BAB 20
“APA
pendapat akak? Akak rasa sesuai tak kalau Riya letak warna ni pada dinding
butik Riya tu?” Jari telunjuk Riya sudah menunjal helaian katalog warna cat
yang diambilnya dari salah sebuah kedai hardware di bandar.
Wafi
berfikir seketika sebelum mengangguk kecil.
“Boleh
tu boleh tapi akak cadangkan kamu ambil warna yang lebih lembut sebab warna
gelap dan terlalu garang hanya akan menampakkan ruang butik kelihatan kecil dan
sempit. Tak sesuai sangat untuk butik kamu yang mempunyai keluasan yang agak
besar. Tapi kalau kamu nakkan jugak warna ni, kita boleh selang-selikannya
dengan warna-warna lembut.
Cadangan
akak, apa kata kalau kita letakkan warna-warna garang seperti warna pilihan
kamu ni di sesetengah sudut butik. Ruang selebihnya kita letak warna yang lebih
lembut. Jadi ruang yang kita letak warna garang itu akan mampu menonjolkan
pakaian dan barang-barang perhiasan yang dipamerkan di situ,” terang Wafi serba
ringkas.
Riya
mengangguk beberapa kali. Tanda faham dengan keterangan ringkas gadis itu.
“So,
bila agaknya akak rasa Riya boleh mulakan kerja mengecat butik Riya tu?”
“Well,
semuanya terpulang pada kamu sendiri. Kalau kamu rasa butik kamu dah bersedia
untuk dicat, kita boleh terus mengupah orang melakukanya dalam masa terdekat
ni,” sambut Wafi.
Kepala
Riya mengangguk lagi. Setuju.
“Kak,
boleh Riya tanya akak sesuatu?” Tiba-tiba saja Riya mengubah arah perbualan
mereka.
Bulat
matanya memandang Wafi yang sedikit terpinga dengan pertanyaan itu. Namun cepat
saja dia mengangguk kecil. Tanda memberi izin.
“Kenapa
akak jarang sangat keluar ke mana-mana? Kebanyakan masa akak dihabiskan di
dalam rumah saja. Apa akak ni memang jenis perempuan yang suka duduk kat rumah
aje ya?” jujur Riya bertanya.
Manakala
Wafi telah tersenyum kecil. Kepalanya mengangguk lagi.
“Apa
nak buat dik. Memang dari dulu lagi akak suka terperap kat rumah aje. Akak
lebih selesa bekerja dari rumah, dari bekerja di mana-mana tempat lain.”
“Kak,
boleh Riya tanya akak satu soalan peribadi?” Riya sudah merapatkan wajah ke
wajah Wafi.
Serta-merta
Wafi mengerut dahi. Kaget melihatkan riak wajah wanita itu. Seakan tak
sabar-sabar nak bertanya sesuatu padanya.
“Akak
dah ada teman lelaki?” tanya Riya tanpa menunggu jawapan gadis itu.
Wafi
terus menunduk muka. Buat seketika dia bungkam. Tak tahu nak jawab apa.
Terkejut pun ada kerana tak menyangka soalan itu yang akan terluah dari mulut
wanita itu. Manakala Riya pula sudah tersenyum kecil.
“Kalau
akak dah ada teman lelaki, tak apalah. Tapi kalau tak ada alhamdulillah.
Kiranya ada harapanlah untuk kita menjadi satu keluarga nanti,” suara Riya lagi
sengaja berkias kata. Memandang Wafi perlahan-lahan melepas nafas.
“Dah
lama Riya berkahwin?” Gadis itu terus melencong arah bicara. Tidak mahu perihal
dirinya dikorek tanya lagi. Riya mengangguk laju.
“Lamalah
jugak, dalam sembilan tahun begitu. Sebenarnya Riya tak terfikir pun nak kahwin
awal tapi terpaksa juga sebab Riya dan suami dapat tawaran sambung belajar ke
luar negara. Jadi kedua-dua belah pihak keluarga bersepakat kahwinkan kami
berdua dan beberapa tahun kemudian kami pulang semula ke sini,” ceritanya
ringkas tanpa dipinta.
Wafi
mengangguk faham. Dikerling ekor matanya pada jam di dinding rumahnya.
