Monday, August 05, 2013

SETIAKU DI SINI : BAB 16


BAB  16

“Tolonglah Az, tolonglah faham dengan keadaan saya sekarang. Cuma ini yang saya minta. Takkan awak tak boleh nak tunaikan. Please Az,” rayu Nisa sepenuh hati.
Wajah tunangnya yang kelihatan tegang dipandang sayu. Sedih kerana permintaannya tidak dipedulikan.
Azfar mendengus kasar. Pandangan buah hatinya dibalas dengan renungan tajam. Menebak dalam-dalam bola mata gadis itu. Memperlihatkan rasa kurang senang dengan permintaan yang mustahil baginya untuk dilakukannya itu. 
“Apa masalahnya Nisa kalau awak duduk rumah selepas kita kahwin pun? Awak tak perlu bersusah payah nak mencari duit. Saya boleh bagi segala-galanya pada awak. Percuma tanpa sebarang bayaran. Jangan katakan makan minum, awak nak ke planet mana pun saya mampu nak tanggunglah,” balas Azfar geram.
Bukan ingin menunjuk kekayaan yang dimiliki namun geram dengan tingkah gadis kesayangan yang ternyata tidak mahu mendengar kata.
Nisa merengus lembut. Gundah hatinya mendengarkan kata-kata lelaki itu.
“Saya tak mahu apa–apa dari awak Az. Saya tak perlukan kekayaan awak untuk membahagiakan saya. Cuma ini yang saya minta. Nak bekerja selepas kita berkahwin. Lagi pun apalah sangat yang boleh saya lakukan di rumah banglo awak tu nanti. Semua kerja dalam rumah tu dah ada orang yang membuatnya. Saya cuma cuci kaki saja masuk ke situ,” Nisa masih berusaha memujuk.
“Sebab itulah saya nak awak duduk saja kat rumah tu. Buat apa saja yang awak suka kat dalam tu. Kalau tak buat apa–apa pun tak apa. Tak ada siapa yang nak marahkan awak,” sanggah Azfar cepat.
“Az, awak sendiri pun tahukan. Duduk bergoyang kaki bukanlah sikap saya. Bosan saya dibuatnya nanti. Sekurang-kurangnya masa saya terbuang pada perkara-perkara yang berfaedah kalau saya bekerja. Bukan duit yang saya harapkan. Jauh sekali  kekayaan tapi saya sekadar ingin mencapai impian saya Az. Impian saya untuk bergelar seorang pereka yang berjaya menghasilkan pelbagai rekaan yang unik dan lain dari yang lain.
Saya tak kisah andai nama saya tidak gah dan terkenal seperti awak Az. Saya tak peduli dengan semua itu. Yang penting, saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Itu telah cukup membanggakan diri saya sendiri Az. Itu saja,” rayunya lagi. Mengharapkan pengertian dari lelaki itu.
Azfar melepas nafas. Matanya menjalar ke wajah pujaan hatinya. Ada kesungguhan yang mencalari wajah manis itu. Kesungguhan yang begitu mengharapkan jawapan positif darinya. Sekaligus membuatkan Azfar kembali membuka mulut.
“Saya mengerti dengan cita-cita awak tu Nisa. Saya cukup mengerti tapi terus terang saya katakan, saya tak mahu menanggung sebarang risiko untuk membenarkan awak bekerja lagi selepas kita berkahwin nanti. Saya tak mahu menerima sebarang masalah yang kita sendiri tak jangkakan kejadiannya di masa depan semata-mata untuk mencapai impian awak tu. Saya takkan dapat melakukannya Nisa. Dan saya tetap dengan keputusan saya. Muktamad,” ucap Azfar begitu tegas.
Tajam matanya menyorot wajah yang serta merta disimbah rasa kecewa yang mendalam sebaik saja mendengar kata-katanya.  
Nisa menarik nafas panjang. Sudah habis ikhtiarnya memujuk lelaki itu yang ternyata begitu pejal hatinya. Tidak tercalar barang sedikit walau diasak pelbagai kata.
Nisa terus menarik nafasnya. Lebih panjang. Beberapa kali dia berbuat begitu. Mencari kekuatan untuk terus bersuara. Wajah yang tertunduk lemah kembali diangkat. Menatap Azfar yang duduk berpeluk tubuh di depannya.
“Az, kalau inilah saja keputusan yang mampu awak lakukan, saya rasa lebih baik jika kita batalkan saja perkahwinan kita,” ujar Nisa setenang mungkin.
Cuba menyembunyikan riak mukanya yang jelas menampakkan rasa kecewa. Menyentak pandangan Azfar yang sedari tadi ralit merenung wajah gadis impiannya. 
