Monday, August 05, 2013

BERSATU DALAM CINTA : BAB 11


BAB 11

“WAFI, boleh mak cakap sesuatu?” tanya Puan Ainun sebaik sahaja telekung di kepalanya dibuka. Mereka berdua baru selesai Solat Subuh berjemaah bersama Encik Musaid.
Dipandang sekilas Encik Musaid yang menarik keluar al-Quran dari rak sebelum suaminya mengalunkan ayat-ayat terindah itu. Menjadi tabiat lelaki itu sejak muda melantun bacaannya setiap kali selesai Solat Subuh di bilik yang dijadikan surau kecil di rumah mereka sekeluarga.
“Ada apa mak?” balas Wafi lembut.
Dia turut membuka telekungnya sebelum kain putih bersih itu dilipat dengan penuh cermat.
“Mak dan ayah nak ke rumah jiran sebelah rumah kita petang nanti. Dia orang ada jemput kita sekeluarga minum petang di rumahnya. Wafi ikut sekali ya?” Sedikit beriya-iya Puan Ainun mengajak. Begitu lembut dan penuh mengharap.
Namun raut wajah Puan Ainun berubah kecewa bila gadis itu menggeleng perlahan. Tanda menolak.
“Tak apalah mak, Wafi rasa lebih baik kalau Wafi duduk di rumah saja. Lagipun masih ada banyak lagi lukisan Wafi yang belum Wafi siapkan.” Lembut dia menutur alasan.
Tertunduk wajahnya sedikit tatkala terpandang riak suram Puan Ainun. Sementara jari-jemarinya dibiar bermain-main dengan hujung telekungnya.
Puan Ainun mengeluh kecil.
“Apa salahnya kalau Wafi ikut sekali ke rumah dia orang tu? Bukannya kita nak berlama-lama kat situ. Lepas saja makan dan berbual, kita baliklah. Lagipun bukankah lebih elok kalau kita berkenalan dengan lebih rapat dengan jiran-jiran kita? Esok-esok kalau jadi apa-apa, senanglah kita nak minta tolong.” Puan Ainun masih tidak berputus asa memujuk. Si anak pula terus menggeleng buat kali kedua.
“Wafi tak fikir Wafi nak pergi mak. Wafi lebih senang duduk di rumah aje.”
Dia masih mengulang kata-kata serupa. Wajahnya masih tidak diangkat. Sedar kata-katanya tidak disenangi wanita itu yang berharap sebaliknya.
Keluhan Puan Ainun kedengaran lagi. Lebih berat dari sebelumnya.
“Wafi, sampai bila Wafi nak berkurung diri begini? Wafi tak teringin ke melihat dunia luar? Berjumpa dan berkenalan dengan seramai manusia yang mungkin? Tak guna Wafi bersikap begini sayang. Wafi sendiri yang akan berasa sunyi nanti.” Lemah dan sayu saja Puan Ainun bersuara.
Terkilan sebenarnya dengan sikap si anak. Ternyata gadis itu masih berperasaan sama seperti dulu. Tidak berkeinginan untuk menjengah kehidupan luar biarpun seketika.
“Wafi tak pernah rasa sunyi mak. Wafi ada mak dan ayah. Wafi juga ada dunia Wafi sendiri. Jadi untuk apa Wafi rasa sunyi?” jawab Wafi dengan nada suara yang begitu perlahan. Namun masih dapat ditangkap telinga Puan Ainun.
“Jangan cakap begitu nak. Bukan sehari dua kita akan melalui kehidupan ni tapi bertahun-tahun lamanya sayang. Banyak perkara yang perlu kita lakukan sepanjang masa itu berjalan dan kebanyakan perkara yang kita lakukan itu memerlukan pertolongan orang lain untuk kita sempurnakannya.
Barulah kehidupan kita diberkati di dunia juga akhirat. Ini lumrah hidup nak dan Wafi mesti menerimanya sama ada Wafi suka ataupun tidak. Jika tidak Wafi dianggap tidak menerima ketentuan ALLAH. Sedangkan DIA mahu semua makhluk ciptaan-NYA saling bergaul mesra dan hidup bahagia bersama-sama.” Kata-kata nasihat Puan Ainun melantun lembut ke ruang pendengaran Wafi.
