Monday, August 05, 2013

SETIAKU DI SINI : BAB 17


BAB  17

“Dasar perempuan tak sedar diri. Dahlah rampas suami anak aku, tak boleh beranak pula tu. Aku hairan betullah, macam manalah si Fatih tu boleh sukakan kau ni. Agaknya kau dah guna–gunakan menantu aku tu tak? Sebab itulah dia kahwin dengan kau. Sebab itu juga anak perempuan aku mati, tahu tak!” jerit Nek Zaitun sekuat hati.
Terasa puas dapat melepaskan segala rasa yang bergelut dalam hatinya. Tidak peduli pada Puan Wardah yang terus berlari ke tingkat atas. Menyembam wajah yang basah ke tilam. Menghambur segala air mata yang cuba ditahan sedari tadi. Tidak dipeduli dengan kata–kata Nek Zaitun yang masih kedengaran di ruang bawah rumah. Namun tidak lama, wanita itu kembali mengunci mulut setelah menyedari Puan Wardah tidak lagi mendengar suaranya.
Agak lama Puan Wardah berkeadaan begitu sebelum dia kembali menenangkan diri.  Disandar tubuhnya ke kepala katil seketika sebelum perlahan–lahan dia bangun menuju ke tingkap. Direbah tubuhnya ke kerusi rotan yang ada di sudut bilik. Melepas pandangan ke luar tingkap. Air mata yang masih berbaki di pipi disapu perlahan. Di tarik nafasnya sedalam mungkin. Cuba menghalau rasa pilu yang terus-terusan bergayut di ruang hatinya.
Sudah hampir sepuluh tahun dia hidup bersama Encik Fatih. Selama itu juga dia menahan segala cemuhan dan hinaan Nek Zaitun. Ibu mertua kepada suaminya itu sememangnya tidak pernah menyenangi kehadirannya sedari dulu.
Jika tidak mengenangkan amanat yang ditinggalkan arwah Fadzillah padanya, dia telah lama meninggalkan rumah yang dirasakan seperti neraka dunia itu.
Fadzillah!
Tiba–tiba sahaja sebaris nama itu melekat di fikirannya. Kenangannya bersama wanita itu kembali berputar di fikirannya.

“Maafkan aku Wardah, maafkan aku dunia akhirat kerana susahkan kau,” ujar Fadzillah menangis teresak–esak.
Disembam wajahnya di ribaan Wardah yang hanya menadah telinga. Sedangkan fikirannya berserabut memikirkan keadaan Fadzillah di saat ini. Bingung dengan situasi yang sedang dihadapinya selain urat mindanya berselirat memikirkan permintaan Fadzillah yang entah berapa kali disuarakannya. Permintaan yang dirasakan tidak mampu dilakukannya.
“Aku mohon pada kau Wardah, tolonglah jaga anak–anak aku macam kau jaga anak-anak kau sendiri. Sayangilah mereka seperti mana kau menyayangi diri kau. Bahagiakanlah abang Fatih. Aku tak mampu membahagiakan dia Wardah. Hanya kau yang mampu memberikan segalanya pada mereka semua,” ujar Fadzillah lagi.
Air mata yang masih melimpah pipi dibiar membasahi wajah cengkungnya. Mengenai tilam tempatnya berbaring tubuh kini.
“Aku tak layak menggantikan tempat kau Zillah. Aku tak mampu menggalas kesemua tanggungjawab berat itu. Aku takkan mampu. Lagipun, kau akan sembuh sepenuhnya suatu hari nanti. Kau akan sihat sepertimana dulu Zillah, kau akan sihat semula,” Wardah membalas kata. Penuh kesungguhan.
Lembut anak matanya menikam pandangan sayu wanita itu. Air mata yang turut bercucuran dari kelopak matanya di lap perlahan. Hiba melihatkan keadaan sahabat baik yang kini sedang bertarung dengan dugaan hidup.
Fadzillah menangis lagi. Penuh hiba.
