Thursday, September 13, 2012

Tulang belulang ayah Adam

Konon ada seorang pemotong kayu. Setiap hari dia akan ke hutan yang terletak dihujung desanya untuk menebang kayu secukupnya dan membawanya pulang untuk dijual. Selama bertahun-tahun dia mencari nafkah sebagai seorang pemotong kayu.
Suatu hari, dia berkata pada dirinya sendiri,
“Aku sudah tidak ingin melakukan pekerjaan ini lagi. aku sudah jemu,” katanya.
“Aku akan pergi dan menebang sejumlah kayu bakar dan kemudian aku akan mencari tulang belulang ayah kita Adam yang membawa semua kesusahan hidup ini pada kita dan membakarnya,” azam dia penuh tekad. Lalu dia pun mengumpul selonggok kayu.
Maka Allah mengutus malaikat untuk menemuinya dalam berkeadaan seorang manusia. Malaikat pun bertanya,
“Apa yang sedang kamu lakukan di sini?”
“Aku sedang mengumpulkan kayu untuk membakar tulang-belulang ayah kita Adam,” jawab pemotong kayu.
“Apa yang telah dilakukan oleh ayah kita Adam hingga kamu mahu berbuat demikian?”
“Kalau bukan kerana dia, tidak aka nada kesusahan di dunia ini,”
Lalu malaikat berkata,
“Jika ada orang yang boleh membebaskan kamu dari sebarang kesusahan dunia, apa yang akan kamu katakan?”
“Pasti aku akan mengucapkan padanya seribu kali ucapan terima kasih!”
“Kalau begitu aku akan membawamu ke sebuah taman di mana kamu dapat makan sepuas hati kamu tanpa perlu melakukan apa-apa pekerjaan. Cuma satu perkara yang kamu harus ingat, apa pun yang kamu lihat di dalam taman itu, kamu tidak boleh mengucapkan walau sepatah kata pun,”
Pemotong kayu terus saja bersetuju lalu malaikat menepuk kedua tangannya.
Sekelip mata pemotong kayu mendapati dirinya berada di dalam sebuah kebun yang dipenuhi dengan pelbagai jenis buah-buahan. Selama tiga atau empat hari, dia makan dengan senang hati. Satu ketika dia melihat seseorang berjalan di celah-celah pohon buah, memotong cabang-cabangnya yang hijau tanpa peduli pada pohon-pohon yang sudah mati.
“Haruskah aku katakan sesuatu padanya ataupun tidak?” pemotong kayu bertanya pada dirinya sendiri. Dia cuba menahan namun lama kelamaan dia berteriak juga,
“Hei kamu!” panggilnya.
“Ada apa?” tanya orang itu.
“Tidakkah kamu tahu cara sebenar memotong kayu adalah dengan memotong pohon-pohon yang sudah mati dan bukannya memotong pohon yang masih hijau?”
“Apakah kamu sudah lama berada di sini?” tanya orang itu pula.
Sebelum sempat pemotong kayu menjawab, dia telah berada di hutan semula bersama dengan kapaknya.
Dia terus memukul dadanya dengan dua ketul batu sambil meratap,
“Apa yang telah aku lakukan? Apa yang telah aku lakukan?”
Lalu malaikat kembali muncul di depannya.
“Apa yang telah terjadi?” soal malaikat.
Pemotong kayu memohon,
“Bawalah aku kembali ke taman itu,”
“Bukankah sudah aku katakan padamu supaya jangan berkata apa-apa?”
“Aku berjanji aku tidak akan berkata apa-apa kali ini,” ucap pemotong kayu.
Maka malaikat pun menepuk kedua tangannya dan serta-merta pemotong kayu kembali berada di taman. Semuanya berjalan lancar selama tiga empat hari sehingga dia melihat seekor rusa berlari manakala seorang lelaki tua berusia sembilan puluhan melompat-lompat mengejarnya.
“Hanya Allah yang Maha Mengetahui! Apa yang kulihat ini?” kata pemotong kayu pada diri sendiri.
“Rusa itu berlari begitu laju sedangkan lelaki berjanggut kelabu itu hanya mampu mengejar selangkah demi selangkah sahaja. Haruskah aku memberitahunya atau pun tidak? tapi aku tidak tahan untuk memberitahunya,” lalu pemotong kayu itu pun berteriak,
“Hei orang tua! Rusa itu melompat bagaikan kilat sedangkan kamu hanya mengejarnya selangkah demi selangkah. Bila kamu akan dapat mengejarnya jika begitu keadaan kamu?”
“Apakah kamu sudah lama berada di sini?” tanya orang tua itu dan seperti sebelumnya, belum sempat pemotong kayu menjawab, dia telah pun berada bersebelahan longgokan kayu bakarnya di hutan semula.
Dia memukul dadanya dan meratap buat kali kedua.
Malaikat pun kembali dan bertanya,
“Ada apa sekarang?”
“Tolong kasihani aku dan bawa aku kembali!” rayu pemotong kayu.
“Kali ini, akan terkutuklah aku kalau aku berkata-kata lagi,”
Malaikat pun menepuk kedua tangannya dan pemotong kayu kembali berada di taman. Selepas tiga empat hari, dia melihat empat orang lelaki berusaha memindahkan batu gerinda dari alat pemeras minyak. Mereka semua mengangkat batu itu dari sisi yang sama menyebabkan batu tersebut jatuh ke sisi sebaliknya.
“Haruskah aku katakan pada mereka atau sebaliknya?” tanya pemotong kayu pada diri sendiri.
“Orang-orang ini tidak berotak,” sambungnya lalu dia berteriak,
“Hei kamu di sana! Jika kamu ingin mengangkat batu gerinda itu, kamu harus mengangkatnya dari keempat-empat sisi,”
“Apakah kamu sudah lama berada di sini?” mereka bertanya dan sekelip mata pemotong kayu mendapati dirinya kembali berada di hutan.
“Alangkah sengsaranya! Betapa banyaknya kesusahan yang menimpa!” dia meratap, menarik-narik janggutnya dan memukul dadanya berulang kali.
Lalu malaikat pun mendatanginya dan bertanya,
“Apa yang salah?”
“Aku mohon padamu…,” ujar pemotong kayu tapi segera saja malaikat meningkah,
“Tidak ada gunanya kamu memintaku kembalikan mu ke sana. Ayahmu Adam hanya berdosa sekali sedangkan kamu melakukan dosa lagi, lagi dan lagi. jadi selayaknya tempatmu hanyalah di sini hingga ke akhir hayatmu,”

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012