.
Nina turut terdiam. Dia tahu, Shahrul tidak berniat menghinanya. Dia mengerti sikap abang sulungnya.  Shahrul bukanlah jenis lelaki yang biadap mahu pun angkuh. Namun pantang bagi lelaki itu kata-katanya di sanggah. Hatinya pasti cepat panas membara.
“Dahlah tu kamu berdua, jangan di tarik lagi muka kelat begitu. Buruk benar ayah tengok,” suara Datuk Nasir memecah keheningan mereka bertiga.
“Dahlah, jom kita makan. Mama kamu dah siap hidangkan makanan tu. Nina, kamu tidur sini ya malam ni,” ujarnya lagi seraya bangun dari duduk. Diatur langkahnya menuju ke ruang makan yang terletak bersebelahan ruang dapur rumah. Meninggalkan kedua-dua anak yang masih seperti tadi. Membisu seribu kata.
Nina memandang seketika wajah Shahrul yang kebetulan mengangkat muka. Membalas pandangannya. Hampir serentak keduanya bangun. Berdiri bertentangan.
“Saya minta maaf Along, saya tak maksud nak bersikap biadap pada Along tadi,” tutur Nina perlahan tatkala Shahrul melangkah menghampirinya.
“Along pun serupa, Along minta maaf kerana bercakap kasar dengan kamu tadi,” sahut Shahrul mengukir senyum. Kemudian digosok-gosok perlahan kepala si adik yang turut mengulum senyum. Mereka berpelukan seketika.
Tak jauh dari situ, Datuk Nasir mengukir senyum. Mengerti dengan sikap anak-anak yang tidak pernah menyimpan lama perasaan marah antara satu sama lain. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012