Monday, August 05, 2013

SETIAKU DI SINI : BAB 12


BAB  12

“Hah Dhia, tambah air teh dalam cawan kamu tu. Banyak lagi dalam teko ni. Makcik kamu buat lebih tadi,” pelawa Encik Mansur.
“Mi goreng tu pun masih ada lagi kat dapur tu. Jamahlah lagi Dhia,” sambungnya. Menyorong teko berisi air teh panas pada Dhia yang menolak sopan.
“Tak apalah pakcik, dah banyak sangat minum air teh tu. Nanti kembung pula perut saya ni macam perut katak. Saya juga yang susah nanti,” balas Dhia tersengih kecil.
“Iyalah tu Dhia. Ada saja alasan kamu tu kalau tak nak minum. Maklumlah, air tangan makcik ni memang tak sedap,” sampuk Puan Marini pura-pura merajuk.
Dia memandang Dhia yang segera menyeringai kecil. Mereka bertiga sedang menikmati hidangan petang di laman rumah ketika ini.
“Ala makcik ni, mulalah nak buat muka seposen tu. Tak payahlah nak merajuk makcik oii. Tak adanya saya nak termakan dengan rajuk makcik tu. Kalau betullah tak sedap masakan makcik tu, jangan katakan saya, pakcik pun dah lama lari makan kat kedai. Iya tak pakcik?” kata-kata Dhia meledakkan tawa kedua suami isteri itu yang tercuit hati dengan gurau selambanya. Dhia sendiri turut tergelak.
Tawa Dhia terhenti sebaik sahaja matanya terpandang kelibat Farhan yang baru melangkah keluar dari keretanya. Lelaki itu baru saja pulang dari kerja. Untuk seketika matanya terlekat pada tubuh Farhan yang melangkah masuk ke laman rumah keluarganya. Melabuhkan punggung di sebelah seorang wanita yang kelihatan telah lanjut usianya.
“Siapa lelaki tu makcik?” soal Dhia tanpa segan silu.
Lahir dan membesar di luar negara membuatkan rasa malu kurang melekat pada dirinya. Hanya perasaan ingin tahu yang mendakap segenap perasaannya saat ini. Namun itu tidak bermakna dirinya kurang dalam didikan agama dan adab sopan.
“Oh, itu Farhan. Anak sulung Encik Fatih dan Puan Wardah,” balas Puan Marini turut memanjangkan leher ke arah rumah yang ada di depannya.
Hanya seketika sebelum kembali memandang Dhia. Sedikit kaget dengan gelagat gadis itu yang kelihatan begitu berminat memerhati tingkah anak bujang jirannya. Ada tanda tanya yang tumbuh di hati wanitanya waktu ini.
“Siapa perempuan yang duduk sebelahnya tu?” soal Dhia ingin tahu. Matanya masih tidak lekang dari memerhati ke arah laman rumah yang kelihatan bersih dan cantik itu.
“Itu Puan Zaitun, nenek Farhan.” Encik Mansur mengambil giliran bersuara. Dia sendiri turut mengalih perhatian ke arah sama buat sejenak. Tangannya mencapai semula cawannya. Menyisip airnya sedikit.
“Dah lama ke dia orang tinggal kat sini?” pertanyaan Dhia masih berpusat pada persoalan yang sama.
“Lamalah jugak, dalam sepuluh tahun begitu,” balas Puan Marini. Masih memerhati Dhia yang mengangguk faham. Mata gadis itu masih melekap di situ.
“Farhan tu, memang begitu ke perangai dia?” Dhia masih mengutara soalan.
Sekaligus menimbulkan kerutan di dahi Puan Marini.
“Macam mana perangainya?” soal Puan Marini sedikit terpinga. Kurang mengerti dengan pertanyaan gadis itu. Rasa pelik bertandang serta-merta ke jiwanya.
“Yalah, tak pernah senyum, tak bercampur dengan jiran tetangga,” suara Dhia lagi.
Pinggan kosong di depannya di sorong ke tengah meja. Tekaknya tidak lagi bersedia menerima sebarang juadah. Sebaliknya dia lebih tertarik dengan pandangan yang ada di depan matanya kala ini.