“Jangan cakap macam tu Wardah. Kau kawan baik aku. Kita dah kenal sejak di bangku sekolah lagi. Tak ada siapa lagi yang boleh aku harapkan kecuali pada kau.” rayuan Fadzillah kedengaran begitu mendayu. Jari-jemarinya meramas lemah jari-jemari Wardah yang tertunduk pilu.
“Aku tahu Dah, aku takkan sembuh lagi sampai bila-bila. Penyakit aku ni tak ada ubatnya. Malah kalau ada ubatnya sekalipun belum tentu abang Fatih dapat terima diri aku seperti dulu walau aku tahu dia ikhlas menerima diri aku semula. Aku tak sanggup nak menahan malu lagi Dah. Aku tak sanggup,” sambung wanita itu lagi.
“Kau tak boleh terus berputus asa Zillah. Sekarang ni teknologi perubatan semakin moden. Pasti ada ubatnya untuk penyakit kau ini. Kau hanya perlu kuatkan semangat dan turutkan nasihat doktor. Insya Allah, kau pasti akan sembuh semula.
Lagipun, tak mungkin aku boleh melaksanakan tanggungjawab yang kau berikan itu Zillah. Abang Fatih cintakan kau sepenuh hatinya. Mana mungkin dia dapat menerima diri aku dalam hidupnya. Anak–anak kau perlukan kau Zillah. Kau kena cekal untuk melalui semua ujian Allah ini,” suara Wardah telah bercampur dengan esak tangisnya. Wajah pucat itu dipandang lagi.
Fadzillah menggeleng lemah. Dia terbatuk-batuk kecil. Membuatkan Wardah segera mengusap belakang tubuh wanita itu yang kini tersandar lemah di kepala katil. Wajah pucat lesi itu direnung lagi.
“Tak Wardah, aku takkan dapat memaafkan diri aku atas apa yang telah aku lakukan pada Abang Fatih. Aku tak layak untuk menjadi isterinya lagi. Anak–anak aku perlukan seorang ibu seperti kau. Seorang ibu yang boleh memberikan mereka kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Seorang ibu yang mampu memberi contoh tauladan yang baik. Bukannya seorang ibu seperti aku. Aku seorang ibu yang tak berguna Dah. Tak berguna,” Fadzillah kembali teresak. Lebih mengharukan.
“Zillah, jangan kau hukum diri kau atas semua yang telah berlaku. Segalanya telah ditentukan oleh Dia yang Lebih Berkuasa. Kita sebagai manusia hanya mampu menerima segala ketentuanNya Zillah,” sahut Wardah segera. Lalu memeluk erat tubuh lemah itu yang masih menangis penuh haru.  
“Kerana itu aku mahu kau yang mengambil alih segalanya Wardah. Aku tahu dan aku yakin, kau mampu menjadi seorang ibu yang terbaik untuk anak-anak aku serta anak kau juga. Aku yakin, Allah telah tentukan kau yang akan menjadi isteri dan ibu pada keluarga aku. Aku yakin itu Wardah, aku yakin,” sela Fadzillah cepat.
Dia mengenggam kemas jari-jemari wanita itu. Begitu erat. Seerat gulungan harapan yang kini di sandar di bahu teman baiknya itu. 
“Wardah, kalau benar kau anggap aku sahabat baik kau dunia dan akhirat, tunaikanlah permintaanku yang terakhir ini. Aku sedar Dah, aku telah banyak menyusahkan kau selama kita berkawan tapi demi Allah ku katakan, aku sayangkan kau lebih dari aku menyayangi diriku sendiri. Kerana itu aku percaya, kau mampu melakukan segalanya untuk aku,”
“Tapi Zillah…” kata–kata Wardah terhenti di situ saat telapak tangan dingin milik Fadzillah mendarat perlahan di bibirnya.
“Berjanjilah dengan aku Dah yang kau akan membahagiakan abang Fatih dan anak–anak aku. Berjanjilah yang kau akan sentiasa menyayangi mereka dan memenuhi segala kegembiraan yang tak pernah aku berikan pada mereka sebelum ini. Berjanjilah Wardah.”

