BAB 12
“Aku dengar, kau hampir kena
ragut beberapa hari lepas. Betul ke?” Datin Salbiah memandang Puan Fazlina yang
mengangguk-angguk.
“Tapi nasib baiklah ada orang
yang menolong. Kalau tak, tak tahulah apa yang akan jadi pada aku masa tu,”
keluhnya lagi.
“Syukurlah kau selamat. Risau
juga aku mendengarnya bila Nasir beritahu aku semalam,” ujar Datin Salbiah.
Tangan Datin Salbiah sibuk
mengubah bunga sejambak bunga yang berada di meja depannya.
“Baik betul budak tu. Sampai
sekarang aku tak dapat lupakannya,” Puan Fazlina bersuara perlahan namun jelas
di telinga Datin Salbiah.
“Budak mana yang kau tak boleh
lupakan tu Lina?” soalnya.
Puan Fazlina tersentak. Tidak
menyangka kata-katanya itu dapat ditangkap sahabat baiknya. Dia tersenyum
kecil.
“Budak yang bantu mendapatkan
semula beg aku tu lah Biah. Baik sungguh dia. Untung mak ayah dia dapat anak sebaiknya,”
ujar Puan Fazlina lagi.
“Lain macam saja aku dengar
kata-kata kau tu. Kau ada apa-apa ke dengan budak tu ke?” soal Datin Salbiah
sekadar mengusik.
“Isy, kau ni ada ke situ pula
fikirnya,”
Kata-kata Puan Fazlina disambut
dengan tawa kecil Datin Salbiah.
“Aku bukannya apa Biah, aku terkilan sebab tak sempat menanyakan nama
budak tu. Sekurang-kurangnya, suatu hari nanti bolehlah aku membalas balik
budinya tu.”
“Lina, orang yang menolong kita
dengan ikhlas takkan mengharapkan balasan.”
“Itu aku tahulah Biah, tapi
orang dah berbudi, takkan kita tak berbahasa pulak,”
“Yang kau asyik ingatkan budak
tu kenapa? Kau berkenan nak buat menantu ke?” usik Datin Salbiah lagi.
“Huh, macam mana nak buat
menantu kalau jantina budak tu pun aku tak tahu. Lagi pun, kalau budak tu
lelaki, pada siapa aku nak bagi? Anak perempuan tunggal aku si Adilla tu pun
dah lama kahwin. Dah tiga orang pun anaknya,” tingkah Puan Fazlina.
Datin Salbiah yang mendengar
tersenyum kecil.
“Manalah tahu, kalau tak boleh
jadi menantu, buat anak angkat pun apa salahnya. Ya tak?” guraunya.
Puan Fazlina tersenyum lebar.
“Betul juga kata kau tu. Apa
salahnya kalau jadi anak angkat aku pun. Tapi, mahu ke budak tu jadi anak
angkat aku?” Puan Fazlina berfikir seketika.
“Tak payahlah kau nak fikir
tentang budak tu Lina oii. Entah betul ke orang yang tolong kau tu budak kita
pun tak tahu. Dibuatnya orang tu bapa orang, takkan kau nak buat juga dia jadi
anak angkat kau,” ujar Datin Salbiah bergurau lagi.
Puan Fazlina mendengus halus.
“Hisy kau ni, betullah kata
aku. Memang budak muda yang tolong aku. Dengar suaranya pun aku dah tahu.
Takkanlah bapa orang pula,” tingkahnya. “Lagi pun, kalau di lihat pada bentuk
badannya tu pun, memang nampak benar yang dia tu muda lagi,” sambungnya lagi.
“Kau ni Lina, tak sangka aku.
Tengok anak orang macam tu sekali,” ucap Datin Salbiah tersenyum lebar.
“Ala, dah kebetulan dia berdiri
depan aku, aku tengok ajelah. Hah, sebut tentang anak, bila lagi kau nak
perkenalkan anak perempuan kau tu pada aku?” Puan Fazlina menyoal tiba-tiba.
Kali terakhir dia melihat Nina
hanyalah ketika gadis itu berusia tiga belas tahun dan dia tidak pernah lagi
melihatnya selepas itu.