Menjadikan gadis itu terkunci lidah seketika. Tiada jawapan yang mampu diberinya memandangkan kata-kata Puan Ainun penuh dengan kebenarannya.
“Wafi ikut mak dan ayah ke rumah jiran kita tu ya petang nanti?” Puan Ainun mengajak buat kali kedua. Kali ini dengan harapan yang lebih berat. Wajah menunduk si anak ditatap lama. Meminta persetujuan.
Puan Ainun kecewa lagi bila Wafi tetap dengan keputusannya. Tiada kata yang terluah dari mulut. Namun gelengan lambat-lambat gadis itu telah menzahirkan jawapannya.
“Wafi mintak diri ke bilik dulu mak, ayah.”
Wafi segera menyalami tangan Puan Ainun dan Encik Musaid yang terhenti sejenak pembacaannya dek perbualan kedua wanita itu sebentar tadi.
Terus saja gadis itu berlalu keluar dari bilik itu bersama lipatan telekungnya. Meninggalkan Puan Ainun dan Encik Musaid. Mereka saling berbalas pandangan. Sama-sama sebal dengan keadaan itu.
“KAU rasa rancangan kita ni akan berjalan lancar tak?” tanya Encik Ghazali sambil memandang sahabat baiknya, Encik Azmi. Lama wajah bekas besannya ditatap.
Lelaki itu melepas nafas perlahan lantas menyandar tubuh ke sofa pejabatnya.
“Entahlah Zali. Aku pun tak tahu nak kata apa pasal ni. Tapi nampak gaya macam tak menjadi aje sepertimana yang kita harapkan.” Lemah Encik Azmi membuang keluhan.
“Kenapa pula kau cakap macam tu?” soal Encik Ghazali tanda tak mengerti. Matanya masih tidak berganjak dari bergayut di wajah suram Encik Azmi. Meminta kepastian.
“Ammar ada bagitahu aku yang kertas kerja baru bagi projek yang kita minta Ainul dan Alia lakukan itu masih belum nampak bayangnya sampai sekarang. Mana nak siapnya kalau setiap kali berjumpa aje kedua-dua anak kita tu hanya tahu bertekak, bertekak dan bertekak aje tak kira masa atau tempat. Kalau dengan nada yang perlahan atau rendah tak apalah juga. Ini tidak.
Semua orang yang ada kat sekeliling dia orang pun boleh tahu perkara apa yang mereka tekakkan. Sampai si Rina dan Lily pun dah naik pening kepala. Nasib baiklah dia orang berdua tu ada bersama setiap kali Ainul dan Alia berjumpa. Kalau tidak aku rasa dah lama anak-anak kita tu bergusti sakan,” keluh Encik Azmi. Benar-benar kesal dengan keadaan itu.
Encik Ghazali sudah terlopong mulut mendengarnya. Tidak menyangka perkara itu yang berlaku pada kedua-dua anak kesayangan mereka.
Buat seketika kedua-dua lelaki seusia itu mengunci lidah.
“Habis tu kau fikir apa yang patut kita buat sekarang?” Encik Ghazali kembali bersuara tidak lama kemudian. Turut sebal atas apa yang telah berlaku.
“Aku fikir, buat masa sekarang tak payahlah kita masuk campur dalam hal ni. Kita tengok dulu apa yang akan dia orang buat selepas ni. Tapi kalau semakin teruk keadaan keduanya, terpaksalah kita ambil balik projek tu daripada dia orang. Yalah, takkan kita nak biarkan projek kita ni terbengkalai lama-lama semata-mata kerana sikap tak profesional kedua anak-anak kita tu,” cadang Encik Azmi setelah berfikir seketika.
Encik Ghazali mengangguk laju. Setuju dengan cadangan itu. Tanpa sedar satu keluhan berat terkeluar dari mulutnya.
“Entah bilalah agaknya Ainul dan Alia tu nak berbaik macam dulu semula.” Terasa lemah seluruh badannya setiap kali teringatkan keadaan kedua-dua anak itu. Sehingga kini masih tiada tanda mereka akan bersatu sebagaimana masa lepas.
