Monday, August 05, 2013

SETIAKU DI SINI : BAB 14


BAB  14

Bantal di kiri tubuh ditarik sebelum didakap kemas ke dada bidangnya. Puas bergolek ke kanan, dia mengubah posisi ke kiri. Berkali-kali dia berbuat begitu. Memaksa sepasang mata bundar miliknya terpejam rapat. Namun kelopak yang masih terbuka luas tetap tidak mendengar kata hati.
Sudah beberapa kali mulutnya terkumat kamit membaca surah Ayatul Kursi dan beberapa potong doa lain namun pancaindera itu masih degil. Ingkar dalam menurut suruhan akal dan hatinya.
Bosan berkeadaan begitu, Azfar bangun. Menyandar tubuh ke kepala katil. Dalam kesamaran cahaya lampu tidur yang terpasang, bingkai gambar yang terletak di meja lampu tidur di sentuh perlahan sebelum di bawa ke wajah. Direnung lama wajah yang tersenyum manis membalas renungannya. Tanpa sedar Azfar mengeluh panjang.
“Kenapa awak tinggalkan saya Nisa? Sampai hati awak buat saya begini. Tergamak awak malukan saya dan keluarga kita. Apa salah saya Nisa?” Azfar bersuara seolah-olah orang yang di ajak berbual berada di depannya.
Gambar itu direnung lagi. Fikirannya menjangkau perbualannya bersama gadis itu suatu masa dulu.
No Nisa. Saya tetap dengan keputusan saya. Saya takkan berganjak walau seinci pun. Tak perlulah awak nak pujuk rayu saya lagi,” suara Azfar tegas. Tidak peduli pada Nisa yang menghempas nafas marah.
“Azfar, awak ni kan, memang buta perut tahu tak. Susah ke awak nak tunaikan permintaan kecil saya tu?” suara Nisa sedikit tinggi.
Tidak lagi peduli pada pandangan orang di sekeliling. Mujurlah tidak ramai orang yang mengunjungi taman tema itu. Hati yang membara lebih utama baginya dari memikirkan keadaan sekeliling di waktu ini.
Azfar yang mendengar kata–kata itu segera menjegilkan mata.
What? Awak kata kecil? Hei Nisa, tanggungjawab seorang isteri adalah berada di suaminya, bukannya di luar atau di mana–mana. Saya tak mahu nanti orang kata saya tak pandai jaga isteri sampai entah apa-apa yang awak buat kat luar sana nanti saya pun tak tahu,” giliran Azfar meninggi suara. Memandang Nisa yang membalas tajam pandangannya.
Gadis itu membuang nafas pendek seraya bersuara,
“Astaghfirullah, apa yang awak merepek ni Az? Salah ke saya nak bekerja selepas kita berkahwin? Saya pun ada cita–cita dan impian saya sendiri. Saya juga nak berkerjaya dan berjaya seperti mana wanita–wanita lain,” balas Nisa masih dalam nada sama.
Matanya memancarkan cahaya garang. Memperlihatkan kemarahan yang telah lama mengulit hati wanitanya. Merenung Azfar yang menggeleng kepala sekali.
Dia mengangkat tangan kanannya. Seakan meminta bibir gadis itu berhenti dari terus memuntahkan kata. Memperlihatkan keengganannya untuk mendengar tutur seterusnya. Sekaligus mematikan lidah Nisa untuk kembali bersuara. Riak yang tertampal di wajah lelaki itu telah jelas memaparkan rasa hatinya selama ini.
Buat seketika kesunyian kembali menyalut suasana antara keduanya.
Nisa mengigit lama bibir bawahnya. Sakit hatinya kini bukan kepalang. Dilempar sejenak pandangan ke arah lain sebelum kembali dipaling. Mengadap Azfar. Lelaki itu masih seperti tadi. Memeluk tubuh tegapnya seraya menyandar tubuh ke kerusi.  Ada amarah yang menguasainya. Matanya menentang pandangan tajam Azfar.
“Az, sepanjang kita bersama, pernah tak sekali awak fikirkan tentang diri dan perasaan saya? Pernah tak awak terfikir yang saya juga ada impian saya sendiri? Pernah tak Az? Awak terlalu pentingkan diri awak sendiri Az. Terlalu.” suaranya begitu mendatar.
Tiada intonasi marah yang mencelah. Hanya kesayuan yang membungkus nada suara perlahan itu.
Azfar menghela nafas panjang semula.  Merenung wajah itu dengan pandangan yang penuh dengan rasa cinta.
“Saya buat semua ni untuk kita Nisa, bukan untuk orang lain. Kalau benar pun saya pentingkan diri, kepentingan itu saya buat untuk kebaikan kita berdua.” Azfar turut kembali merendahkan nada suara.
Mencairkan kemarahan yang telah lama bertapak di jiwa. Dia sendiri hakikatnya tidak berminat untuk bercakaran kata dengan gadis itu. Bukan sikapnya gemar meninggi suara pada sesiapa. Jauh sekali pada orang yang tersayang. Namun kedegilan gadis itu memaksa dia melakukan perkara yang tidak disukainya yang ternyata berakhir dengan pertengkaran.
Nisa tersenyum tawar. Digeleng kepalanya perlahan.
“Itu kata awak tapi bukan pada saya. Bagi saya, awak hanya pentingkan diri sendiri. You’re selfish!” ujarnya geram. Air mata yang mula menitis diseka perlahan.
I’m not Nisa, I’m not! Saya tak pentingkan diri Nisa tapi sikap awak yang membuatkan saya bersikap begini.” Azfar kembali bersuara keras. Namun tiada kemarahan yang mengikut. Merenung wajah yang mula membasah itu.
“Sikap saya saja yang awak nampak salah. Sikap sendiri awak tak peduli. Memang dari dulu awak macam ni. Tak pernah mengambil tahu tentang perasaan orang lain. Tak pernah. Awak betul-betul pentingkan diri sendiri Az. Penting diri sendiri!”