Dan kini walaupun telah hampir
beberapa tahun Nina pulang dari luar negara namun dia tidak berkesempatan
bertemu dengannya. Senyuman yang menghiasi bibir Datin Salbiah hilang tatkala mendengar
pertanyaan itu.
“Huh, Nina? Tak payahlah kau
kenal dengan budak tu. Buat sakit mata saja kau pandang. Dahlah perangai tak
macam perempuan, kerja pun kerja orang jantan. Sakit hati aku dibuatnya,” Datin
Salbiah bersuara sedikit marah.
“Jangan cakap macam tu Biah.
Buruk-buruk mana pun perangai dia, dia tetap anak kau. Mungkin dia jadi begitu
sebab dia seorang anak perempuan, Yang lainnya lelaki. Dahlah tu, dari dulu dia
duduk kat asrama saja, mana tak perangainya macam lelaki,” ujar Puan Fazlina
memujuk lembut.
“Adilla tu pun anak tunggal
perempuan kau juga tapi tak ada pun bersikap macam jantan,” tingkah Datin
Salbiah.
“Adilla tu lain sebab aku dan
Adnan tak pernah hantar dia ke sekolah asrama. Dia membesar depan kami aje.
Masa dia sambung belajar kat Queensland dulu tu pun, kami bagi sebab dia dah
kahwin dengan Haikal. Kalau tak, jangan haraplah,” tingkah Puan Fazlina lagi.
Datin Salbiah mengeluh
perlahan.
“Entahlah Biah. Aku pun tak
tahu nak buat apa lagi. Dah berbuih mulut aku suruh dia tukar perangainya tu,
tak jadi juga. Dalam hal ni, aku salahkan Nasir. Dia yang terlalu manjakan anak
kesayangannya tu. Apa yang si Nina nak, semua dia bagi. Hinggakan lepas dia
balik dari Ireland dia beritahu yang dia nak buka bengkel kereta pun Nasir
setuju aje. Tak tahulah aku Lina,” keluhnya lagi.
“Sabarlah Biah. Doa-doalah
selalu pada Allah supaya anak kau tu akan berubah sikapnya suatu hari nanti,” ujar
Puan Fazlina seakan memujuk. Dikerling jam di tangannya sekilas.
“Eh, dah lama benar aku kat
kedai kau ni. Nanti Adnan marahkan aku pula. Aku balik dululah ya Biah,”
“Hai, takkan dah nak balik kot
Lina? Kalau iya pun, tunggulah kejap lagi,”
“Rasanya tak boleh Biah, aku
janji dengan Adnan tadi nak jumpa kau sekejap saja. Ni dah dekat dua jam aku
kat kedai bunga kau ni. Kau tahu sajalah Adnan tu, pantang aku lewat balik
rumah, jenuh aku nak menahan telinga mendengar leterannya tu,” ujar Puan
Fazlina sambil bingkas bangun.
Datin Salbiah hanya memandang
tingkah wanita itu.
“Aku minta diri dululah ya
Biah, ada masa datanglah ke rumah,” pelawanya.
“Insya Allah Lina. Hati-hati
bawa kereta tu,”
“Yalah,”
Datin Salbiah mengeluh perlahan.
Jari-jemarinya yang lincah mengubah jambangan bunga sedari tadi terhenti
sejenak. Perbualannya dengan Puan Fazlina sebentar tadi membuatkan fikirannya
melayang mengingati Nina.
Walau pun Nina jarang mendengar
kata namun Datin Salbiah sedar, anak perempuannya itu tak seburuk yang
difikirnya. Nina tetap terdidik dengan didikan yang baik dan tak kurang dalam
berilmu agama.
Anak itu masih mendengar
katanya dalam sesetengah perkara. Namun penampilan dan sikap kasar Nina
benar-benar menyakitkan hatinya. Sebagai seorang ibu, dia ingin melihat Nina
berubah. Berubah menjadi seorang wanita dalam erti kata sebenarnya.
Lamunan Datin Salbiah terhenti
tatkala pintu kedai bunganya di tolak dari arah luar. Dia segera bangun.
Mendapatkan pelanggan yang baru melangkah masuk. Untuk seketika bayangan Nina
terbang meninggalkannya.
No comments:
Post a Comment