Bunyi keriutan di daun tingkap menyentak lamunan Puan Wardah. Terkejut dengan bunyi hasil tolakan angin yang bertiup sedikit kencang tengah hari itu. Mengheret pergi kenangan yang terbuka dari kotak ingatan wanita itu.
Puan Wardah beristigfar panjang. Betapa masa telah jauh berlalu. Membawa segalanya bersama. Hanya kenangan yang ditinggalkan. Menjadi memori yang sukar dilupakan oleh sesiapa saja yang pernah melaluinya. Perlahan-lahan, segenggam keluhan terlepas keluar dari bibirnya yang sedikit terbuka.
“Kerana janji aku masih di sini Zillah. Masih di sisi suami dan anak-anak kau yang begitu aku sayangi. Aku masih setia pada perjanjian yang telah kita bina secara tidak rasminya. Aku masih setia Zillah walau telah berkali-kali aku dilukakan. Namun aku tidak peduli dengan semua itu.
Aku masih mampu bertahan di sini hanya kerana kau Zillah, satu-satunya sahabat baik yang telah ku anggap lebih dari saudara sendiri sedari dulu.
Hanya satu yang ku pohon darimu. Aku mohon kemaafan dari kau Zillah. Maafkan aku kerana aku gagal membahagiakan mereka sebagaimana yang kau impikan. Aku gagal memberikan kegembiraan dalam kehidupan mereka. Aku gagal Zillah. Aku gagal. Maafkan aku…” Puan Wardah kembali teresak. Sendirian.

Bahang panas menguasai suasana tengah hari itu. Menyimbah deraian peluh pada mereka yang sedang bekerja di bawah terikan mentari.
Kepanasan yang menyengat kulit berkurangan tatkala diri berada di celahan bumbung gerai makan yang berderetan tersedia di sepanjang pantai. Memberi kesan nyaman pada tubuh Dhia dan Hidayat yang baru sahaja tiba di situ. Segera keduanya menempatkan diri di kerusi yang tersedia ada. Melepas lelah yang sedikit menghambat diri.
“Terima kasih Dayat kerana sudi datang ke sini. Aku tahu kau sibuk tapi aku rasa malas nak turun ke KL,” suara Dhia berterus terang. Tersengih pada Hidayat yang menguntum senyum.
“Tak payahlah kau ucap terima kasih pada aku. Bukannya ada apa pun. KL dengan bandar ni pun bukannya jauh sangat. Lima jam je perjalanannya. Lagi pun dah menjadi tugas aku datang berjumpa kau,” balasnya lembut.
Jari-jemari kasarnya mengesat peluh yang bertaburan di dahi. Tangannya segera mengamit pelayan yang segera bertandang. Memesan hidangan apa yang patut sebelum kembali mengalih pandang pada Dhia yang tersenyum senang. 
So, macam mana Dayat? Aku masih ada harapan?”
Dhia terus ke butir utama bicara mereka. Sememangnya hatinya tidak tertahan. Ingin mengetahui segala yang perlu diketahuinya. Segala yang berada di luar pengetahuannya.
Hidayat menarik nafas panjang. Matanya dipasak lama ke wajah cerah berseri milik Dhia. Memfokus pada senyuman yang sengaja dikembangkan. Ingin menutup kegusaran hati.  Ada rasa serba salah yang mengigit hati lelakinya namun dia tetap membuka bicara. Tenang.
“Dhia, pertama sekali aku nak minta maaf dengan kau. Aku...,”
“Kenapa tiba–tiba saja kau nak minta maaf?” Dhia terus bersuara tanpa sempat Hidayat menghabiskan ayatnya.
Hatinya mula disergah debaran. Debaran terhadap perkara yang bakal terluah dari celah bibir lelaki berkulit cerah itu.
“Kenapa pula kau minta maaf ni? Kau bukannya ada buat salah pada aku pun. Tapi, tak tahulah kalau dalam diam kau ada buat salah pada aku,” seloroh Dhia.
Namun kedengaran hambar di peluput telinga lelaki itu. Dia kembali mengunci lidah tatkala pelayan datang menghantar pesanan. Sempat dirinya mengucap terima kasih sebelum si penghantar pesanan berlalu pergi.