What?” soal Azfar terkejut. Memandang tepat wajah Nisa yang menghembus nafas perlahan.
“Untuk apa lagi kita bersama Az kalau kita tak pernah serasi bersama. Sejak dari dulu lagi Az, saya cuba untuk mengikut rentak awak tapi sekarang saya sedar, saya tak mampu mengejarnya lagi. Awak tak pernah memahami saya. Mungkin saya juga begitu. Dunia kita terlalu berbeza Az. Hidup awak penuh dengan segalanya. Kemewahan, kemahsyuran. Tak seperti hidup saya, jauh dari semua tu. Tapi saya bahagia dengan dunia saya sendiri.”
Di alih pandangan matanya ke sekeliling taman itu. Matanya jatuh pada sekumpulan kanak-kanak yang girang bermain tidak jauh dari tempat mereka berada kini.
“Alangkah seronoknya jika aku berada di dunia mereka. Tiada apa yang perlu difikirkan. Sentiasa riang tanpa sebarang masalah.” Hatinya berbisik sendiri. Rasa sayu kembali menerpa.
Azfar menarik nafas panjang. Rasa ingin tercabut tangkai hatinya mendengar kata-kata yang terluah dari mulut gadis itu. Namun dia cuba mengawal perasaannya agar kembali bertenang.
Come onlah Nisa. Takkan hanya kerana hal ini awak nak putuskan hubungan kita begitu saja. Bukan sehari dua kita bertunang Nisa. Dah lima tahun. Sebelum bertunang pun kita dah lama kenal,” giliran Azfar memujuk bila dilihat Nisa benar–benar serius dengan kata-katanya.
Tak mampu dia membayangkan setiap detik yang dilalui dalam hidupnya tanpa kehadiran gadis itu. Gadis yang telah lama menjajah hati lelakinya. Nauzubillah! Minta jauhlah dari semua itu berlaku, hatinya berdoa.
“Kerana itulah saya nak kita putuskan saja hubungan ini Az. Dah berpuluh tahun kita saling mengenali tapi itulah, sekadar kenal sajalah. Awak tak dapat memahami saya dan saya pun tak dapat memahami awak Az. Dan saya rasa sampai bila-bila pun kita takkan dapat memahami antara satu sama lain,” ujar Nisa lirih seraya bangun dari duduknya.
Beg tangan yang sedari tadi berada di ribaan di sangkut ke bahu. Sekaligus turut membangunkan tubuh Azfar yang ternyata terkejut dengan tindakannya yang tiba-tiba itu.
“Cukuplah setakat ini saja hubungan kita Az. Saya dah tak mampu nak meredahnya lagi,” suaranya lagi ingin berlalu namun dihalang Azfar yang kini telah berdiri di depannya. Mendepakan kedua belah tangannya.
Look Nisa, kita bincang dulu tentang hal ni okey. Masih ada jalannya untuk kita selesaikan masalah ini.” Azfar bersuara selembut mungkin. Cuba memujuk. Menarik tangan Nisa yang menolak lembut.
“Berapa lama lagi kita nak berbincang Az sedangkan majlis perkahwinan kita semakin hampir. Berapa lama lagi masa yang saya perlukan untuk melembutkan hati awak Az? Berapa lama lagi?” tanya Nisa mula meninggikan suara semula.
Air mata yang ditahan sedari tadi menitis jua. Namun dia tidak mengendahkannya. Hatinya terlalu luka untuk menerima sebarang kata-kata lelaki itu lagi.
“Nisa please, jangan buat saya begini. Saya terlalu sayangkan awak Nisa. Kerana itu saya lakukan semua ini. Semuanya demi awak. Please Nisa, kita bincang sekali lagi tentang perkara ni ya sayang,” rayu Azfar sepenuh hati.
Disebak rambut kasarnya beberapa kali sementara sebelah tangan lagi merentang laluan Nisa. Tidak mengizinkan gadis itu dari pergi meninggalkannya. Fikirannya kusut serta merta. Terserlah di riak wajah yang telah berubah sepenuhnya. Resah dan gundah mengambil tempat. Resah dengan keadaan itu. Gundah andai sang gadis benar-benar serius dengan tindakan yang tidak pernah dijangkakannya itu.
“Tak ada apa yang perlu kita bincangkan lagi Az. Tak ada apa,” balas Nisa sedikit tegas.
Meninggalkan Azfar yang tidak keruan melihat tingkahnya yang tergesa-gesa berlalu dari situ. Membawa bersama airmata yang semakin berhamburan keluar bersama hati yang telah lama terguris luka.