“Kau jangan bimbang Zali. Insya-ALLAH, andai jodoh antara dia orang masih kuat, pasti dia orang akan bersatu semula sebagaimana yang kita harapkan selama ini.” Penuh yakin Encik Azmi membuang kata-kata semangat buat sahabat baiknya dan juga dirinya sendiri. Membuatkan Encik Ghazali perlahan-lahan mengangguk. Cuba mententeramkan hati yang telah sedia gundah setiap kali memikirkan perkara itu.

“INGATKAN kamu dah lupa jalan balik ke rumah ni. Maklumlah, dah lama sangat tinggal kat negara orang putih tu. Negara kat sana tu kan maju. Lain sangatlah berbanding negara kita ni. Hutan saja sekelilingnya pun. Banyak sangat kayu-kayannya sampai terlindung segala benda. Kamu pun mana nak nampak jalan baliknya lagi kan,” sindir Nenek Tijah sambil melenggang keluar dari dapur bersama sedulang minuman. Cermat dia meletaknya di depan Damia. Sedang gadis itu sudah tersenyum kelat.
“Nek ni, sudah-sudahlah. Kan Mia dah mintak maaf tadi, tak payahlah nak perli-perli lagi. Mia bukan tak nak balik nek tapi memang banyak kerja yang perlu Mia siapkan kat Kuala Lumpur sana. Tulah nek, Mia ajak tinggal dengan Mia kat sana nek tak nak. Bila Mia tak dapat balik selalu nenek merajuk pulak dengan Mia,” kata Damia terus mencapai minuman depannya tanpa menunggu pelawaan wanita tua itu.
Nenek Tijah mencebik bibir.
“Iyalah tu kamu. Ada saja nak bagi alasan. Macamlah kerja kamu tu banyak benar macam kerja Perdana Menteri kita tu sampai langsung tak boleh ambil cuti walau sehari dua. Saja nak suruh nenek membebel panjang-panjang baru kamu reti nak balik ke sini.” Dalam marah Nenek Tijah menjeling tajam cucunya.
Damia kembali tersengih.
“Nek, macam mana keadaan kampung sekarang? Mia nampak ada banyak perubahan yang berlaku. Dulu jalan-jalannya bertanah merah aje. Sekarang ni semuanya telah diletak tar. Masjid pun dah makin besar dari dulu. Sekolah Mia tu pun nampaknya dah makin bertambah bangunannya. Padang bolanya pun dah makin luas. Senang cakap memang dah banyak kemajuan yang berlaku kat kampung ni ya nek,” ujar Damia semula sambil menghirup minumannya berkali-kali.
Dahaga benar dia setelah hampir tiga jam memandu kenderaan tanpa henti sebentar tadi. Sekali gus melencong arah perbualan mereka. Tidak mahu terus-terusan dileteri nenek kesayangannya.
“Mahu tak berubahnya Mia. Nama pun kampung ni dekat dengan bandar, takkan tak ada sebarang perubahan pulak. Semua kemudahan yang ada kat kampung ni pun makin lengkap jadinya. Bukan setakat sehari dua ni tapi bertahun-tahun pun. Kamu tu aje yang baru sedar. Maklumlah, dah lama sangat tinggal kat luar negara tu. Manalah kamu ambil tahu apa yang terjadi kat kampung ni.” Dalam bercerita sempat lagi Nenek Tijah menyindir si cucu buat kali seterusnya.
Damia hanya buat muka selamba. Buat-buat tak endah dengan kata-kata itu.
“Oh ya nek. Tak ada sesiapa ke yang tinggal kat rumah arwah Pak Cik Wahid dan Mak Cik Latifah tu? Apa tak ada ke adik-beradik dia orang yang datang menuntut rumah atau tanah dia orang ni?” Damia sudah menjenguk muka ke halaman rumah papan bersebelahan rumah neneknya.
Keadaannya kelihatan bersih dan kemas dari semak-samun mahupun tumbuhan liar lain. Seakan penghuni rumah itu masih wujud biarpun telah bertahun-tahun rumah besar itu tidak berpenghuni.
Mendengar pertanyaan itu Nenek Tijah mengeluh berat. Serta-merta air mukanya bertukar keruh bersalut suram.