“Cakaplah Dayat, apa sebenarnya yang telah berlaku?”
Dhia kembali serius. Raut wajahnya menampakkan rasa ingin tahunya. Dia cuba menahan getaran hati yang makin bergelombang kuat. Sama seperti mana ombak yang sedia memukul pantai tidak jauh dari gerai tempat mereka berada kini.
Hidayat terkunci lidah. Berat mulutnya untuk menghumban keluar suaranya.
“Aku tak ada harapan lagi kan Dayat?” tanya Dhia meminta kepastian. Wajah tampan itu menjadi mangsa renungannya.
Hidayat masih mendiamkan diri. Tidak terdaya rasanya untuk bibirnya bersuara walau sepatah kata. Makanan yang terhidang di depan mata di pandang seimbas cuma. Perasaan serba salah yang kembali mengutik hati telah berjaya menenggelamkan keinginannya untuk menjamah sebarang hidangan di waktu itu.
“Hidayat?” Dhia mengulang pertanyaan. Sekadar menyebut nama lelaki itu.
Dia memandang Hidayat yang perlahan-lahan memaling wajah ke arah pantai. Ada kesayuan yang bergayut di wajah lelaki itu yang perlahan menghela nafas panjang.
Giliran Dhia terkunci kata. Semuanya telah jelas kini. Tindak balas Hidayat telah menerangkan segalanya. Kini benarlah kata hatinya. Dia tidak mempunyai harapan lagi. Harapan untuk menikmati segalanya. Harapan untuk terus mencapai apa yang di inginkannya.
Perlahan-lahan wajahnya tertunduk. Segugus airmatanya tumpah. Mengenai ribaannya. Tiada kata mahupun suara yang kedengaran. Dhia menangis dalam diam. 
“Dhia…”
Teguran Hidayat menyedarkannya dari tangisan. Airmata yang meleleh di pipi segera diseka. Tidak mahu di sangka lemah. Jauh sekali kehilangan semangat.
Dhia kembali memanggung kepala. Dia segera tersenyum kecil. Cuba berlagak tenang. Seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Namun tatkala pandangan mereka bersatu, hatinya kembali dipagut sayu. Senyuman yang terukir dirasakan semakin hambar sebelum hilang sepenuhnya. Dhia kembali menitiskan airmata. Mata basahnya membalas lemah pandangan sayu lelaki itu.
“Dhia, maafkan aku,” suara tenang Hidayat menebak ruang telinga gadis itu.
“Aku janji Dhia, aku akan cuba melakukan yang terbaik untuk kau,” suaranya lagi. Bersungguh-sungguh.
Ada rasa bersalah yang menduduki hatinya kala ini. Bersalah kerana tidak mampu berterus terang. Bersalah kerana tidak berdaya menyembunyikan rasa sayu yang terpalit di wajahnya. Rasa sayang terhadap diri gadis itu yang menghuni hati sejak sekian lama membuatkan dia tidak mampu melindungi segala rasa yang bergumpalan dalam diri.
Sayang yang bukan sedikit. Sayang yang bukan mainan baginya. Sayang seorang abang terhadap adik perempuannya biarpun kedua mereka berada di ambang usia yang sama.
Dhia menghela nafas. Airmata yang masih berbaki dibuang ke tepi. Mencari semula semangat yang melayang pergi buat seketika. Menghalau segala kesedihan yang mula mengambil tempat dalam diri. Wajah bersalah Hidayat  direnung sedalamnya.
“Dayat, beritahu aku sesuatu. Jujurnya, berapa lama lagi tempoh yang masih aku ada?”

Dhia melepas pandangan ke tengah laut. Memacak tubuh di jutaan butir pasiran halus yang memutih. Membiarkan sepasang kaki mulus miliknya digapai ombak yang tidak pernah jelak mendatangi pantai. Membenarkan angin petang terus-terusan menghembus ke seluruh tubuhnya. Cuba menghalau kesedihan yang sekian lama mencengkam tangkai hati.