“Okeylah
Riya, kalau tak ada apa-apa akak mintak diri dulu ya. Dah pukul 5.00 petang ni.
Waktu Asar pun dah lama masuk. Akak naik solat dulu ya,” ujar Wafi setelah
hampir sejam menghabiskan masa berbual dengan wanita itu.
Riya
mengangguk terus.
“Yalah
kak. Riya pun nak mintak diri balik ke rumah. Kejap lagi Salman dah nak balik
rumah. Karang bising pulak dia kalau dia tahu Riya berlama-lama kat rumah
orang,” sambut Riya turut bangun dari duduknya.
Segera
dia menoleh wajah pada Puan Ainun yang tiba-tiba muncul di ruang tamu rumah
itu. Sedari tadi wanita itu berada di ruang dapur. Membuat apa yang patut.
“Riya
mintak diri dulu ya mak cik,” ucap Riya sambil menghulur tangan.
“Eh,
cepatnya nak balik? Kalau iya pun tunggulah kejap lagi,” balas Puan Ainun.
Namun huluran wanita itu tetap disambut mesra.
“Tak
bolehlah mak cik. Dah lama Riya kat sini. Karang marah pula suami Riya tu
nanti. Riya bagitahu dia nak datang kejap aje tadi. Tak sangka dah lama pulak
jadinya.”
Riya
menghulur tangan pada Wafi pula. Gadis itu menyambut segera.
“Terima
kasih kak kerana tolong Riya,” ucapnya.
“Tak
payahlah berterima kasih Riya. Dah jadi tanggungjawab akak membantu Riya
setakat yang terdaya,” sahut Wafi tersenyum sedikit. Riya juga begitu.
“Kalau
begitu Riya balik dulu ya. Kalau ada masa akak dan mak cik datanglah ke rumah
mak ya. Kalau nak ke rumah Riya pun tak apa. Bukannya jauh dari sini, hanya
sebelah perumahan ni aje,” ucapnya sambil berlalu ke pintu utama rumah.
Puan
Ainun mengiringinya hingga ke muka pintu. Sedangkan Wafi hanya melihat tingkah
mereka sebelum berlalu ke tingkat atas setelah bayangan Riya menghilang dari
situ. Manakala Puan Ainun kembali semula ke ruang dapur. Menyambung kerjanya
yang terhenti tadi.
“RAMAI
jugak orang yang datang ke gimnasium
kau ni ya,” ujar Ainul sambil mengelap peluh yang merenjis muka.
Hampir
separuh tubuhnya lencun dengan peluh setelah hampir dua jam memerah tenaga
melakukan kegiatan fizikal di pusat gimnasium milik Isma petang itu. Aktiviti
yang menjadi kegemaran dia, Isma dan Faris untuk dilakukan setiap kali
mempunyai masa terluang.
“Ini
kira okeylah kita datang pada hari biasa. Kalau kita datang pada hujung minggu
memang sesaklah jawabnya. Silap masa kita kena tunggu giliran untuk buat
apa-apa pun,” sambut Isma turut mengelap peluhnya.
“Untunglah
kau sebab ada gimnasium sendiri. Bila-bila masa aje kau boleh datang sini bila
kau dah bosan dengan kerja kat pejabat. Tak macam aku. Siang malam sibuk
membanting tulang kat pejabat tu aje sampai kadang-kadang aku rasa jemu benar
nak tengok semua tu lagi,” ujar Ainul membuang pandang ke sekeliling sejenak.
“Tak
jugak Ainul. Walaupun gimnasium ni milik aku tapi bukan selalu aku dapat datang
ke sini. Macam kau, aku pun sibuk jugak dengan kerja-kerja kat pejabat tu.
Jangan kata seminggu sekali, sebulan sekali nak ke sini pun payah. Ada saja
kerja yang perlu aku selesaikan kat pejabat tu,” balasnya.
Memandang
sekilas Faris yang sejak tadi lebih banyak mendiamkan diri. Seakan berkhayal
sendiri. Disiku perlahan lengan lelaki itu. Faris tergadah sedikit.
“Kau
kenapa Ris? Dari tadi aku tengok kau macam berangan aje. Awek mana pulak yang
kau angankan ni hah?” Belum sempat Isma bersuara, Ainul terlebih dulu melontar
soalan. Faris sudah tersengih kelat. Digaru-garu kepala tak gatalnya.