Azfar kembali tersedar dari dunia khayalannya. Menerbangkan peristiwa yang kini hanya menjadi kenangan dalam lipatan hidupnya. Gambar yang berada di tangan diletak semula ke tempat asalnya.
Dia menyebak rambut beberapa kali. Kata–kata terakhir gadis itu masih berputaran di fikirannya.
Pentingkan dirikah aku? Hanya kerana aku tak izinkan dia bekerja selepas kami berkahwin nanti maka aku dikatakan pentingkan diri?
Pentingkan dirikah aku jika aku hanya ingin menyenangkan dirinya? Tidak mahu dirinya merasa sebarang kesusahan hidup dalam mencari rezeki? Tidak mahu dirinya bergelumang dalam kepayahan mencari sesuap nasi seperti mana orang lain?
Penting dirikah aku jika bersikap begitu?
Persoalan demi persoalan menerpa ke ruang fikirannya. Menghimpit benak yang telah sedia sempit dengan asakan perkara-perkara lain.
Tidakkah Nisa tahu yang aku begitu mencintainya? Terlalu mencintainya hinggakan aku sanggup berbuat apa saja demi membahagiakan dirinya. Aku sanggup merahsiakan pertunangan kami yang telah menjangkau hampir lima tahun itu dari pengetahuan sesiapa pun.
Aku sanggup mengunci mulut serapatnya walau ramai bertanyakan tentang status diri. Aku sanggup memandang sebelah mata ragam pelbagai wanita yang cuba menghampiri. Aku sanggup meredah apa saja cubaan dan dugaan yang mendatang demi mempertahankan cintaku.
Aku sanggup melakukan apa saja untukmu Nisa. Aku sanggup! Semuanya kerana kau Nisa. Salah diriku lagikah kiranya kau masih mengalirkan airmata duka kerana sikapku? Salah ku jugakah andai semua itu berlaku?
Untuk sekian kalinya Azfar menghela nafas lagi. Lebih panjang.
Masih ada lagi persoalan yang berlarian dalam benaknya. Namun akalnya tidak terdaya menjawab segalanya. Sekaligus membiarkan semua persoalan itu berterbangan begitu saja. Lepas bebas dalam ruang fikirannya.
Jenuh berfikir, akhirnya Azfar mendapat jawapan yang dicarinya selama ini. Jawapan yang dirasakan sepatutnya menjelma dalam fikirannya sedari dulu. Jawapan yang mampu menghalang segalanya dari terus berlaku.
Bila difikirkan semula, Azfar sedar. Semua yang berlaku adalah atas kesilapannya sendiri. Kesilapan yang dilakukannya tanpa dia sendiri menyedarinya.
Azfar terlalu menyayangi Nisa hingga sanggup mengikut telunjuk gadis itu. Walau permintaan itu menyimpang jauh dari kehendaknya sendiri. Pertunangan mereka telah membuktikan segalanya.
Demi memenuhi permintaan Nisa, pertunangan Azfar dan gadis itu menjadi rahsia dari pengetahuan umum. Alasan Nisa, dia tidak mahu perkara itu menjatuhkan kedudukan Azfar yang ketika ini sedang meningkat nama dalam dunia perniagaan. Selain dari diri Nisa sendiri tidak bersedia untuk menjadi bahan intipan para wartawan yang senantiasa dahagakan kisah kehidupan lelaki kaya dan ternama seperti Azfar.
Sedangkan pada Azfar, dia sendiri tidak mengambil kisah semua itu. Dia tidak peduli kiranya kisah hidup dia dan Nisa menjadi bahan bualan masyarakat. Malah dia begitu ingin menghebahkan perihal dirinya pada semua. Biar sedunia mengetahui yang hatinya telah lama dimiliki seseorang yang dicintainya. Sepenuh hati.
Tetapi janji yang telah diberi pada gadis kesayangan membuatkan Azfar terus mengunci mulut sehingga kini walau alasan yang diberi Nisa tidak dapat diterima akal warasnya.
Azfar menarik nafas lagi. Cuba membuang kesesakan yang mula menghimpit ruang dada. Memikirkan Nisa membuatkan benaknya kembali digasak pelbagai persoalan. Tiada jawapan pasti yang dapat melenyapkan kesemua persoalan itu.
Sudah puas dia menjelajah ruang benaknya. Mencari sesuatu yang dapat merungkai segala permasalahannya. Sesuatu yang boleh menyenangkan fikirannya seperti sedia kala. Namun usahanya menemui jalan buntu. Hingga akhirnya dia beralah. Membiarkan semua persoalan itu terus berputaran laju di fikirannya. Dan andai boleh dia mengeluarkan semua itu dari benaknya, telah lama dilakukannya.
Ingin sahaja dia menjerit sekuat hati, melepaskan segala rasa yang bergelumang dalam jiwa namun untuk apa? Untuk apa dia melakukannya andai Nisa tidak juga pulang ke pangkuannya? Untuk apa dia berbuat begitu andai Nisa tetap tidak dapat mendengarinya? Jauh sekali memahaminya. Dia resah dengan keadaan itu.
Azfar terlena dengan pelbagai persoalan masih melingkari benaknya.

