Sunday, September 09, 2012

CINTA SEJATI : BAB 1


BAB 1

“Zarif, kau sibuk ke sekarang?”
Zarif yang sibuk menulis sesuatu di mejanya segera mendongak kepala. Wajah Baharin yang tersembul dari balik pintu di pandang sekilas. Dia mendengus kecil sebelum mengurut dada perlahan-lahan.
“Kalau iya pun Baha, kau bagilah salam dulu. Terkejut aku,” ujar Zarif mengelengkan kepala beberapa kali. Dia tunduk semula menyambung kerjanya yang terhenti.
“Ala Rif, aku bukannya sengaja,” jawab doktor muda itu tersengih seperti kerang busuk. Kakinya melangkah masuk ke ruang bilik yang sederhana luas itu. Di tarik kerusi yang ada di depan Zarif sebelum melabuhkan punggungnya di situ.
“Takkan itu pun kau nak marah,” sambung Baharin lagi.
Wajah Zarif yang sedikit mencuka di renung sekilas.
Zarif merengus kecil.  Matanya dijeling sedikit ke arah wajah bersahaja milik Baharin yang masih seperti tadi. Tersenyum kelat memandangnya.
“Aku bukannya marah, cuma geram. Dibuatnya aku ni ada sakit jantung, mau tak bernyawa aku sekarang,” tingkah Zarif sedikit keras.
“Isy kau ni, ada ke situ pula,” ujar Baharin terkesima.
“Sekarang ni nak mati bukannya susah, terkejut pun boleh bawa maut tau,” ujar Zarif lagi.
“Iyalah, iyalah, lain kali sebelum aku masuk ke bilik kau ni, aku ketuk dulu pintu, lepas tu bagi salam, lepas tu….,”
“Dah, dah, dah, jangan kau nak melalut pula. Kau datang ke bilik aku ni nak apa sebenarnya?” Pantas Zarif memotong kata-kata sahabatnya itu.
Tiga tahun bekerja satu bumbung dengannya menyebabkan Zarif begitu arif dengan sikap pemuda yang bermulut becok itu.
Baharin tersengih lagi. Menampakkan barisan giginya yang putih bersih.
“Aku sebenarnya nak beritahu, Dr. Fahmi cari kau tadi,”
Dahi Zarif berkerut mendengar kata-kata Baharin. Pen di tangan di letak perlahan ke atas meja. Wajah sahabat baiknya itu di renung lama.
“Kenapa Dr. Fahmi nak jumpa aku? Ada hal penting ke?” soal Zarif.  
“Entah, manalah aku tahu. Kau tanyalah dia sendiri,”
Baharin terus bangun. Mula mengatur langkah menuju ke pintu. Sebelum tangannya memulas tombol pintu, dia menoleh sekilas.
“Woi Rif, kau termenung apa lagi? Pergilah jumpa dia,” sergah Baharin bila di lihat Zarif seperti kebingungan.
“Hah, apa?”
Zarif yang terkejut dengan sergahan itu terpinga-pinga seketika. Bulat matanya memandang wajah Baharin yang hanya mengeleng. 
“La… kalau kau nak tahu sebab apa dia panggil kau, pergilah jumpa dia sekarang. Dia tengah free tu,” balas Baharin tertawa kecil.
Geli hatinya melihat Zarif yang terkulat-kulat membalas pandangannya. Dia kembali mengatur langkah membolos diri di celah pintu yang telah terbuka sedikit.
Giliran Zarif pula tersengih.
“Yelah, aku pergilah ni,” balas Zarif.
Zarif menolak perlahan kerusinya. Tubuh tegapnya digerakkan sedikit ke kiri dan kanan, menghilangkan rasa lenguh yang bermukim di tubuhnya sedari tadi.
“Eh, dia kat mana sekarang?”
Sempat lagi Zarif melaung ke arah Baharin yang telah melangkah keluar dari bilik rawatan pesakit itu.
“La, kat bilik dialah, kat mana lagi. Takkan kat bilik aku pula kot,”
Baharin kembali menutup pintu bilik.
Zarif mendengus kecil. Loyar buruk pula si Baha ni, desisnya perlahan.

Zarif mengetuk perlahan daun pintu yang tertera nama ‘DOKTOR FAHMI’. Terdengar satu suara menyuruhnya masuk. Tanpa berlengah lagi, Zarif menolak daun pintu bercat warna biru muda itu. Dijengul kepalanya sedikit.