Telah beberapa lama pertemuannya dengan Hidayat berakhir. Lelaki itu juga telah selamat tiba di bandaraya Kuala Lumpur sebentar tadi. Namun Dhia masih seperti tadi. Sama seperti sepeninggalan Hidayat. Mengadap hamparan laut yang telah bertukar warna. Jingga kemerah-merahan. Menandakan malam bakal bertandang. Mengantikan tempat siang yang bakal menganjak pergi.
Tiada riak kecewa yang terpamer di wajah itu. Rasa terkilan telah lama menjauh pergi dari ruang hati. Airmatanya juga bagaikan membeku. Tidak terjurai walau setitis. Bagai tiada kedukaan yang pernah hinggap di wajahnya. Wajah itu tenang. Setenang-tenangnya.
Namun ada sesuatu yang berkeliaran di fikirannya sepanjang masa berlalu. Sesuatu yang berkisar pada perbualannya bersama Hidayat tengah hari tadi. Setiap patah perbualan mereka masih tersemat kemas di benaknya.
Dhia telah lama menjangkakannya. Dia telah dapat mengagak keputusannya. Dan ternyata jangkaannya tepat. Keputusannya benar. Dia juga sedar, Hidayat takkan mampu memberitahu kebenaran padanya walau dia telah lama menyiapkan diri untuk menerima keadaan itu biarpun ada kepiluan yang mengigit hatinya.
Keadaan yang tak pernah dipinta kehadirannya dalam hidupnya. Keadaan itu telah tertulis dalam perjalanan hidupnya. Dia takkan mampu memadamkannya. Kerana itu dia begitu pasti. Dia tak mungkin berdaya melawan takdir. Dan jika itu ketentuan Allah padanya, dia redha walau pun itu menyakitkan.
“Ya Allah, semoga Kau memberi kesempatan untukku melakukan kebaikan pada mereka yang berada di sekelilingku. Berilah peluang padaku untuk membuat sesuatu yang berharga buat diriku pada mereka yang aku sayangi. Amin…” doanya dalam hati.
Dhia menarik nafas sedalamnya. Melepas segala rasa yang bergaul padat di hati. Berpaling tubuh. Matanya menombak pandangan ke darat. Memerhati persekitaran yang jarang dipedulikan setiap kali menghadirkan diri ke pantai yang terkenal dengan keindahan pasiran memutihnya itu.
 Agak lama dia berkeadaan begitu sebelum matanya terpaku sejenak. Sebuah resort yang terletak tidak jauh dari tempatnya berdiri menarik perhatiannya. Ringan kakinya mengatur tapak. Menghampiri resort yang sedikit terlindung di balik rimbunan pohon-pohon kelapa yang tumbuh subur di sepanjang pantai. Menolak jauh segala perkara yang berselirat di fikirannya sebentar tadi dari terus menjerutnya.
Dhia membesarkan mata. Meneliti setiap sudut resort sepi itu. Mengheret kaki memasuki ruang utama resort. Seorang wanita tersenyum manis menyambut kedatangannya. Dhia membalas seadanya. Meliarkan mata. Memandang sekeliling. Tiada yang menarik perhatiannya untuk terus berada di situ.
Dhia kembali memusing tubuh. Ingin berlalu.
Namun pandangan mata menghentikan pergerakan kakinya. Tubuhnya kembali dipusing. Memicingkan anak mata. Menongkah di suatu sudut.
Gelagat seseorang menarik hatinya untuk terus berada di situ. Seseorang yang dirasakan pernah dilihat gerangannya. Melepas pandangan ke luar melalui sliding door yang tertutup rapat. Mengadap Laut China Selatan. Membelakanginya. Ada sesuatu yang menarik diri Dhia untuk menghampirinya.
Dhia kembali menapak. Merapatinya yang masih seperti tadi. Mengelamun jauh.  “Assalamualaikum.” Dhia menghulur salam kesejahteraan. Lembut.
Sekaligus menyentaknya keluar dari dunia khayalan. Laju mulutnya menyahut salam sebelum segera berpaling.
Encik Fatih.
Dhia tersenyum panjang. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012