“Manalah arwah Pak Cik Wahid dan Mak Cik Latifah kamu tu ada adik-beradik Mia. Dia orang suami isteri kan anak yatim piatu. Siapa lagi yang nak warisi rumah dia orang tu kalau bukan Laila, satu-satunya anak yang mereka ada.”
Nenek Tijah turut menjenguk ke arah sama. Ke rumah yang mana penghuninya pernah menjadi satu-satunya jiran terdekat mereka memandangkan kedua-dua rumah itu terletak di hujung kampung dan sedikit jauh dari laluan jalan besar.
“Habis tu kenapa halaman rumah dia orang nampak bersih semacam aje? Macam ada orang pulak yang tinggal kat situ. Ke nenek yang rajin pergi membersihkan rumah dia orang tu?” Damia membuat andaian sendiri. Dia hanya tersengih bila Nenek Tijah pantas merengus seraya menjelingnya sekilas.
“Bukan nenek yang membersihkan rumah tu tapi Pak Cik Ghaffar kamu. Katanya, dia diupah oleh keluarga mentua Laila untuk memastikan rumah dan kawasan rumah itu berada dalam keadaan elok sepanjang masa,” beritahu Nenek Tijah.
“Sebut pasal Laila, ke mana dia pergi ya nek? Dah bertahun-tahun Mia tak jumpa dia. Seingat Mia, kali terakhir Mia jumpa dia seminggu sebelum dia kahwin tulah. Lepas tu tak pernah lagilah kami bertemu sampai ke hari ni. Ada jugak Mia utus surat kat dia tapi tak ada balasan pun.
Agaknya masa tu dia dah pindah ikut suaminya ke mana-mana kem tentera kot. Maklumlah, Abang Azam kan pegawai tentera. Selalunya anggota tentera ada kuarters mereka sendiri.”
Damia kembali menyandar tubuh ke dinding di beranda rumah itu. Sedang matanya masih terarah ke kawasan rumah Laila, sahabat baiknya suatu masa dulu.
“Macam mana kamu nak jumpa dia lagi Mia? Masa dia sibuk uruskan perkahwinannya tu, kamu pulak sibuk menguruskan segala keperluan kamu untuk dibawa ke luar negara. Bukankah masa tu kamu dapat tawaran menyambung pelajaran ke sana? Kamu pun waktu tu mana tinggal kat sini lagi dah. Kamu dah pindah ke rumah arwah Kamilia untuk mudahkan kamu uruskan segalanya. Elok sehari sebelum Laila kahwin kamu dah berangkat ke luar negara. Lepas tu mana ada kamu balik ke sini lagi sampailah ke hari ni,” sambut Nenek Tijah panjang lebar. Damia pula menepuk dahinya sendiri.
“Ya tak ya jugak. Masa Laila sibuk nak kahwin, Mia pulak sibuk nak ke luar negara. Masa tu dia baru saja tamat tingkatan enam dan tengah tunggu keputusan STPM. Dalam masa yang sama Mia pulak dah habis belajar matrikulasi kat Kuala Lumpur,” sahut Damia mengiyakan kata-kata neneknya.
“Itulah. Mana ada kamu berdua berjumpa dah selepas kamu ke luar negara tu. Laila pun dah tak duduk kat sini lagi selepas beberapa bulan dia jadi begitu.”
Tanpa sedar Nenek Tijah mengeluh panjang. Manakala air mukanya telah lama berubah muram. Membuatkan rasa pelik menerpa Damia serta-merta. Pelik dengan kata-kata dan perubahan tingkah wanita tua itu.
“Kenapa nenek cakap macam tu? Apa yang telah terjadi pada Laila selepas Mia pergi nek?” Dengan rasa ingin tahu yang membuak Damia terus bertanya. Wajah suram nenek kesayangannya ditatap lama. Ingin penjelasan.
Lama wanita tua itu terdiam lantas dia membuka mulutnya beberapa ketika kemudian. Mula bercerita.
“Kamu tak tahu Mia. Sehari sebelum majlis persandingan Laila dilangsungkan, suaminya meninggal dunia ketika menyertai operasi serang hendap menentang pengganas di hutan. Laila langsung tak dapat terima kenyataan itu. Waktu mayat suaminya dibawa balik ke rumah arwah Pak Cik Wahid kamu, dia terus pengsan tak sedarkan diri.