“Aku
rasalah wei, aku dah jatuh cinta.”
Kata-kata
selambanya menjadikan Ainul dan Isma serta-merta mengalih perhatian padanya.
Wajah tersipu-sipu lelaki itu ditatap lama.
“Really?
Siapa anak dara tu? Mana kau kenal? Cantik tak orangnya?” tanya Ainul terburu-buru.
Sedangkan Isma sudah tergelak-gelak kecil.
“Kau
ni Ainul, sabar-sabarlah sikit. Kalau iyapun tanyalah satu-satu. Gelojoh
betul,” tegurnya sementara Ainul hanya tersengih.
“Orang
mana woi?” tanya lelaki itu semula. Kali ini pendek saja soalannya.
Faris
tersenyum lebar.
“Dia
anak jiran sebelah rumah aku,” sahutnya.
“Lah...
anak jiran sebelah rumah rupanya. Kira senanglah kau nak usha dia selalu ya?”
usik Isma menyeringai nakal. Manakala Faris sudah memerah wajah. Malu.
“Apa
namanya?” soal Ainul pula. Terus menebak mata ke wajah lelaki itu.
“Lailatul
Wafi,” jawab Faris sedikit segan.
“Lailatul
Wafi? Huih, sedap namanya wei. Macam nama orang Arab aje. Kalau digandingkan
dengan nama kau, lagilah sedap jadinya. Lailatul Wafi dan Faris Firdaus. Hmm...
satu kombinasi nama yang cukup baik.” Kata-kata Ainul menambahkan lagi rasa
segan Faris. Namun dia mengeluh kecil selepas itu.
“Tapi
kau orang tak tahu. Susah sangatlah aku nak tackle si Wafi tu. Jangan
kata nak cakap, nak tengok muka aku pun dia tak nak. Jauh sekalilah nak senyum
kat aku. Macam mana aku nak mengurat dia kalau begitu perangainya.” Ada nada
terkilan dalam suaranya. Terkilan dengan sikap yang ditunjukkan gadis itu.
“Alah
kau ni, belum apa-apa dah give up. Cubalah dulu kalau iyapun. Kalau dia
tak nak bertegur dengan kau, mesti dia ada sebab dia buat macam tu.” Ainul
bersuara seakan memujuk. Membakar perangsang sebenarnya.
“Haah.
Mana tahu dia tu jenis perempuan yang pemalu tak biasa bercinta sebelum ni ke,
mana kau tahu kan? Mungkin sebab tulah dia jual mahal. Esok-esok bila dia dah
kenal kau, ramahlah dia.” Isma turut sama memberi kata semangat.
“Pasal
tu, ada jugak mak dia bagitahu aku. Kata mak dia, Wafi memang jarang bercakap
dengan lelaki. Sebab tu dia susah sikit nak berkenalan atau rapat dengan
mana-mana lelaki.” Faris mula termakan dengan kata-kata kedua-dua sahabatnya.
“Hah,
tulah sebabnya dia buat layan tak layan kau aje. Kalau aku di tempat kau, aku
usahakan jugak sampai dapat dia tapi dengan cara baiklah. Bukan main
paksa-paksa atau apa.” Ainul meningkah pantas.
“Aku
rasalah Ris, kau patut buat macam ni. Mula-mula kau rapat dengan family dia.
Ambil hati mak ayah dia, adik-beradik dia. Dalam masa yang sama kau masukkanlah
jarum. Aku gerenti, tak lama manalah dia nak jual mahal pun. Esok-esok tu
terbuka jugak hati dia untuk kau bila dia tengok kau bersungguh-sungguh nakkan
dia.” Ainul menyambung kata. Siap memberi cadangan lagi.
“Pasal
tu, tak ada masalah pada aku sebab aku memang rapat dengan mak ayah dia pun.
Kena pulak mak ayah dia tu jenis orang tua peramah, lagilah mudah kerja aku
dibuatnya. Kau orang tahu, dia makin rapat dengan adik perempuan aku sekarang
ni. Selalu jugaklah dia orang keluar bersama. Dengan mak ayah aku pun ada dia
bersembang sepatah dua. Cuma dengan aku aje yang dia buat tak tahu. Lagaknya
macam aku ni tak pernah wujud depan dia aje.” Faris merungut seraya meluah rasa
terkilannya buat kali kedua. Namun kata-katanya berjaya membulatkan mata Ainul.