“Nisa!” tanpa mempedulikan pandangan sekeliling Azfar menjerit sekuat hati. Bengang dengan keadaan itu. Keliru dengan apa yang terjadi.
“Nisa!!!”

Azfar menarik nafas panjang. Sehingga kini dia masih tidak dapat melupakan semua itu. Tiga minggu sebelum mereka perkahwinan mereka berlangsung, hanya itulah kali terakhir dia bertemu Nisa. Beberapa hari kemudian dia dikhabarkan dengan kehilangan gadis itu yang lari meninggalkan rumah setelah berlaku pertengkaran di antara Nisa dengan kedua orang tuanya.
“Nisa,” keluh Azfar perlahan.
Betapa dia terlalu menyayangi gadis pendiam namun murah dengan senyuman itu. Telah ramai gadis yang dikenalinya namun hanya Nisa yang melekat di hatinya hingga kini. Sikap Nisa yang lemah lembut, sopan santun dan mudah tersenyum itu benar–benar menambat hati lelakinya. Dan kesederhanaan Nisa dalam semua perkara membuatkan dia tidak pernah terfikir untuk mencari lain walau ramai gadis dan wanita yang datang menyerah diri.
Dan ada sesuatu yang menarik perhatiannya untuk menjadikan gadis itu sebagai suri hidupnya selama ini. Sesuatu yang jarang terdapat dalam diri gadis lain di zaman ini. Nisa tidak pernah mengambil kesempatan atas kekayaan dan kedudukannya sebagai seorang ahli perniagaan muda yang berjaya untuk menawan hatinya. Jauh sekali menggunakan kecantikan rupa paras dan kehalusan budi bahasa dalam menjerat sekeping hati milik Azfar.
Nisa tidak pernah memilih tempat untuk dia dan Azfar menjamu selera walau di gerai di tepi jalan asalkan kebersihannya terjamin. Nisa tidak pernah merungut malah gemar menaiki kenderaan awam mahupun berjalan kaki jika ingin ke mana-mana meski tempat yang dituju agak jauh. Menjadi kebiasaannya berbuat begitu biarpun Nisa mempunyai kenderaan sendiri.
Nisa tak pernah lokek menghulur tenaga pada sesiapa saja terutamanya pada warga tua. Gadis itu sanggup menghabiskan masa lapangnya melakukan kerja-kerja sukarelawan di rumah-rumah orang tua tanpa sebarang bayaran. Segalanya dilakukan dengan kerelaan hati tanpa mengharapkan balasan jauh sekali untuk dikenang. Sememangnya Nisa adalah seorang gadis yang lain dari yang lain. Jauh berbeza dari mana-mana gadis yang dikenali Azfar.
Jika kekayaan dan ketampanan seorang lelaki yang menjadi impian setiap gadis dalam mencari seorang suami, Nisa tidak sebegitu. Malah kekayaan dan kejayaan yang dimiliki Azfar membuatkan hubungan mereka tidak berjalan sebagaimana hubungan pasangan kekasih lain.
Pertemuan antara mereka hanya berlaku di tempat-tempat jarang menarik perhatian para wartawan. Itu pun jarang-jarang terjadi. Nisa tidak selesa berdampingan dengan seorang lelaki yang bergaya dan berjaya sepertinya. Kerana itu pertunangan mereka tidak dikhabarkan pada sesiapa demi menjaga hati Nisa.
“Kenapa aku yang harus mengikut katamu Nisa sedangkan kau sendiri tidak pernah ingin berada di sampingku?” Azfar mengeluh lagi.
Rindunya pada gadis itu bukan sedikit. Gambar–gambar kenangan mereka menjadi tempat untuknya menebar rindu setiap kali bayangan gadis itu melintasi fikirannya.
Azfar akhirnya terus hanyut dalam kenangannya bersama Nisa petang itu.

“Assalammualaikum, main apa tu? Boleh akak join sekali?”
Teguran seseorang membuatkan Fadlan dan Fakhira yang saling berkejaran di halaman rumah terhenti langkah seketika. Memandang lama ke arah pintu pagar rumah yang telah dibuka dari arah luar.
Bulat mata mereka memandang seorang gadis yang selamba melangkah masuk ke laman rumah. Pintu pagar yang terbuka luas tanpa sebarang kunci memudahkan laluan gadis bertubuh kecil itu. Ada senyuman lebar yang menghiasi bibirnya.
“Waalaikumussalam. Kakak ni cari siapa?” soal Fakhira takut–takut.