Pak Cik Wahid kamu pulak terus meninggal dunia bila melihat mayat menantunya. Yalah, dia kan menghidap sakit jantung sebelum ni. Yang Mak Cik Latifah kamu pulak terlalu tergamam sampai tak tahu nak buat apa waktu tu.
Lepas saja Laila sedar, dia asyik menangis dan meraung aje. Kawan baik kamu tu betul-betul tak dapat terima kenyataan yang suaminya dah tak ada lagi dalam dunia ni. Boleh dikatakan siang malam dia menangis sampai bengkak-bengkak mata dia jadinya.
Selang beberapa hari, Mak Cik Latifah kamu pulak meninggal dunia sebab tertekan sangat dengan keadaan tu. Nasib Laila baik sebab lepas semua tu berlaku, keluarga mentuanya terus datang ambil dia dan bawa dia tinggal bersama sampailah sekarang.
Khabarnya keluarga mentua dia bawa dia tinggal ke luar negara tapi tak taulah betul ke tidak cerita tu. Sejak tu, jangan kata kamu, nenek pun tak pernah lagi jumpa dengan Laila. Entah di mana dia berada sekarang ni pun tak tahulah.” Sambil bercerita Nenek Tijah menahan air matanya dari tumpah.
Sememangnya dia turut berduka dengan apa yang berlaku pada keluarga jirannya itu lantaran sejak dulu dia telah menganggap mereka seperti saudara kandungnya sendiri. Malah kasih sayangnya terhadap Laila adalah sama sepertimana kasih sayangnya terhadap Damia memandangkan kelahiran kedua mereka disambut olehnya.
Damia sudah termati lidah. Dia benar-benar terkaku dengan cerita yang baru kini berada dalam pengetahuannya biarpun sebelum ini dia telah mengetahuinya. Namun tidak sebanyak dan terperinci sebagaimana yang disampaikan Nenek Tijah ketika ini.
“Kasihan Laila kan nek? Mia pun tak sangka hidup dia akan jadi begitu. Ada jugak arwah Kamilia ceritakan pada Mia pasal hal ni tapi tak adalah sebanyak mana pun. Dia sekadar bagitahu Mia yang Pak Cik Wahid dan Mak Cik Latifah dah tak ada, itu saja. Tentang Laila tak ada pulak dia bagitahu. Jauh sekalilah pasal kematian suami Laila tu.” Suara Damia turut dilanda sayu. Air mata yang sudah bertakung di kelopak mata diseka segera. Tidak mahu ianya terus jatuh ke pipi.
“Macam mana arwah nak bercerita pada kamu sedangkan dia sendiri pun tak tahu sangat pasal perkara ni? Masa semua kejadian ni berlaku, arwah Kamilia dah pun menyambung pelajarannya kat sebuah kolej swasta kat KL sana nun. Dia tahu pun sebab nenek yang bagitahu dia masa dia pulang bercuti ke sini dulu,” sambut Nenek Tijah dalam linangan air mata. Dia kembali menyambung kata.
“Apa nak kata Mia, hanya ALLAH saja yang tahu apa yang dah tertulis dalam hidup seseorang tu. Sebagai manusia biasa, manalah kita dapat baca apa yang akan berlaku di masa depan. Macam kamu dan arwah Kamilia jugaklah. Tinggi benar harapan nenek nak tengok kamu berdua sama-sama melangkah naik ke pelamin pada hari yang sama.
Tapi siapa sangka, jodoh Kamilia yang tiba dulu. Itu pun tak lama, selepas tu dia tinggalkan kita semua selamanya.” Nenek Tijah sudah menangis penuh hiba.
Terus Damia memeluk tubuh tua itu. Seerat-eratnya.
“Jangan cakap macam tu nenek. Sedih hati Mia mendengarnya. Mia pun faham apa yang nenek rasakan tapi Mia lebih terasa dengan semua ni nek sebab arwah Kamilia, Mia dan Laila merupakan kawan baik sejak kami kecil lagi. Walaupun arwah Kamilia tak tinggal di sini bersama Mia dan Laila, tapi dia selalu balik ke sini bila cuti sekolah tiba. Kami bertiga akan sama-sama ke dusun arwah atuk.