Pantas saja lelaki itu menyambut.
“Hah,
itu tandanya kau ada harapan nak tackle dia. Lagi senang dibuatnya kalau
dia dah rapat dengan family kau. Kalau macam tu keadaannya, kau ajelah
yang kena main peranannya sekarang tapi jangan sampai over pulak. Karang
jangan kata suka, lagi dia meluat kat kau adalah.”
Ainul
memusing muka pada Isma pula. Lelaki itu hanya berdiam diri sejak beberapa
lama. Seakan berfikir sesuatu.
“Hei
Is, kau kenapa? Diam pulak tiba-tiba. Kau teringat siapa pulak ni?” soal Ainul
sempat menyiku lengan lelaki itu.
Isma
tersentak kecil seraya menggeleng sedikit. Nafasnya dibuang perlahan.
“Kau
orang tahu, masa aku balik kampung hari tu, aku ternampak seseorang kat tempat
arwah isteri aku suka melepak dulu. Aku terkejut sangat bila tengok muka
perempuan tu mirip benar dengan muka arwah isteri aku.
Bukan
mirip lagi dah, memang dia agaknya. Ya ALLAH... rasa macam nak tercabut jantung
aje aku rasa waktu tu. Aku nak sapa tapi bila aku pergi aje kat tempat dia
berdiri tu, terus dia tak ada.” Ceritanya bersungguh-sungguh.
“Kau
ni biar betul Is. Takkanlah arwah isteri kau si Kamilia tu hidup balik? Dah
bertahun-tahun dia pergi tinggalkan kita. Manalah orang yang dah mati boleh
hidup semula Isma Zulkarnain oii.”
Ternyata
cerita Isma mengejutkan kedua-dua sahabatnya.
Faris
yang bersuara tadi memandangnya dengan riak tak percaya. Ainul juga begitu.
“Ya
ALLAH, betul aku cakap Ris. Depan mata aku dia berdiri kat tebing sungai tempat
isteri aku suka duduk dulu. Aku nak jerit panggil dia tapi tak tahu kenapa
suara aku tak ada langsung waktu tu. Berat benar rasanya mulut aku. Macam ada
ketul batu kat dalamnya.” Isma cuba meyakinkan sahabat-sahabatnya.
“Aku
rasalah Is, mungkin itu hanya bayangan kau saja. Yalah, kau kan rindu sangat
pada arwah Kamilia. Sebab tulah kau boleh ternampak bayang dia kat situ. Kena
pulak tempat yang kau pergi tu tempat kegemaran dia. Rembang petang pulak tu.
Lagilah.” Seperti Faris, Ainul juga tidak dapat mempercayai kata-kata lelaki
itu.
“Betul
tu Is. Mungkin kau terlalu rindukan arwah Kamilia sebab tulah kau ternampak
bayang dia masa kau kat sungai tu. Aku rasa semua tu hanya khayalan kau aje,”
sampuk Faris lembut. Tidak mahu menyinggung perasaan sahabat yang telah lama
dikenali itu. Wajah buntu Isma dipandang lama.
“Aku
pun sebenarnya fikir perkara sama. Tapi lepas tu aku yakin sangat yang aku tak
bermimpi sebab aku jumpa kesan tapak kaki perempuan kat situ. Kesan tu masih
elok lagi. Macam baru wujud kat situ,” balas Isma cepat.
“Boleh
jadi kesan tapak kaki tu kepunyaan orang lain yang datang ke situ dan kau pulak
terbayang wajah isteri kau kat wajah orang tu. Sebab tulah kau terfikir orang
yang datang ke sungai tu adalah arwah isteri kau,” sangkal Ainul segera.
Isma
terdiam seketika. Cuba mencerna kebenaran sanggahan kedua-dua sahabatnya.
“Aku
fikirlah Is, baik kau lupakan saja apa yang kau ternampak hari tu. Semua tu
hanya khayalan kau saja. Mustahil Kamilia hidup semula. Dah bertahun-tahun
arwah isteri kau tu meninggal dunia. Jasad dia pun dah lama tersimpan di
kawasan perkuburan kat kampung tu. Mana mungkin dia boleh wujud lagi Is walhal
dia telah lama berada di alam bazakh sana,” nasihat Faris pula.