Bimbang kiranya gadis yang tidak dikenali itu berniat jahat pada mereka kedua beradik. Tubuh Fadlan yang masih termengah kepenatan akibat berlarian sebentar tadi dipeluk erat.
“Kakak tak cari sesiapa. Cuma nak berkenalan saja dengan adik berdua,” balas Dhia tersenyum panjang.
Dilabuh punggungnya di bangku batu di laman rumah tanpa mengendahkan Fadlan dan Fakhira yang kaget dengan kelakuan selambanya. Matanya melirik ke seluruh ruang laman yang kelihatan bersih dan cantik.
“Mak kata jangan berkenalan dengan orang yang kita tak kenal,” sahut Fadlan cepat.
Dia memandang sejenak Fakhira yang mengangguk laju. Mengiyakan kata-kata itu.
“Hmm, betul kata mak adik tu. Anyway, nama akak Dhia. Akak tinggal kat rumah depan tu. Nama adik?” soal Dhia ramah.
Matanya melorot ke kedua wajah yang seiras bentuk wajah dan rupa itu.
“Rumah depan? Tapi rumah tu kepunyaan Makcik Marini dengan Pakcik Mansur.” cepat saja Fadlan menyahut. Matanya masih menikam wajah Dhia yang duduk bersantai seraya mengoyang kedua-dua belah kakinya. 
“Makcik Marini dengan pakcik Mansur tu mak dan ayah saudara akak. Akak tinggal dengan dia orang,” balas Dhia masih mengorak senyuman lebar.
“Fakhira, Fadlan, kamu berbual dengan siapa tu?” suara Puan Wardah kedengaran dari dalam rumah sebelum sempat keduanya membalas kata Dhia.
Tidak lama kemudian kelibat wanita itu muncul di muka pintu rumah.
Dhia segera bangun. Mendapatkan Puan Wardah yang sedikit tercengang dengan kehadiran orang yang tak dikenalinya. Ada tanda tanya yang terlukis di wajah lembut penuh keibuan itu. Dhia tersenyum seraya menghulur tangan. Bersalam.
“Apa khabar makcik? Saya Dhia, anak saudara Makcik Marini. Dah seminggu lebih tinggal di sini,” ramah Dhia bersuara. Memandang Puan Wardah yang segera mengangguk tersenyum.
“Oh, iya ke? Makcik baik-baik saja. Nama makcik Wardah. Panggil saja Makcik Wardah. Maaflah, tak perasan pula makcik yang anak saudara Puan Marini ada kat sini,” balasnya lembut.
Matanya menyorot ke wajah cerah berseri milik Dhia. Jelas tergambar kegirangan di wajah bujur sirih itu. Memberi ketenangan pada mata yang memandang.
“Saya ternampak budak–budak ni bermain tadi. Itulah saya datang nak berkenalan,” sambut Dhia sopan memandang kedua kembar yang kini berdiri tidak jauh darinya. Ada senyuman yang mulai terukir di wajah keduanya.
Puan Wardah mengangguk lagi. Mereka terus berbual di muka pintu rumah itu. 
Perbualan mereka terhenti tatkala sebuah kereta meluncur masuk ke laman rumah.
“Abang Han dah balik, Abang Han dah balik!” jerit Fakhira dan Fadlan ceria.
Mereka segera menerpa mendapatkan Farhan yang baru menapak keluar dari keretanya. Memeluk erat kedua adik sebelum menghulur sesuatu pada kembar itu.
“Farhan, ini Dhia, anak saudara makcik Marini. Dia baru seminggu tinggal kat sini,” ramah Puan Wardah bersuara sebaik saja Farhan melalui tempat mereka berbual.
Tanpa memandang wajah gadis itu Farhan hanya mengangguk sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Tidak peduli pada Dhia yang ternyata sedikit terkedu dengan tingkah bersahaja lelaki itu.
“Dhia jangan kecil hati ya. Farhan tu memang macam tu. Susah nak bertegur dengan orang yang tak dikenalinya. Esok–esok bila dah kenal, ramahlah dia berbual.” Puan Wardah bersuara sebaik saja Farhan berlalu ke tingkat atas.
Tidak mahu tetamu yang pertama kali bertandang ke rumah berkecil hati dengan sikap anak sulungnya.
“Tak apa makcik, saya faham. Lagi pun saya ni bukannya kisah sangat orangnya,” balas Dhia bersahaja.
Dia tersenyum kecil. Telinganya menangkap perbualan Puan Wardah yang seterusnya sementara otaknya ligat memikirkan sesuatu. Sesuatu yang dirasakannya mampu mengubah keadaan Farhan sekeluarga. Dhia tersenyum lagi.

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012