Memanjat pokok, mandi di sungai, menangkap ikan, semuanya kami lakukan bersama. Tapi siapa sangka, selepas beberapa tahun masa berlalu, hanya Mia yang masih berada di sini. Di tempat yang sama kami bertiga mula mencipta kenangan indah zaman kanak-kanak kami.” Damia terus menangis di ribaan neneknya.
Hatinya benar-benar dihambat pilu ketika ini. Pilu mengenangkan masa lalu yang tak mungkin dapat dijengah semula sampai bila-bila. Mereka yang turut melakar kenangan manis bersamanya telah lama pergi meninggalkannya.
Nenek Tijah turut melepas tangisannya. Sepenuh hati. Menjadikan suasana cucu dan nenek itu diselubungi tangisan mengharukan seketika waktu.
“Sudahlah tu Mia. Jangan kamu kenang lagi perkara yang dah lepas tu. Lupakan saja apa yang dah berlaku. Sebagai hamba-NYA yang taat, kita kena terima segala ketentuan-NYA dengan hati yang redha,” pujuk Nenek Tijah.
Dia kembali tenang tak lama kemudian. Lalu mengusap perlahan tubuh cucu kesayangannya. Penuh kasih sayang. Damia masih tersedu-sedu.
“Mana mungkin Mia boleh lupa sebegitu mudah semua kenangan dulu nek. Segalanya masih lagi berada dalam ingatan Mia. Masih kukuh seperti dulu. Tapi memang benar kata nenek. Mia kena terima semua ketentuan ni dengan hati yang redha. Apapun Mia bersyukur kerana Mia pernah merasai kemanisan hidup bersama arwah Kamilia dan Laila. Walaupun semua itu hanya untuk beberapa tahun tapi cukuplah Mia jadikannya sebagai hadiah terindah dari ALLAH untuk Mia selama Mia bergelar anak yatim piatu,” sahutnya sambil mengesat saki-baki air matanya. Seperti Nenek Tijah dia telah kembali tenang selepas itu.
Nenek Tijah mengangguk kecil.
“Betul tu Mia. Kedua-dua mereka adalah anugerah yang tidak ternilai dari ALLAH kepada kamu. Walaupun kamu kehilangan kasih sayang mak dan ayah sejak kamu kecil lagi tapi ALLAH gantikannya dengan lebih baik lagi. Kamu disayangi bukan saja Mak Khadijah dan Ayah Khalid kamu tapi juga oleh arwah orang tua Laila yang menganggap kamu macam anak mereka sendiri.
Kamu ada arwah Kamilia sebagai kakak kamu, Khuzairi sebagai abang kamu dan kamu jugak ada Laila yang kamu anggap macam adik kamu sendiri. Itulah keluarga besar kamu selama ini Mia. Walaupun sebahagian daripada mereka hanya singgah sebentar dalam hidup kamu namun bukankah itu sudah cukup buat kamu dari kamu tak pernah merasainya sama sekali?” pujuk Nenek Tijah begitu lembut sambil mengusap-usap rambut gadis itu.
Damia tersenyum lebar. Wajah tenang neneknya dipandang lagi.
“Tapi nenek terlupa sesuatu. Mia jugak ada seseorang yang begitu menyayangi Mia selama Mia hidup ni. Walaupun Mia jarang dapat meluangkan masa dengannya tapi dia tak pernah lupakan Mia. Malah dia selalu mendoakan yang terbaik untuk Mia walau di mana pun Mia berada,” ucap Mia penuh terharu.
“Siapa?” soal Nenek Tijah ingin tahu.
“Nenek,” sahut Damia sepatah kembali memeluk tubuh tua itu. Lebih erat dari tadi.
Manakala Nenek Tijah sudah mengalirkan air matanya semula. Benar-benar terharu dengan pengakuan ikhlas itu. Pelukan Damia dibalas sekejap mungkin dan suasana rumah kayu itu kembali diselimuti kesayuan buat kali kedua untuk sementara waktu. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012