Isma
perlahan-lahan mengangguk. Cuba menerima kata-kata mereka biarpun hatinya masih
kuat mengatakan pandangannya tidak silap hari itu.
Dia
pasti memang Kamilia yang dilihatnya waktu itu. Dia begitu pasti! Bagaimanapun
rasa itu hanya disimpan dalam hati. Tidak lagi diluah keluar memandangkan dia
yakin. Ainul dan Faris pasti tidak dapat menerimanya.
Lalu
dia kembali membuka mulut. Melencong isi bicara mereka berkenaan perkara lain.
Sekali gus merancakkan semula perbualan ketiga-tiga lelaki itu sebagaimana
biasa.
HARI
telah petang. Matahari telah lama
membenam di kaki langit. Memberi petanda tugasnya hari itu bakal berakhir tidak
lama lagi. Memberi izin pada sang malam untuk mengambil giliran sebelum muncul
semula buat keesokannya. Pusingan hidup yang terus-terusan berlaku hingga
kiamat selagi diizinkan-NYA.
Ainul
memperlahankan gerakan keretanya tatkala terpandang lampu isyarat bertukar
merah di depan. Sambil menunggu lampu bertukar warna, dia membuang pandang ke
sekeliling. Tidak banyak kenderaan yang melalui jalan besar itu ketika ini.
Menjadikan
suasana jalan kelihatan lengang dan sedikit sepi memandangkan waktu pejabat
telah lama berlalu. Kedengaran pula Azan Maghrib berkumandang dari masjid
terdekat. Menandakan waktu untuk menunaikan perintah DIA yang Satu kembali
semula buat kesekian kali. Sekali gus menenangkan hati Ainul yang kehabisan
tenaga setelah seharian menghabiskan masa di pejabat.
Gerak
mata Ainul terhenti di satu arah tatkala matanya terpandang sepasang suami isteri
di pinggir jalan. Sambil menanti kedatangan bas, kedua-duanya berbual mesra.
Dua pasang mata milik mereka turut diliarkan. Memerhati gelagat kedua-dua anak
kecil yang saling bergurau senda di sisi mereka.
Sesekali
kedengaran si ibu meninggi suara bila anak lelakinya terus-terusan mengusik si
adik. Mencetuskan tangisan anak perempuan comel itu. Tanpa banyak bicara, si
ayah terus mendapatkannya. Mendukung dan memujuk sebelum tidak lama kemudian
anak kecil itu kembali tertawa girang. Lupa pada kesedihannya dan kembali
bergurau senda dengan si abang yang masih tidak jemu mengusik adik kesayangan.
Ainul
tersenyum panjang. Hatinya sedikit tercuit tatkala melihat tingkah empat
beranak itu. Tidak semena-mena dia teringat pada impiannya suatu ketika dulu.
Impian yang dianyam bersama wanita pertama yang bertakhta di hatinya. Alia.
Kedua-dua mereka pernah membina impian sama. Ingin mempunyai sepasang anak
lelaki dan perempuan yang comel dan keletah.
Malah
jika diizinkan, mereka ingin lebih dari itu. Biar menjadi seramai mungkin agar
rumah tangga yang dibina atas dasar cinta itu meriah dan ceria dengan kehadiran
permata hati tanda cinta mereka. Saling bantu-membantu dalam membesar dan
mendidik semuanya agar menjadi manusia yang berguna baik di dunia mahupun akhirat.
Sayang, semuanya hanya tinggal impian apabila mereka berpisah. Masing-masing
hidup di jalan pilihan sendiri kini.
Sekali
gus menimbulkan semula rasa geram dan kecewa di hati Ainul sebaik teringatkan
semua itu. Serta-merta dia merengus marah. Kurang senang dengan apa yang sedang
difikir akalnya ketika ini. Lalu dengan kadar segera dia menghilangkan bayangan
Alia dari terus bertapak di mindanya.
Laju
saja tangannya menukar kedudukan gear tatkala lampu isyarat telah
bertukar warna. Dia terus menekan minyak seraya memecut pergi. Meninggalkan
segala kenangan yang turut hilang dalam perjalanan pulangnya.
No comments:
Post a Comment