“Tentang dia susah nak tersenyum tu, makcik akui memang itu perangainya dari mula makcik kenal dia lagi. Tapi bab dia tak bercampur gaul dengan jiran tetangga tu Dhia silap. Farhan tu rajin membantu orang sekeliling.
Kalau kenduri, dialah yang selalunya tiba dulu. Membantu apa yang patut. Cuma dia kurang ramah nak berbual dengan orang lain tambahan pula dengan orang yang tidak dikenalinya. Tapi selalunya dia lebih suka berdiam diri dari bercakap,” sahut Puan Marini lembut.
“Iya ke makcik? Tak nampak pun kerajinannya tu,” Dhia menjungkit sedikit bibir atasnya. Kurang percaya dengan kata–kata mak saudaranya.
“Macam mana nak nampak kalau kamu dengan dia pun tak pernah bertegur.” Encik Mansur menyelit kata seraya tersenyum lebar. Mengerling sekilas pada Dhia yang sedikit tersentak dengan kata–katanya.
“Yang kamu banyak tanya pasal si Farhan tu kenapa? Berminat nak berkenalan dengan dia ke Dhia?” tanya Puan Marini turut sama tersenyum lebar.
“Eh, kalau dia tak kisah, nak juga saya berkenalan. Bak kata orang tua-tua, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan,” jawabnya selamba. Memandang Puan Marini dan Encik Mansur yang tersenyum-senyum mendengar jawapannya.
“Hmm, elok jugalah kalau kamu berkenalan dengan budak Farhan tu. Dia pun baik orangnya. Untung-untung tersangkut hati, pakcik dan makcik juga yang beruntung. Dapat menantu orang sini juga,” sahut Encik Mansur memanjangkan senyuman.
“Haah bang. Taklah susah kita nak berulang alik tengok anak cucu nanti. Yalah, rumahnya pun di depan rumah kita je. Senang kata, kita seberang jalan je terus boleh jumpa,” Puan Marini mengiyakan kata suaminya.
“Isy, ke situ pula perginya pakcik dan makcik ni,” balas Dhia pantas.
Terasa ada haba panas yang menjalar di wajahnya. Cepat–cepat tangannya mencapai cawannya yang masih berisi air teh. Dihirupnya perlahan. Tidak mempedulikan pandangan Encik Mansur dan Puan Marini yang saling bertukar pandangan dan senyuman. Penuh makna.

“Hah Farhan, baru balik?” tegur Nek Zaitun sebaik saja terpandang cucunya menapak keluar dari kereta. Lelaki itu baru tiba dari pejabatnya.
Farhan yang baru saja mengunci kereta segera menoleh. Terpandangkan Nek Zaitun membuatkan kakinya mengatur langkah ke laman rumah. Mendapatkan neneknya yang duduk bersantai di buaian. Di labuh punggungnya. Bersebelahan wanita itu.
“Nek buat apa kat sini?” tanyanya lembut.
Farhan memandang sekilas wajah yang telah dipenuhi seribu kedutan itu. Ada senyuman yang menghiasi wajah yang telah lama dimamah waktu itu. Wanita tua itu tersenyum kecil.
“Buat apa, ambil angin petanglah. Awal pula kamu balik hari ni,” balas Nek Zaitun lembut.
Wajah pemuda itu di pandang sejenak. Adunan iras Encik Fatih dan arwah Fadzillah terserlah di wajah tenang itu.
“Tak banyak kerja kat pejabat hari ni nek,” balasnya perlahan.
Tubuhnya di sandar ke dada buaian. Memejam mata buat seketika. Cuba menghalau keletihan yang bermaharajalela dalam diri waktu ini.
“Farhan, kamu tak terfikir ke nak kahwin?”
Pertanyaan tiba–tiba nek Zaitun membuatkan matanya kembali terbuka luas. Pantas saja wajahnya dipaling mengadap wajah itu. Ada kerutan yang terlukis di dahinya.
“Kenapa tiba–tiba saja nenek tanya begitu?” serius dia menyoal.
“Aii, salah ke kalau nenek tanya pasal tu pun?” soal Nek Zaitun tanpa menjawab pertanyaan pemuda itu.
Farhan kembali mengunci mulut. Dia menarik nafas pendek. Dipaling semula wajahnya. Memerhati halaman rumah yang kelihatan indah dengan hiasan tanaman pelbagai jenis pokok bunga hasil kerja tangan Puan Wardah.