Suasana malam begitu sunyi. Sepi bagaikan dunia tidak berpenghuni. Angin berpuput lembut. Menerjah masuk ke ruang bilik yang terbuka luas tingkapnya. Menyelak anak-anak rambut lelaki itu yang sedari tadi kelihatan khusyuk dengan kerjanya. Menyapu rasa dingin ke seluruh tubuh yang masih berbalut dengan pakaian serba putih itu.
Namun kedinginan itu bagai tidak memberi sebarang kesan pada tubuh tegap itu. Ada sesuatu yang lebih menarik perhatiannya dari memikirkan tentang keadaan sekeliling yang semakin dicengkam waktu.
Hidayat meneliti laporan yang berada di depan mata. Kesunyian yang bermaharajalela di dalam bilik kerja begitu membantunya melakukan tugasan sebaiknya. Tangannya menyelak perlahan setiap helaian kertas yang ada dalam fail. Membacanya dengan begitu bersungguh-sungguh. Setiap patah ditatapnya dengan teliti. Berharap agar satu huruf pun tidak lari dari pandangan matanya. Berkali–kali dia membacanya agar tidak tersilap. Tidak tersalah.
Namun setelah beberapa lama mengadap kertas itu, dia yakin dia tidak tersilap. Dia yakin dia tidak tersalah. Walau hanya beberapa tahun dia berada dalam bidang itu namun pengetahuannya dalam semua perkara yang berkaitan dengan bidang yang pernah dipelajarinya di salah satu universiti luar negara suatu masa dulu tidak kurang tingginya. Malahan tidak keterlaluan untuk mengatakan dirinya berada sebaris dengan para pakar yang sedia ada dalam bidang serupa.
Hidayat memerhati semula laporan yang berada di tangannya hingga akhirnya dia menyerah kalah pada diri sendiri. Terpaksa mengakui dengan apa yang telah dibacanya sejak beberapa jam lalu. Dan kali ini dia benar–benar yakin. Yakin yang dia tidak mampu melawan takdir. Takdir yang tak mungkin dapat diubah melainkan ada keajaiban yang berlaku. Itu pun hanya boleh terjadi sekiranya adanya keizinan dariNya yang Maha Berkuasa.
Untuk seketika Hidayat beristighfar panjang. Tidak semena–mena perasaan sayu menjentik tangkai hatinya. Wajah ceria seseorang terbayang di ruang matanya.
“Maafkan aku Dhia…” tanpa sedar Hidayat menutur kata–kata itu.
“Maafkan aku,” ulangnya perlahan.
Setitis airmata lelakinya menitik di kala itu. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012