“Doktor panggil saya?” soalnya sopan.
Dr. Fahmi yang berdiri di tepi tingkap bilik tersenyum lebar. Fail yang berada di tangan segera dicampak ke atas meja di sudut bilik.
“Hah doktor Zarif, silakan masuk,” pelawanya.
Perlahan Zarif melangkah masuk.
“Jemput duduk doktor,” Pelawanya lagi.
Zarif yang hanya tersenyum mengangguk kecil. Dialih pandangannya ke arah sofa di ruang tengah bilik. Bola matanya tertumpu pada tetamu yang berada di situ. Seorang wanita dan dua orang lelaki yang tidak dikenali tersenyum ke memandangnya. Zarif sekadar membalas.
Hah doktor Zarif, mari saya kenalkan tiga orang doktor yang baru saja ditempatkan ke hospital kita ni,”
Dr. Fahmi melangkah kemas menghampiri mereka. Merapati salah seorang lelaki yang segera bangun dari duduknya. Mereka yang lain turut berbuat demikian.
“Kenalkan, yang ini doktor Iskandar. Disebelahnya doktor Razif manakala yang itu, doktor Intan,” ujar Dr. Fahmi.
Zarif segera menyambut huluran tangan mereka sambil bibirnya mengukir senyuman manis. Matanya terpaku seketika pada Intan saat tangan mereka berpaut.
“Cantik,” puji hatinya.
“Untuk pengetahuan awak doktor Zarif, sebelum ini mereka bertiga bertugas di hospital Besar Kuantan. Memandangkan hospital kita ini kekurangan doktor, maka pihak Kementerian telah menukarkan mereka ke sini,”
Dr. Fahmi bersuara sebaik saja masing-masing mengambil tempat di sofa.  
“Bila agaknya mereka bertiga ni akan mula bertugas doktor?” soal Zarif.
Mata Zarif memandang wajah ketiga-tiganya dengan silih berganti. Pandangan matanya kembali tertumpu pada Intan yang sedari tadi melirik lembut ke arahnya.   
“Oh, mereka bertiga ni dah pun memulakan tugas mereka sejak dari seminggu yang lalu. Memandangkan doktor sedang bercuti waktu tu, tak dapatlah saya perkenalkan mereka pada doktor,”
Penjelasan Dr. Fahmi dibalas dengan anggukan kecil Zarif.
So, ada apa-apa lagi yang doktor nak tanya?”
“Setakat ini rasanya tak ada apa lagi doktor,” Zarif membalas perlahan.
“Cuma saya ingin mengucapkan selamat datang pada doktor bertiga ke hospital Besar Melaka ini. Saya harap kita semua boleh bekerjasama seperti dalam sebuah pasukan,” ujar Zarif tenang.
Sekali lagi bola matanya di lirik ke arah Intan yang duduk setentang dengannya. Entah
mengapa matanya bagaikan terpaut pada wajah manis itu. Gadis itu hanya menundukkan muka setiap kali pandangan mereka bertembung. Zarif tersenyum di dalam hati.  
“Untuk pengetahuan doctor semua, doktor Zarif ni merupakan salah seorang doktor terbaik yang telah lama berkhidmat di hospital ini,”
Pujian Dr. Fahmi mengalih pandangan mata Zarif. Wajah lelaki berusia pertengahan lima puluhan itu di pandang sekilas. Zarif tersenyum kecil.
Bagi Zarif pujian yang keluar dari mulut lelaki itu tidak meninggalkan sebarang bekas di hatinya. Dirinya sudah lali dengan sikap Dr. Fahmi yang gemar memuji kakitangan-kakitangannya tanpa melihat kedudukan atau pangkat mereka.
“Kalau begitu, untunglah kami kerana dapat bekerjasama dengan doktor yang pakar dalam bidang kedoktoran ni,” celah Razif yang memiliki rambut kerinting dan hitam berkilat itu.
Iskandar yang bersandar disebelah Razif turut menganggukkan kepala. Mengiyakan kata-kata temannya. 
 “Jangan kata begitu doktor. Sebenarnya masih ramai lagi doktor yang lebih berpengalaman dan pakar yang berkhidmat di hospital ini. Saya sendiri pun masih lagi dalam proses menimba ilmu dalam bidang ni dari mereka semua,” balas Zarif merendah diri.
Bagi Zarif tujuh tahun bergelumang dalam bidang kedoktoran tidak cukup untuk mengelarkan dirinya sebagai seorang pakar dalam bidang tersebut.