Dalam hati Farhan memuji kepandaian Puan Wardah mereka bentuk landskap bagi laman rumah mereka. Kehijauan terserlah di segenap ruang laman. Menyejukkan mata yang memandang.
“Rasanya tak salah nenek tanya begitu pada kamu,” suara Nek Zaitun kembali menerjah peluput telinganya. Membuatkan mata Farhan kembali mengarah ke wajah tua itu buat sejenak. 
“Memang tak ada salahnya pertanyaan nenek tu tapi saya kan masih muda. Takkanlah nak kahwin pada usia sekarang,” balasnya sopan. Tubuhnya kembali ditegakkan.
Nek Zaitun mencebik bibir seraya mendengus halus.
“Muda kata kamu? Kamu tu dah lebih dari 30 tahun pun. Muda lagi ke? Patutnya umur macam kamu ni dah ada bukannya seorang dua anak tapi dah berderet pun,” jawab Nek Zaitun sedikit keras. Kurang senang dengan jawapan yang diterima dari cucu kesayangannya.
“Ala nek, kalau saya nak kahwin sekarang pun, bukannya saya ada calon,” Farhan mereka alasan. Cuba lari dari persoalan yang terlalu jarang bermain di benaknya.
“Siapa kata tak ada?” suara Nek Zaitun seraya tersenyum panjang. Penuh makna.
Mata tuanya menjeling sekilas wajah sang cucu sebelum memandang lurus ke hadapan. Seakan memberi isyarat agar mengikut pandangannya. 
Farhan yang mengerti dengan maksud tingkah wanita tua itu turut melepas pandangan. Ke arah yang sama. Matanya tertancap pada Mahfuzah yang ralit mengutip kain jemuran di laman rumahnya. Sopan dan penuh tertib tingkahnya. Menyenangkan mata sesiapa yang melihat.
Farhan menghela nafas lagi. Mengerti kini dengan maksud hati neneknya. Dia mendengus kecil seraya berdecit halus.
“Hisy nek ni, macam mana nak kahwin, diri sendiri pun tak tentu makan minumnya, inikan pula nak jaga anak orang,” mata Farhan kembali meliar ke laman rumah mereka. Tidak dipeduli pada pandangan geram Nek Zaitun terhadapnya.
Tak terfikir di benaknya untuk membina keluarga sendiri buat waktu ini. Selain dari kesibukannya menguruskan syarikatnya, ada perkara lain yang membantutkan benaknya dari memikirkan tentang perkara itu selama ini.
Nek Zaitun membesarkan mata. Ingin meluah marah yang mula bertamu namun hanya seketika. Marah yang ada dipendam ke lubuk hati. Sedar, kerasan batu perlu dilentur dengan air, bukannya api. Dia kembali meleretkan senyuman.
“Sebab tulah nenek nak Farhan kahwin. Sekurang–kurangnya ada orang yang boleh sediakan makan minum, pakai kamu tu.” lembut dia bersuara.
Mata wanita itu masih melekat pada Mahfuzah yang kini menghilang diri ke dalam rumahnya bersama helaian pakaian yang telah selesai dikutip. Memperlihatkan impian yang telah lama terukir di hati tuanya sejak kali pertama terpandangkan wajah itu.  
Farhan merengus lagi. Menjeling sekilas wajah Nek Zaitun yang masih memacu pandangan ke halaman rumah Mahfuzah.
“Tengoklah dulu nek, banyak lagi yang Han perlu fikirkan,” suaranya malas.
“Hah, itulah saja alasan kamu tu,” suara Nek Zaitun mula meninggi. Geram dengan tingkah Farhan yang seakan tidak mengendahkan permintaannya.
Farhan menghela nafas pendek sebelum bangun dari duduknya.
“Tak apalah nek, lain kali saja kita bercakap tentang hal ini. Saya masuk ke dalam dulu ya. Nak mandi. Nek pun jangan lama–lama sangat kat luar ni. Dah lewat petang ni. Kejap lagi dah nak masuk Maghrib.”
Sempat lagi dia berpesan sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Nek Zaitun mengepung rasa marahnya sendiri. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012