“Kalau nak diikutkan belajar, sampai bila-bila pun kita takkan habis belajar. Bukan setakat dalam bidang kedoktoran ni saja, dalam apa jua yang kita lakukan pun, kita sebenarnya masih lagi dalam proses mempelajarinya. Contohnya, dalam kehidupan seharian. Setiap hari kita masih belajar untuk memperbaiki kehidupan kita supaya menjadi lebih baik dari semalam,” ulas Dr. Fahmi sedikit tegas. Mempamerkan kewibawaannya sebagai seorang pengarah hospital yang berkaliber.
“Tapi, memang betul pun kata Razif. Kami bertiga ni pun sebenarnya masih lagi baru dalam bidang ni. Tak sampai lima tahun lagi pun. Bertuah rasanya dapat bekerjasama dengan doktor yang lebih berpengalaman,” sampuk Iskandar membalas bagi pihak Razif.
Untuk seketika matanya merayap ke wajah Zarif.
“Sememangnya masih banyak lagi perkara-perkara yang berkait dengan bidang ni yang perlu kami pelajari. Dengan pengalaman yang kurang dan ilmu pengetahuan yang hanya sebesar hama, doktor-doktor baru seperti kami ni masih memerlukan tunjuk ajar dari orang yang lebih berpengalaman seperti doktor Zarif.
Apatah lagi tugas kita semua melibatkan nyawa manusia. Memang pentinglah bagi kami untuk mempelajarinya dari orang yang mempunyai pengetahuan yang lebih luas,” sambung Iskandar lagi.
 “Harap-harap doktor dapat memberi sedikit sebanyak tunjuk ajar pada kami nanti,”
Kata-kata Razif dibalas dengan senyuman mekar menghiasi bibir merah Zarif.
“Insya Allah, setakat mana yang saya tahu, saya akan kongsi dengan semua,” ujar Zarif tersenyum.
Matanya sekali lagi dikerling ke arah Intan. Gadis itu itu menyimpul senyum ke arahnya. Tenang Zarif membalas.
“Hmm, baguslah kalau begitu. Saya harap kamu semua boleh bekerjasama dengan baik bagi meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan di hospital ini. Saya tak mahu ada di kalangan kita yang bersikap mementingkan diri.
Sebagai doktor, kita bertanggungjawab untuk memberikan layanan yang terbaik kepada masyarakat tanpa mengambil kira bangsa, agama mahupun apa saja. Kita perlu sedar, kerjaya kita ini merupakan satu amanah Tuhan untuk kita lakukan sebaik mungkin.Walau pun mencabar, itu bukannya alasan untuk kita mengabaikan tanggungjawab yang telah diberikan,” nasihat Dr. Fahmi panjang lebar.
Matanya merenung silih berganti wajah-wajah tenang di depannya. Mereka yang mendengar menganggukkan kepala masing-masing. Mengakui kebenaran kata-kata pengarah hospital itu.
So, ada apa-apa lagi yang kamu semua ingin perkatakan?” soal Dr. Fahmi lagi.
Mata Dr. Fahmi memandang mereka berempat yang hanya mengeleng. Tanda tiada soalan. Seketika pandangannya tertumpu ke arah Intan yang sedari hanya mendiamkan diri.
“Doktor Intan, kenapa diam saja dari tadi? Ada apa-apa yang ingin doktor perkatakan?” soal Dr. Fahmi tenang.
Intan tersentak seketika. Lamunan yang menghantui fikirannya sebentar tadi melayang entah ke mana. Dia tersenyum sedikit. Digeleng perlahan kepalanya.
“Rasanya tiada apa yang ingin saya katakan doktor,”
Kepalanya kembali ditundukkan apabila pandangan matanya bertembung dengan pandangan Zarif yang hanya tersenyum kecil. Entah mengapa hati wanitanya berdegup kuat setiap kali pandangan matanya bersabung dengan pandangan lelaki itu.
Dr. Fahmi mengangguk-angguk lagi. Dipandang wajah yang berada di depannya satu persatu.
“Okeylah. Kalau begitu, sampai di sini dulu perbualan kita pagi ni. Saya berharap kamu semua dapat memberikan komitmen yang terbaik dalam menjalankan tugas masing-masing. Semua ni penting bagi mengekalkan kecemerlangan perkhidmatan hospital ini,” ujarnya mematikan perbualan mereka pagi itu. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012